SHAH ALAM : Pihak pembangkang di Selangor di seru agar berpolitik secara matang dan tidak bertindak di luar batas undang-undang dengan menganjur dan menggalakkan keganasan terhadap parti lawan.
Exco Selangor, Elizabeth Wong berkata, rakyat memerlukan politik yang lebih berwibawa dengan mempertandingkan polisi yang terbaik demi kesejahteraan rakyat keseluruhan bukannya politik keganasan, politik fitnah dan politik benci-membenci.
Katanya, kegusaran yang dihadapi adalah ancaman keganasan politik yang semakin berleluasa terutamanya siri serangan secara fizikal mahupun fitnah terancang terhadap Pakatan Rakyat.
“Pakatan Rakyat sentiasa bersemangat tinggi dan bersedia untuk terus mentadbir Selangor sekaligus membentuk kerajaan baru yang bersih, telus, amanah dan bertanggungjawab untuk menerajui Putrajaya,” kata Elizabeth dalam kenyataan medianya.
Ujarnya, rakyat diseru agar membuat pilihan yang tepat dalam memilih kerajaan yang adil, telus, dan berkemampuan untuk menerajui Selangor dan seterusnya Malaysia demi masa depan kita yang lebih terjamin.
“Jadikanlah kejayaan Pakatan Rakyat mentadbir Selangor sebagai contoh bagi membuktikan kemampuan mengurus tadbir kerajaan dengan lebih baik dan telus serta mampu melaksanakan reformasi pentadbiran demi kepentingan rakyat keseluruhannya.
“Diharapkan agar sebuah perubahan struktural di peringkat Persekutuan akan berlaku selepas PRU-13 ini demi kelangsungan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat, makmur, sejahtera dan berkebajikan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan