Ahad, 21 Disember 2014

Kelantan tenggelam: Jangan panik tiada empangan di Sukhirin

SITI SALWA SHAARI


KUALA LUMPUR: Spekulasi yang tersebar di medium sosial, WhatsApp bahawa Kelantan akan ditenggelami air berikutan pelepasan air empangan di daerah Sukhirin, wilayah Narathiwat, Thailand adalah tidak benar.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab mengesahkan bahawa semakan yang dilakukan dengan Jabatan Pengairan Diraja Thailand, mendapati empangan itu tidak wujud.

"Penduduk diingatkan untuk tidak mudah mempercayai khabar angin dan berasa panik," katanya ketika dihubungi Bernama pada Ahad, bagi mengulas mengenai spekulasi tersebut.

Mohamed Thajudeen berkata pihak Thailand juga mengesahkan bahawa empangan terdekat dengan Malaysia terletak di daerah Munok di bahagian selatan Thailand, namun empangan itu ditutup pada masa ini.

Beliau berkata jika air empangan itu dilepaskan, ia akan menyebabkan banjir di daerah Tak Bai, Narathiwat terlebih dahulu.

"MKN juga mempunyai persefahaman dengan pihak Thailand. Jika mereka perlu melepaskan air di empangan itu, mereka akan memaklumkan kepada MKN supaya kita tidak 'terkejut' dengan kedatangan air secara tiba-tiba.

"Jika dimaklumkan, MKN akan segera mengenal pasti laluan air dan memindahkan mereka yang tinggal di kawasan itu untuk mengurangkan risiko," katanya.

Mohamed Thajudeen berkata banjir di Kelantan pada masa ini tiada kaitan dengan pelepasan air di negara jiran, sebaliknya disebabkan hujan lebat yang berterusan dengan sukatan 400 mililiter sehari.
Banjir gelombang kedua di Kelantan yang bermula sejak Selasa lepas telah mengorbankan empat nyawa. - Bernama

Tiada ulasan: