Khamis, 18 Disember 2014

Kenderaan elektrik akan dipopularkan di KL

 
Kenderaan elektrik boleh menggantikan penggunaan kenderaan awam lain
Datuk Seri Ahmad Phesal Talib


KUALA LUMPUR: Penggunaan kenderaan elektrik di Ibu Kota dapat mengelakkan orang ramai yang berkunjung ke sini daripada menggunakan kenderaan sendiri.

Datuk Bandar Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata kenderaan elektrik juga boleh dipopularkan dan menggantikan penggunaan kenderaan awam lain seperti LRT dan KTM.

“Dengan adanya kenderaan elektrik ini mereka boleh menyewa dengan menempah secara online dan telefon. Kenderaan ini juga sesuai untuk dibawa ke majlis dan mesyuarat,” katanya pada satu sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian antara KL Electricity Mobility dan DBKL, di sini hari ini.

Hari ini KL Electricity Mobility Sdn Bhd mengumumkan inisiatif terbarunya menerusi pelaburan sebanyak RM1.5 bilion untuk membuka sebanyak 3,000 stesen kenderaan elektrik mesra alam menerusi perkhidmatan perkongsian kereta yang dikenali sebagai KL Electric A-gogo.

Projek itu merupakan satu perkhidmatan perkongsian kereta meliputi kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur. Sebanyak 3,000 stesen akan dibuka dalam tempoh dua tahun bermula Januari 2015.

Ahmad Phesal berkata perjanjian tersebut membuktikan komitmen mendalam terhadap peralihan Malaysia ke arah negara karbon sifar menjelang tahun 2030.

Tambahnya, KL Electric Mobility kini sedang berkerjasama dengan sektor pengangkutan untuk menukar penggunaan bahan api sedia ada kepada penggunaan bahan api kelima dan menggunakan kenderaan elektrik sebagai sebahagian daripada strategi untuk menyediakan sumber tenaga yang murah, bersih dan dipercayai.

“Kita respon secara positif kerana kita berpandangan penggunaan teknologi hijau dan sumber elektrik ini telah digunakan oleh negara Eropah dan mereka telah maju ke hadapan.

“Mereka ambil perhatian dengan kereta ini sebagai antara transport baru. Kita mahu jadi pencetus insentif baru lagi,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Masers Energy Malaysia Sdn Bhd, Datuk Seri Suhaimi Abdul Rahman berkata beliau merancang untuk membawa model kereta daripada negara Perancis sebagai model pertama untuk digunakan di KL.

Beliau berkata kereta jenis ‘Autobil’ akan dibawa dan dijangka sebanyak 150 kenderaan tersebut akan dibawa sebagai permulaan.

Tiada ulasan: