Ahad, 6 April 2014

Apakah Bernas masih bernas buat penanam padi?

Oleh SHIRZAD LIFEBOAT


BAGI sesetengah rakyat Malaysia, mungkin yang lahir setengah abad lalu, atau malah dalam waktu lebih terkini, ingatan zaman kanak-kanak tentang lukisan terawal dihasilkan mungkin sebuah bendang di mana batas-batasnya hampir merupakan segi empat sempurna dengan berlatarbelakangkan sang mentari mengintai dan memancar sinarnya di celah dua gunung atau bukit.

Mungkin juga terdapat variasi lain seperti paparan orang-orangan guna menakutkan beberapa ekor burung yang mahu memakan padi sedang menguning di samping teratak yang nun jauh di sana.

Namun pada asasnya, konsep dan elemen dalam lukisan mudah zaman kanak-kanak itu tetap serupa.
Maka sesetengah daripada kita membesar dengan mendefinisi erti estetik dan keindahan alam menerusi pemandangan sebahagian daripada sebuah sawah padi. Mengapa tidak? Bukankah pemandangan sawah padi sama ada baik ketika semaian mahupun ketika masak menguning memang indah untuk dilihat oleh sesiapa sahaja.

Justeru, tidak hairan hari ini pelukis seperti seorang bernama Khalid Abdullah dari Jitra, Kedah menjual lukisan warna airnya kepada warga dunia dengan harga AS$1,500 untuk sekeping lukisan.

Tapi keindahannya tidak terhenti di situ. Seorang pelukis Amerika dari New Jersey, Carol Wisniewsky menjual pelbagai lukisan bertemakan pemandangan sawah padi dalam laman web Fine Art America. Di peringkat lebih tinggi lukisan bertajuk ‘Rice Paddies’ menggambarkan sebahagian daripada sebuah sawah sedang disemai oleh seorang pembendang dengan barisan pohon nyiur, dilukis pada 1890 telah diabadikan di Honolulu Museum of Arts, Hawaii. Begitulah. Padi dan sawahnya adalah amat istimewa.

Keindahannya bukan sekadar bersumberkan keestikan pemandangannya tetapi lebih penting lagi kerana ia membekalkan kita sumber makanan utama untuk meneruskan hidup.

Lebih enam dekad lalu, suasana seperti inilah menyambut kelahiran dan menjadi latar belakang kepada kehidupan waktu kecil seorang bernama Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Namun ketika itu negara belum Merdeka dan kerja-kerja sawah masih lagi dilakukan secara tangan berbantukan kerbau yang dijadikan mesin penggerak untuk membajak sawah.

Seperti juga lokomosi kerbau yang beranjak pada kadar super perlahan, begitu juga dengan ekonomi kebanyakan pesawah. Walaupun padi/beras sebagai komoditi utama menikmati harga berpatutan dan stabil dalam pasaran dan menjanjikan kehidupan selesa namun sistem padi kunca memperlihatkan hasil bertentangan.

LJ Barnes yang mengetuai kajian untuk memperbaiki sistem pendidikan orang Melayu pada 1951 turut menyentuh hal ini: “… kaum pendatang telah mengambil kesempatan daripada sikap tidak peduli orang Melayu, dengan memperkenalkan sistem jual beli secara berhutang (padi kunca).. mereka telah memulakan penindasan ekonomi orang Melayu dengan terang-terangan di hadapan kuasa pelindung (Inggeris)…” Namun walaupun lahir setahun selepas laporan Barnes itu dan walaupun berada di Kedah, di tengah-tengah ‘jelapang padi negara’, Syed Mokhtar adalah masih bayi dan kemudiannya terlalu kecil untuk menyedari wujudnya laporan seperti itu dan menyedari betapa miskin dan tandusnya ekonomi pesawah yang hidup di sekeliling beliau. Malah keadaan keluarganya juga serba sederhana dan sama seperti keluarga para pesawah di zaman itu.

Hari ini, Syed Mokhtar bukan sahaja sudah muncul sebagai tokoh korporat Malaysia bertaraf ‘billionaire’ dan juga sebutan ramai, tetapi turut memiliki Padi beras Nasional Berhad, sebuah kumpulan syarikat, menurut lamanwebnya, “…terlibat dalam pemerolehan dan pemerosesan padi, serta pengimportan, pengundangan, pengedaran dan pemasaran beras di Malaysia).”

Walaupun menurut majalah perniagaan dan kewangan Forbes, Syed Mokhtar memiliki nilai aset bersih AS$2.75 bilion (kira-kira RM9 bilion), kebanyakan rakyat Malaysia sedia maklum betapa beliau bukanlah seorang ‘corporate raider’ atau penyerang korporat dalam erti kata sebenarnya. Ini kerana penyerang korporat tulen membeli dan memperolehi syarikat dengan usaha mereka sendiri sedangkan kebanyakan syarikat yang diambil alih oleh Syed Mokhtar dilakukan dengan ihsan kerajaan Umno- BN. Justeru, adalah disangsikan sama ada pencapaian beliau boleh dibanggakan.
Bulan lalu Bernas yang diambilalih oleh syarikat berkepentingan Syed Mokhtar bermula akhir tahun lalu telah dikeluarkan dari senarai syarikat berhad tersenarai di Bursa Malaysia.

Dalam lain perkataan Bernas kini adalah sebuah syarikat milik persendiran atau boleh juga dibaca sebagai milik peribadi beliau. Dengan nyah senarai Bernas maka syarikat itu kini tidak lagi perlu tertakluk kepada segala pemeriksaan dan pemeriksaan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Malah Bernas tidak lagi perlu melakukan pendedahan awam walaupun syarikat itu memonopoli semua aspek perniagaan komoditi strategik negara. Oleh itu, Syed Mokhtar boleh melakukan apa sahaja yang dirasakannya betul mengenai perjalanan Bernas atau yang dirasakannya menguntungkan pesawah.

Minggu lalu sudah macam ada satu ketegangan berlaku di Dewan Rakyat apabila Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Ismail Sabri enggan memberitahu butiran surat pengakuan kepada penanam padi yang ditulis oleh Syed Mokhtar kepada menteri berkenaan pada November tahun lalu sekitar masa pengambil alihan Bernas.

Tidaklah diketahui sekiranya surat pengakuan berkenaan telah dikelaskan di bawah Akta Rahsia Rasmi kerana kandungannya jika diumumkan boleh menggugat keselamatan negara. Namun apa yang pasti sekiranya pengakuan kepada menteri yang diberikan oleh Syed Mokhtar benar-benar menguntungkan para penanam padi dan mampu mengangkat ekonomi mereka berbanding sebelumnya dan bukan sekadar satu penanggukan di air keruh, maka rasanya tidak ada apa yang perlu dibimbangkan oleh Ismail Sabri.

Jika tidak, maka menteri berkenaan, atas sesuatu sebab dan tidak mustahil demi menjaga kepentingan Umno, mempunyai seribu satu sebab untuk merahsiakan kandungannya.

Tiada ulasan: