Selasa, 29 September 2015

Reezal bidas menteri ‘melompat’ yang tuduhnya tidak ikut protokol

 
Keputusan memanggil Duta China ke Wisma Putra dipersetujui Menteri Luar selepas berbincang dengan Perdana Menteri.


Reezal-Merican_Huang-Huikang_600


PETALING JAYA: Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican membidas pihak yang mendakwa beliau tidak mengikut protokol apabila memanggil Duta China ke Malaysia, Dr Huang Huikang ke Wisma Putra.

Tmbalan Menteri Luar itu berkata, tindakannya memanggil Duta Besar China adalah amalah biasa yang dibuat mengikut protokol selepas mendapat persetujuan Menteri dan Perdana Menteri.

Sebaliknya, beliau berkata, tindakan itu menjadi ‘luar biasa’ dan dianggap tidak ‘berprotokol’ apabila anggota pentadbiran kerajaan sendiri yang ‘melompat’ dan mula membuat tuduhan longgar terhadap tindakan yang diambil oleh Wisma Putra.

“Ingin saya tegaskan bahawa keputusan untuk memanggil Duta China dibuat oleh Wisma Putra setelah mendapat persetujuan daripada Menteri Luar selepas berbincang dengan Perdana Menteri.

“Semuanya dilakukan dengan penuh disiplin pentadbiran dan sejajar dengan amalan biasa Kementerian Luar Negeri.

“Adalah malang dan tidak benar sama sekali untuk membuat andaian bahawa saya sebagai Timbalan Menteri telah membuat keputusan sendiri tanpa mengikut prosedur dan protokol Wisma Putra,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Reezal Merican berkata, beliau kesal dengan tindakan pihak tertentu yang sewenang-wenangnya melemparkan tuduhan yang tidak berasas sehingga merumitkan usaha Wisma Putra untuk menyelesaikan sesuatu isu secara baik.

“Tindakan meremehkan keputusan kolektif yang dibuat di Wisma Putra adalah satu tindakan yang lemah, cetek dan cuai,” katanya.


Datuk Bandar KL nafi ‘double standard’ antara Bersih 4.0 dan Baju Merah

 
DBKL membenarkan mana-mana perhimpunan aman sekiranya ia diadakan di Padang Merbok.


Datuk-Mohd-Amin-Nordin-Abd-Aziz


KUALA LUMPUR : Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menafikan dakwaan bahawa pihaknya mengamalkan ‘double standard’ dalam isu himpunan Bersih 4.0 dan Baju Merah.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mohd Amin Nordin Abd Aziz berkata, pihaknya tidak pernah menghalang mana-mana perhimpunan sekiranya ia diadakan di Padang Merbok.

“Macam mana ada ‘double standard’? Tidak ada ‘double standard’lah. Kita benarkan mana-mana perhimpunan di Padang Merbok.

“Peserta perhimpunan Bersih 4 tidak dibenarkan menggunakan Padang Merbok kerana ia digunakan untuk keperluan logistik Hari Merdeka. Tetapi pada perhimpunan Baju Merah, padang tersebut tidak digunakan maka ia dibenarkan. Itu sahaja,” katanya kepada pemberita selepas Persidangan World Class Sustainable Cities Ketujuh di Hotel Royale Chulan pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau turut diminta mengulas mengenai kehadiran Duta Besar China ke Malaysia, Dr Huang Huikang ke Petaling Street baru-baru ini bertujuan untuk mengembalikan keyakinan pelancong China.

“Saya tak boleh komen itu. Bahaya,” ulasnya ringkas.

Khir Toyo dihukum 12 bulan penjara

Hafiz Yatim  






Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman setahun penjara ke atas bekas menteri besar Selangor Dr Khir Toyo selepas menolak rayuannya berhubung sabitan kes rasuah minggu lalu.

Mahkamah itu juga menolak tawaran doktor gigi berusia 50 tahun itu untuk melakukan khidmat masyarakat dengan menawarkan rawatan pergigian percuma kepada orang miskin sebagai ganti kepada hukuman penjara.

"Dalam analisis akhir, hukuman itu sepatutnya mencerminkan keseriusan kesalahan itu," kata Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin.

Hakim Zulkefli berkata peguam Khir Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah telah berhujah bahawa hukuman penjara perlu menjadi pilihan terakhir kerana anak guamnya merupakan pesalah kali pertama dan tiada keganasan terlibat.

Katanya, apa yang penting adalah kepentingan awam dan ia (hukuman itu) tidak boleh diubah jika ia tidak menyalahi undang-undang.

Hakim Zulkefli berkata khidmat masyarakat adalah tidak mencukupi kerana ia adalah untuk pesalah muda dan kesalahan ringan.

"Khidmat masyarakat tidak terpakai. Tindakannya (Khir) telah menyebabkan gangguan keyakinan terhadap penjawat awam," katanya. [Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Dr Mohamad Khir dihantar ke penjara Kajang.

Pada 22 September, panel itu menolak rayuan akhir Dr Mohamad Khir dan mengekalkan sabitan terhadap pertuduhan memperoleh untuk diri dan isterinya, Zahrah Kechik, dua lot tanah dan sebuah banglo di Seksyen 7, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarahnya, Datuk Shamsuddin Hayroni.

Hartanah itu dibeli pada harga RM3.5 juta sedangkan Ditamas membayar RM6.5 juta untuk hartanah itu pada 23 Dis 2004.

Bekas ADUN Sungai Panjang itu didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi menteri besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam, pada 29 Mei 2007.

Dr Mohamad Khir, yang merupakan menteri besar dari Ogos 2000 hingga Februari 2008, didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dr Mohamad Khir, 50, yang berada dalam keadaan berdiri dalam kandang tertuduh, kelihatan tenang semasa mahkamah menjatuhkan hukuman itu.

Mahkamah penuh sesak dengan anggota keluarga, orang ramai dan wakil media. Isteri beliau Zahrah, 50, turut hadir.

Hakim lain yang bersidang dalam panel itu ialah Hakim Tan Sri Ahmad Maarop, Hakim Tan Sri Hasan Lah, Hakim Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha dan Hakim Datuk Ramly Ali.

Dr Mohamad Khir, bapa enam anak, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapatinya bersalah dan menjatuhi hukuman penjara 12 bulan atas pertuduhan menggunakan kuasanya untuk memperoleh tanah dan sebuah banglo di Shah Alam pada 2007.

Mahkamah Persekutuan turut mengekalkan perintah Mahkamah Tinggi supaya hartanah terbabit dilucuthak dan diserahkan kepada kerajaan.

Doktor gigi itu membawa kesnya ke Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuannya pada 30 Mei 2013.

Dr Mohamad Khir diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah manakala Timbalan Pendakwa Raya Idham Abdul Ghani mewakili pihak pendakwa raya.


Pelakon Samzy Kekal Hukuman Penjara, Sebat

Oleh: SALWA SHA’ARI


Samzy Fuzette A. Samad didapati bersalah kerana memiliki syabu enam tahun lalu.
Samzy Fuzette A. Samad didapati bersalah kerana memiliki syabu enam tahun lalu. 
 
SHAH ALAM: Bekas pelakon, Samzy Fuzette A. Samad yang juga abang kepada pelakon, Zizie Ezette kekal menjalani hukuman penjara, selepas Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, menolak rayuannya berhubung kesalahan memiliki syabu, enam tahun lalu.

Samzy pernah mencuba nasib dalam industri seni menerusi drama Cucu-Cucu Atuk dan Seri Istana.

Pada Selasa, Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 30 bulan dan tiga sebatan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret Ampang, dekat sini, terhadap Samzy dan memerintahkan agar hukuman tersebut bermula pada hari ini.

Sebaik sahaja Mohtarudin membacakan penghakiman beliau, Samzy yang memakai baju kemeja berwarna putih dan berseluar hitam dilihat menggelengkan-gelengkan kepala, manakala isterinya, Sarinah Mohammad, 32, yang berada di galeri awam mahkamah menangis teresak-esak.

Sarinah kemudiannya menghampiri Samzy yang sudah digari oleh anggota polis dan bekas pelakon yang kini menjalankan perniagaan sendiri itu memeluk wanita berkenaan bagi menenangkannya.

Samzy yang juga abang ipar kepada Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin menerusi perkahwinan ahli politik itu dengan Zizie Ezette kemudiannya dibawa keluar oleh anggota polis untuk dihantar ke lokap mahkamah.

Pada penghakimannya, Mohtarudin berkata, beliau menolak hujahan yang dikemukakan oleh peguam Samzy, Muhammad Faiz Fadzil bahawa terdapat kemungkinan bahawa dadah syabu itu diletakkan oleh orang lain termasuklah oleh anggota polis yang membuat serbuan atas maklumat orang awam.

"Pada pendapat mahkamah, tidak ada sebab yang munasabah mengapa polis meletakkan dadah dalam beg perayu. Jika dadah bukan milik perayu ia perlu disoal-balas kepada pegawai tangkapan atau pegawai penyiasat

"Jika benar dadah bukan miliknya ia perlu diberitahu kepada pihak polis seawal mungkin," katanya.

Mohtarudin juga menyifatkan pembelaan Samzy yang disokong oleh rakan serumahnya, Salehuddin Zaharuddin, 37, sebagai pembelaan yang difikirkan semula.

Berhubung hukuman yang dijatuhkan oleh Majistret Aida Mastura Mohamed Aman, Mohtarudin berkata hukuman tersebut adalah tidak terlalu tinggi dan bersesuaian dengan kesalahan yang dilakukan Samzy.

Hukuman tersebut dijatuhkan pada 30 November 2010 selepas Aida Mastura yang mendengar keterangan tujuh saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan mensabitkan Samzy bersalah atas pertuduhan yang dihadapi.

Samzy yang mempunyai tiga orang anak didakwa memiliki dadah itu pada pukul 3.30 petang, 11 April 2005 di rumah beralamat DG-W4, Kondominium Villa Ria, Taman Bukit Mulia, Jalan Mulia 1/5, Bukit Antarabangsa, dekat sini.

Dadah tersebut disimpan dalam 10 paket plastik lut sinar dan dijumpai dalam beg pinggang berwarna hitam dan di dalam beg tersebut terdapat dompet yang mengandungi kad pengenalan dan dokumen peribadi Samzy.

Semasa ditangkap, terdapat tujuh orang di dalam rumah tersebut dan Samzy didakwa sedang tidur di salah satu bilik bersama Nur Baizura Che Man, 29, yang dipanggil sebagai saksi pendakwaan ketujuh.

Terdahulu, Muhammad Faiz menghujahkan bahawa terdapat kemungkinan bahawa dadah berkenaan adalah milik salah seorang daripada individu di dalam rumah memandangkan mereka mempunyai laluan ke dalam bilik Samzy yang tidak berkunci, selain mereka semua didapati positif syabu.

"Rakan serumah perayu, Salehuddin juga memberitahu bahawa mereka telah berkongsi wang untuk membeli dadah dan menghisapnya serta tidak lagi mempunyai bekalan dadah, lalu masuk tidur sehinggalah mereka ditangkap, " katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Rosidah Abu Bakar membidas hujahan tersebut dengan berkata bahawa, tiada sebarang penafian dilakukan oleh Samzy berhubung pemilikan beg tersebut yang ditemui di atas katil bilik perayu.

"Tiada keterangan sekiranya bilik perayu boleh dimasuki oleh orang lain ataupun sekiranya terdapat orang lain di dalam bilik tersebut," katanya.

Terdahulu, sebaik sahaja kesnya dipanggil, Samzy meminta agar wartawan yang hadir membuat liputan agar mendoakannya.

"Tolong doakan saya ya..." katanya.

Baiki Pusara P.Ramlee, Saloma RM25,000 Haram - Mufti Selangor

 
 
 Beginilah keadaan pusara P.Ramlee yang roboh akibat dihempap pokok pada Mac lalu. Gambar: Utusan Malaysia
Beginilah keadaan pusara P.Ramlee yang roboh akibat dihempap pokok pada Mac lalu. Gambar: Utusan Malaysia
 

PETALING JAYA: Pusara Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan isterinya Puan Seri Saloma yang bakal dibaik-pulih dengan kos mencecah RM25,000 adalah haram hukumnya di sisi agama Islam.

Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid berkata, Islam mengharamkan sesebuah pusara itu dihias secara berlebih-lebihan apatah lagi pengubahsuaian itu dilakukan di atas sebuah tanah wakaf.

“Kos RM25,000 itu sangat tinggi untuk menghias sesebuah pusara dan saya percaya ia pasti menggunakan batu marmar yang mahal.

"Malah dalam Islam sendiri sudah jelas memberitahu haram jika pusara dihias secara berlebih-lebihan di tanah wakaf melainkan ia adalah tanah persendirian,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Pada 21 Ogos lalu sebuah akhbar melaporkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) akan melakukan pengubahsuaian terhadap pusara P.Ramlee dan Saloma selepas ia roboh akibat dihempap pokok pada Mac lalu.

Ketua Pengarah agensi itu, Raja Rozaimie Raja Dalnish Shah dalam laporan berkenaan berkata, kerja-kerja pengubahsuaian tersebut mengambil sedikit masa memandangkan bahan binaan pusara berkenaan diimport dari luar negara yang turut mencecah RM25,000.

Pusara berkenaan terletak di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang dekat sini.

Dalam pada itu Mohd Tamyes berkata, setiap pusara di tanah wakaf hanya boleh dihias tidak melebihi setengah kaki selain dilarang sama sekali membina makam atau bangunan pusara berbentuk kekal kerana ia mungkin akan diguna semula pada masa akan datang jika tanah sudah penuh.

Tambah beliau, walaupun matlamat pihak yang mahu menghias sebuah pusara itu sebagai ingin mencantikkan tempat berkenaan tetapi biarlah hiasan pusara dapat memberi manfaat seperti menanam pokok-pokok renek yang akan mendoakan si mati agar mengurangkan dosa-dosa kecil mereka semasa di dunia.

"Senang cerita, kewajipan manusia pada jenazah hanya empat iaitu memandikan, mengapankan, sembahyangkan dan mengebumikannya. Ini yang wajib dan menghias bukanlah dalam perkara wajib," tegasnya yang turut menyifatkan kos pembinaan itu adalah satu pembaziran.

Sementara itu, pendakwah dan pembimbing jemaah Haji, Ustaz Mohd Hasnil Abu Bakar pula berkata pihak Finas perlu mendapatkan nasihat dan pandangan daripada pihak berkuasa agama Islam sebelum meneruskan perancangan membaik pulih pusara berkenaan.

"Memanglah P.Ramlee milik masyarakat dan Allahyarham disayangi ramai.

"Tetapi untuk membaik pulih pusara dengan kos seperti itu, lebih baik mereka berbincang dahulu bagi mendapatkan nasihat yang sepatutnya oleh pihak berkuasa Agama Islam ataupun mufti-mufti,” katanya.

Tambah beliau, jika pembinaan pusara itu dibuat secara keterlaluan, ditakuti wujudnya unsur-unsur syirik dengan aktiviti pemujaan untuk generasi akan datang sehingga menjadi tempat penyebaran ajaran sesat.

“Adalah lebih baik wang itu digunakan untuk membuka maahad tahfiz P.Ramlee kerana ia akan mendatangkan lebih manfaat kepada umat Islam dan juga si mati sendiri,” katanya.

Ditanya siapakah yang berdosa jika projek berkenaan diteruskan Mohd Hasnil berkata, pihak yang terlibat membinanya akan menanggung dosa itu dan bukannya si mati.

Yayasan Afdlin Shauki Bantu Golongan Kurang Bernasib Baik

Oleh: MOHD AL QAYUM AZIZI
 
 
Afdlin bakal menubuhkan yayasan bagi membantu golongan dalam kesusahan dan memerlukan.
 
 
PETALING JAYA: Pelakon dan pengarah Afdlin Shauki bakal menubuhkan sebuah yayasan dalam usahanya membantu golongan kurang bernasib baik selain menyalurkan bantuan kepada pelarian Syria dan Palestin.

Afdlin, 45, berkata, tujuan utama penubuhan yayasan diberi nama Yayasan Afdlin Shauki itu dengan niat untuk berbakti kepada masyarakat selain ibadah kepada Allah.

"Sebelum ini saya dan beberapa rakan ada terlibat dalam beberapa aktiviti amal dan kebetulan sahabat baik saya mencadangkan idea untuk membuka yayasan tersebut.

"Alhamdulillah setakat ini proses menubuhkan Yayasan Afdlin Shauki berjalan lancar dan ini adalah satu ibadah dalam memberi manfaat kepada masyarakat," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Tambah Afdlin, dia juga berhasrat untuk menghulurkan bantuan kepada golongan selebriti terutamanya pelawak yang memerlukan pertolongan akibat sakit dan sebagainya.

Afdlin bersama sahabatnya ketika terlibat dalam misi menghantar bantuan kepada mangsa banjir 
di Kelantan tahun lalu.

"Menjadi hasrat saya juga untuk membantu rakan-rakan dalam industri terutamanya pelawak sekiranya mereka mengalami kesusahan namun yayasan ini tidak tertumpu kepada selebriti sahaja tetapi kepada mereka yang memerlukan," jelasnya.

Dalam pada itu, Afdlin bersyukur apabila niatnya untuk menubuhkan yayasan berkenaan mendapat sokongan daripada pelbagai pihak yang ingin sama-sama menghulurkan bantuan terutama dari segi pengumpulan dana.

Malah kata Afdlin, beberapa projek kerjasama bersama yayasan lain dilaksanakan sebelum ini turut mendapat perhatian dan ia bukti masyarakat di negara ini prihatin untuk membantu golongan kurang bernasib baik.

"Alhamdulillah... Allah permudahkan usaha kami semua dan masih ramai sebenarnya yang mengambil berat untuk menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan.

"Saya juga terbuka sekiranya ada rakan artis, pengamal media atau pun orang awam ingin turut serta dalam projek amal kami," jelasnya.

Wisma Putra batal arahan panggil Duta China

 
Pembatalan itu dibuat oleh Wisma Putra menerusi sekeping surat yang dikeluarkan pada Isnin atas arahan Pemangku Menteri Luar.


wisma-putra-china


PETALING JAYA: Pemangku Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin telah membatalkan arahan memanggil Duta China ke Malaysia, Dr Huang Huikang yang telah dibuat oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Sin Chew Online melaporkan, pembatalan itu dibuat menerusi sekeping surat yang dikeluarkan oleh pihak Wisma Putra.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Reezal Meracan Naina Merican memanggil Huang ke Wisma Putra selepas mengeluarkan kenyataan yang dianggap sebagai campurtangan daripada pihak asing ketika melakukan lawatan di Petaling street baru-baru ini.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, tindakan Reezal itu tidak mengikut protokol kerana hanya Menteri Luar boleh mengeluarkan arahan itu selepas berunding dengan Perdana Menteri.

Reezal dikatakan bertindak demikian dengan tujuan mahu menyoal siasat Duta berkenaan ekoran kenyataannya itu.

Bagaimanapun, Huang dalam kenyataan selepas itu membidas tuduhan Reezal dengan menyatakan bahawa kunjungannya itu sebagai satu lawatan muhibbah.

Huang juga menyatakan bahawa beliau tidak menerima sebarang panggilan daripada Wisma Putra walaupun Kementerian Luar menerusi kenyataan media pada Ahad mengesahkan memanggil Duta China ke Malaysia itu unttuk mendapatkan penjelasan.

Hamzah merupakan bekas Timbalan Menteri Luar dan dilantik Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan selepas rombakan 28 Julai lalu.

Reezal Merican pula pertama kali dilantik ke dalam Kabinet sebagai Timbalan Menteri Luar Negeri.

Khairuddin fail habeas corpus cabar penahanannya


Beliau mendakwa penahanan mengikut Sosma 2012 tidak sah kerana perbuatannya tidak mempunyai elemen keganasan.


khairuddin-hassan


PETALING JAYA: Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan memfailkan permohonan Habeas Corpus (penahanan salah) bagi mencabar penahanannya mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) atas cubaan mensabotaj dan menjejaskan negara.

Notis Permohonan habeas corpus itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi melalui peguamnya, Fahmi Abdul Moin.

Dalam notis itu, Khairuddin berkata, penahanannya dibuat secara salah kerana perbuatannya tidak ada unsur-unsur keganasan.

Sehubungan itu, dia memohon pembebasannya serta merta.

Beliau menamakan pegawai polis, Habibi Majinji, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainol Samah dan Ketua Polis Negara sebagai responden.

Khairuddin disiasat mengikut Seksyen 124K dan 124L Kanun Keseksaan kerana dakwaan cuba mensabotaj kerajaan.

Dia ditahan mengikut Sosma 2012 yang membenarkan polis menahannya selama 28 hari tanpa perlu mendapat perintah makkamah.

Portal berita pro-BN digodam

 
Gara-gara digodam BNBBC operasi portal BNBBC terpaksa dihentikan buat sementara waktu sehingga keadaan kembali pulih.


bnbbc-hacked


PETALING JAYA: Laman portal berita Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) terpaksa ditutup buat sementara selepas digodam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sejak tiga hari lalu.

Editor portal berkenaan, Roslan Bian ketika dihubungi FMT memberitahu, pihaknya menyedari perkara itu sejak Sabtu lepas dan sedang mengesan penggodamnya.

Menurut beliau, tambah mengejutkan apabila penggodam mengetahui kata laluan untuk masuk ke laman web portal itu dan mengubah maklumat yang disiarkan.

“Kita mengagak perkara ini dilakukan oleh pihak yang tidak berpuas hati. Tapi saya pasti ia bukan angkara kakitangan atau mereka yang pernah bekerja dengan portal ini,” katanya.

Roslan berkata, setakat ini pihaknya belum lagi berhasrat untuk membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Portal berkenaan hari ini telah menyiarkan sebuah artikel dengan tajuk yang sangat memalukan apabila mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan satu hukuman yang tidak pernah dilakukan di negara ini.

Tajuk pada artikel itu ditulis `Najib Dijatuhkan Hukuman Potong Kxxx’ yang telah mendapat pelbagai reaksi terutama dalam kalangan pengamal media.

Bagaimanapun, kandungan berita serta gambar yang disiarkan adalah berkaitan pendakwaan melibatkan suspek kes bunuh Timbalan Pendakwaraya, Anthony Kevin Morais yang didakwa di Mahkamah Majistret hari ini.

Pemimpin UMNO punca masalah perkauman – Orang Asal

 
Perbuatan pemimpin UMNO membiarkan Himpunan Baju Merah membuktikan mereka menyokong perkauman dan seolah-olah merestui orang Melayu membenci kaum lain khususnya orang Cina. 


orang-asli_umno_600


PETALING JAYA: Pemimpin UMNO patut dipersalahkan kerana menyebabkan ketegangan kaum di negara ini menjadi semakin memuncak.

Dakwaan itu dibuat oleh Naib Presiden Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS), Yusri Ahon.

Dia berkata, perbuatan pemimpin UMNO membiarkan Himpunan Baju Merah membuktikan mereka menyokong perkauman dan seolah-olah merestui orang Melayu membenci kaum lain khususnya orang Cina.

“Himpunan Baju Merah itu hanya akan menjejaskan keharmonian antara masyarakat berbilang kaum kerana hanya disertai orang Melayu.

“Tidak seperti Himpunan Bersih 4.0 yang disertai dan disokong pelbagai kaum dan agama.

“Jadi bagi saya, jelas isu perkauman ini dibawa UMNO sendiri yang merupakan tulang belakang kepada Kerajaan pemerintah,” katanya ketika dihubungi Free Malaysia Today (FMT).

Yusri yang juga Ahli Jawatankuasa Jaringan Kampung Orang Asli Pahang (JKOP) berkata, sekiranya pemimpin-pemimpin UMNO yang memperjuangkan perkauman dilantik ke jawatan penting dalam kerajaan, dia membayangkan akan wujud isu perkauman yang lebih dasyat pada masa akan datang.

“Selagi kerajaan tak ubah pendirian dan pendekatan, masalah perkauman akan terus menjadi bahaya. Ini terjadi kerana isu perkauman dibawa oleh pemimpin-pemimpin UMNO itu sendiri,” katanya.

Sehubungan itu, Yusri mendesak kerajaan mengambil pendekatan berbeza untuk menyelesaikan masalah perkauman untuk mengelak ia menjadi semakin buruk sehingga membinasakan negara.

Ditanya adakah pembangkang sengaja memgambil kesempatan di atas isu perkauman, Yusri berkata, pembangkang tidak sepatutnya dipersalahkan kerana menjadi kelaziman pihak lawan untuk menggunakan kelemahan sebagai senjata.