Sabtu, 19 Julai 2014

PM: Putin jamin bantu penyiasat ke tempat nahas

MALAYSIAKINI


Presiden Rusia Vladimir Putin memberi jaminan untuk menggunakan pengaruhnya bagi membolehkan pasukan penyiasat memasuki kawasan pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 terhempas, bagi memulakan siasatan berhubung tragedi itu.
  
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata dalam perbualan telefon dengan Putin selepas berbuka puasa tadi, Presiden Rusia itu menyatakan Moscow memahami keperluan untuk menyelesaikan persoalan mengenai insiden berkenaan.
  
"Presiden Putin berkata beliau juga berharap Presiden Ukraine (Petro Poroshenko) bersetuju untuk gencatan senjata sementara untuk membolehkan pasukan siasatan ini memasuki kawasan pesawat terhempas.
  
"Dari segi pandangan Putin, beliau berkata pihak yang menguasai kawasan itu tentu hendak siasatan yang objektif dilakukan dan Putin turut berkata Rusia tiada kemampuan untuk menembak jatuh pesawat itu," kata Najib kepada pemberita selepas menerima panggilan daripada Putin malam tadi.
  
Terdahulu, Najib menghadiri majlis berbuka puasa bersama media anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia di perkarangan Masjid Al-Muhammadi di
Angkasapuri.

Perdana menteri berkata kumpulan yang menguasai kawasan MH17 terhempas dan kerajaan Ukrain mesti bersetuju melakukan gencatan senjata sementara bagi membolehkan pasukan penyiasat memasuki kawasan insiden secepat mungkin.
  
"Komitmen untuk gencatan senjata ada oleh kedua-dua pihak, tetapi ia perlu diterjemahkan dalam bentuk persetujuan...saya telah memberitahu Presiden Putin bahawa pasukan penyiasat kita telahpun berlepas ke Kiev dan bila sampai nanti, saya mahu mereka terus dibenarkan masuk ke kawasan itu," katanya.
  
Dalam perbualan telefon itu, Najib turut menegaskan kepada Putin mengenai perlunya pasukan penyiasat diberi kebenaran memasuki kawasan tragedi secepat mungkin untuk memulakan siasatan.
  
Menurutnya pasukan siasatan itu, yang Malaysia perlu menjadi sebahagian daripadanya, harus diberikan jaminan dalam soal keselamatan semasa menjalankan tugas.
  
"Saya juga menegaskan (kepada Putin) betapa kawasan itu tidak boleh diganggu dan tidak diusik apa jua yang boleh disifatkan sebagai asas dalam sisastan nanti," katanya.
  
Ketika diitanya pihak mana yang bertanggungjawab terhadap insiden itu, Najib berkata Malaysia menjadi mangsa kepada pertembungan geopolitik yang sengit di kawasan itu.
  
Semasa mengulas mengenai penglibatan beberapa kuasa besar dunia terhadap insiden ini, beliau berkata perkara itu amat kompleks memandangkan semua mempunyai pandangan tersendiri dan bertentangan.
  
Najib juga berkata beliau belum ada rancangan untuk ke Kiev namun akan sentiasa berhubung dengan pemimpin-pemimpin tertentu.
  
Menurutnya pada hari ini sahaja, beliau menerima panggilan daripada beberapa pemimpin negara lain termasuk Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono, Perdana Menteri Australia Tony Abbot, Perdana Menteri New Zealand John Key, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon dan Perdana Menteri United Kingdom David Cameron.
  
Berhubung laporan pesawat MH17 ditembak jatuh dan pihak mana yang harus dipertangungjawabkan, Perdana Menteri berkata ia perlu disiasat sepenuhnya berdasarkan fakta dan bukti yang kukuh.
  
Najib berkata jika pesawat itu ditembak jatuh, siasatan forensik pasti dapat menentukannya kerana banyak bukti yang boleh ditemui daripada pesawat itu.
  
Pesawat MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal  dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia terhempas di Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada Khamis.
  
Pesawat Boeing 777 itu berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengah hari (waktu Netherlands) pada Khamis dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 6.10 pagi (waktu Malaysia) Jumaat.
  
Daripada 298 penumpang MH17, seramai 44 orang adalah warganegara Malaysia.- Bernama

Tiada ulasan: