Sabtu, 6 April 2013

Warga emas dihentikan bantuan sejak 3 tahun lalu

Harakahdaily,


Zulfikar [3 dari kiri] bersama dengan makcik Isah yang dihentikan bantuannya

KOTA KINABALU: Seorang warga emas hari ini meluahkan rasa kesal berikutan Skim Bantuan Orang Tua yang diterima dari Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am itu dihentikan sejak tiga tahun lalu.

Isah Arip, 70, berkata, kali terakhir dia menerima wang bantuan sebanyak RM300 sebulan itu adalah pada Disember 2010.

“Saya sudah pergi ke Jabatan Kebajikan beberapa kali untuk membuat permohonan, salinan kad pengenalan, gambar juga sudah diberi namun tidak juga dapat sampai sekarang,” katanya yang tinggal di Kampung Unggun Jaya, dekat Menggatal di sini.

Isah berkata, dia juga tidak menerima apa-apa notis berkaitan bantuan yang diterima itu daripada pihak terbabit sama ada dipotong atau sebaliknya.

Katanya lagi, bantuan itu sangat diperlukan untuk membeli keperluan harian dan sara hidup, kerana usianya yang meningkat menyebabkan dia tidak mampu bekerja lagi.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda PAS Sepanggar, Zulfikar Abd. Mijan yang turut menemui warga emas terbabit memaklumkan bahawa pihak Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Sabah perlu memberikan penjelasan terhadap permasalahan ini dan menyelesaikan beberapa tuntutan ini sehingga selesai.

“Kita minta pihak yang bertanggungjawab, tampil memberi penjelasan dengan baik dan dapat menyelesaikan permasalahan ini dengan sewajarnya,” ujar beliau.

Tiada ulasan: