Mahfuz Omar Mahfuz Omar
 
 
 
KUALA LUMPUR - Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Mahfuz Omar mempertahankan tindakan parti itu yang mengemukakan surat usul supaya Rang Undang-undang Persendirian mengenai hudud dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat kali ini.
 
Beliau menegaskan, tindakan itu dibuat berdasarkan prinsip bersama PR iaitu "bersetuju untuk tidak bersetuju" sekali gus tidak bertentangan dengan keputusan Majlis Pimpinan PR.
 
"Kita hanya menunggu kebenaran Speaker Dewan Rakyat untuk membenarkan atau tidak (bawa RUU) da kita sangat terbuka kepada mana-mana pihak menolak enakmen tersebut.
 
"Kita tiada masalah dengan DAP, kita sudah pun bersetuju dengan DAP tidak bersetuju termasuk menolak dengan apa-apa yang berkaitan dengan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II dan menolak RUU itu," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini, hari ini.
 
 
Beliau berkata demikian mengulas pendedahan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke hari ini mengenai bukti pengkhianatan Pas apabila presidennya mengemukakan surat permohonan untuk membawa RUU mengenai hudud ke persidangan Dewan Rakyat.
 
Dakwanya, surat yang ditandatangani Abdul Hadi itu telah dikemukakan kepada Setiausaha Dewan Rakyat pada 18 Mac lalu bagi membolehkan RUU mengenai bidang kuasa mahkamah syariah itu dibentangkan di Parlimen.
 
Sementara itu, ketika ditanya mengenai kesahihan surat yang didedahkan Anthony hari ini, Mahfuz bagaimanapun mengakui perkara itu benar dan telah disahkan oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali.
 
"Ya, saya dimaklumkan oleh Setiausaha Agung Pas mengatakan memang betul dan telah memasukkan permohonan untuk Rang Undang-undang Persendirian ke sidang Dewan Rakyat nanti," ujarnya.
 
Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena turut menafikan tindakan Pas itu sebagai satu pengkhianatan kerana enakmen mengenai hudud itu sudah wujud sebelum tertubuhnya Barisan Alternatif (BA) dan PR.
 
"Tidak timbul soal khianat, enakmen jenayah itu sudah wujud sejak 1993, ketika DAP keluar BA pun enakmen itu sudah wujud, begitu juga selepas 2008 apabila PR terbentuk, enakmen itu juga sudah, semuanya berlaku dalam keadaan sedar," jelasnya.
 
Tambah Mahfuz, Pas juga bersedia menerima sebarang keputusan jika RUU itu mendapat undian majoriti atau sebaliknya.
 
"Saya fikir semua harus menghormati prinsip demokrasi, tunggu sehingga proses ini selesai.
 
"Apa-apa pun mereka hendak membantah terpulang kepada semua (ahli Parlimen) sebab bukan orang PR sahaja (mengundi) termasuk BN, itu hak demokrasi, kita akur kepada keputusan," katanya lagi.