MALAYSIAKINI
PAS akan dan bersedia mengadakan muzakarah dengan semua pihak bagi
memberi penerangan mengenai pelaksanaan hukum hudud di Kelantan, kata
Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Beliau berkata muzakarah tersebut penting supaya setiap orang dapat
memahami dengan tepat bagaimana undang-undang Islam itu akan
diaplikasikan di negeri itu.
"Kita sedia memberi penjelasan kepada semua pihak," katanya apabila
diminta mengulas kenyataan pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan
Datuk Seri Mustapa Mohamed semalam bahawa muzakarah antara PAS dan Umno
perlu diadakan berhubung hasrat kerajaan negeri Kelantan untuk
melaksanakan hukum hudud supaya pemahaman dan persetujuan bersama dapat
dicapai.
Abdul Hadi berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis
makan malam bagi mengumpul dana untuk "Wisma Ilmuan Kelantan" di Pusat
Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik) di sini, malam tadi. Turut hadir
Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan timbalannya Datuk Mohd Amar
Nik Abdullah.
Ditanya bila tarikh muzakarah itu akan diadakan, Abdul Hadi berkata:
"Itu jangan tanya pihak kami sahaja, kena tanya pihak lain juga. Tidak
jadi kalau bertepuk sebelah tangan".
Mengenai laporan bahawa sekutu PAS, PKR menolak pelaksanaan hukum hudud,
Abdul Hadi berkata: "Ia adalah hak PAS dan perlu dihormati kerana
agenda ini (hudud) telah diadakan sebelum wujudnya PKR lagi."
Sebelum ini, PKR dilaporkan bertegas menolak pelaksanaan hukum hudud
seperti mana perjanjian yang dimeterai dalam Majlis Pimpinan Pembangkang
pada tahun 2011.
PAS Kelantan melalui anggota Parlimennya akan membawa usul rang
undang-undang persendirian (hukum hudud) di Dewan Rakyat bagi
mendapatkan kebenaran melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2)
1993 selewat-lewatnya Disember ini.
Sebelum ini, Mohd Amar yang juga Pengerusi Jawatakuasa Teknikal Kanun
Jenayah Syariah (2) 1993, dilaporkan berkata pihaknya sudahpun
menyiapkan draf untuk tujuan itu dan cuma memerlukan sedikit
penambahbaikan serta pandangan daripada pakar perundangan.
Sementara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini
berkata kerajaan Persekutuan tidak pernah menolak hukum hudud sebagai
hukum yang ditetapkan Allah swt, namun banyak kekangan dan keutamaan
yang perlu diperhalusi sebelum dilaksanakan tanpa menjejaskan matlamat
hukum itu.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan