Oleh: Aishah Geofrey
KUALA LUMPUR : Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib
Razak masih belum mengumumkan senarai calon pilihan raya umum kerana
tidak mampu menyenaraikan calon yang bebas dari isu rasuah, kata Ketua
Srikandi KEADILAN, Siti Aishah Shaik Ismail.
“Najib tidak mampu menawarkan calon yang tidak terpalit dengan isu rasuah dan penyelewengan.
“Berbeza dengan Pakatan Rakyat yang menampilkan calon terbaik dan
barisan kepimpinan yang lebih bersih dan amanah,” ujarnya ketika
dihubungi.
Justeru beliau mencabar Najib segera mengumumkan calon berwibawa dari
BN, selari dengan manifesto dibentangkan mereka baru-baru ini.
“Jika gagal berbuat demikian, ia membuktikan laungan transformasi beliau hanya retorik bagi meraih undi terutama orang Melayu,”
“Pengumuman perlu segera dibuat bagi memudahkan rakyat menilai
tawaran dan calon dari setiap parti,” katanya yang akan mewakili
KEADILAN di parlimen Tambun dalam PRU ini.
Antara pimpinan BN yang dilihat akan mengekalkan kerusi ialah Tan Sri
Taib Mahmud, yang sebelum ini didedah mengumpul kekayaan RM64 bilion
dan dikaitkan skandal pembalakan di Sarawak.
Selain itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman yang terbabit
dengan skandal RM40 juta wang haram yang dibawa masuk oleh ahli
perniagaan, Michael Chia.
Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong
Chik Zainal Abidin turut menjadi perhatian apabila Kementerian Belia
dan Sukan menganugerahkan kontrak bernilai RM30 juta kepada syarikat
milik anaknya, Istijuara Sdn Bhd.
Hingga kini, hanya Datuk Seri Shahrizat Jalil yang sebelum ini
terlibat dengan skandal projek ternakan lembu fidlot bernilai RM250
juta, mengesahkan tidak akan bertanding dalam PRU.
Sementara itu, BN masih belum mengumumkan senarai calon, ekoran
kebimbangan berlaku perebutan di peringkat bahagian dan tindakan boikot
dari mereka yang tidak terpilih sebagai calon.
Ia nyata berbeza dengan Pakatan yang telah mengumumkan sebahagian besar calon yang akan bertanding di kerusi parlimen dan DUN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan