Roketkini.com
KUALA LUMPUR: DAP hari ini menyelar tuduhan jahat
dan tidak masuk akal bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang
mendakwa masyarakat Melayu sudah hilang dominasi dan menjadi pengemis
kepada kaum Cina.
Menurutnya, hujah Dr Mahathir hanyalah muslihat politik kerana kuasa Melayu dalam setiap aspek masyarakat Malaysia sebenarnya berada di kemuncaknya pada masa ini, termasuk menguasai setiap jawatan penting kerajaan, daripada Perdana Menteri kepada 12 daripada 13 menteri besar negeri, semuanya dipegang oleh orang Melayu.
Katanya, orang Melayu juga menguasai institusi-institusi
negara seperti badan kehakiman, pasukan polis, perkhidmatan awam dan
tentera.
“Dari segi ekonomi, meskipun pemilikan ekuiti Melayu pada
tahun-tahun awal Dasar Ekonomi Baru mungkin dalam digit tunggal,
pemilikan ini telah berkembang dengan pesat sejak beberapa dekad yang
lalu,” katanya dalam satu kenyataan untuk menjawab muslihat politik
perkauman Dr Mahathir.
Dr Mahathir telah dilaporkan media sebagai berkata bahawa
parti-parti dominasi Melayu seperti UMNO, PKR dan PAS terpaksa meminta
sokongan dari DAP untuk memenangi PRU yang disifatkannya sebagai Melayu
menjadi pengemis.
“Ini bermakna bahawa sebahagian besar ekonomi negara kita dikuasai oleh GLC yang secara umumnya dikuasai oleh orang Melayu,” tambah beliau.
Apa yang sebenarnya berlaku, kata Zairil, ialah Dr Mahathir cuba menjadi wira untuk menyelamatkan UMNO kerana beliau sedar UMNO sedang menghadapi risiko kehilangan kuasa kerana semakin ditolak oleh rakyat, termasuk orang Melayu sendiri.
Ini bererti bukanlah orang Melayu yang bakal hilang kuasa, sebaliknya UMNO itu sendiri yang semakin tidak relevan, khususnya selepas prestasi buruk dalam pilihanraya umum tahun lalu, kata beliau yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan.
Zairil turut mempersoalkan hujah kononnya Melayu boleh hilang kuasa atau menjadi pengemis sedangkan kedudukan istimewa Melayu terjamin dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Sebarang Pindaan Perlembagaan melibatkan kedudukan Melayu memerlukan majoriti dua pertiga di Parlimen dan kelulusan Raja-raja Melayu. Jaminan ini bermakna tidak akan ada sebarang ancaman terhadap orang Melayu di negara ini.
“Berikutan prestasi sangat mengecewakan pada PRU lalu, UMNO sebenarnya yang telah pun melutut dan menjadi ‘pak turut’ kepada sayap kanan perkauman seperti Perkasa dan ISMA. Bukti paling jelas adalah tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang membut pusingan-U terhadap janjinya untuk memansuhkan Akta Hasutan,” katanya.
Selain menjadi ‘pengemis’ kepada Perkasa dan ISMA, Zairil berkata, ketakutan UMNO juga semakin membuak akibat ketidakmampuan mereka merencana agenda ekonomi yang jelas akibat masalah nilai ringgit kepada rakyat.
“Harga komoditi semakin merosot dengan prospek inflasi, penggunaan domestik juga bakal mengecut akibat pelaksanaan GST.
“Jadi, adalah tidak menghairankan bahawa UMNO dan Mahathir terpaksa menjaja ketakutan serta memilih cara terdesak untuk memulihkan sokongan yang teruk,” ujarnya. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan