Rabu, 3 April 2013

Anwar umum 4 calon Parlimen Johor, Jen (B) Hashim tanding JB

Aedi Asri
JOHOR BAHARU: Bekas Ketua Turus Angkatan Tentera Darat, Jen (B) Tan Sri Md Hashim Hussein diumum sebagai calon KEADILAN bagi Parlimen Johor Bahru pada PRU 13.

Pengumuman itu dibuat Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ceramah Jelajah Merdeka Rakyat di Kampung Datuk Sulaiman Menteri, Majidee di sini, malam tadi.

“Kita ada seorang tokoh Melayu yang cukup wibawa, seorang jeneral empat bintang yang kita akan tawarkan sebagai calon Parlimen Johor Bahru,” katanya disambut sorakan.

jen

Ketua Umum KEADILAN itu berkata, Hashim yang juga anak kelahiran Johor adalah seorang panglima yang besar jasanya kepada negara.

“Beliau Panglima Tentera Darat, jaga tentera darat dari Perlis hingga Sabah. Lahir di Johor dan pernah jadi Commander in Charge di Kem (tentera) Majidee.

“Beliau pernah bawa tentera kita untuk jaga nama baik Malaysia di Bosnia. Ini pahlawan sebenar anak Melayu Johor,” katanya.

Selepas menamatkan perkhidmatan dalam tentera, Anwar berkata, Md Hashim dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Pakistan sebelum menyertai KEADILAN 6 Mac lalu.

BG3BeQfCQAEBZwc

Selain itu, tiga lagi calon KEADILAN kerusi Parlimen di Johor turut diumum Anwar.

Mereka ialah Steven Chong Siaw, seorang akauntan bertauliah dan aktivis badan bukan kerajaan (NGO) untuk bertanding di Parlimen Tebrau.

Selain itu, Parlimen Muar diwakili lulusan London Institute of Public Relations, Mohd Hizwan Ahmad yang juga seorang reformasi yang komited dalam perjuangan sejak dulu.

Parlimen Batu Pahat pula diwakili  Datuk Idris Jauzi, bekas Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki, selain aktivis Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).(FZL)

Tiada ulasan: