Oleh Aisha Geoffrey
KUALA LUMPUR : Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim
lebih popular dan diterima rakyat sebagai Perdana Menteri (PM) selepas
Pilihan Raya Umum ke-13.
Demikian menurut kaji selidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya
Universiti Malaya (UMCEDEL) ke atas 1,407 responden dari kalangan
pengundi pelbagai latar belakang.
Menurut
kajian tersebut, 49 peratus memilih Anwar sebagai PM berbanding Datuk
Seri Najib Razak yang hanya mendapat 39 peratus, manakala 12 peratus
lagi tidak pasti.
“Peningkatan populariti Anwar boleh dikatakan sebab pengaruh internet di kalangan anak muda.
“Seperti yang kita tahu, Pakatan Rakyat menggunakan sepenuhnya medium
tersebut kerana tidak mendapat liputan yang baik dari media arus
perdana,” kata Pengarah UMCEDEL, Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman.
“Jelajah Merdeka Rakyat dan kempen bergerak juga membantu peningkatan populariti Anwar,” katanya lagi.
Kajian itu dibuat bermula sejak hari pembubaran Parlimen 3 April 2013 sehingga 20 April lalu.
Selain itu, Anwar turut mengatasi Najib dari segi pemimpin yang
mempunyai ciri-ciri kepimpinan Islam dengan mendapat 47 peratus
berbanding Najib 38 peratus, selebihnya tidak pasti.
Kecenderungan kedua-dua pemimpin itu turut dinilai melalui kewibawaan
mereka membuat keputusan tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.
Hasilnya, 40 peratus bersetuju Anwar lebih berwibawa berbanding Najib, yang haya memperoleh 35 peratus.
Turut disentuh, kajian mengenai perdebatan Anwar dan Najib yang
menunjukkan 63 peratus menuntut debat tersebut dijalankan, dan hanya 10
peratus tidak mahu, manakala 19 peratus tidak pasti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan