PDRM
 
 
 
KUALA LUMPUR - Polis bersedia mengawal keadaan bagi menghadapi himpunan #KitaLawan melibat lima lokasi sekitar ibu negara,esok.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Law Hong Soon berkata, pihaknya memberi amaran kepada peserta demonstrasi supaya mematuhi undang-undang.

Difahamkan lima lokasi terbabit yang menjadi tempat berhimpun peserta #KitaLawan berkumpul adalah di Masjid Jamek, Dataran Merdeka, Pejabat Agung Pas di Jalan Raja Laut, pusat membeli-belah Sogo dan  Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

“Kita akan memantau dan bersiap sedia untuk mengambil tindakan terhadap peserta yang melanggar undang-undang,” katanya

Hong Soon turut mengingatkan peserta yang menyertai himpunan itu jangan melakukan perkara yang boleh mengganggu  ketenteraman awam.

“Jangan melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan kekacauan dan kekecohan ketika himpunan itu. Orang awam mahu pergi kerja dan menjalankan perniagaan, jangan kacau mereka,” katanya

Menurutnya, pihaknya mempunyai sejumlah anggota yang akan memantau sepanjang tempoh perhimpunan itu berlangsung.

“Penganjur tidak memberi sebarang notis pemakluman penganjuran himpunan itu sehingga kini, namun kita mempunyai jumlah anggota yang mencukupi untuk memantau dan menjaga keselamatan orang awam pada perhimpunan itu,” katanya.

Seketariat #KitaLawan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini menjelaskan tujuan perhimpunan dibuat adalah untuk mendesak Perdana Menteri  Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan dan membebaskan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahin yang dijatuhi hukuman penjara.

Perhimpunan itu  dipercayai turut mahu ‘meraikan’ majlis resepsi perkahwinan anak perempuan Perdana Menteri, Nooryana Najwa yang akan berlangsung di  Pusat Konvesyen Kuala Lumpur,esok.