Cadangan dan hasrat menggila sesetengah pihak untuk melihat terlaksananya hukum hudud di negara ini adalah tidak waras atau pun berpijak di bumi nyata serta melihat kepada realiti masyarakat negara ini. Mereka yang mahukan hukum hudud dilaksanakan tanpa mengambil kira kesan sampingan, sebaliknya hanya mengharapkan keredhaan Allah semata-mata adalah mereka yang kuat berilusi dan tidak memahami hakikat dan rahmat disebalik undang-undang itu diperintahkan.
Kita tahu akan kecetakan pemahaman mengenai hudud dan ada mereka yang telah meletakkan keutamaan itu pada tempat bukan utamanya. Lebih parah lagi ada yang menjadikan hukum hudud sebagai ulam percakapan dan politik.
Justeru apa saja ulasan dan pandangan mengenai hukum hudud dialu-alukan untuk memberi natijah baik ke atas pelaksanaanya.
Bagaimana pun cadangan yang dibuat oleh Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) NKS Tharmaseelan agar kerajaan Kelantan yang tergila-gila hendak laksanakan hudud itu menggunakan khidmat pemotong daging sebagai melaksanakan hudud satu kenyataan yang keji dan sungguh biadab.
Kenyataan NKS Tharmaseelan itu juga menghina kerajaan Kelantan dan seluruh umat Islam yang yakin dan percaya dengan hukum hudud. Kalau pun beliau tidak membenarkan doktor pakar diambil sebagai pelaksana hukum hudud (potong tangan) kerana bertentangan dengan etika perubatan, tetapi jangan sampai memberi cadangan sejelek itu.
Rasanya umum faham kenapa doktor pakar bedah tidak dapat melaksanakan tugas sdeperti mana disarankan oleh Pengerusi Teknikal Hukum Hudud Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah. Doktor yang berpegang kepada falsafah dan piagam perkhdimatan menyihatkan manusia tidak sesekali akan bersedia dengan kehendak Mohd Amar itu walaupun doktor itu sendiri mempercayai hudud.
Saya yakin kalau kerajaan Kelantan membuat tawaran kerja untuk mencari petugas memotong tangan dengan gaji lumayan semisalnya RM100 ribu untuk sebatang tangan pun tidak ada siapa yang memohon untuk memikul tugas itu. Kalau ada pun mukim penagih pil kuda sedia melakukannya kerana untuk memenuhi kebutuhan mereka.
Tharmaseelan sebagai seorang profesional seharusnya tidak tergamak untuk memgemukakan cadangan berkenaan kerana ia bersifat memerli dan menghina Islam dan pihak kerajaan Kelantan. Beliau cukup setakat memberi penjelasan bahawa pihaknya MMA, tidak bersetuju dengan apa dicadang oleh Mohd Amar itu selain ia menyalahi etika perkhidmatan ia juga bertentangan dengan undang-undang dan peraturan ditetapkan oleh Kementerian Kesiahatan dimana, mana-mana doktor atau jururawat bertaulisah tidak dibenarkan menjadi pelaksanakan hukum berkenaan.
Sebelum ini Mohd Amar dilaporkan berkata khidmat pakar bedah akan digunakan untuk melaksanakan tugas memotong tangan bagi pesalah mencuri di mana mengikut hukum hudud ianya perlu dipotong tangan. Cadangan Mohd Amar itu juga dilihat kurang profesional dua kali lima saja dengan Tharmaseelan. Tidak patut Mohd Amar membincang dan berfikir soal pelaksana hudud lebih jauh dari itu.
Apa yang Timbalan Menteri Besar itu perlu lakukan berusaha memberi penjelasan kepada semua orang agar benar-benar memahami hudud. Selesaikan dulu kegelisahan fikiran rakyat umum mengenai hal itu. Hudud walaupun ia perintah wajib tidak boleh dilaksanakan dalam keadaan orang tidak memahaminya. Islam itu cantik dan indah, meletakkan keutamaan dan kesejahtraan umatnya. Semua pihak perlu memahami bahawa Islam itu penyelamat.
Penyelamatan bukan sahaja dari tanggung dosa kerana tidak melaksanakan perintah Allah tetapi penyelamat kepada keadaan, dunia dan seluruh penghuni lain. Kalau Islam dilaksanakan tetapi tidak menjamin keselamatan dan kesejahtraan itu bermakna bukan Islam.
Cadangan yang dibuat oleh Mohd Amar itu untuk menggunakan khidmat pakar bedah juga menunjukkan kepincangan dari segi teknikal pelaksanaan hukum hudud itu sendiri. Ertinya kerajaan Kelantan masih belum menyediakan semua prasarana diperlukan untuk membolehkan hudud dilaksanakan. Sepatutnya lengkap dahulu semua prasarana itu baru bercakap untuk laksanakan hudud.
Lantaran kepincangan inilah maka tuduhan mengatakan kerajaan Kelantan "gelenyer" dengan hudud adalah benar. Cuba faham kenapa bertahun-tahun Kanun Jenayah Syariah II diluluskan tetapi Nik Aziz tidak obses untuk melaksananya. Mungkin Nik Aziz dapat membaca impikasi disebalik hajat hendak laksanakan hukum itu tetapi prasaranannya masih belum lengkap. Maka itu belaiu menangguhkan bertahun-tahun. Di sinilah kebijaksanaannya.
Dinasihatkan Pas Kelantan janganlah bermain dengan hukum hudud ataupun mahu menjadikan hukum hudud sebagai daya penarik sokongan rakyat. Hudud akan wujud dengan sendiri, apabila syariah Islam terlaksana dengan sepenuhnya di Kelantan. Laksanakan mana-mana syariah Islam yang boleh dilaksanakan tanpa menimbulkan implikasi undang-undang sepenuhnya. Masih banyak aspek Islam lain yang tidak terlaksana di Kelantan walapun ia tidak melibatkan pindaan undang-undang. Salah satu ialah kebersihan dan pengawalan kelestarian alam sekitar.
Bagaimana pun di sini saya minta Tharmaseelan menarik balik persendaan beliau terhadap kerajaan Kelantan dan Islam itu. Jagalah mulut anda sebagai presiden kepada sebuah persatuan profesional. Saya tidak fikir minda dan kepala anda lebih kurang sama dengan beberapa presiden atau naib presiden NGO rasis sebelum ini yang mana banyak bercakapa menggunakan tumit dan kepala lutut, bukannya otak.
Pihak kerajaan Kelantan juga wajar menulis surat langsung kepada Tharmaseelan untuk undang presiden MMA itu ke Kelantan untuk mendapat penjelasan mengenai hukum hudud yang dihasratkan itu. Dari satu sudut tingkah buruk Tharmaseelan itu ada hikmatnya kerana pihak yang tergilakan hudud dapat berintrasi dengannya dan beri penjelasan. Dan kepada kerajaan Kelantan janganlah gatal mulut dalam membuat janji dan mengumum sesuatu sedangkan kita sendiri masih lemah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan