Jumaat, 30 Julai 2021

Ally, Hawa bergelar penyampai radio

KUALA LUMPUR: Pengacara Malaysia Hari Ini (MHI), Ally Iskandar dan pembaca berita Buletin Utama di TV3, Hawa Rizwana kini bergelar penyampai radio apabila bakal mengendalikan slot pagi di Kool FM.

Gandingan kali pertama Ally dan Hawa yang dikenali penonton televisyen menerusi platform radio pastinya memberi kejutan yang menarik.

Selain Ally dan Hawa, pelakon dan pelawak popular, Douglas Lim antara wajah baharu diperkenalkan dalam rangkaian radio Media Prima Berhad (MPB), RIPPLE bermula Isnin ini.

Semalam, Hot FM terlebih dahulu membuat kejutan memperkenalkan penyampai radio popular dan berpengalaman, Fara Fauzana sebagai rakan gandingan, AG Azmeer dan Fad Bocey menerusi slot Geng Pagi Hot (GPH).

Douglas pasti menggunakan kelebihan sebagai pelawak, pelakon, pengacara dan ‘stand up‘ komedi bergandingan dengan Ili yang mewakili generasi muda menerusi Fly FM. - Foto TV3
Douglas pasti menggunakan kelebihan sebagai pelawak, 
pelakon, pengacara dan ‘stand up‘ komedi bergandingan 
dengan Ili yang mewakili generasi muda menerusi Fly 
FM. - Foto TV3

Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan, RIPPLE mengumumkan barisan penyampai radio bagi segmen pagi untuk rangkaian radio, hari ini.

Douglas dipilih bergandingan dengan bekas juara program Flydol yang juga penyanyi dan penulis lirik, Ili mengendalikan slot pagi di Fly FM. Mereka akan ke udara setiap Isnin hingga Jumaat.

Douglas pastinya menggunakan kelebihan dan pengalaman sebagai pelawak, pelakon, pengacara serta 'stand up' komedi menerusi platform radio pula. Gandingannya bersama Ili yang mewakili generasi muda pasti memberi kelainan.

One FM pula masih mengekalkan penyampai radio sedia ada, Angeline yang bergandingan dengan penyampai radio berpengalaman, Royce.

Stesen radio One FM masih mengekalkan penyampai radio sedia ada, Angeline yang akan bergandingan dengan Royce. - Foto TV3
Stesen radio One FM masih mengekalkan penyampai radio
sedia ada, Angeline yang akan bergandingan dengan 
Royce. - Foto TV3

Royce yang juga penyampai radio berbahasa Cina mengambil keputusan kembali ke dunia penyiaran radio selepas empat tahun berehat.

Hot FM berharap dapat memberikan sesuatu yang lebih segar dan menyampaikan isi kandungan menarik buat pendengar.

Untuk maklumat, stesen One FM dan Kool FM akan dikenali dengan jenama baharu bermula Isnin ini.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Radio MPB, Nazri Noran mengumumkan transformasi perniagaan membabitkan perubahan operasi. Ia termasuk perubahan kandungan dan barisan penyampai untuk semua rangkaian stesen radio pada 19 Julai lalu.

Polis akan ambil tindakan sebarang perhimpunan esok

KUALA LUMPUR: Polis akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang menganjurkan sebarang perhimpunan dan berhimpun di sekitar ibu negara, esok.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, berkata ketika ini, negara masih lagi berada dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan tidak ada mana-mana pihak yang boleh berhimpun.

"Saya minta semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ketika pelaksanaan PPN ini. Ketika PPN, tidak ada mana-mana individu boleh berhimpun, semua pihak harus mematuhinya, tindakan akan diambil jika didapati melanggar SOP," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azmi berkata demikian bagi mengulas satu poster yang tular, mengajak orang ramai turun ke jalanan bagi menunjukkan soladiriti rakyat terhadap kerajaan.

Perhimpunan 'Keluar dan #Lawan' itu dijadual untuk diadakan di Dataran Merdeka, di sini, pada jam 11 pagi, esok.

Azmi berkata, setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang permohonan daripada mana-mana pihak untuk penganjuran sebarang perhimpunan.

Semalam, dalam kenyataan Istana Negara, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah, menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang dibuat di Parlimen pada 26 Julai lalu bahawa kerajaan sudah membatalkan semua Ordinan Darurat yang dimasyhurkan oleh Baginda walhal pembatalan belum lagi diperkenan.

Al-Sultan Abdullah, turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang diperkenan dan dititahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, ketika majlis menghadap secara maya pada 24 Julai bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan, tidak dilaksanakan.

MPOB cipta teknologi baharu rawat sisa akhir sawit

KUALA LUMPUR: Sekumpulan penyelidik Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berjaya mencipta teknologi merawat sisa akhir efluen sawit (POME) yang mesra alam.

Ketua Pengarah MPOB, Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir, berkata teknologi dihasilkan penyelidik diketuai Dr Nahrul Hayawin Zainal itu, berfungsi merawat bahan buangan POME yang mengandungi campuran air sisa minyak, zarah tanah dan pepejal terampai yang berwarna coklat kehitaman.

Katanya, teknologi baharu menggunakan biojisim tempurung kelapa sawit itu selaras keperluan kilang sawit yang diwajibkan merawat POME, berdasarkan peraturan ketat Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan syarat pelesenan MPOB.

Jelasnya, teknologi dikenali sebagai Karbon Teraktif Tempurung Kelapa Sawit untuk Rawatan Sisa Air, adalah mesra alam kerana tiada bahan kimia digunakan semasa proses rawatan, sekali gus lestari dalam aspek ekonomi, proses dan persekitaran.

"Pengaktifan secara stim digunakan bagi penghasilan karbon teraktif, dan mikrob yang berkesan digunakan ketika proses biologi semasa rawatan tertiari.

"Pembuangan akhir sisa efluen POME yang dirawat dapat digunakan sebagai air kitar semula, dan karbon teraktif yang digunakan boleh dijadikan baja organik untuk tanaman sayur-sayuran.

"Kajian juga mendapati baja organik ini kaya dengan unsur nitrogen, fosforus, dan kalium hasil daripada penjerapan sisa akhir efluen POME," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Memperincikan teknologi itu, Ahmad Parveez berkata, penyelidik MPOB mula menjalankan kajian pada 2019, sebelum melancarkan teknologi berkenaan di Seminar dan Pameran Pemindahan Teknologi (TOT) MPOB 2021 baru-baru ini.

Jelasnya, ia menggunakan penyatuan proses biologi dengan karbon teraktif untuk merawat sisa akhir efluen kelapa sawit, sebelum dilepaskan ke persekitaran.

"Biojisim tempurung kelapa sawit digunakan sebagai sumber untuk penghasilan karbon teraktif kerana mempunyai ciri ketumpatan dan karbon yang tinggi, serta kandungan abu yang rendah.

"Oleh kerana biojiisim tempurung kelapa sawit dihasilkan dengan banyak di kilang kelapa sawit, maka kos pengeluaran untuk teknologi ini adalah rendah jika dihasilkan oleh kilang sawit," katanya, memaklumkan prototaip yang diuji di lapangan membuktikan keberkesanannya.

Bagi melengkapkan teknologi baharu itu, Ahmad Parveez berkata, MPOB turut membangunkan sistem pengaktifan karbonisasi untuk menghasilkan karbon teraktif secara lestari tunggal, berbanding pembakaran dan pengaktifan secara berasingan dalam sistem konvensional.

"Proses pembakaran secara dua dalam satu ini mengurangkan kos pengeluaran, tenaga, dan masa tanpa menjejaskan hasil dan kualiti karbon teraktif yang dihasilkan, sekali gus menghindari penggunaan bahan kimia ketika proses pengaktifan.

"Sistem pengaktifan karbonisasi secara dua dalam satu ini dapat diguna pakai oleh sektor pengilangan sawit dan menyedia peluang perniagaan kepada pengusaha kecil dan sederhana (PKS)," katanya.

PKPD di beberapa lokaliti Sabah, Pahang mulai Ahad ini

KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di beberapa lokaliti di Sabah dan Pahang selama dua minggu mulai 1 hingga 14 Ogos ini.

Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pelaksanaan itu dibuat selepas meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penilaian risiko dan trend jangkitan COVID-19.

Katanya, antara lokaliti terbabit adalah Bandar Sabindo, Kampung Rancangan Sungai Tongkang, Taman Kukusan, batu 2, Lorong Habib Abdul Rahman, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Semarak dan Taman Berjaya dekat Tawau.

"Lokaliti lain adalah membabitkan Keningau iaitu di Kampung Bariawa Laut, Baitah, Panagatan Ulu, Kota Ayangan dan Rumah Kongsi Jutaya Lingkudau manakala lokasi di Kudat membabitkan Kampung Lupak meluas Darat, Kampung Sundang laut dan Flat Taman Sejati.

"Di Kota Kinabalu, PKPD dilaksanakan di Taman Sempelang, Sembulan dan Kampung Sembulan Tengah dan Lama; Kampung Tempasuk, Kota Belud; Kampung Tengah Padang, Putatan serta Kampung Babagon, Penampang.

"PKPD di Pahang pula membabitkan kampung Tanjung Kerayong di Mentakab," katanya dalam kenyataan media berhubung perkembangan Pelan Pemulihan Negara dan PKPD hari ini.

Pelbagai pengiktirafan bukti Malaysia bukan negara gagal

Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata Malaysia turut menerima pelbagai sumbangan yang disalurkan sekutunya sebagai tanda penghargaan kepada negara.

"Jika benar kita negara gagal, saya tidak rasa kita akan diberi pengiktirafan dan penghargaan.

"Buktinya kita boleh lihat pelbagai sumbangan dari negara luar diberikan kepada Malaysia, terutama membabitkan sumbangan vaksin," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Perubatan COVID-19 daripada Arab Saudi di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dan Duta Arab Saudi ke Malaysia, Datuk Dr Mahmoud Hussien Saeed Qattan.

Hishammuddin berkata, Malaysia setakat ini sudah menerima sumbangan masing-masing sejuta dos vaksin daripada Amerika Syarikat (AS) dan Jepun serta 500,000 dos dari China.

Katanya, United Kingdom (UK) pula menyumbangkan 450,000 dos vaksin yang dijangka tiba Selasa ini.

"Hari ini suka saya umumkan kerajaan Arab Saudi akan menyumbangkan sejuta dos vaksin AstraZeneca kepada Malaysia," katanya.

Malaysia turut menerima sumbangan 4.5 juta unit bekalan peralatan perubatan bernilai RM21.14 juta daripada kerajaan Arab Saudi.

Sumbangan diserahkan Mahmoud Hussien kepada Hishammuddin itu antaranya ialah pelitup muka, kelengkapan pelindung diri (PPE), bekalan oksigen dan katil elektrik.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, keprihatinan berterusan Raja Arab Saudi, Raja Salman terhadap Malaysia serta kesungguhan kerajaannya membuktikan tekad Arab Saudi untuk berjuang bersama Malaysia di era pandemik yang serba mencabar.

"Ini bukan kali pertama kerajaan Arab Saudi menghulurkan bantuan COVID-19 kepada Malaysia.

"Arab Saudi adalah antara negara terawal tampil menyalurkan sumbangan iaitu kira-kira lapan juta unit peralatan perubatan kepada Malaysia pada Mei tahun lalu," katanya. 

LIHAT VIDEO DI SINI

Wanita terlelap, kereta terjunam masuk sungai

Mangsa dikeluarkan dari kereta dengan bantuan orang ramai manakala 
kenderaannya pula dikeluarkan bomba menggunakan pengusung dan tali. 
(Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seorang wanita dipercayai terlelap ketika memandu sebelum kenderaannya terjunam ke dalam sungai, dalam kejadian di Kilometer 61, Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi, di Kota Tinggi, pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu berlaku ketika mangsa, Nurul Ain Shamyra Shariff, 22, memandu kereta Proton Persona secara bersendirian dari arah Sungai Rengit ke Kota Tinggi.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Hussin Zamora, mangsa dipercayai terlelap sebelum kereta dipandunya terjunam dan terbalik di dalam sungai.

“Kemalangan itu mengakibatkan mangsa mengalami kesakitan pada bahagian leher manakala keretanya rosak dan remuk di bahagian bumbung,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi Mohd Rafi Mohd Nor pula berkata 11 anggota bomba dikejarkan ke lokasi untuk membantu mangsa sebaik pihaknya menerima laporan kejadian pada 7.37 pagi.

Katanya, mangsa berjaya dikeluarkan dari kereta dengan bantuan orang ramai manakala kenderaannya pula dikeluarkan bomba menggunakan pengusung dan tali.

“Difahamkan, mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja di Pasar Borong Song Seng. Operasi menyelamat ditamatkan pada jam 8.18 pagi,” katanya.

Katanya, mangsa kemudiannya dihantar ke Klinik Kesihatan Air Tawar 2 sebelum dibawa mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Kota Tinggi.

DISYORKAN UNTUK ANDA:

  MEDAN BERITA POLITIK DALAM KEMBAR BLOG  ' AR RISALAH '

10 jangkitan baharu Covid-19 dikesan di Parlimen: KP Kesihatan

AGENDA DAILY

Ujian saringan Covid-19 dilakukan di Parlimen semalam. - Gambar Facebook

Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan mengesan 10 lagi kes jangkitan Covid-19 dikesan ketika kakitangan perubatan melakukan ujian saringan ke atas semua yang hadir di Parlimen sejak pagi hingga jam 8 malam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata seramai 1,183 individu menjalani ujian saringan pengesanan Covid-19 menggunakan ujian kendiri RTK Ag saliva test kit pada 29 Julai 2021.

Daripada jumlah itu katanya, sembilan kes dikesan positif Covid-19 menjadikan secara keseluruhan 10 kes setelah mengambil kira satu kes yang direkodkan pada pagi hari yang sama.

“Sebanyak dua daripada 10 kes positif tersebut mengalami gejala ringan tetapi stabil, manakala lapan kes tidak bergejala. Pejabat Kesihatan akan menyusuli selanjutnya ke atas 10 kes positif ujian saringan pengesanan Covid-19 tersebut.

“Secara keseluruhan, sebanyak sebelas kes positif telah dikesan pada 29 Julai 2021 iaitu 10 melalui RTK Ag saliva test kit dan satu melalui RT PCR,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata susulan pengesanan kes-kes positif tersebut, pasukan kesihatan akan menjalankan siasatan, penilaian risiko, pengesanan kontak, langkah-langkah pencegahan dan kawalan termasuk pembersihan dan disinfeksi di bangunan Parlimen.

“Semua yang akan hadir ke sesi Sidang Mesyuarat Khas Parlimen minggu hadapan dinasihatkan untuk menjalankan ujian saringan Covid-19 terlebih dahulu.

“Mereka yang bergejala disaran membuat pemeriksaan dan tidak hadir ke Parlimen. KKM akan memaklumkan dari semasa ke semasa perkembangan terkini hasil ujian dan pengesanan kontak rapat yang dijalankan,” katanya.

Warga emas P Pinang boleh ‘walk-in’ suntik vaksin bermula 2 Ogos

 
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, Pulau Pinang telah mencapai 
51.1% kadar suntikan dos vaksin pertama.

GEORGE TOWN: Warga emas di Pulau Pinang boleh menerima vaksin Covid-19 secara ‘walk-in’ atau jumpa terus di empat pusat pemberian vaksin (PPV) yang dikenal pasti mulai 2 Ogos depan, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Chow berkata keputusan itu dibuat menerusi mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 peringkat negeri semalam.

“Golongan warga emas sama ada yang telah berdaftar menerusi aplikasi MySejahtera atau sebaliknya dan belum memperoleh sebarang janji temu boleh ‘walk-in’ bermula 2 Ogos ini di PPV Dewan Millenium (Daerah Seberang Perai Utara); PPV SP Arena (Daerah Seberang Perai Tengah) dan PPV Dewan Serbaguna Jawi (Daerah Seberang Perai Selatan).

“Di bahagian pulau pula, sebuah lagi PPV mega iaitu di SPICE Convention Centre (SPICE CC) akan beroperasi bermula 1 Ogos dengan kapasiti 5,000 dos suntikan sehari dan PPV ini juga akan menerima warga emas secara walk-in untuk divaksinasi mulai 3 Ogos, khas kepada mereka yang menetap di Daerah Timur Laut dan Daerah Barat Daya,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata mereka yang merancang untuk mendapatkan vaksin secara jumpa terus perlu membawa dokumen diri khususnya kad pengenalan bagi proses pendaftaran serta imunisasi.

Menurut Chow setakat semalam, Pulau Pinang telah mencapai 51.1% kadar suntikan dos vaksin pertama.

“Kerajaan Negeri berjanji akan menggandakan lagi usaha ini bagi memastikan kita mencapai sasaran keseluruhan populasi dewasa negeri ini memperoleh sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin lebih awal daripada sasaran iaitu pada awal September depan,” katanya.

Sementara itu, Chow berkata kerajaan negeri juga akan terus mengambil pendekatan 3T iaitu saringan, pengesanan kontak dan rawatan sebagai usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di negeri ini.

“Apa yang kita lihat kini termasuk rekod catatan kes tertinggi semalam adalah hasil saringan besar-besaran yang dilaksanakan bukan hanya oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), malah juga daripada Program Penang Saring Covid Percuma dan inisiatif sendiri pihak industri khususnya,” katanya.

Chow berkata sehingga 12 tengah hari semalam, terdapat 51 kluster aktif dilaporkan iaitu 40 daripada sektor perkilangan, tempat kerja (7), institusi pendidikan (2) dan tapak bina (2).

“Berdasarkan laporan daripada JKNPP, sebanyak 155 buah kilang telah diarahkan tutup bagi tempoh Januari hingga 26 Julai tahun ini, berbanding 17 buah kilang pada tahun lepas,” katanya.

Ordinan Darurat perlu dibahas, kata pakar perundangan

Shamrahayu Ab Aziz berkata, Parlimen masih perlu merungkai dan membahaskan 
perihal Ordinan Darurat walaupun ia dijadual akan tamat pada 1 Ogos 2021. 
(Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Ordinan Darurat yang diisytiharkan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong perlu dibentang dan dibahaskan dalam sesi Dewan Rakyat, selagi baginda belum memperkenan untuk membatalkan ordinan berkenaan.

Penyandang Kursi Institusi Raja-raja Melayu di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shamrahayu Ab Aziz berkata, perkara itu termaktub dalam Perkara 150, Fasal 3, Perlembagaan Persekutuan.

“Sekiranya Seri Paduka tidak perkenankan lagi ordinan itu untuk ditarik balik, maka apabila Parlimen bersidang, ia boleh dirungkaikan dan tindakan terbaik adalah dengan membahaskan ordinan ini yang saya fikir boleh menyelesaikan segala kekusutan ketika ini.

“Selain itu perbahasan ini juga boleh mendatangkan kemakmuran kepada demokrasi dan sekiranya perundangan itu diikut, ia akan lebih menunjukkan ketelusan kerajaan,” katanya dalam program Ruang Bicara bertajuk ‘Subplot Ordinan Darurat’ di Bernama TV hari ini.

Menjelas lanjut, Shamrahayu berkata, Parlimen masih perlu merungkai dan membahaskan perihal Ordinan Darurat walaupun ia dijadual akan tamat pada 1 Ogos 2021.

Beliau berkata, sekiranya tidak dibahaskan, Perkara 150 Fasal 7 membolehkan Ordinan Darurat ini diteruskan selama enam bulan lagi selepas tarikh tamat pada 1 Ogos 2021.

Dalam pada itu, Shamrahayu berkata, teguran Yang di-Pertuan Agong menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara perlu diambil sebagai pengajaran oleh setiap pihak bahawa prinsip Raja Berperlembagaan kini memasuki dimensi baharu.

Menurutnya dalam perkembangan terkini, Seri Paduka dilihat boleh menasihati, memberi amaran dan menyuarakan pandangan baginda kepada pihak kerajaan.

Dalam kenyataan Istana Negara semalam, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan di Parlimen Isnin lepas bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat walhal ia belum lagi diperkenan.

Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah juga amat dukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dititahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan serta Peguam Negara Idrus Harun bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan dirungkaikan tidak dilaksanakan.