Selasa, 9 April 2013

PRU13: Cuti tambahan pelajar, staf universiti

Harakahdaily,


 

KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) hari ini menyerahkan satu memorandum kepada Kementerian Pengajian Tinggi menunut cuti tambahan kepada mahasiswa, ahli akademik dan kakitangan universiti sempena pengundian Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

Ia ekoran pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang membayangkan kemungkinan besar hari pengundiaan akan diadakan pada hari berkerja.

Serahan memorandum dibuat Presiden Gamis Muhamad Azan Safar kepada Pegawai Khas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Syahmi Amri, di pejabat kementerian itu di Putrajaya hari ini.

Antara tuntutan dalam memorandum itu termasuklah meminta cuti dua hari sebelum dan dua hari selepas hari mengundi untuk memberikan ruang keselesaan balik mengundi nanti.

"Kita juga menuntut dibatalkan segala kursus, program mahupun aktiviti ko-kurikulum yang melibatkan warga universiti pada PRU13 nanti," katanya.

Selain itu mereka juga menuntut agar KPT mengarahkan seluruh IPT dibawah KPT untuk melaksanakan tuntutan-tuntutan ini tanpa sebarang kerenah birokrasi.

"Usaha ini juga tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mendidik rakyat secara umumnya tentang kepentingan merayakan pesta demokrasi terbesar dalam negara kita, ini bukan usaha main-main," katanya lagi.

Turut menyertai penyerahan tersebut Maaruf Club dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Persatuan Mahasiswa Universiti Putra Malaysia (PMIUPM), Ikatan Studi Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (ISIUKM) dan beberapa lagi persatuan mahasiswa lain.

Tiada ulasan: