Roketkini.com
IPOH,: Malaysia bakal muflis jika kerajaan Barisan Nasional (BN) terus memerintah negara walaupun manifesto mereka dilihat meniru beberapa ciri daripada Manifesto Pakatan Rakyat yang diumum lebih awal.
Timbalan Setiausaha Agung DAP, Datuk Ngeh Koo Ham, berkata ini kerana tindakan gelojoh dan tidak bertanggungjawab Presiden BN, Datuk Seri Najib Razak menambah beban hutang negara yang kini mencatat rekod tertinggi dalam sejarah dan tambah merungsingkan apabila kerajaan BN sambil lewa membanteras amalan rasuah dan salah guna kuasa dalam pentadbiran mereka.
“Kita perlu selamatkan Malaysia daripada muflis. Dia (BN) menambah RM50 bilion hutang negara setiap tahun dan kini mencecah sekitar RM502 bilion,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, jika keadaan ini berterusan tanpa menangani rasuah dan salah guna kuasa dengan bijak, kemungkinan Malaysia akan muflis pada 2019 bukan sesuatu yang mustahil.
“Pembayaran semula hutang negara adalah RM22.3 bilion setahun dan ia akan ambil masa 40 tahun untuk menyelesaikan semua hutang itu.
“RM22.3 bilion adalah kira-kira 12 peratus daripada pendapatan tahunan kerajaan. Kita dan generasi anak-anak kita yang teraniaya akibat hutang itu yang dibelenggu dengan gejala rasuah dan penyelewengan berleluasa,” jelas Ngeh.
Kebimbangan mengenai perkara itu juga pernah dizahirkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala sendiri dua tahun lalu yang mendakwa Malaysia berhadapan dengan risiko muflis sekiranya kerajaan terus membelanjakan wang yang dipinjam untuk perbelanjaan operasi misalnya perbelanjaan untuk pemberian subsidi berbanding untuk pelaburan.
Sebelum ini pakar ekonomi pernah mempertikai kerajaan BN yang membelanjakan sejumlah besar subsidi sebanyak RM23.7 bilion untuk bahan api dan tenaga yang dibayar kepada syarikat pengeluar tenaga bebas (IPP).
Ini tidak termasuk subsidi terhadap pengilang dan pengeluar makanan negara yang kebanyakannya dimonopoli individu tertentu. Tindakan ini menimbulkan persoalan mengapa rakyat terpaksa berhadapan dengan kenaikan harga keperluan asas yang tidak wajar.
Sambil mengingatkan rakyat negeri Perak pula khususnya, Ahli Parlimen Beruas itu berkata, BN juga punca kepada kelembapan ekonomi negeri itu setelah berlakunya rampasan kuasa pada 2009 lalu.
“Pada 2008 di bawah pentadbiran kerajaan PR Perak, kami berjaya mencatat pelaburan sebanyak RM3.2 bilion di mana ia adalah jumlah tertinggi pelaburan yang pernah direkod dalam sejarah Perak.
“Setelah berlaku rampasan kuasa BN yang dikepalai Najib, pelabur itu kemudiannya menangguhkan pelaburan mereka dan menunggu pilihan raya negeri yang baru tetapi malangnya tidak dijalankan,” katanya. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan