Selasa, 30 April 2013

Pindah wang ke Cayman Islands melebihi mandat 1MDB

Oleh: Aedi Asri

KUALA LUMPUR : Pemindahan dana 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) ke dalam akaun sulit di Cayman Islands, United Kindom melebihi kuasa badan pelaburan milik negara itu, kata editor akhbar The Edge, M Shanmugam.

Beliau merujuk pemindahan RM7.18 bilion ke pusat kewangan pesisir pantai itu, yang dinyatakan dalam laporan tahunan 1MDB dan didedahkan Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli.

Shanmugan berkata, mandat utama 1MDB yang diilhamkan Perdana Menteri sementara, Datuk Seri Najib Razak sepatutnya menarik pelaburan asing ke dalam projek berimpak tinggi dalam ekonomi domestik.

“Beberapa siri urus niaga kabur dalam urusan 1MDB dengan PetroSaudi International (PSI) bangkitkan lebih banyak persoalan, yang mana badan pelaburan yang dilindungi kerajaan itu menolak untuk jawab.

“Contoh jelas adalah penebusan kertas hutang Islamik (Islamic debt paper) oleh PSI (kepada 1MDB) yang meningkat kepada RM6.8 bilion setakat 31 Mac 2012. Jumlah ini termasuk ‘keuntungan yang boleh diterima’ atau bayaran faedah yang belum dibayar PSI kepada 1MDB atas bon Islamik itu.

“Pada 1 Jun 2012, 1MDB ambil 49 peratus pegangan ekuiti dalam PetroSaudi Oil Sdn Bhd (PSOSL) dari PSI. Nilai pegangan itu sama dengan jumlah yang dihutang kepada 1MDB. Maka, bon Islamik itu dikira sudah ditebus,” katanya dalam rencana fz.com.

Memetik rencana itu lagi, beliau mempersoalkan kekurangan maklumat mengenai PSOSL, walaupun dikatakan memiliki urus niaga yang melibatkan sejumlah wang yang besar.

“Apakah perniagaan utamanya, aset, liabiliti, keuntungan dan situasi aliran tunai? Apakah saiz sebenar syarikat ini? berdasarkan transaksi antara 1MDB dan PSI, ia tentulah besar…(Tetapi) kenapa terlalu kurang maklumat mengenainya?,” katanya, seperti dipetik.

Tiada ulasan: