Isnin, 22 Disember 2014

Tubuh suruhanjaya tangkap pihak bertanggungjawab sebabkan MAS rugi

ANTARAPOS.COM


Post Pic

 
 
SHAH ALAM: Pertikaian mengenai pelan pemulihan Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) semakin hangat, dan terbaharu menyaksikan bekas pengarah urusan syarikat penerbangan itu mencadangkan agar kerajaan menubuhkan satu suruhanjaya khusus bagi menyiasat punca kerugian syarikat berkenaan yang kini berjumlah hampir RM12 billion. 
 
Memetik laporan Sinar Harian, Pengasas MAS, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, MAS mempunyai terlalu banyak masalah, dan cadangan penubuhan suruhanjaya itu patut dipertimbangkan agar pihak yang bertanggungjawab menyebabkan kerugian besar tidak akan terlepas begitu saja.
 
"MAS sejak 20 tahun lepas telah rugi banyak dan sekarang ini ada liabiliti lebih kurang RM12 bilion dan kerugian tiap-tiap hari RM7 juta.
 
"Banyak harta terutama bangunan termasuk ibu pejabat di Kuala Lumpur telah dijual dan merata pejabat (MAS) di dunia telah dijual.
 
"Kerajaan melalui duit pembayar cukai telah rugi berbilion ringgit. Ramai rakyat rugi berbilion ringgit sebab saham yang dibeli mula-mula pada 1985 bernilai RM11.50, sekarang terpaksa jual 27 sen.
 
"Kini, kakitangan pula akan dipecat seramai 6,000. Oleh sebab ini semua, adalah perlu bagi kerajaan menubuhkan suruhanjaya menyiasat punca semua ini berlaku dan siapa yang bertanggungjawab," katanya.
 
Tambah beliau, melalui pemerhatiannya, MAS kini berhadapan dengan tiga masalah besar sehingga menyebabkan ia mencatatkan kerugian dalam jumlah yang sungguh besar.
 
"Yang pertama, kena tahu perniagaan (penerbangan) ini, laluan yang dibuat itu, kena tahu. Kena tahu pasaran, apa pasaran kita masuk dan cara macam mana kita nak masuk. Kedua, kita kena tahu dari segi teknikal, jenis kapal terbang, kos penyelenggaraan.
 
"Orang pengurusan kena tahu ini semua, kalau tidak dia tak boleh cari jalan. Ketiga, kena ada integriti, mesti tidak ada penyelewengan di seluruh atas bawah syarikat itu. Kalau tak ada ini semua, tak boleh nak jalan. Jalan pun mesti rugi punya. Saya rasa MAS ada masalah ini semua," ujarnya. 
 
Beliau yang merupakan individu penting yang dipertanggungjawabkan membuka MAS pada 1972, kini adalah Pengerusi Jentayu Danaraksa Sdn Bhd, iaitu syarikat yang mengejutkan banyak pihak apabila mengumumkan ia sedia mengambil alih beberapa aset MAS untuk membantu menyelamatkan syarikat itu.
 
Pengambil-alihan itu merangkumi aset-aset tertentu MAS seperti perniagaan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) dan syarikat penerbangan komuniti, Firefly.
 
"Syarikat ini ditubuhkan untuk ambil alih (aset MAS), buat sementara waktu ini. Tujuan kita nak ambil bahagian dalam perniagaan penerbangan. Jadi ini (penstrukturan semula MAS) satu peluang bagi kita untuk buat cadangan untuk memulihkan MAS. Saya sendiri terlibat dalam MAS sudah lama," ujar ahli korporat berkenaan.
 
Penubuhan syarikat baru itu selain mahu menyelamatkan MAS, juga dilihat sebagai alternatif kerana pelan pemulihan yang diumumkan Khazanah tidak cukup meyakinkan dan memuaskan.
 
"Ada perkara dalam pelan (12-poin) Khazanah yang saya musykil. Saya tanya mereka pun, jawapan yang saya dapat tidak memuaskan. Yang pertama, saya tak puas hati kerana (mereka) nak buang kakitangan seramai 6,000 orang.
 
"Macam mana dia (Khazanah) dapat angka MAS terlebih 6,000 orang sekarang ini?
 
"Yang kedua, katanya, MAS masih nak pekerja, keluar iklan minta pekerja baru. Macam mana begini kalau dia (kata) lebih (pekerja)?," soal beliau.
 
Malah Aziz juga sangat tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan mengambil Christoph  R Mueller sebagai CEO MAS kerana mendakwa tokoh berkenaan adalah orang asing yang tidak mungkin mampu memahami polisi syarikat penerbangan kebangsaan. 
 
Justeru, kata Aziz, Jentayu Danaraksa Sdn Bhd diyakini mampu mengembalikan semula prestasi MAS seperti dahulu kerana mempunyai individu yang berkepakaran dalam pelbagai bidang iaitu kewangan, penerbangan dan kejuruteraan.
 
Syarikat berkenaan turut mengumumkan beberapa pelan cadangan pemulihan: 
 
-Membeli syarikat Penerbangan Malaysia Bhd bersama-sama empat pesawat yang dimiliknya dan membeli 82 pesawat milik MAS untuk disewakan semula kepada MAS pada harga berpatutan,
 
-menubuhkan syarikat penerbangan baharu dengan mengambil laluan yang tidak digunakan MAS,
 
-menyerap seramai mungkin daripada 6,000 kakitangan MAS yang akan hilang pekerjaan di bawah pelan pemulihan Khazanah apabila MAS baharu ditubuhkan.

Tiada ulasan: