Dr Mujahid Yusof Rawa
Pepatah yang menyatakan bahawa “harimau mati meninggalkan
belang, manusia mati meninggalkan nama” ada pada Karpal Singh. Pertama,
secara majazi (perlambangan), ‘Harimau Jelutong’ itu telah
meninggalkan belang, kedua, secara hakiki, mendiang meninggalkan nama
yang besar sebagai ahli politik yang disegani kawan dan lawan.
Jarang seseorang dapat memenuhi perumpamaan ini secara
majazi dan hakiki dalam menggambarkan ketokohan seseorang individu yang
meninggalkan kita.
Singh is King
Ungkapan ini pernah dipakai oleh Karpal sesuai dengan
ugutan yang diterimanya daripada Pemuda Umno. Saya ada dalam Parlimen
semasa mendiang mempertikaikan tindakan beberapa Pemuda Umno yang cuba
menghalangnya di Parlimen.
Antara ungkapan lain yang disebut oleh Karpal dalam suasana
yang tegang dalam Parlimen semasa itu ialah, “Ini Pemuda Umno celaka!”
lalu Yang DiPertua Dewan Rakyat mencelah supaya ditarik balik
kata-katanya itu tetapi Karpal enggan.
Setelah didesak beberapa kali Karpal setuju dengan berkata,
“Saya tarik balik, tetapi ini Pemuda Umno memang celaka.” Saat itu
heboh dewan dengan ketawa daripada anggota dewan.
Karpal memang terkenal dengan perkataan berbisanya seperti
“jangan main-main…” apabila beliau ingin mendesak sesuatu tindakan
diambil segera. Dialek Indianya dalam berbahasa Melayu seringkali
mencuit hati anggota dewan tetapi isi ucapannya senantiasa mendapat
perhatian pihak BN kerana sengatannya yang berbisa kepada Ahli Parlimen
BN.
Dewan pastinya akan sunyi selepas ini tanpa SINGH IS KING.
Saya dan DAP
Saya mula mengenali DAP semasa di bangku sekolah menengah
lagi melalui poster-poster pilihan raya apabila berlangsung pilihanraya
umum. Sebagai anak Pulau Pinang yang membesar di Georgetown lambang DAP
tidak menjadi sesuatu yang menakutkan saya walaupun tanggapan saya
terhadap DAP semasa di bangku sekolah adalah stereotype sama macam budak
Melayu sezaman dengan saya.
Sebagai seorang yang membesar dalam rumah pemimpin PAS,
saya sukar menerima pandangan Umno, apatah lagi media yang menyerang PAS
setiap hari, tetapi saya juga tidak melihat DAP mempertahankan PAS pada
masa itu.
Saya boleh rumuskan bahawa semasa di bangku sekolah saya
melihat DAP dari kacamata PAS yang melihat DAP tidak banyak membantu,
malah sikap ‘anti-Melayu DAP’ begitu mencengkam dalam benak anak muda
Melayu pada zaman saya.
Namun zaman berlalu, saki-baki tanggapan kepada DAP semakin
terhakis dengan kematangan berfikir generasi hari ini dan terpulang
kepada sejauh mana DAP mampu membuktikan sebaliknya.
Saya yakin kemunculan politik baru Malaysia yang menolak sikap perkauman akan memudahkan lagi orang mengenali DAP.
Karpal dan Saya
Jujurnya, saya terlalu kerdil berbanding ketokohan Karpal
dalam dunia politik dan perundangan Malaysia. Ketika Karpal memulakan
karier politiknya pada tahun 1974 sebagai ADUN di Kedah, saya baru di
tahun 4 sekolah rendah.
Nama Karpal hanya saya kenali semasa di sekolah menengah
lewat persepsi saya terhadap DAP. Semasa Kelantan memperkenalkan
Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah, Karpal antara tokoh yang lantang
menentang.
Saya mula berminat untuk mengenali tokoh ini pada tahun
90an dan cuba memahami secara objektif mengapa beliau menentang
undang-undang hudud ini. Dari sini saya mula mengenali pemikiran
perundangan beliau yang merupakan pengikut tegar kerangka Malaysia
sebagai negara sekular.
Pertama Kali Bertemu
Pada tahun 2005, saya telah kembali ke negeri asal saya
iaitu Pulau Pinang. Pertama kali saya menemui beliau ialah kunjungan
semasa beliau di hospital setelah mengalami musibah. Walaupun saya tak
sempat berbicara dengannya kerana keadaaannya, tetapi saya sempat
mengucapkan kata-kata semangat kepada isteri beliau bagi mewakili PAS
Pusat.
Seterusnya pertemuan saya ialah di bangunan Parlimen
setelah dilantik menjadi Ahli Dewan Rakyat, kini saya bersama MP yang
lain sebaris dengan MP lama, termasuklah Karpal.
Heboh dewan pada hari pertama mengangkat sumpah apabila MP
Kinabatangan mempertikaikan bagaimana Karpal boleh mengangkat sumpah
tanpa mengangkat tangannya sedangkan wakil Kinabatangan mengetahui
bahawa Karpal mengalami masalah mengangkat tangan.
Berlaku kekecohan dan itu pertama kali kami ditunjukkan bagaimana berbalas kata boleh berlaku di Parlimen Malaysia.
Seterusnya pertemuan saya dengan beliau adalah sebagai ahli
Parlimen muda yang cuba mempelajari selok-belok berbahas dalam Parlimen
dan saya mendapati perbahasan beliau banyak berlegar di sekitar
perundangan dan kehakiman serta pendedahan beliau tentang salahlaku
kehakiman yang boleh menjejaskan kredibiliti mahkamah di Malaysia.
Ucapan Karpal
Saya juga mengikuti setiap ucapan politik beliau yang
sempat saya dengar. Antaranya ialah ketika saya di Melaka, semasa
hubungan PAS dengan DAP berasaskan kepada perjanjian Barisan Alternatif
pada hujung 90-an.
Ucapannya selamba tetapi sarat dengan kritikan pedihnya
kepada sistem perundangan negara, khusus pada kemuncak kes Anwar Ibrahim
ketika itu. Kemudian saya mendengar ucapannya yang lebih serius pada
majlis makan malam kemenangan DAP di Pulau Pinang.
Di atas kerusi roda, beliau bersemangat menceritakan
intipati perjuangan DAP dan komitmennya pada suasana demokratik dan
sekular yang menjadi asas pembentukan negara ini. Ucapannya serius,
dengan kata susun atur kalimatnya dikeluarkan satu-satu, disambut
tepukan gemuruh hadirin yang masih dalam mood kegembiraan dengan
kejayaan PR diterajui DAP menawan Pulau Pinang.
“Saya Tidak Menentang Islam”
Di sebalik tekanan tentang sikap Karpal yang dikatakan
anti-hudud dan anti-Negara Islam serta kenyataan kontroversinya “langkah
mayat saya dahulu…” Karpal beberapa kali menyatakan bahawa dia tidak
pernah menentang Islam.
Saya sendiri ada dalam Konvensyen Pakatan Rakyat 2010 di
Kepala Batas, ketika Karpal di hadapan pemimpin PAS dan PKR dan para
peserta konvensyen menyatakan bahawa beliau menghormati Islam sebagai
agama rasmi Persekutuan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan
dan beliau tidak pernah menentang Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.
Karpal juga pernah menyatakan dalam satu temuramah bahawa, “I’m not opposed to Islam at all, I’m a god fearing man.”
Sikap Karpal yang sering dituduh sebagai anti-Islam kerana
keengganan menerima Negara Islam dan hudud menjadikan beliau sebagai
sasaran utama kelompok Melayu dari kedua-dua belah pihak UMNO dan PAS
atas apa juga perbezaan politik mereka.
Persoalannya ialah, mengapakah Karpal bertindak demikian?
Logik Karpal Tentang Hudud
Karpal adalah ahli undang-undang. Hujah beliau tidak sangat
menjurus kepada ideologi menentang penghayatan keagamaan, beliau lebih
berminat kepada ideologi perundangan.
Hakikat ini ditegaskan dalam salah satu kenyataannya
apabila ditanya mengapa beliau tidak boleh menerima konsep Negara Islam
dan hudud. Beliau menjawab, “My opposition to Islamic State and hudud is to preserve and defend the Constitution…”
Memahami logik Karpal dalam hal ini ialah memahami Karpal
sebagai orang perundangan dan bukan sebagai seorang yang anti-agama.
Mendekati ketegasan beliau dalam hal ini juga ialah dengan menggunakan
logik perundangan dan bukan sentimen dan emosi agama.
Ini adalah kerana, bagi saya, anti-agama adalah terdorong
atas kebencian dan permusuhan kepada apa sahaja makna keagamaan,
termasuk menolak Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.
Kalau begitulah logiknya maka kewujudan Akta Mahkamah
Syariah 1965 yang menghalang perlaksanaan hudud di peringkat negeri
bolehkah dikatakan sebagai anti-agama Islam?
Adakah Kerajaan Persekutuan di bawah BN yang memerintah
dengan PM-nya sebagai seorang Islam sekarang juga anti agama kerana
membiarkan sekatan ini berlarutan?
Bagaimana pula seorang Islam yang menolak Negara Islam dan
hudud atas alasan ekonomi akan mundur dan pelabur asing akan lari malah
ada yang menyatakan ianya tidak relevan lagi dalam dunia hari ini?
Saya bukan mempertahankan Karpal dan sikapnya. Saya cuma
mahu memberi keadilan kepada isu Negara Islam dan hudud yang tidak
pernah diberi gambarannya yang jelas kerana terlalu ramai yang ada
kepentingan dalam hal ini sehingga ia lebih selesa ditanggap sebagai isu
politik daripada isu substantif.
Logik Balas
Logik perundangan juga menuntut kita untuk menjawab
persoalan apakah Malaysia sebuah negara sekular atau setengah sekular,
sedangkan Islam mendapat tempat yang teratas walaupun agama lain bebas
diamalkan dengan sekatan tidak boleh disebarkan.
Bagaimana pula halnya senarai negeri-negeri yang antara lainnya memperuntukkan enakmen undang-undang Islam boleh digubal?
Apakah tidak undang-undang Jenayah Syariah II di Kelantan
dibuat secara perundangan? Jikalau ia dianggap ultra vires dengan Akta
Mahkamah 1965, siapakah yang bertanggungjawab untuk menyemak semula
peruntukan?
PAS pernah membawa bil persendirian di Parlimen melalui
Presidennya Datuk Seri Hj Hadi Awang untuk isu murtad tetapi tidak
pernah diterima untuk dibahaskan.
Logik perundangan inilah yang harus dijadikan landasan
meyakinkan para penggubal undang-undang bahawa akhirnya isu sensitif
seperti ini perlu mendapat mandat dan proses politiknya perlu mendapat
kefahaman rakyat secara substantif.
Sensitiviti isu-isu agama jika hendak diperundangkan –
termasuklah hudud – pasti akan mendapat pelbagai reaksi aliran pemikiran
politik, namun Rashid Al Ghanushi pernah memberikan kerangka bagaimana
isu ini perlu digarap dengan berkata,
“No one has the right to claim he represent the
religion, neither An Nahda nor anyone else. Society through its dynamic
is the one to formulate and translate religion into policies, laws and
culture….the dynamic continues until there is consensus about the
opinion of religion on the issue…”
(Tidak ada sesiapa yang berhak mendakwa bahawa dialah yang
mewakili agama, termasuk parti An Nahda atau sesiapa yang lain.
Masyarakat melalui dinamikanya yang akan membentuk dan menterjemahkan
agama kepada dasar, undang-undang dan budaya…dinamika ini berlangsungan
sehinggalah adanya satu konsensus tentang sikap agama berkenaan isu
tersebut).
Saya amat bersetuju dengan kerangka pemikiran demokratik
yang digarap oleh pemimpin An Nahdah tersebut kerana dengan kerangka ini
jugalah kita harus berhujah dengan logik Karpal yang saya tahu diyakini
ramai oleh rakan-rakan dalam DAP apabila isu hudud menjadi perbualan
hangat sekali lagi mutakhir ini.
Karpal dan PAS
Pemimpin PAS yang sering dikaitkan bertembung dengan Karpal
ialah Dato’ Setia Bentara Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, mantan
Menteri Besar Kelantan.
Pertembungan mereka ialah kerana konsistennya Mursyidul Am
PAS itu mahu menjalankan enakmen Jenayah Syariah yang telah mendapat
mandat persetujuannya oleh Sultan Kelantan tetapi terhalang kerana Akta
Mahkamah Syariah (1965).
Begitulah juga konsistennya Karpal menentang hasrat ini atas hujah yang dinyatakan di atas tadi.
Kedua-duanya bertemu mesra walaupun mereka mempunyai dua
pandangan yang bertentangan antara satu sama lain. Sikap keterbukaan
Tuan Guru Nik Abdul Aziz lambang komitmen PAS kepada menghormati hak
untuk tidak bersetuju walaupun berada dalam satu kolusi politik.
Karpal pula sentiasa bertanggapan positif kepada PAS dan dari kata-katanya sendiri boleh membuktikan sikapnya bahawa,
“We may have our differences with PAS but it is a solid principled party and an important ally.”
(Kita mungkin ada beberapa perbezaan pandangan dengan PAS tetapi PAS adalah parti yang berprinsip dan rakan yang penting).
Selamat Tinggal Selamanya
Speaker Dewan Rakyat adalah orang yang akan terasa
pemergian Karpal kerana suaranya tidak akan kedengaran lagi mengetuk
mikrofon meminta ‘point of order’ dibacakan, khususnya untuk mempertikai
‘ruling’ yang dibuat oleh Tuan Speaker.
Ketajamannya menimbulkan hujah perundangan dalam akta yang
dibahaskan dan kritikannya kepada kehakiman di negara ini sentiasa
berbisa dan pedas, namun bernas.
Kami MP muda akan hilang seorang senior MP yang membuatkan kawan dan lawan ketawa dan marah ketika beliau berbahas.
Para hakim akan kehilangan peguam yang senantiasa menguji kewibawaan mereka pada tahap maksima.
Ahli DAP akan kehilangan suara semangat yang pernah
mengatakan dalam suasana kekalahan DAP di Pulau Pinang satu ketika
dahulu, “berhati-hati pada harimau yang tercedera kerana ia lebih
berbahaya…”
Masyarakat sivil yang pernah mengenali Karpal tidak akan
lupa kata-katanya bahawa, “It is important for every citizens in this
country to know that no one is above the law.” Kerana meyakini prinsip
moral perundangan ini beliau berhadapan dengan masalah daripada pihak
istana.
Soal salah atau betul beliau mempertahankannya bukan isu,
tetapi itulah caranya beliau melahirkan kasihnya pada negara yang
tercinta ini.
Sepi seketika hiruk-pikuk suara yang menghentam Harimau
Jelutong ini pada awal pagi berita kematiannya secara tragis dimaklumkan
seluruh negara.
Harimau tidak mengaum lagi tetapi belangnya meninggalkan
bekas seperti namanya. Kata-kata mendiang akan senantiasa terngiang di
telinga kawan dan lawannya,
“You knock out one Karpal Singh, hundred Karpal will rise”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan