Ahad, 6 April 2014

10 orang yang hilang di Bukit Broga ditemui selamat


THE MALAYSIAN INSIDER

 
Hakeem Ahmad Akmal, 16, berpelukan dengan bapanya selepas ditemui penyelamat pagi ini. Sepuluh orang termasuk beberapa remaja dilaporkan hilang di Gunung Tok Wan, Bukit Broga semalam. – Gambar The Malaysia Insider oleh Nazir Sufari.Hakeem Ahmad Akmal, 16, berpelukan dengan bapanya selepas ditemui penyelamat pagi ini. Sepuluh orang termasuk beberapa remaja dilaporkan hilang di Gunung Tok Wan, Bukit Broga semalam. – Gambar The Malaysia Insider oleh Nazir Sufari.





























Sepuluh orang termasuk enam pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana Impian, Kajang yang dilaporkan hilang ketika menjalankan aktiviti riadah di Gunung Tok Wan, Bukit Broga, Semenyih, semalam, ditemui semula pagi ini.

Penolong Penguasa Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih, Khairul Anuar Yaacob ketika dihubungi Bernama berkata kesemua mereka ditemui kira-kira 10.30 pagi dalam keadaan tidak bermaya dan keletihan.

Bagaimanapun, beliau berkata seorang pelajar sekolah terbabit dikenali sebagai Mohd Haris Shahrizam, 17, mengalami kecederaan ringan di kaki kiri dan kini dirawat di Hospital Kajang, Selangor.

"Sembilan lagi dibawa ke pusat kawalan bomba di Paradise Valley Resort berhampiran gunung itu sementara menunggu anggota keluarga datang untuk membawa mereka pulang," katanya.

Sementara itu, ketika ditemui di pusat kawalan bomba itu, seorang mangsa, Mohd Zafran Mohd Azmir, 16, berkata dia mula mendaki gunung itu pada 3.30 pagi Sabtu.

Mohd Zafran berkata disebabkan keadaan sejuk ketika itu mereka berhasrat untuk sampai ke puncak secepat mungkin tetapi dalam separuh perjalanan mereka gagal mengesan tanda arah menuju ke puncak itu.

"Kami mula panik dan mencari-cari jalan untuk keluar. Nasib kami baik kerana dalam kekalutan kami terjumpa empat orang abang (mangsa) yang lain yang turut tersesat semasa pendakian," katanya.

Selepas bergabung dengan kumpulan itu, mereka membuat keputusan meneruskan perjalanan untuk mencari tempat berteduh.

"Sukar dibayangkan dengan kaki yang lenguh dan sejuk kami terpaksa gigihkan diri juga sehinggalah kami terjumpa sebuah rumah kongsi milik penduduk Orang Asli Kechau Dalam.

"Di situ kami merehatkan diri sebelum ditemui pihak bomba pukul 10.30 pagi tadi," katanya. – Bernama,

Tiada ulasan: