PRK Dun Chempaka
 
 
 
KOTA BHARU – Pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengkaji faktor kemerosotan peratus keluar mengundi bagi pengundian awal PRK Dun Chempaka, 18 Mac lalu.
 
Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata, pihaknya memandang serius perkara tersebut namun sebarang konklusi tidak boleh dinyatakan sebelum keputusan kajian diperoleh.
 
“Insya-ALLAH kita akan kaji tentang perkara tersebut, saya yakin bila semuanya selesai, pengerusi (Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof) akan umumkan kenyataan susulan, kita perlu kaji dengan menyeluruh kenapa boleh berlaku begitu (keluar mengundi merosot).
 
“Pembaharuan akan dibuat selepas ini sekiranya perlu ada koordinasi dan SPR sentiasa memerhati dan akan buat apa sahaja untuk kebaikan pengundi-pengundi, saya harap sasaran 70 peratus untuk keluar mengundi esok akan tercapai,” katanya kepada media, hari ini.
 
Beliau hadir di Dewan Bitara, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Chepa, sejak awal pagi lagi bagi membuat tinjauan persiapan terakhir bersama petugas-petugas SPR.
 
Menurutnya, kempen kali ini berjalan dengan tenang dan SPR sendiri tidak mempunyai sebarang masalah besar dalam menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan.
 
Beliau juga memberitahu, pihak SPR juga mengharapkan kempen kali ini akan dijadikan contoh kepada PRK-PRK lain selepas ini, kerana ia turut membantu petugas untuk lebih fokus lagi dengan tugas yang diberikan terutamanya hari-hari terakhir berkempen.
 
“Kita jangkakan 20,390 pengundi akan keluar nanti, melalui sembilan buah pusat mengundi dan 39 saluran, Insyaallah dengan bantuan pihak keselamatan terutamanya Polis, proses memilih akan berjalan lancar,”katanya.
 
Hashim berkata, pihak SPR juga mengharapkan kerjasama yang utuh daripada semua pihak terutamanya pengundi itu sendiri, selain berharap tidak banyak undi rosak atau apa-apa sahaja yang boleh menghalang proses pengundian berjalan lancar.