BERITA HARIAN ONLINE
KUALA LUMPUR: Umno bercadang menetapkan satu hari sebagai Hari Pemilihan Umno untuk mengadakan pemilihan Ahli Majlis Tertinggi (MT) parti itu secara serentak di semua 191 bahagiannya di seluruh negara.
Perkara itu adalah antara yang dimasukkan dalam draf pertama Cadangan Konsep Pemilihan dan Pindaan Perlembagaan Umno, yang diluluskan Jawatankuasa Teknikal Pindaan Perlembagaan parti itu dalam mesyuaratnya, di sini, semalam.
Hasil mesyuarat yang dipengerusikan Datuk Seri Hishammuddin Hussein itu akan diperhalusi bagi memenuhi cita rasa ahli Umno khususnya generasi muda, untuk memberi peluang kepada semua ahlinya turut serta menyuarakan pandangan dan pendapat.
Jawatankuasa itu juga bersetuju draf cadangan itu dibawa ke bengkel pindaan perlembagaan sebelum dibawa ke Jawatankuasa Induk untuk dibentangkan dalam Persidangan Perhimpunan Agung Umno Khas, Oktober ini.
Menurut draf cadangan itu, Hari Pemilihan Umno akan ditetapkan Jawatankuasa Pemilihan Umno selepas dipersetujui oleh MT manakala pemilihan Jawatankuasa Bahagian dan Jawatankuasa Cawangan pula akan diadakan secara berasingan.
Draf itu turut mencadangkan proses pemilihan Jawatankuasa Bahagian diadakan lebih dulu daripada Jawatankuasa Cawangan yang akan dijalankan ketika Persidangan Cawangan.
Selain itu, penubuhan Jawatankuasa Pemilihan Umno (JPU) pada peringkat Pusat, negeri, bahagian termasuk semua peringkat sayap yurut dicadangkan dengan Presiden berhak melantik Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno.
Ahli Jawatankuasa ditentukan Pengerusi yang akan dicadangkan oleh Badan Perhubungan Negeri dan ahli yang ingin menawarkan diri bertanding perlu mendaftarkan diri dengan JPU sebelum proses pemilihan mengikut tarikh yang akan ditetapkan oleh MT.
Semua pencalonan peringkat MT, Wanita, Pemuda dan Puteri Pusat akan dibuat di Ibu Pejabat Umno (JPU Pusat) manakala pencalonan peringkat Jawatankuasa Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian dibuat pada Badan Perhubungan Umno negeri.
Draf itu juga mencadangkan supaya wakil calon dilantik oleh calon yang menawarkan diri untuk bertanding dan mereka perlu didaftarkan dengan JPU ketika hari penamaan calon.
Cadangan itu turut menyentuh had umur ahli Puteri dinaikkan kepada 40 tahun yang dikira pada 1 Januari tahun berkenaan manakala bagi Ketua Puteri, ia dinaikkan kepada 45 tahun.
Yuran pendaftaran ahli baru dicadangkan untuk dipinda kepada Yuran Seumur Hidup manakala ahli lama diberi tempoh tiga tahun untuk menjadi ahli seumur hidup melalui proses pemutihan.
Sistem kuota pencalonan pula dicadangkan dihapuskan, sebaliknya diganti dengan kriteria tertentu bagi ahli yang ingin menawarkan diri untuk bertanding.
Pendaftaran keahlian boleh dilakukan melalui borang permohonan yang boleh diterima dan ditandatangani oleh Ketua Cawangan atau Ketua Wanita Cawangan atau Ketua Pemuda Cawangan atau Ketua Puteri Cawangan termasuk permohonan yang dilakukan secara online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan