Hazayani Zakaria, |
Wakil Tolak memegang kain rentang yang mengandungi tandatangan orang ramai.
KUALA LUMPUR: Gelombang Anak Muda Tolak Umno BN (Tolak) hari ini berjaya mengumpul kira-kira 200 tandatangan orang ramai yang sepakat menolak Umno BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.
Tandatangan tersebut diturunkan orang ramai di atas kain putih yang dibentangkan di hadapan kompleks membeli-belah Sogo tengah hari tadi sambil NGO tersebut mengadakan pameran tujuh sebab Umno BN harus ditolak.
Kira-kira 30 wakil Tolak yang merupakan NGO yang disertai Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) bersama 26 NGI itu berkumpul sambil memegang kain rentang hitam yang bertulis tujuh sebab Umno perlu ditolak iaitu:
1. Umno BN mengamalkan politik lucah, fitnah dan samseng bagi mempengaruhi rakyat demi survival politik mereka.
2. Umno BN gagal mengurus ekonomi negara sehingga membebankan rakyat dengan hutang dan kos sara hidup yang tinggi.
3. Umno BN mengamalkan rasuah dan kronisme sebagai budaya dalam parti dan pentadbiran negara.
4. Umno BN campur tangan daam Institut Pengajian Tinggi dan menyekat kebebasan akademik, mahasiswa dan universiti.
5. Umno BN telah melakukan ketempangan dalam sistem demokrasi negara dan perjalanan pilihan raya.
6. Umno BN telah menafikan hak-hak rakyat dan menggadaikan kepentingan bangsa Melayu dan Bumiputera.
7. Umno BN gagal gagal mengangkat martabat kaum wanita dan menunaikan hak-hak atas golongan itu.
Pengerusi Tolak, Azan Safar dalam ucapanya berkata, dengan pembubaran Parlimen yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini, mereka bersedia membawa gelombang anak muda untuk menolak Umno pada PRU13.
"Seiring dengan pembubaran parlimen hari ini, bermaksud gendang telah dipalu. Kami bersedia membawa gelombang anak muda untuk memastikan umno BN tidak lagi diberi mandat selepas ini.
"Kuasa berada di tangan rakyat termasuk di tangan anak muda yang akan turut menjadi pemilih. Jadi saya seru kita sama-sama turunkan tandatangan sebagai bukti kita menolak Umno BN," katanya.
Pameran tersebut berjaya menarik perhatian orang yang lalu-lalang menyebabkan mereka berhenti membaca kain rentang dan mendengar ucapan Azan serta merakamkan gambar sambil diperhatikan kira-kira sepuluh anggota polis.
Mereka berkumpul di hadapan Sogo bermula jam satu dan bersurai dengan aman pada jam 2.30 petang.
Azan yang ditemui selepas itu berkata, beliau berpuas hati kerana dapat menyampaikan mesej kepada rakyat dan mendapat kerjasama yang baik dariapda pihak polis.
"Kami berpuas hati kerana hanya ambil masa 30 minit untukkumpul tandatangan orang ramai dan kerjasama polis pun baik hari ini," katanya.
Pada Sabtu lalu, Azan termasuk lima aktivis Tolak yang ditangkap di hadapan kediaman perdana menteri ketika mengadakan program yang sama di sana.
Menurut Azan juga, tandatangan yang telah dukumpulkan akan dibentangkan dalam program kemuncak pada 14 April ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan