Isnin, 16 Mac 2015

Penyenaraian IPO tidak akan bantu pulih kewangan 1MDB, kata DAP

THE MALAYSIAN INSIDER

Penyenaraian Penawaran Awam Permulaan tidak akan selesai masalah kewangan 1Malaysia Development Berhad, kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua. – Gambar fail The Malaysian Insider, 16 Mac, 2015.Penyenaraian Penawaran Awam Permulaan tidak akan selesai masalah kewangan 1Malaysia Development Berhad, kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua. – Gambar fail The Malaysian Insider.   


























Penyenaraian Penawaran Awam Permulaan (IPO) yang dijadualkan pada September nanti tidak akan menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata DAP.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata mengambil kira kedudukan hutang yang tinggi dan pembayaran yang terpaksa ditanggung, tidak mungkin syarikat pelaburan dana strategik negara itu mampu menjana aliran tunai.

"Daripada kedudukan status kewangan 1MDB, mustahil syarikat subsidiari sepenuhnya Kementerian Kewangan tersebut mampu menyelesaikan masalah aliran tunai tahun ini, tanpa sekurang-kurangnya suntikan RM5 bilion oleh kerajaan ke dalam syarikat tersebut, walaupun dengan penawaran awam yang dijadualkan dibuat oleh kumpulan janakuasa 1MDB sebelum September tahun ini," kata setiausaha publisiti DAP Itu.

Pua berkata, walaupun suntikan dibuat ke atas 1MDB, langkah itu bersifat sementara kerana dengan penjualan aset menerusi IPO akan menyebabkan mereka tidak mempunyai pendapatan untuk dijana.
"Jumlah besar suntikan tersebut akan hanya bersifat sementara kerana pada 2016, selepas menjual setengah 80% daripada satu-satunya bahagian yang menguntungkan dalam bentuk IPO, 1MDB tidak akan mempunyai aset untuk dijana bagi membayar semula hutangnya yang besar," katanya.

Malah, Pua berkata langkah menyenaraikan IPO tersebut juga tidak akan mampu untuk menampung hutang 1MDB yang besar kerana jumlah pinjaman yang dibuat mencecah RM20.9 bilion.

"Oleh itu, walaupun memperoleh RM12 bilion nilai daripada salah satu janakuasa 1MDB dengan pengenalan IPO, penjualan 80% pegangannya hanya akan dapat mengumpul RM9.6 bilion, iaitu separuh daripada nilai pinjaman yang diambil.

"IPO tidak akan mencukupi untuk menjelaskan hutang yang diambilnya untuk mengambil alih subsidiari tenaganya, tambahan untuk menyelesaikan baki hutang RM42 bilion pinjaman,” katanya.

Pua juga menggesa Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah menjelaskan bukti di mana 1MDB dikatakan memiliki "pelaburan jangka masa panjang" sedangkan tidak mampu menjana "untung sebenar" pada masa depan untuk membayar hutangnya.

"Apakah 'pelaburan jangka masa panjang' 1MDB? Selepas cadangan pelupusan 80% bahagian tenaga 1MDB, apa yang tinggal dalam syarikat hanya RM7.08 bilion aset hartanah. Jika tiada aset pelaburan ditinggalkan dalam 1MDB, bagaimana mahu menghasilkan 'keuntungan sebenar' pada masa akan datang untuk membayar hutangnya," katanya.

Pua juga mahu Husni menjelaskan mengapa 1MDB terpaksa menanggung hutang RM42 bilion.

"Jika tidak ada 'masalah pengurusan atau penyelewengan', mengapa hutang 1MDB boleh mencecah sebanyak RM42 bilion pada Mac 2014, ia jauh mendahului 2 aset utamanya - RM10.9 bilion untuk tenaga dan RM7.08 bilion dalam hartanah?

“Itu pun dengan andaian penilaian bagi aset ini tidak terlalu melambung. Di mana wang hutangnya disalurkan," kata Pua.

Tiada ulasan: