Ahad, 14 Disember 2014

Bernama TV mungkin gulung tikar

MALAYSIAKINI


 


Gagal mendapat gaji penuh sejak Oktober, kakitangan Bernama TV (BTV) kita terkejut apabila dimaklumkan bahawa syarikat itu mungkin terpaksa gulung tikar ekoran kerugian berterusan.

Seorang pekerja BTV memberitahu Malaysiakini, Pengurus Besar Bernama Zulkefli Salleh memaklumkan perkara itu dalam sebuah pertemuan pada Jumaat.

Dalam mesyuarat itu, Zulkefli bagaimanapun didakwa berkata, penutupan BTV hanya akan menjadi langkah terakhir dan notis cukup akan diberikan jika berlaku.

Bagaimanapun, tidak semua kakitangannya bersedia dengan langkah itu.

“Kalau Bernama TV tutup maksudnya Bernama tak buat kerja. Bernama kenalah kerja keras untuk jaga kami ,” katanya.

Kakitangan BTV minggu lalu enggan hadir bekerja selepas tidak mendapat bayaran gaji penuh.

Diminta mengesahkan perkara itu, Zulkefli berkata beliau hanya mengajukan soalan untuk memotivasi mereka bekerja lebih keras bagi mendapat lebih banyak penonton, sekali gus menjadi keuntungan.

Beliau menegaskan bahawa BTV terus beroperasi kerana bantuan pemegang saham minoriti Bernama.

Bernama mempunyai 33 peratus pegangan dalam BTV, syarikat sendirian berhad milik Bernama TV Synergy Bhd.

Berdasarkan rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang dikemaskini pada 2012, sebanyak 67 peratus saham lagi dimiliki oleh tiga syarikat persendirian, termasuk Silver Ridge (Multimedia) Sdn Bhd, anak syarikat Silver Ridge Sdn Bhd.

Silver Ridge dipengerusikan oleh senator Umno Suhaimi Abdullah, dan menurut rekod SSM, beliau turut mempunyai pemilikan dalam BTV.

Ketika dihubungi, Suhaimi yang juga bekas ketua pegawai eksekutif memberitahu Malaysiakini bahawa beliau tidak lagi terlibat dalam syarikat itu sejak bertahun-tahun lamanya.

Katanya, semasa Rais Yatim menjadi menteri penerangan, saham itu telah ditarik balik.

Suhaimi juga berkata, saham Silver Ridge dalam BTV pula telah dilupuskan dan ia boleh disemak melalui rekod Burma Malaysia.

Tiada ulasan: