Rabu, 4 Mac 2015

Tangguhkan hudud sehingga selesai mesyuarat Pakatan, kata Kit Siang

 THE MALAYSIAN INSIDER


Lim Kit Siang menggesa kerajaan PAS Kelantan menangguhkan rancangannya untuk melaksanakan hudud sehingga ia selesai dibentangkan di Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insider, 3 Mac, 2015. 
Lim Kit Siang menggesa kerajaan PAS Kelantan menangguhkan rancangannya untuk melaksanakan hudud sehingga ia selesai dibentangkan di Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insider



Lim Kit Siang hari ini menggesa kerajaan PAS Kelantan menangguhkan rancangan meminda enakmen syariah negerinya bagi membolehkan pelaksanaan hudud sehingga ia selesai dibentang di Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR).

Ketua Parlimen DAP itu berkata, ketiga-tiga parti dalam PR bersetuju tidak melaksanakan undang-undang Islam itu hingga ia selesai dibentang sepertimana diputuskan pada 8 Februari lalu.

"Walaupun terdapat laporan yang sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan akan berjalan pada 18 Mac, pindaan kepada Kanun Jenayah Syariah Kelantan 1993 masih belum dibentangkan kepada Majlis Pimpinan PR untuk dikaji, sepertimana diputuskan pimpinan PR daripada DAP, PKR dan PAS dalam mesyuarat pada 8 Februari," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Mengambil kira faktor kesuntukan masa bagi membincangkan undang-undang kontroversi tersebut, Lim menggesa kerajaan PAS Kelantan menangguhkannya terlebih dahulu. Menurut veteran DAP itu, pertimbangan juga perlu diberi terhadap kedudukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang semakin goyah akibat skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Dalam masa satu malam sahaja, kedudukan politik Najib nampaknya mengalami perubahan buruk, terutamanya dengan laporan terperinci Sunday Times London pada Ahad 1 Mac 2015, bersama laman web Sarawak Report, mengenai skandal RM42 bilion 1MDB, yang lengkap.

"Dan mereka memperolehi akses kepada ribuan dokumen dan e-mel berkait 1MDB, termasuk usahasamanya dengan syarikat minyak yang tidak begitu terkenal, PetroSaudi International sejak tahun 2009," kata Lim.

Lim berkata PAS perlu mengelak daripada muslihat yang dimainkan Umno yang cuba memecahbelahkan PR dalam isu hudud khususnya.

"PR tidak boleh terjerat dengan tipu muslihat pemimpin dan strategi Umno pada ketika ini, di saat Najib sebenarnya sedang bergelut demi hayat politiknya sendiri – tidak kira bagaimana kuat dan kukuh pun penampilan politik beliau – atau tewas kepada komplot dan konspirasi Umno terutamanya dalam hal kerajaan perpaduan dan umpan palsu bagi membantu PAS melaksanakan hudud di Kelantan," kata Lim. – Bernama,

Tiada ulasan: