Khamis, 18 Disember 2014

Kemelut CWC: MIC Jumpa ROS Minggu Depan

G.Palanivel. - foto KAMARUL ARIFFIN/The Star
 
 
KUALA LUMPUR: Kepimpinan tertinggi MIC akan mengadakan perjumpaan bersama Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada minggu hadapan bagi mendapatkan penjelasan secara terperinci mengenai arahan pemilihan semula Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti itu.

Malah, Presidennya, Datuk Seri G. Palanivel berkata, beliau akan bersama timbalannya, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam semasa pertemuan itu nanti.

Menurutnya, pertemuan tersebut penting supaya isu tersebut dapat diselesaikan secepat mungkin bagi mengelakkan pendaftaran parti itu dibatalkan.

"Kita akan berbincang secara mendalam mengenai masalah ini. Namun perkara yang paling penting adalah parti terus melangkah ke hadapan. Kami tidak mahu parti ini dibatalkan pendaftarannya," kata Palanivel.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja MIC yang diadakan di ibu pejabat MIC di sini, petang Khamis.

Palanivel yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata, isu tersebut akan diselesaikan dalam tempoh 90 hari bermula dari surat yang dikeluarkan oleh ROS pada 5 Disember lalu.

Malah, katanya, hasil perbincangan tersebut nanti akan dimaklumkan kepada satu jawatankuasa khas yang akan ditubuhkan dalam masa terdekat bagi menyelesaikan kemelut tersebut.

"Satu jawatankuasa khas juga akan ditubuhkan minggu depan untuk meneliti isu yang dibangkitkan oleh ROS," katanya.

Jawatankuasa khas tersebut akan diketuai oleh Palanivel selain membabitkan kumpulan yang menuntut pemilihan baharu diadakan dan ahli CWC yang dilantik pada tahun lalu.

Pada 5 Disember lalu, ROS mengambil keputusan untuk mengarahkan MIC supaya mengadakan semula pemilihan parti berikutan dakwaan wujud salah laku dan penyalahgunaan kuasa semasa pemilihan CWC parti itu pada November tahun lalu.

Surat daripada ROS yang diterima Setiausaha Agung, A.Prakash Rao itu menuntut parti tersebut mengadakan semula pemilihan bagi jawatan naib presiden dan ahli CWC dalam tempoh 90 hari daripada tarikh surat itu berkuatkuasa.

Sementara itu, beliau turut menyifatkan mesyuarat yang diadakan pada Khamis itu sebagai sah disisi undang-undang.

"Ia bukan mesyuarat CWC... ia adalah mesyuarat jawatankuasa kerja," katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai desakan segelintir ahli parti supaya beliau meletak jawatan, Palanivel berkata, perbuatan tersebut sengaja dicetuskan.

"Ia sengaja dicetuskan dan tidak beri kesan kepada saya," katanya.

Tiada ulasan: