Rabu, 3 April 2013

BN Pulau Pinang akan lancar manifesto PRU13 minggu depan

THE MALAYSIAN INSIDER
 


GEORGE TOWN — Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang akan melancarkan manifesto bagi pilihan raya umum ke-13 (PRU13) minggu depan selepas pelancaran manifesto BN pusat yang dijangka hujung minggu ini, kata Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow (gambar).

“Kita buat minggu depan (pelancaran manifesto BN negeri)... tarikh akan diumumkan kemudian,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat bersama anggota parti komponen BN negeri di sini hari ini.

Teng berkata mesyuarat selama kira-kira sejam bagi membincangkan penyelarasan di antara parti komponen dan calon yang akan bertanding pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) nanti.

Katanya penyelarasan yang lebih sempurna perlu supaya semua urusan komunikasi dapat dijalankan dengan lancar dan berkesan semasa tempoh berkempen nanti.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat bagi memberi laluan bagi PRU13 diadakan.

Teng berkata cara berkempen BN negeri untuk PRU13 nanti akan menekankan cara baharu seperti menggunakan media sosial selain daripada cara tradisional yang “berperang” menggunakan bendera parti.

Beliau turut menyeru semua parti komponen berdisplin dan mengamalkan budaya berkempen yang sihat dan menolak anggapan orang umum kononnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) adalah sebahagian parti BN.

“NGO adalah di luar kawalan kita tapi jika mereka bersedia membantu berkempen untuk BN, mereka perlu mematuhi cara kita (BN) berkempen secara sihat,” katanya. — Bernama

Tiada ulasan: