Oleh Norutul Ilham
WANGSA MAJU Calon KEADILAN, Datuk Dr Tan Kee Kwong
meletakkan sasaran menang besar di Parlimen Wangsa Maju (P116) pada
Pilihan Raya Umum ke-13.
Menurutnya, gerak kerja parti di Parlimen itu dimulakan sejak tiga tahun lalu.
“Kita bekerja keras adakan program dan bertemu masyarakat setempat. Kita tidak mahu menang 1-0 tapi 10-0.
“Setiap hari dalam tempoh berkempen, saya akan turun padang lebih
kerap seperti ke tapak pasar malam, jumpa jentera, dan beri taklimat
kepada Jabatan Pilihan Raya Pusat (JPRP) untuk atasi taktik kotor Umno.
“Pertemuan bersama 17 Jawatankuasa Daerah Mengundi (JDM) turut diadakan,” katanya kepada Keadilan Daily.
Yakin dapat memenangi kerusi itu, kata Kee Kwong, beliau tidak gentar siapa pun calon BN yang akan menentangnya.
“Tidak kira siapa pun Umno letak, kita akan lawan habis-habisan. Semua jentera parti bersedia untuk lawan Umno.
“Kita yakin rakyat tahu memilih pemimpin yang mendahulukan kebajikan
rakyat berbanding Umno yang suka tabur duit untuk raih sokongan,” kata
Pengerusi Jawatankuasa Disiplin KEADILAN itu.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan jentera parti supaya berkempen secara sihat dan tidak melayan provokasi Umno.
“Jentera diingatkan, kalau mahu sasaran jadi kenyataan, jangan angkuh, mesra dan buat sebaik mungkin,” kata Kee Kwong.
Parlimen Wangsa Maju dimenangi calon KEADILAN, Wee Choo Keong pada
PRU 2008 sebelum keluar parti Mei 2010 dan kemudian mengisytihar sebagai
bebas.
Kerusi panas itu berjaya dirampas daripada MCA dengan majoriti tipis
iaitu 150. Choo Keong mengalahkan calon BN, Yew Teong Look dengan
memperolehi 19,637 undi berbanding lawannya 19,487. – NS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan