Oleh Arif Juhani
PANDAN : Menjamu para penyokong dengan pisang yang digoreng
sendiri merupakan pendekatan yang diambil oleh calon KEADILAN Parlimen
Pandan, Rafizi Ramli untuk memahami kesusahan rakyat terutamanya penjaja
kecil.
Beliau berkata, walaupun pada awalnya ada yang menganggap pendekatan
itu sebagai ‘gila’ dan remeh tetapi akhirnya ramai yang memahami
matlamat itu.
“Mula-mula
dahulu, bila saya beritahu kepada jentera yang saya nak berkempen
dengan goreng pisang tepi jalan. Waktu itu semua orang gelak kerana rasa
itu kerja gila sebab kita nak jadi ahli parlimen bukan jadi penjaja.
“Itulah yang silapnya, kalau nak jadi wakil rakyat mesti fahami
derita rakyat, apa yang penjaja lalui setiap hari, macam mana susahnya
nak dapatkan RM1. Kena tahu harga pisang sesikat berapa, harga tepung,
minyak dan gas.
“Supaya bila rakyat mengadu harga barang mahal, kita boleh faham,”
ujarnya pada ceramah kelompok di Kampung Pandan Dalam, malam semalam.
Rafizi turut menempelak kerajaan Umno BN yang menaikkan harga barang
sehingga membebankan rakyat tetapi menggunakan alasan kononnya untuk
mendidik rakyat.
“Najib kata harga gula terpaksa dinaikkan sebab nak jauhkan rakyat daripada kencing manis.
“Tapi saya nak ingatkan Najib supaya nasihatkan dahulu Rosmah sebab
nampaknya dia ada potensi dapat kencing manis,” katanya yang disambut
gelak tawa para hadirin.
Turut hadir, Ketua Cabang Parit Sulong, Hasmi Hashim atau dikenali sebagai Buddhi Hekayat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan