Isnin, 2 Mac 2015

Siasat segera 1MDB sebelum bukti dimusnahkan, kata ahli PAC Pakatan

THE MALAYSIAN INSIDER


Tony Pua, sebahagian Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, antara ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang menyeru mereka yang terlibat dengan 1MDB dipanggil menjawab dakwaan mengenai syarikat itu. – Gambar fail The Malaysian Insider, 2 Mac, 2015. 
Tony Pua, sebahagian Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, antara ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang menyeru mereka yang terlibat dengan 1MDB dipanggil menjawab dakwaan mengenai syarikat itu. – Gambar fail The Malaysian Insider.



Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) yang menganggotai Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menggesa pengurusan tertinggi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) disiasat segera sebelum semua bukti yang berkaitan dimusnahkan.

Mereka berkenaan menggesa bekas ketua eksekutif 1MDB, Shahrol Halmi, presiden 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, syarikat audit KPMG dan Deloitte Malaysia, serta pegawai Kementerian Kewangan dipanggil menghadiri sesi pendengaran.

“PR memandang serius dakwaan dikeluarkan Sarawak Report mendakwa mendapat salinan dokumen yang membuktikan terdapat urus niaga mencurigakan dalam projek usaha sama antara 1MDB dan PetroSaudi International di mana sekurang-kurangnya AS$700 juta sudah diselewengkan kepada syarikat berkaitan dengan Jho Low.

“Kami menyokong sebulat suara kenyataan Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed agar memanggil 1MDB dan para juruauditnya bagi menyiasat semua perkara berkaitan 1MDB. “Segala dokumen dan email berkaitan perlu dibawa dalam pendengaran awam berkenaan. Ini perlu dilakukan segera sebelum semua bahan bukti dimusnahkan,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw, Datuk Kamarul Baharin Abbas (Telok Kemang), Datuk Kamarudin Jaffar (Tumpat), William Leong (Selayang) dan Tony Pua (Petaling Jaya Utara).

Semalam, PetroSaudi menafikan laporan tentang dana daripada 1MDB disalurkan kepada pihak ketiga, sambil menambah yang anak syarikatnya menerima keseluruhan wang tunai itu bagi sebuah syarikat usaha sama, sementara 1MDB mengesahkan ia menerima balik pelaburannya sepenuhnya dan juga membuat keuntungan.

Syarikat eksplorasi dan pengeluaran minyak swasta itu, dalam satu kenyataan berkata, sebaik 1MDB keluar daripada usaha sama itu, PetroSaudi membayar dana pelaburan strategik Malaysia itu sepenuhnya dan kedua-dua pihak tidak lagi ada sebarang hubungan kewangan atau perundangan.

"Kami ingin menyatakan secara mutlak yang semua dana dari 1MDB disalurkan ke entiti milik PetroSaudi, sebarang kesimpulan lain adalah palsu," kata syarikat itu dalam satu kenyataan sebagai respons kepada pendedahan terdahulu dibuat portal Sarawak Report.

PetroSaudi berkata ia akan mendapatkan nasihat mengenai tindakan undang-undang yang sesuai untuk diambil terhadap "tuduhan berniat jahat dan fitnah" itu.

Katanya, syarikat subsidiarinya menerima penuh AS$700 juta (RM2.5 bilion) dana yang didakwa dilarikan itu.

Ia menambah, syarikat itu sudah membayar AS$2.3 bilion kepada 1MDB dan syarikat Malaysia itu kini keluar daripada pelaburan itu.

Akaun 1MDB yang diaudit setakat 31 Mac 2014 menunjukkan syarikat itu menerima AS$2.3 bilion dan membuat keuntungan sebanyak AS$488 juta.

Dalam satu kenyataan berasingan, Arul berkata firma itu "mengambil maklum dan mengambil berat" dakwaan yang dilaporkan mengenai urusan perniagaannya dengan PetroSaudi.

"1MDB keluar daripada hubungan itu pada 2012 dan menerima kembali pelaburannya sepenuhnya dengan keuntungan sebanyak AS$488 juta.

"Fakta ini dan semua butiran berkaitan urus niaga ini, boleh disahkan dengan merujuk kepada akaun kami yang diaudit, yang boleh diperoleh umum di laman web Suruhanjaya Syarikat Malaysia," kata Arul.

Arul pada 21 Februari juga membuat kenyataan yang sama, mengulas kritikan terdahulu mengenai usaha sama 1MDB dengan PetroSaudi.

Tiada ulasan: