Selasa, 18 Disember 2012

JPJ akan serah dokumen kesalahan AES

KL TODAY

 

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menyerahkan dokumen berkaitan dengan kesalahan di bawah pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) esok. 

Dokumen tersebut dijangka akan diserahkan oleh JPJ kepada Peguam Zulhazmi Shariff di mahkamah apabila dua pemandu yang diwakili oleh beliau mengaku tidak bersalah sebelum ini.


Zulhazmi yang ditemui memberitahu, pihaknya akan menerima dokumen tersebut esok dan akan meneliti dokumen yang diberikan.


“Esok JPJ akan memberi dokumen yang berkaitan AES terhadap saman yang dikeluarkan ke atas dua pemandu yang mengaku tidak bersalah sebelum ini.


“Selepas itu kita akan meneliti dokumen tersebut dan apa jua bentuk penelitian yang akan kita lakukan itu tidak akan didedahkan,” jelasnya.


Menurut beliau lagi, pada peringkat pendakwaan JPJ kena buktikan dakwaan yang mengatakan kedua-dua pemandu itu benar-benar bersalah mengikut apa yang dinyatakan dalam notis saman tersebut.


“JPJ kena buktikan dan kita dari pihak peguam akan teliti dari segala sudut,” sambung beliau lagi.


Zulhazmi turut menyatakan mahkamah akan menetapkan tarikh baru bagi perbicaraan kes tersebut.


Sebelum itu, dua pengguna jalan raya yang disabitkan kesalahan di bawah pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) mengaku tidak bersalah.



Majistret, Noorasyikin Sahat menetapkan 18 Disember ini bagi pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyerahkan dokumen berkaitan.


Kedua-dua mereka, Mohd Ridzuan Mohd Yusoff dan Henny Suryani Yacub @ Yaakob didakwa kerana tidak mematuhi isyarat lampu merah di Jalan Klang Lama.

Tiada ulasan: