Rabu, 3 April 2013

Nube anjur piket nasional 20,000 orang di KL Sabtu ini

Wartawan Sinar Harian
Nube anjur piket nasional 20,000 orang di KL Sabtu ini
Solomon bercakap pada sidang media di Kuala Lumpur pagi tadi.
 
SHAH ALAM - Kesatuan Pekerja-pekerja Perbankan Kebangsaan (Nube) mahu mengadakan piket peringkat nasional - Piket Daulat 6413, yang dijangka disertai kira-kira 20,000 ahlinya, di ibu negara Sabtu ini susulan siri pertikaian perhubungan industri belum menemui jalan penyelesaian.

Setiausaha Agungnya, J Solomon berkata, kesatuannya terpaksa mengambil tindakan piket kebangsaan ini selepas usaha berterusan termasuk perundingan dan perbincangan dengan bank-bank gagal menemui jalan penyelesaian.

Bagaimanapun Solomon menegaskan, tindakan pihaknya tiada kaitan ataupun tidak harus dilihat sebagai satu bentuk desakan ke atas kerajaan menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.

"Kami bukan badan politik. Kami tidak cenderung kepada mana-mana parti politik atau ahli politik yang berbeza ideologi politik," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

"Fokus kami hanya kebajikan ahli-ahli kami bagi memastikan mereka dilayan dengan adil dan saksama mengikut peruntukan perjanjian bersama yang dimeterai dengan pihak bank," katanya lagi.

Katanya, piket Sabtu ini genap setahun Nube mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kami berharap dengan piket ini, perdana menteri akan diingatkan tentang jaminan yang beliau berikan kepada kami ketika itu," katanya lagi.

Nube telah merekodkan beberapa tindakan bank yang nyata bercanggah dengan perjanjian kolektif, Akta Perhubungan Perusahaan dan Akta Kesatuan Sekerja.

Solomon berkata, tindakan sesetengah bank juga bertentangan secara langsung dengan Perlembagaan Persekutuan dan Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia serta Konvensyen Buruh Antarabangsa

Tiada ulasan: