Mohd Nor Izzat Mohd Johari  
Mohd Nor Izzat Mohd Johari
 

SEJAK tahun lalu, isu sistem pendidikan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) terus mendapat perhatian sehingga ke hari ini. Banyak perkara dibangkitkan oleh pelbagai pihak terutama berkaitan pelaksanaan sistem itu yang dilihat pincang.

Namun selepas desakan demi desakan, kementerian dilihat mula menambahbaik beberapa perkara termasuk berkaitan sistem capaian online SPPBS.

Ikuti temu bual Sinar Harian Online bersama Ketua Biro Pendidikan Gabungan NGO Islam & Melayu Malaysia (GNIMM), Mohd Nor Izzat Mohd Johari, seorang guru yang lantang dalam memperjuangkan kempen Mansuh PBS selepas ia dilihat gagal mencapai objektif sebenar.

SINAR HARIAN ONLINE: Perkembangan sistem pendidikan PBS selepas dibantah?

NOR IZZAT: Ada tiga komponen terbesar yang diubah. Pertama, sistem online. Dalam perbincangan  24 Disember 2013, seperti yang dijanjikan Datuk Seri Idris Jusoh sendiri di hadapan pegawai-pegawai di kementerian, mengatakan ingin naik taraf ‘server’.

Jadi, (ketika itu) kita kena tunggulah pada 1 April dengan ‘server’ yang baru. Beliau pernah umumkan dalam media bahawa sistem online itu akan dimigrasikan bersama sistem pengurusan sekolah. Selepas desakan kita, akhirnya mereka buat keputusan pada 18 Mac, bahawa sistem itu ditiadakan atau dalam bahasa kita, dimansuhkan.

Kedua, berkenaan pengurusan fail murid. Maknanya selepas ini, ‘evidence’ tak perlu dibuat. Jadi, kita lihat perkara itu baik, cuma, menjadi satu persoalan, adakah fail-fail sebelum ini diguna pakai?...mungkin ini persoalan yang pihak kementerian wajar menjawab sebelum ada pertikaian lain.

Kemudian yang ketiga, tentang Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3). Apa yang kita dapati, PT3 ini dalam tempoh selepas diumumkan, ada dua kali pertukaran format yang kita semua memang tak perasan tapi guru-guru perasan.

Pertama, dulu dikatakan ada pentaksiran pusat, hanya lima subjek termasuk tambahan empat subjek bahasa. Secara keseluruhannya sembilan. Tapi lepas desakan, mereka cuba mengubah bahawa semua subjek ada pentaksiran pusat. Jadi, kalau bagi saya, secara ringkas, bukan ada perubahan apa-apa. Sama macam PMR cuma ditukar nama.

SINAR HARIAN ONLINE: Baru-baru ini Menteri Pendidikan II mengumumkan tentang sesi penerangan PBS terhadap ibu bapa akan dilaksanakan secara berperingkat di seluruh negara, bulan depan. Apa pandangan anda?

NOR IZZAT:  Seperti yang saya jangka dari awal tahun lepas, memang mereka akan membuat perancangan untuk menerangkan sebab sebelum diumumkan, dalam tempoh sebelum nak ditangguh itu, mereka ada buat satu taklimat kepada pentadbir, guru dan ibu bapa. Nama taklimat itu adalah Taklimat Penataran Penambahbaikan PBS.

Saya duduk dalam dua jenis taklimat iaitu bersama pentadbir dan guru. Dua taklimat ini mereka sampaikan maklumat yang berbeza-beza. Itu saya berani jamin cakap. Dengan pentadbir kata A, dengan guru kata B.

Contohnya, dia bentang format PT3. Tapi bila saya tanya apa format? Sebab dia kata dah buat kajian menyeluruh maknanya format PT3 itu dah ada. Tapi bila saya soal di mana format tersebut, dia tak dapat bentangkan dan pentadbir mula bising.

Keesokannya taklimat dengan guru, mereka kata, semua yang dibentangkan hari ini adalah baru cadangan. Semalam kata sudah tetap tapi hari ini kata ia baru cadangan... pemberi taklimat itu teruk ditekan para pentadbir dengan pelbagai soalan.

SINAR HARIAN ONLINE: Adakah pemberi taklimat itu tidak arif mengenai permasalahan PBS?

NOR IZZAT: Berbalik kepada asasnya, PBS ini bagus. Taklimat yang diberikan itu bagus, secara teorinya. Tapi apabila pelaksanaannya tidak seperti mana yang diharapkan, dia cuba menutup kelemahan-kelemahan tersebut. Malangnya, kelemahan itu dah melarat.

Dalam proses melarat itu, cikgu-cikgu dah lama simpan dan mungkin kebetulan, saya menyuarakan perkara ini dan mereka cuba bersama serta menyalurkan maklumat. Ada yang mengatakan apa yang mereka buat selama ini sia-sia. Pemberi taklimat cuba menutup kelemahan itu dengan mudah.

Apabila telah berbincang dengan Datuk Seri Idris, barulah dapat satu perkataan yang selalu mereka gunakan iaitu, kecairan maklumat...kalau betul ada kecairan maklumat, kita sama-sama baiki. Tapi malangnya, apa yang mereka lakukan tidak (bukan), itu yang berlaku sekarang ini.

SINAR HARIAN ONLINE: Jadi, adakah PBS ini tidak boleh diaplikasi dalam negara kita?

NOR IZZAT: Mengikut keadaan semasa secara ringkasnya, PBS ini bagus tetapi belum sesuai untuk dilaksanakan di Malaysia. Itu yang sebenar-benarnya.

SINAR HARIAN ONLINE: Kekeliruan terhadap sistem PBS ini, bagaimana anda melihat cara kementerian menangani perkara itu?

NOR IZZAT: Pertama, taklimat yang disampaikan itu tidak menyeluruh. Kedua, berbeza-beza. Kalau dulu, saya akui memang ada taklimat yang diberikan oleh guru-guru di peringkat sekolah.

Itu memang tugas sebagai seorang guru. Tapi saya yakin semua sekolah di Malaysia memang tak dapat menyelami PBS itu sebenar kerana taklimat yang diberikan berbeza-beza. Format untuk setiap subjek berbeza-beza dan saban tahun bertukar-tukar.

SINAR HARIAN ONLINE: Maklumat tak sama, jadi, apa sepatutnya yang kementerian buat?

NOR IZZAT: Taklimat yang sama perlu diberikan kepada guru-guru dan pentadbir. Taklimat ini sebelum perkara itu berlaku. Sebelum kita nak buat satu program, taklimat dahulu. Walaupun nak bawa pelajar pergi lawatan.

Selepas taklimat kepada guru dan pentadbir, baru kita buat taklimat kepada ibu bapa beritahu bahawa akan ada satu sistem baru yang akan menggantikan sistem peperiksaan yang lebih baik daripada sistem sebelum ini. Sebelum taklimat bermula di sekolah, sepatutnya taklimat bermula di kementerian itu sendiri dan sepatutnya pihak atasan perlu faham PBS ini terlebih dahulu. Itu yang sepatutnya berlaku sebelum 2012.

SINAR HARIAN ONLINE: Cikgu menyebut PBS belum sampai masa untuk diaplikasikan di negara ini. Apa kekangan di negara ini?

NOR IZZAT: Pertama, infra. Keadaan kelas iaitu kuantiti guru dan murid. Itu paling pertama. Kita rujuk kembali PBS yang sekarang ini dilaksanakan di Finland. 1 : 13 atau 14 ditambah dua pembantu guru di setiap kelas. Tapi kalau kita nak tiru sepenuhnya, saya pun sebagai rakyat Malaysia saya yakin, perlahan-lahan kita membuat perubahan. Mungkin untuk asas pertama, buat penambahan pembantu guru.

Pendidikan penerima bajet kedua tertinggi di negara ini. Apa salahnya kalau gunakan belanjawan tersebut...jangan buat sistem baru. Buat penambahbaikan kepada infra sendiri. Penambahan pembantu guru itu boleh dibuat. Buat secara berperingkat. Lebih baik berperingkat ke arah itu daripada berperingkat membuat penambahbaikan PBS yang dah memang semakin lama semakin buruk.

Saya menjangkakan di Malaysia, 1: 15, pun memadai. 20 itu maksimum. Realisasikan ini dulu, baru buat penambahbaikan yang lain. Di Australia sendiri 1: 15. Kita hanya tiru sistem tapi kita tidak tiru keseluruhannya.

SINAR HARIAN ONLINE: Peperiksaan itu tidak relevan untuk menilai prestasi pelajar sekarang?

NOR IZZAT: Saya lihat ada satu isu yang...apabila pelajar cemerlang akhirnya tidak berjaya di universiti. Mungkin itu yang kementerian nampak. Jadi, mereka ambil pendekatan laksana PBS.  PBS memang baik sebab ia memberi peluang kepada guru untuk memberi tumpuan kepada murid seorang demi seorang tanpa ada yang tertinggal. Tapi tumpuan itu dalam keadaan ramai, tak sesuai.

Sebenarnya, kementerian dah buat...kalau kita perasan ketika kita sekolah dulu pun, kita ada dua perkara, kurikulum dan kokurikulum. Jadi, dah lama ada tapi sekarang digandakan saja.

SINAR HARIAN ONLINE: Bagi pelajar yang sedang berada di Tingkatan 3 tahun ini, bagaimana nasib mereka?

NOR IZZAT: Sampai saat ini, masih belum ada format lagi dikeluarkan. Apa yang diumumkan adalah PT3 ada pentaksiran pusat. Saya ada beri satu pandangan bahawa cikgu tidak pernah merancang untuk murid...kalau untuk esok, hari ini baru nak rancang. Kalau ikutkan untuk pelajar PMR atau SPM atau UPSR sekalipun, cikgu sudah merancang ketika cuti sekolah. Saya yakin 100 peratus cikgu buat begini. Tapi, sampai hari ini....

SINAR HARIAN ONLINE: Apa harapan cikgu?

NOR IZZAT: Saya difahamkan bahawa Majlis Profesor Negara (MPN) telah memberi kertas cadangan penambahbaikan tapi malangnya tidak digunakan. Kenapa? Saya lihat ada lebih daripada 15 cadangan penambahbaikan. Jadi, harapan saya kepada pihak kementerian, tolonglah jemput saya...kalau tak nak pun, panggillah guru-guru lain...tapi dalam keadaan semasa, saya rasa mereka tak terima.

Kita akan bincang dan saya beri semua cadangan-cadangan yang terbaik. Saya sudah bentangkan dengan beberapa pihak termasuk cadangan itu dengan Pengerusi  Biro Pendidikan Umno, Tan Sri Profesor Dr Ibrahim Abu Shah dan beliau bersetuju dengan cadangan-cadangan saya itu tapi mungkin perlu ada kajian lagi.