Jumaat, 25 Julai 2014

Pulang ke kampung berhari raya, sampaikan mesej Negara-Ku

NEGARAKU

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia digalakkan untuk menyebarkan mesej keamanan oleh NGO Negara-Ku apabila pulang ke kampung halaman masing-masing sempena sambutan Hari Raya Aidil Fitri.

Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Negara-Ku Zaid Kamaruddin berkata, beliau yakin majoriti rakyat Malaysia berkongsi keinginan dan cita-cita bersama Negara-Ku dan menjemput orang ramai turut serta dalam kegiatan gerakan itu.

“Kami yakin majoriti rakyat menyokong idea Negara-Ku. Mereka selama ini hanya membisu sehinggakan ruang awam dikuasai oleh suara segolongan kecil yang mengajak kepada perpecahan.

“Kita semua perlu memainkan peranan untuk mengambil kembali ruang awam ini. Maka amat penting untuk mesej dan usaha Negara-Ku ini disebarkan,” kata Zaid pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH) hari ini.

Piagam Negara-ku antara lain bertujuan menggerakkan rakyat untuk menolak sebarang bentuk ketaksuban dan diskriminasi serta membentuk masyarakat inklusif dengan kembali kepada asas pembentukan negara iaitu Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia dan Rukunegara.

Gabungan yang dianggotai 68 NGO ketika penubuhannya 10 Julai lalu kini telah disertai 85 NGO.

Justeru peningkatan sokongan yang diterima, Negara-Ku turut menyediakan borang atas talian untuk diisi sesiapa yang berminat menyertai gerakan, selain memudahkan Sekratariat Negara-Ku menghubungi mereka melalui pautan ini (http://bit.ly/1nThNkx)

“Anda boleh mencetak piagam serta menyalin video dari laman Facebook kami dan sebarkan kepada saudara-mara dan rakan.

“Marilah kita sama-sama memberikan pemahaman kepada orang ramai tentang apakah gerakan Negara-ku ini,” kata Setiausaha Agung Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) itu lagi.

Negara-Ku kembang sayap ke Sabah dan Sarawak

Dalam pada itu, Zaid berkata, Negara-Ku bakal mengembangkan sayapnya ke Sabah dan Sarawak melalui beberapa penganjuran program sejurus selepas sambutan Hari Raya Aidil Fitri.

“Harapan kita adalah untuk meningkatkan kesedaran di kalangan saudara kita di Sabah dan Sarawak tentang apa yang telah dijanjikan kepada mereka dalam Perjanjian Malaysia. Kita berusaha membawa keadilan yang sangat mereka perlukan, yang sangat kita inginkan. – Roketkini.com

Tiada ulasan: