Isnin, 30 April 2018

Bantah calon PPBM, bilik operasi PH Tendong ditutup

 
Timbalan Ketua PPBM Pasir Mas berkata Wan Zulkhairi bukan anak tempatan dan pencalonannya tidak menghormati keputusan ketua bahagian. 



Keadaan pusat operasi utama PH/PPBM di Tendong sebelum dan selepas ditutup.


PASIR MAS: Pakatan Harapan (PH) DUN Tendong, Pasir Mas bertindak menutup bilik operasi utama bagi kempen pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kerana membantah pencalonan Wan Zulkhairi Wan Mad Zain sebagai calon PPBM di DUN tersebut.

Timbalan Ketua PPBM Pasir Mas, Samsudin Samad berkata, keputusan pucuk pimpinan PPBM memilih Wan Zulkhairi yang juga bukan anak tempatan sebagai calon jelas tidak menghormati keputusan ketua bahagian yang menyenaraikan 3 calon tempatan untuk bertanding di Tendong.

“Kita adakan sidang media khusus untuk menyampaikan mesej yang sangat jelas bahawa kita PPBM peringkat DUN Tendong terkilan dan tidak puas hati dengan pemilihan calon di sini.

“Jadi kami PPBM di peringkat DUN Tendong memutuskan untuk tidak membantu calon yang dipilih dan menutup dan merobohkan bilik operasi utama PPBM dan PH DUN Tendong,” katanya semasa sidang media di Pasir Mas hari ini sambil memaklumkan keputusan menutup bilik operasi ini mencalarkan kedudukan PPBM di DUN Tendong.

Samsudin berkata, berdasarkan calon tempatan yang disenarai pendek ketua bahagian untuk bertanding di Tendong adalah beliau sendiri, penyelaras DUN Tendong yang juga naib ketua PPBM Pasir Mas, Nuur Zabar Kamarnordin dan Zahid Harin yang juga bekas ketua pengarah Mara Kelantan.

Sementara itu, Nuur Zabar mendakwa pengerusi PPBM Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Noor sebagai penipu kerana mengenepikan ketepikan peranan ketua bahagian.

“Beliau berjanji pemilihan calon dari ketua bahagian, beliau tidak mengotakan janji, Datuk Kamaruddin dia tipu kita sebab itu kita marah,” katanya sambil mendakwa Wan Zulkhairi adalah kroni Kamaruddin.

Pada PRU kali ini, Tendong bakal menyaksikan pertandingan 4 penjuru antara Zulkhairi,
penyandangnya Rozi Muhamad (PAS), Yahaya Mamat (BM) dan Datuk Ibrahim Ali (bebas).

PRU lepas, Rozi memenangi kerusi Tendong dengan majoriti tipis 978 undi menewaskan Datuk Hanafi Mamat dari BN.

Manifesto PH Kelantan yang mengarut

DR KAMARUL ZAMAN YUSOFF

 
 
SALAH satu daripada 11 tawaran utama Manifesto Pakatan Harapan (PH) Kelantan yang dilancarkan pada malam 28 April 2018 adalah berbunyi “Mewujudkan jawatan-jawatan anggota yang dilantik dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan terdiri daripada wanita dan golongan minoriti melalui kajian peruntukan yang berkaitan”.
 
Inilah masalah utama dengan PH Kelantan yang diketuai oleh Husam Musa ini yang kelihatan terlalu ghairah menjanjikan bulan bintang kepada rakyat Kelantan semata-mata untuk mendapatkan sokongan mereka sehingga gagal menyemak terlebih dahulu apakah janji yang dibuat olehnya ini boleh dilaksanakan atau tidak.
 
Sepatutnya Husam Musa selaku Penasihat PAN Kelantan dan Wan Abdul Rahim Wan Abdullah selaku Pengerusi PAN Kelantan yang merupakan bekas Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan tahu bahawa janji ini turut terkandung di dalam Manifesto PAS Kelantan pada PRU 1990 bertajuk “Membangun Bersama Islam”.

Dan sepatutnya mereka juga tahu bahawa janji ini tidak dapat dilaksanakan kerana seperti yang dijelaskan oleh bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman kepada Mesyuarat Badan Perhubungan PAS Kelantan pada 28 Mac 1991, ia adalah bertentangan dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan. Jika tidak kerana itu, sudah lama janji ini dilaksanakan oleh Kerajaan Kelantan. - HARAKAHDAILY


Surat terbuka kepada anak pemimpin yang meninggalkan perjuangan ayah

ABDUL HADI AWANG

 
 
KAMU juga seperti anak-anak saya,
 
Selamat bersama bahtera PAS dan Gagasan Sejahtera. Bacalah Al-Quran, jangan baca Facebook sahaja.
 
Al-Quran mengisahkan anak Nabi Nuh A.S yang memperlekehkan bahtera ayahnya dan lebih yakin kepada bukit yang dapat dilihat gagah boleh menyelamatkannya daripada taufan terbesar, maka bahtera ayahnya ditinggalkan.
 
Sepatutnya anak-anak pemimpin PAS tidak bersama bahtera Pakatan Harapan (PH) yang menjadi nakhodanya Tun Mahathir dan pembantunya yang menebuk bahtera Barisan Nasional (BN) sehingga menjadi bocor dimasuki air dan juga sangat membahayakannya. Maka PAS tidak bersama BN dan tidak juga PH.
 
Apa yang menarik bahtera PH mengumpulkan kumpulan DAP yang anti Islam secara terbuka. Pemimpin utamanya pula pemikir pemutar alam yang dilihat bijaksana tanpa bijaksini, lebih memenangkan akal terhadap nas Al-Quran dan tidak yakin kepada Kitab-kitab Hadis seperti Sahih Bukhari, Muslim dan lain-lain, serta tidak percaya kepada para ulama dalam perkara politik.
 
Bersama PH juga adalah kumpulan Islam Liberal dan pengamat politik yang tidak matang dan sejahtera. Mereka semata-mata mahu melompat ke Putrajaya dan pernah terpaksa berpatah balik melompat ke Kajang yang menjadikannya makin jauh daripada Putrajaya.
 
Kajian politiknya mengira di atas kertas dan memegang telefon bimbit secara mudah, bukannya dirujuk betul di atas lapangan rakyat secara terperinci.
 
Penasihat Gerakan Islamnya pula daripada Arab yang berbahasa Al-Quran tetapi tidak matang menterjemahkan politik Islam dalam Bahasa Malaysia dan berpijak di buminya.
 
Ada kalangan yang hanya menarik kepada perkataan Arabnya seperti Tarbiyah, Wala’, Baiah dan lain-lain tanpa mendalami di mana bumi yang dipijak dan masyarakat yang berbeza. Tidak memahami betapa generasi awal membaharukan dan mengubah baiah di tempat dan masa yang berbeza. Tidak memahami bahawa gerakan tajdid dahulu tidak lagi menjadi tajdid terkini setelah berlalu masa setengah abad, jarak negara yang jauh dan masyarakatnya juga berlainan.
 
Diterima pakai juga penasihat bukan Islam dan makhluk negara asing yang tidak berniat ikhlas terhadap Islam dan negara kita yang tercinta ini. Mereka hanya menjadikan kita catur permainan politiknya.
 
Akhirnya menubuhkan parti sendiri yang tidak memimpin bersama Islam tetapi dijadikan laksana melukut di hujung gantang. Kalau menang tidak bermaya, kalau kalah ditelan gelombang.
 
Saya bacakan untuk semua firman Allah: 
 
قُلْ إِنَّمَا أَعِظُكُم بِوَاحِدَةٍ ۖ أَن تَقُومُوا لِلَّهِ مَثْنَىٰ وَفُرَادَىٰ ثُمَّ تَتَفَكَّرُوا ۚ مَا بِصَاحِبِكُم مِّن جِنَّةٍ ۚ إِنْ 
 هُوَ إِلَّا نَذِيرٌ لَّكُم بَيْنَ يَدَيْ عَذَابٍ شَدِيدٍ (46
 
(“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Aku hanyalah mengajar dan menasihati kamu dengan satu perkara sahaja, iaitu: hendaklah kamu bersungguh-sungguh berusaha mencari kebenaran kerana Allah semata-mata, sama ada dengan cara berdua (dengan orang lain yang akrab), atau seorang diri; kemudian hendaklah kamu berfikir sematang-matangnya (untuk mengetahui salah benarnya ajaran-Ku)". Sebenarnya tidak ada pada (Muhammad) yang menjadi sahabat kamu sebarang penyakit gila (sebagaimana yang dituduh); ia hanyalah seorang Rasul pemberi amaran kepada kamu, sebelum kamu ditimpa azab yang berat (di Akhirat).” (Surah As-Saba’: 46) 
 
العبرة بعموم اللفظ لا بخصوص السبب
 
“Pengajaran yang diambil daripada sesuatu ayat adalah berdasarkan maknanya yang umum bukan semata-mata bergantung kepada sebab penurunannya yang khusus.” 
 
Beberapa orang yang berusia yang bersama Hasan Al-Banna dan Al-Maududi, masih hidup panjang usianya hanya mengeluh kepada saya. “Apa nak dibuat?”. Jawab saya: “Selamatkan sekadar yang dapat”.
 
“Sejahtera Bersama Islam” 
 
ABDUL HADI AWANG 
Presiden PAS
Bertarikh: 14 Syaaban 1439 / 30 April 2018 – HARAKAHDAILY


Sanjeevan bebas tuduhan pemerasan

THE MALAYSIAN TIMES
 


SEREMBAN: Mahkamah Majistret Seremban hari ini melepaskan dan membebaskan Pengerusi Pasukan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), Datuk R. Sri Sanjeevan daripada pertuduhan pemerasan dua tahun lepas.

Majistret Mohd Zaki Abd Rahman membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Sanjeevan.

“Setelah mendengar keterangan 12 saksi pendakwaan mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie dan oleh itu mahkamah melepaskan tertuduh daripada pertuduhan ini,” kata Mohd Zaki.

Mengikut pertuduhan, Sanjeevan didakwa dengan sengaja melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan kepada Goh Toh Hon di Plaza Tol Nilai Lebuhraya Utara-Selatan pada kira-kira pukul 10.45 malam, 22 Jun 2016.

Sanjeevan didakwa akan mendedahkan aktiviti perjudian haram yang dikendalikan oleh Goh dan sekali gus mendorong mangsa dengan curangnya menyerahkan wang tunai berjumlah RM25,000 kepada tertuduh.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Saiful Hazmi Mohd Saad dan Shukor Abu Bakar manakala tertuduh diwakili peguam S.Prakash dan Gobind Singh Deo.— Bernama

Polis rampas 16 dron pada hari penamaan calon – IGP

THE MALAYSIAN TIMES



KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas 16 dron yang yang diterbangkan secara haram di kawasan penamaan calon di seluruh negara Sabtu lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata tindakan itu diambil susulan laporan berhubung penggunaan dron tanpa permit sah daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

Mana-mana pihak boleh menggunakan dron tetapi mereka perlu mendapatkan kebenaran daripada DCA terlebih dahulu, katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Peringkat Bukit Aman di sini, hari ini.

Beliau berkata laporan mengenai penggunaan dron itu adalah antara 30 aduan yang diterima PDRM berkaitan proses penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada hari berkenaan.

Katanya laporan lain termasuk daripada calon PKR Dr S. Streram yang mendakwa polis menghalang beliau daripada mengemukakan borang pencalonan PRU14 bagi Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Negeri Sembilan.

“Kita telah menerima dua laporan polis termasuk daripada beliau sendiri (Dr S. Streram) berhubung perkara itu. Dakwaan itu adalah tohmahan semata-mata kerana pihak polis hanya menerima dan bertindak mengikut arahan daripada pegawai pilihan raya.

“Bagaimanapun, siasatan terperinci sedang dijalankan dan akan merujuk perkara ini kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) apabila kertas siasatan telah lengkap,” katanya.

Sabtu lepas, SPR mengisytiharkan Datuk Mohamad Hasan yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan menang tanpa bertanding kerusi DUN Rantau selepas calon PKR itu tidak dapat menyerahkan kertas pencalonannya kerana gagal mengemukakan pas calon kepada pihak berkuasa.

Terdahulu pada majlis itu, 214 pegawai dan anggota dianugerahkan pingat Jasa Pahlawan Negara (PJN) bagi menghargai semangat kepahlawanan dan pengorbanan mereka sepanjang berkhidmat dengan PDRM.– Bernama

AZMIN BERHENTILAH MENYALAK – AZWAN




Sebaik pentas kempen dibuka pada Sabtu, selebriti kontroversi, Azwan Ali hari ini terus membelasah abangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mempersoalkan jika beliau diupah untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa.

Azwan yang dikenali sebagai Diva AA, berkata kenyataan Azmin itu sebaliknya mencerminkan dirinya sebagai seorang pemimpin yang terdesak, yang berharap untuk kekal di DUN Bukit Antarabangsa.

“Sayang sekali! Ini membuktikan kamu (Azmin) seorang yang malang. Calon yang terdesak. Beliau sudah membuktikan pemikiran kelas bawahannya. Berhenti menyalak. Dosa kamu di tangan saya.

“Diva AA adalah peguam profesional. Tutup mulut kamu sebelum saya saman kamu (Azmin),” kata graduan bidang undang-undang itu, yang juga mendakwa beliau mengetahui banyak rahsia abangnya.

Azwan berkata, beliau memilih untuk bertanding sebagai calon Bebas di Bukit Antarabangsa untuk menghalang rakyat Selangor daripada terus menerus diperbodohkan oleh Mohamed Azmin, yang juga Menteri Besar sementara dan Timbalan Presiden PKR.

Tambahnya, Mohamed Azmin yang mentadbir Selangor tidak mengotakan janji yang dibuatnya kepada orang ramai.

“Ia hanyalah janji, yang kita lihat tidak dikotakan. Saya juga akan berusaha untuk menghentikan perbuatan politik rasuah termasuk yang ada dalam kerajaan.

“Selain itu, saya (mahu) segera menghentikan krisis air di Selangor. Pemimpin sebelum ini bodoh sombong. Mereka bodoh tetapi bersikap ego,” kata pengacara televisyen itu kepada NSTP.




Terdahulu, ketika diminta mengulas tentangan daripada adiknya, Azwan di DUN Bukit

Antarabangsa, Mohamed Azmin mempersoalkan agenda Azwan untuk bertanding demi rakyat atau sekadar mengikut telunjuk segelintir pihak.

“Sesiapa pun boleh bertanding kerana akhirnya kena serahkan kepada kebijaksanaan rakyat untuk membuat pilihan.

“Soalnya sekarang apakah calon itu (Azwan) serius untuk mengangkat suara rakyat atau diupah, dihantar untuk tujuan tertentu?

“Pengundi hari ini, khususnya golongan milenium amat matang dan mereka mahukan wakil atau parti yang boleh membentuk kerajaan.

“Apa sekali pun, kehadiran Azwan tidak menjejaskan langsung gerak kerja saya,” katanya.


WAN JOHANI DISISIH, TERSISIH AKHIRNYA JADI CALON PARLIMEN TUMPAT

Wartawan Watan-Online
 



Perjuangan yang tidak mengenal erti lelah serta tidak melemahkan semangat telah menjadikan dirinya istiqamah menyokong parti akhirnya diiktiraf oleh pucuk pimpinan untuk diangkat sebagai calon Parlimen P019 Tumpat.

Pernah melalui liku dan ranjau berduri dalam perjalanan sebagai ahli UMNO Tumpat, tersisih, disisih dan dicemburi namun kekuatan pegangan pada prinsip perjuangan Alif Ba Ta (Agama, Bangsa dan Tanahair) telah menyebabkannya tidak undur seinci pun.

Datuk Wan Johani Wan Husin, 65 tahun dilahirkan di Tumpat telah diberi kepercayaan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjadi calon mewakili Barisan Nasional (BN) bertanding bagi kerusi Parlimen Tumpat yang gagal dimenangi sejak 1990.

Wan Johani pernah ‘diturunkan’ sebagai calon BN buat pertama kali pada Pilihan Raya Umum ke 11 tahun 2004 bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelaboran tetapi kalah pada calon PAS yang hanya mendapat majoriti 691 undi.

Beliau yang ditemui di Tumpat melahirkan rasa syukur dan berterima kasih pada pucuk pimpinan parti kerana dipilih untuk bertanding di parlimen Tumpat.



“Saya menaruh pengharapan yang tinggi pada pucuk pimpinan presiden parti kerana memberi kepercayaan pada saya untuk mewakili BN bertanding di kampung halaman saya,” katanya.

Beliau menyeru semua pihak untuk terus bersama rakyat memberi sokongan pada semua calon-calon BN yang bertanding diempat kawasan DUN dalam parlimen Tumpat.

Wan Johani yang pernah menjadi Setiausaha Sulit Kanan kepada beberapa menteri dan ketua menteri Sabah terasa tiada makna sekiranya tidak mendapat sokongan ahli-ahli dan jentera UMNO Tumpat.

“Siapalah saya tanpa mereka, saya mengharapkan bantuan untuk menang dan kemenangan nanti adalah kemenangan rakyat Tumpat, kemenangan rakyat Kelantan,” tambah beliau.



Menurutnya, setelah 28 tahun Kelantan ketinggalan pembangunan dan kemajuan, kini rakyat perlu membuat perubahan untuk maju.

Selaku calon yang mengharapkan kejayaan Wan Johani berhasrat untuk menjadi wakil rakyat terbaik untuk rakyat Tumpat.

Sekiranya dipilih, Wan Johani berkata, “saya harap akan mempunyai ruang dan peluang berjumpa perdana menteri bagi memberitahu bahawa rakyat Tumpat amat memerlukan kemajuan dan pembangunan terutama untuk menambah pekerjaan bagi anak muda.”

Beliau juga menyeru pada seluruh jentera parti agar rapatkan saf dan bersatu hati pada perjuangan kerana yang penting adalah parti. Kita tidak perlu taksub pada individu kerana perjuangan pada parti lebih utama.


PERSAWAT DISABOTAJ : MAHATHIR BERBOHONG




Tun Dr Mahathir Mohamad menipu, itu barangkali kesimpulan yang boleh diperkatakan apabila Siasatan Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mendapati tiada unsur sabotaj terhadap pesawat peribadinya.

Ia ekoran tuduhan bekas Perdana Menteri itu kononnya pesawat yang sepatutnya dinaiki dari Subang ke Langkawi pada Jumaat disabotaj pihak tertentu.

Pengerusi CAAM, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman, berkata ia sebaliknya berpunca daripada masalah teknikal kecil dan rutin, iaitu kebocoran tayar sebelah kiri pesawat berkenaan.

Sehubungan itu, Azharuddin berkata, tuduhan sabotaj terhadap pesawat adalah sangat serius dan boleh memberi kesan kepada reputasi industri penerbangan Malaysia dan negara secara keseluruhannya terutama ketika tempoh sensitif seperti menjelang Pilihan Raya Umum (PRU).

“Secara moralnya, adalah salah untuk membuat tuduhan liar demi kepentingan politik,” katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Sebelum ini, Mahathir yang bertanding di Parlimen Langkawi, mendakwa pesawat yang sepatutnya membawa beliau ke Langkawi untuk menghadiri majlis minum petang bersama komuniti Cina dan India di pulau berkenaan disabotaj oleh pihak tertentu.

Mengulas lanjut, Azharuddin berkata, pesawat Bombardier Challenger CL60 yang berdaftar di bawah Malta 9H-VFD dan dikendalikan oleh Vista Jet Limited, dilaporkan tidak dapat berlepas dari Subang ke Langkawi.

Selepas dimaklumkan mengenai masalah berkenaan, Azharuddin berkata pihaknya membuat siasatan terperinci meliputi pengesahan dokumentasi pesawat, pemeriksaan fizikal pesawat serta temubual dengan juruterbang dan kakitangan penyelenggaraan pesawat itu.

“Semakan daripada log teknikal VistaJet di halaman bernombor 55778, ada catatan oleh VistaJet pada 27 April 2018 menyatakan bahawa ada kebocoran angin daripada tayar hadapan sebelah kiri.

Bagaimanapun, penggantian tidak dapat dilakukan kerana tiada tayar ganti.

“Kami juga melakukan pemeriksaan tayar kiri roda hadapan yang berpadanan dan disahkan seperti dilaporkan kakitangan penyelenggaraan pesawat,” katanya.



PM kongsi cara baru kempen BN

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkongsi video tentang cara menggunakan teknologi augmented reality (AR) bagi kempen Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
 
Menerusi video berdurasi satu minit 50 saat tersebut, penonton diajar menggunakan teknologi yang diwujudkan dalam bentuk aplikasi dikenali Hebatkan Negaraku.
 
Hebatkan Negaraku boleh dimuat naik di Google Play Store atau Apple Apps Store.
 
“Kini lebih mudah untuk saudara-saudari #HebatkanNegaraku dari telefon bimbit menggunakan teknologi AR. Ayuh #BersamaBN ! #PRU14,” katanya menerusi Twitter, malam tadi.
 
 

Kamu pengacau sebenar, PAS beritahu PH

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
ALOR SETAR: Pakatan pembangkang merupakan pengacau sebenar pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata Pesuruhjaya PAS Kedah, Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi.
 
“Pakatan dakwa PAS sebagai pengacau kepada parti gabungan mereka dalam PRU14 ini, tetapi pengacau sebenarnya ialah Pakatan lah… hakikatnya PAS wujud lebih lama dalam arena politik Malaysia daripada mereka (Pakatan),” katanya.
 
Berhubung dakwaan pihak tertentu bahawa PAS tidak lagi menjadi kubu kuat di kawasan tertentu, Fakhruddin berkata itu merupakan strategi politik dan perang saraf untuk meremehkan PAS dalam kalangan rakyat.
 
“Kita (PAS) yakin dengan kemampuan parti dan rakyat juga lebih bijak menilai soal itu. Jadi tidak perlulah mereka mendabik dada serta memperkecilkan keupayaan PAS,” katanya, semalam.
 
Fakhruddin berkata PAS Kedah akan berkempen secara matang dan sejahtera dengan memfokuskan kepada penerangan intipati manifesto PAS negeri dan pusat.