Khamis, 25 Jun 2009

SPRM perhalusi siasatan kes rasuah Ali Rustam

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang memperhalusi hasil siasatan dakwaan rasuah dalam pencalonan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam untuk jawatan Timbalan Presiden Umno pada Mac lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, berkata SPRM melakukan dua siasatan terhadap pihak tertentu yang dikatakan terbabit memberi rasuah bagi mencalonkan Mohd Ali sebagai Timbalan Presiden Umno pada satu mesyuarat Umno bahagian November, tahun lalu.

"Kedua-dua siasatan sudah selesai dan kertas siasatan dikemukakan kepada Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM untuk keputusan serta arahan lanjut," katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada N Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai) yang ingin tahu mengenai status kes rasuah membabitkan Mohd Ali.

Mohd Ali tidak dibenarkan bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan Perhimpunan Agung Umno selepas didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin Umno berhubung politik wang.

Nazri berkata, satu lagi siasatan ialah tohmahan mengenai pemberian sogokan kepada Ketua Cawangan dan perwakilan tetapi diputuskan sebagai tiada tindakan lanjut dan ditutup pada 25 Mei lalu.

Tiada ulasan: