Gara-gara digodam BNBBC operasi portal BNBBC terpaksa dihentikan buat sementara waktu sehingga keadaan kembali pulih.
PETALING JAYA: Laman portal berita Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) terpaksa ditutup buat sementara selepas digodam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sejak tiga hari lalu.
Editor portal berkenaan, Roslan Bian ketika dihubungi FMT memberitahu, pihaknya menyedari perkara itu sejak Sabtu lepas dan sedang mengesan penggodamnya.
Menurut beliau, tambah mengejutkan apabila penggodam mengetahui kata laluan untuk masuk ke laman web portal itu dan mengubah maklumat yang disiarkan.
“Kita mengagak perkara ini dilakukan oleh pihak yang tidak berpuas hati. Tapi saya pasti ia bukan angkara kakitangan atau mereka yang pernah bekerja dengan portal ini,” katanya.
Roslan berkata, setakat ini pihaknya belum lagi berhasrat untuk membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
Portal berkenaan hari ini telah menyiarkan sebuah artikel dengan tajuk yang sangat memalukan apabila mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan satu hukuman yang tidak pernah dilakukan di negara ini.
Tajuk pada artikel itu ditulis `Najib Dijatuhkan Hukuman Potong Kxxx’ yang telah mendapat pelbagai reaksi terutama dalam kalangan pengamal media.
Bagaimanapun, kandungan berita serta gambar yang disiarkan adalah berkaitan pendakwaan melibatkan suspek kes bunuh Timbalan Pendakwaraya, Anthony Kevin Morais yang didakwa di Mahkamah Majistret hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan