Ahad, 5 November 2017

2 warga emas maut dalam banjir di Pulau Pinang

 
Mangsa itu adalah seorang lelaki berusia 75 tahun yang ditemui lemas di dalam rumahnya di Kampung Masjid, Jalan Perak dan seorang wanita dari Pusat Penjagaan Orang Tua Jalan P Ramlee.


acp-annuar


PETALING JAYA: Dua maut dalam banjir kilat akibat hujan lebat dan angin kencang yang melanda Pulau Pinang sejak 2 petang semalam, kata polis.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Anuar Omar dipetik Bernama berkata, 2 kematian itu melibatkan seorang lelaki berusia 75 tahun yang ditemui lemas di dalam rumahnya di Kampung Masjid, Jalan Perak dan seorang wanita dari Pusat Penjagaan Orang Tua Jalan P Ramlee.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Pulau Pinang dalam satu kenyataan memaklumkan 104 pesakit dan 4 bayi baru lahir di Hospital Pulau Pinang (HPP) juga terpaksa dipindahkan ke wad lebih selamat.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Sukumar Mahesan berkata, banjir kilat melanda sebahagian kawasan HPP membabitkan wad pesakit, wad rawatan rapi neonatal dan unit pengangkutan yang terletak di tingkat bawah.

“Arahan pengungsian dikeluarkan pengarah hospital dan tindakan dilaksanakan sekitar 2.30 pagi hingga 5.30 pagi.

“Tiada kejadian tidak diingini berlaku dan semua pesakit mendapat rawatan sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Malay Mail Online melaporkan Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran merah di mana hujan lebat berterusan akan melanda bahagian timur laut Pulau Pinang dan Kedah.

Portal berita itu melaporkan gambar yang tersebar di media sosial turut menunjukkan sebuah feri dipukul ombak besar dan angin kencang sehingga merempuh pelabuhan di Butterworth dan sebuah terowong di Seberang Jaya ditenggelami air.

Menerusi gambar yang diambil pagi tadi, sebahagian daripada sebatang jalan ranap di belakang Kondominium Surin – sebuah kawasan kediaman baharu di Taman Chee Seng di Tanjung Bungah, utara bahagian pulau.

Bernama melaporkan kawasan yang dilanda banjir di tanah besar ialah Kepala Batas, Tasek Gelugor, Bagan Dalam, Butterworth, Permatang Rawa, Permatang Pauh, Seberang Jaya, Bukit Teh, Alma, Bukit Tambun dan Simpang Ampat.

Di bahagian pulau melibatkan Bandaraya George Town, Tanjung Bungah, Jalan Masjid Negeri, Jalan Perak, Jalan P. Ramlee, Kampung Dodol, Balik Pulau, Sungai Ara, Bayan Lepas, Bayan Baru, Teluk Kumbar dan Teluk Bahang.

Manakala jalan yang ditutup di tanah besar ialah Jalan Kulim, Jalan Bukit Tengah dan Jalan Permatang Pauh, di bahagian pulau membabitkan Jalan Tun Sardon, Balik Pulau disebabkan tanah runtuh, Jalan Titi Kerawang, Teluk Bahang kerana pokok tumbang serta beberapa jalan di sekitar George Town yang dinaiki air.

Agensi berita itu melaporkan cuaca di Pulau Pinang masih mendung dengan sesekali hujan renyai.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti Islam itu akan mengerahkan semua jentera, termasuk petugas Unit Amal untuk membantu mangsa banjir.

Beliau turut mengucapkan takziah kepada kerajaan Pulau Pinang yang berdepan bencana banjir kilat.

“Dalam situasi genting sebegini, semua pihak perlu mengetepikan sebarang sentimen dan memberi fokus bagi menyelamat dan membantu mangsa. Semoga semua pihak yang terlibat bersabar dan mengutamakan keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Masuk Pas bukan kerana tidak dapat projek Umno

DETIK DAILY

 
 
MARANG - Bekas Ahli Jawatankuasa Kerja Puteri Umno Bahagian Klang, Wan Asshima Kamaruddin mendedahkan beliau memutuskan untuk meninggalkan Umno bukan kerana tidak mendapat 'projek'.

Sebaliknya Pengasas badan bukan kerajaan (NGO) Alif Ba Ta Srikandi Masyhur itu mendedahkan beliau sebelum ini berjaya mendapat tawaran projek Tanjung Agas bernilai RM1.5 billion namun tetap meninggalkan Umno.

Beliau turut mendedahkan setelah 17 tahun aktif bersama Puteri Umno, kini mengambil keputusan nekad untuk memilih berjuang bersama Pas demi mempertahankan agama, bangsa dan tanah air.
"Sebenarnya 'projek' tersebut saya dapat 'offer' bernilai dalam RM1.5 billion. Saya (kemudiannya) cuba masuk di setiap, semua rangkaian jabatan-jabatan tetapi diorang ada duit tepilah, duit kopilah, saya jadi bosan.

"Saya jenis manusia yang kalau benda itu membabitkan rasuah, integriti dan sebagainya saya tak nak akan 'involved' dengan satu benda itu. Jadi saya tinggalkan projek tersebut, saya tinggalkan jawatan tersebut.

"Kerana saya lebih baik, afdal saya mengejar Islam. Sebab itu 'partner' saya sampai sekarang dia tidak melepaskan saya sebab dia tahu saya orang memegang pada janji. Dan bagi saya rezeki itu daripada ALLAH.

"Jadi saya tidak risau pasal rezeki, pasal projek. Sebab kalau kita asyik letakkan wang jadilah kepincangan dalam Umno seperti ini. Nak pangkat, nak jadi jawatankuasa (kena) lobi orang sekeliling," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang di kediaman pemimpin Pas itu di Rusila, hari ini.

Oleh itu, beliau melepaskan segalanya termasuk pangkat kerana yakin perjuangan ini adalah kerana ALLAH dan mengulangi jawapannya bahawa dia meninggalkan Umno bukan kerana tidak mendapat 'projek'.

Beliau berkata, dia memilih Pas kerana sudah tertarik dengan parti itu sejak isu RUU355 diketengahkan lebih dua tahun lalu namun ketika itu masih belum mempunyai kekuatan diri untuk menyertai parti Pas. 
 
 

Bajet besar untuk pilihan raya mencabar di Selangor

Oleh Sheridan Mahavera 


KERAJAAN Selangor membentangkan Bajet 2018 yang menyasarkan penduduk berpendapatan rendah dan menyelesaikan masalah infrastruktur dalam bandar negeri itu, berharap untuk terus mengekalkan kuasanya dalam pilihan raya umum akan datang yang pastinya mencabar.

Bajet negeri akan meningkatkan dana untuk skim baru dan sedia ada bagi membantu keluarga kelas pekerja berdepan dengan tekanan peningkatan kos sara hidup yang semakin meningkat di negara ini.

Program-program ini termasuklah skim kad perubatan, tambang bas sekolah untuk anak-anak pekerja ladang, insuran untuk semua pesawah padi, bonus untuk kakitangan awam dan bantuan makanan untuk wanita berpendapatan rendah.

Kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) berharap jumlah besar bantuan ini akan meningkatkan peluangnya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ketika gabungan pembangkang itu akan bertemu bukan sahaja dengan Barisan Nasional (BN) tetapi juga sekutu lamanya, PAS- situasi yang mengikut sejarah kata penganalisis, akan memihak kepada BN.

Dalam usaha untuk menawan semua blok undi penting, kerajaan negeri sudah mengadakan kajian pandangan awam dalam kalangan enam juta penduduknya bagi mengetahui apakah kebimbangan utama mereka, kata seorang pegawai Pejabat Menteri Besar Selangor.

Kajian itu menunjukkan yang rakyat mahukan lebih banyak bantuan kebajikan bagi membantu mereka menangani tekanan kos sara hidup tinggi di kawasan bandar serta peluang pekerjaan yang lebih baik, kata pegawai itu yang enggan dinamakan.

Kebimbangan itu senada dengan penemuan awal yang ditemui dalam kajian Merdeka Center, yang menunjukkan kos sara hidup, ekonomi yang lembap dan gaji adalah kebimbangan utama rakyat Malaysia.

“Kebimbangan penduduk Selangor tak banyak beza dengan kebimbangan rakyat negeri lain,” kata Ibrahim Suffian dari Merdeka Center.

Ini dapat menjelaskan mengapa Selangor memperuntukkan sebahagian besar bajet, sejumlah RM187 juta untuk program-program yang boleh membantu menambah sumber pendapatan atau meringankan beban belanja rakyat negeri itu.

Misalnya, tahun depan kerajaan negeri akan mengambil alih sistem pengurusan semua flat kos sederhana dan rendah di negeri itu. Ia juga akan menghapuskan semua bayaran penilaian bagi tahun 2018.

Skim itu adalah sebahagian daripada RM1.66 juta yang diperuntukkan Selangor dalam bajet untuk perbelanjaan pembangunan, yang membentuk pecahan sebanyak 53.2% keseluruhan bajet berjumlah RM3.12 bilion.

Bajet Selangor dibentangkan semalam oleh Menteri Besar Azmin Ali. Parti dalam PH- PKR, DAP dan Amanah- mempunyai 30 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

PAS yang sebelum ini menyokong kerajaan PH mempunyai 12 kerusi, BN juga mempunyai 12 kerusi manakala dua lagi kerusi dipegang calon bebas.

Peruntukan RM1.66 bilion itu lebih tinggi berbanding perbelanjaan pembangunan Selangor pada 2017 yang berjumlah RM1.65 bilion.

Tambahan RM50 juta, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Andalas Dr Xavier Jeyakumar adalah untuk membiayai program seperti Skim Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) yang menyasarkan wanita berpendapatan di bawah RM2,000 sebulan.

KISS memberikan RM200 sebulan kepada wanita yang layak bagi membantu mereka mengurangkan beban belanja makanan dan keperluan asas harian.

Skim kad perubatan “Peduli Sihat” juga dinaik taraf. Program itu yang memberi faedah kepada 600,000 penduduk negeri itu membolehkan keluarga berpendapatan rendah membelanjakan sehingga RM500 setahun di klinik swasta di Selangor.

Pada 2018, ibu bapa akan boleh menggunakan kad itu untuk mendapatkan suntikan vaksin “pneumococcal” percuma untuk anak-anak mereka. Dana tambahan juga akan disalurkan kepada skim ini untuk pesakit jantung dan mereka yang sudah menggunakan skim dialisis subsidi kerajaan negeri.

Program penjagaan kesihatan dijangka menelan belanja RM44.1 juta tahun depan di Selangor.
Penjawat awam dalam bajet negeri akan menerima bonus sebulan menjelang hujung tahun ini dan layak untuk skim insuran nyawa khas.

Program perumahan mampu milik, Rumahku Selangor pula akan membina lebih 20,311 unit rumah tambahan menjelang 2020, dan program sewa-dan-milik serta program pembeli rumah pertama pula menerima RM115 juta.

Sebahagian besar bajet lagi juga diperuntukkan untuk membaiki dan menambah baik jalan serta projek mengurangkan banjir, satu lagi kebimbangan masalah penduduk bandar, kata Dr Jeyakumar.

Bagaimanapun, ADUN Batang Kali Mat Nadzari Ahman Dahlan dari BN memperlekehkan bajet itu mengatakan ia hanya memberi manfaat kepada sebahagian penduduk berbanding bajet kerajaan persekutuan.

“Peruntukan mereka untuk ketua kampung dan pegawai misalnya adalah kecil berbanding kami. Juga tidak ada kawasan pembangunan baru yang dibuka,” kata Mat Nadzari.
“Mereka hanya tumpu kepada tempat yang kami sudah bangunkan bila kami berkuasa dahulu,” katanya.

Walaupun peruntukan besar itu mungkin diterima baik pengundi Selangor, antara yang paling celik politik dan berpendidikan di negara ini, PH masih perlu berdepan dengan perpecahan dalam gabungan mereka, kata Ibrahim dari Merdeka Center.

“Selangor ada kolam pengundi atas pagar yang besar. Ia cabaran untuk BN. Tetapi ia juga cabaran untuk pembangkang (PH) kerana perpecahan mereka.”

Pertandingan banyak penjuru di Selangor antara PH, PAS dan BN mungkin mengurangkan sokongan kepada pembangkang dan membolehkan BN merampas kuasa, kata Ibrahim.

Meneka tarikh pilihan raya melalui ‘feel good’

Oleh




Barisan Nasional (BN) dikatakan masih kekurangan satu resipi untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14, iaitu perasaan “feel good” di kalangan rakyat.

Apakah Bajet 2018 yang baru diumumkan 2 minggu lepas dapat menjana perasaan “feel-good” di kalangan rakyat terhadap kerajaan?

Dalam Bajet 2018, terdapat beberapa bayaran khas yang perlu dilakukan pada Januari 2018 – iaitu RM1,000 kepada ketua kampung dan Tok Batin, RM1,000 kepada penjawat awam, RM500 kepada pesara kerajaan.

Setakat ini belum ada tarikh rasmi bayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk 2018. Akan tetapi, berdasarkan sejarah 2016 dan 2017, BR1M biasanya dibayar pada Februari. Dipercayai jadual bayaran BR1M 2018 juga akan mengikut jadual yang sama.

Kepada mereka yang layak menerima BR1M 2018, pendaftaran BR1M akan bermula pada 5 Disember 2017 sehingga 31 Disember 2017.

Keempat-empat bayaran khas ini mampu menjana perasaan “feel-good” di kalangan rakyat, tetapi ia bersifat sementara.

Dalam Bajet 2018, terdapat juga elemen yang dapat menjana “harapan” dan perasaan “feel good” yang berpanjangan, terutama di kalangan wanita.

Peruntukan cuti bersalin kepada 90 hari dan kebenaran kepada semua penjawat awam wanita yang mengandung 5 bulan dan ke atas untuk pulang satu jam lebih awal, termasuk suami sekiranya lokasi bekerja berhampiran dengan isteri, amat memikat hati wanita.

Pasangan muda yang baru menubuhkan rumahtangga pula pastinya akan tertarik dengan peruntukan Skim Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50) yang menawarkan satu dana tabungan permulaan sebanyak RM200 dalam bentuk unit Amanah Saham PNB bagi setiap anak yang lahir mulai 1 Januari 2018 ke 2022

Pasangan muda yang baru bekerja juga akan gembira dengan peruntukan potongan cukai individu bagi tahun 2018 bagi kategori gaji antara RM20,000 dan RM70,000.

Berdasarkan faktor ini, berkemungkinan besar Parlimen akan dibubarkan pada akhir bulan Disember ini supaya PRU14 dapat diadakan pada awal 2018 bagi BN untuk memanfaatkan perasaan “feel good” yang dijana melalui bayaran khas di awal tahun dan juga perasaan gembira yang terlahir daripada terlaksananya peruntukan baharu untuk wanita dan keluarga muda.

Cuma, pemberian khas ini umpama ubat tahan sakit, yang kesannya akan hilang jua ditelan masa.Apabila kesan ubat hilang, tekanan kehidupan akan mengalihkan semula pandangan rakyat terhadap punca kos sara hidup menjadi tinggi, dan rata-rata rakyat menyalahkan BN dan GST.

Sekiranya PRU14 ditangguhkan kepada suku kedua, sudah pasti perasaan “feel good” yang dijana di awal tahun itu akan lenyap ditelan tekanan kehidupan yang dihadapi rakyat.

Oleh itu, bersedialah untuk PRU14 di awal 2018 melainkan dana perang BN yang ada belum cukup lagi untuk mengadakan PRU14 semewah PRU13. Sebab tanpa dana yang cukup, jentera pilihan raya BN tidak akan bergerak walaupun adanya “feel good”. 

Najib berjanji BN menang, Cina senang

 
Pengerusi BN itu berkata, MCA perlu memenangi sekurang-kurangnya 15 kerusi Parlimen supaya masyarakat Cina mempunyai lebih ramai wakil dalam kerajaan.


najib-cina-bn


KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak berjanji akan memberi kesenangan dan kelebihan kepada masyarakat Cina, jika parti itu dapat meraih kemenangan besar pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Perdana menteri berkata, untuk mendapat lebih banyak bantuan daripada kerajaan, MCA perlu memainkan peranan untuk meraih sokongan pengundi Cina bagi membantu BN mencapai kemenangan lebih besar.

“Sebab itulah kalau masyarakat Cina nak lebih lagi, tolong sokong BN lebih. Sekarang MCA ada 7 ahli Parlimen sahaja, kalau 15 ahli Parlimen lebih kuat.

“Dalam kerajaan kita tanya pada suara kaum Cina, apa mereka mahu, wakil Cina yang kuat atau lemah? Pilihan di tangan anda. Beritahu komuniti Cina, DAP tidak akan boleh tubuh kerajaan,” katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Agung MCA di ibu pejabat parti itu hari ini.

Najib berkata, beliau tetap memperuntukkan 3 jawatan Kabinet kepada MCA, walaupun parti itu hanya menyumbang 7 kerusi Parlimen pada PRU13.

Ahli PKR: Isu sebenar ialah kenapa tarik pengawal peribadi Dr M

 
Ahli Jawatankuasa Pusat PKR, Latheefa Koya berkata, Khairy Jamaluddin mengalihkan tumpuan daripada isu sebenar dengan mengkritik penyebaran gambar Dr Mahathir Mohamad sebagai berita palsu.


latheefa-khairy

PETALING JAYA: Ahli Jawatankuasa Pusat PKR, Latheefa Koya mendakwa Khairy Jamaluddin cuba “berdalih” daripada isu sebenar kenapa kerajaan menarik balik khidmat pengawal peribadi Unit Tindakan Khas (UTK) Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, ketua Pemuda Umno itu sebaliknya mengalihkan tumpuan mengenai isu itu dengan mendakwa gambar bekas perdana menteri itu memeluk 2 individu dipercayai bekas pengawal peribadinya dari UTK ialah berita palsu.

“Ini adalah cubaan telus dan memalukan untuk mengalih perhatian daripada isu sebenar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Khairy sepatutnya fokus mengapa kerajaan Barisan Nasional (BN) menamatkan perkhidmatan keselamatan yang disediakan kepada bekas perdana menteri.

“Adakah keselamatan beliau tidak penting kepada kerajaan, hanya kerana beliau kini seorang pengkritik kerajaan yang lantang bersuara.”

Rabu lalu, Dr Mahathir yang kini pengerusi Pakatan Harapan menerusi catatan di Facebooknya mendakwa polis menarik balik khidmat pengawal peribadi yang disediakan UTK.

Ia disusuli sekeping gambar menunjukkan negarawan berusia 92 tahun itu memeluk 2 lelaki dipercayai bekas pengawal peribadinya dari UTK tersebar di media sosial.

Semalam, Khairy yang juga menteri belia dan sukan dilaporkan berkata, gambar itu diambil tahun lalu dan tiada kaitan dengan tindakan kerajaan menarik balik khidmat itu Rabu lalu.

“Kita kena kecam ‘fake news’ seperti ini, berita palsu seperti ini mesti kita tunjuk sebagai contoh.
“Gambar Tun Mahathir peluk 2, 3 orang kononnya mereka pengawal peribadi mesti kita kecam,” katanya semalam.

Latheefa berkata, tiada alasan yang dapat diterima terhadap langkah menarik balik perlindungan rasmi untuk bekas perdana menteri secara tiba-tiba kerana ia jelas dipengaruhi niat jahat.

“Khairy tidak patut cuba berdalih dengan isu lebih remeh sama ada mengatakan ia gambar lama atau tidak, sebaliknya beliau perlu menjawab soalan mengapa kerajaan memilih untuk menarik balik perlindungan keselamatan yang diberikan kepada semua bekas perdana menteri,” katanya.

Tahun lalu, kerajaan menamatkan khidmat polis trafik mengiringi perjalanan Dr Mahathir dengan alasan beliau menyertai perhimpunan yang bercanggah peruntukan undang-undang.

Putrajaya turut menamatkan kontrak tukang masak dan pembantu rumah di pejabatnya.

Banjir: Peperiksaan SPM diteruskan di Pulau Pinang

 
Timbalan menteri pendidikan berkata, keselamatan ialah keutamaan dan ibu bapa diminta memastikan calon SPM mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.


P-Kamalanathan-penang-flood1

GEORGE TOWN: Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diteruskan seperti jadual untuk calon di Pulau Pinang walaupun negeri itu berdepan bencana banjir kilat, kata timbalan menteri pendidikan.

Datuk P Kalamanathan berkata, perkhidmatan kecemasan sudah diarahkan untuk membawa calon ke pusat peperiksaan dan Jabatan Pendidikan negeri juga dalam keadaan berjaga-jaga.

Seramai 443,883 calon SPM 2017 akan menduduki peperiksaan itu mulai esok hingga 4 Disember nanti.

Ia akan dimulakan dengan kertas 1 Bahasa Malaysia dijadualkan 8 pagi, disusuli kertas 1 Teori Seni Visual pada 11 pagi dan kertas 2 Bahasa Malaysia pada 2 petang.

“Kami masih menilai keadaan ini, tetapi kami berharap dapat menjalankan peperiksaan mengikut masa dan jadual.

“Semua guru dan pengawas sudah diberitahu untuk bersiap sedia membantu semua calon yang menduduki peperiksaan itu. Keutamaan kami ialah keselamatan pelajar.

Strategi DAP PecahBelahkan PAS Perak Didedah


 
 


Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria mendedahkan beberapa strategi yang dilakukan DAP untuk memecahbelahkan PAS semasa parti Islam itu bergabung dengan Pakatan Rakyat (PR).

Dedah Razman, DAP melakukan dasar pecah dan perintah iaitu menyokong Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak untuk melemahkan PAS negeri yang diterajuinya.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak ketika itu adalah Dato’ Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin.

“Mula-mula dilantik Pesuruhjaya dulu, ada yang ingin menjatuhkan (saya) dan menggugat dengan pakat-pakat letak jawatan.

“Menjadi dasar PR yang dipersetujui bersama. Pengerusi Mesyuarat PR digilir mengikut ketua parti. PAS, PKR dan DAP.

“(Namun saya) Sebagai Pesuruhjaya (PAS Perak saya) tidak pernah diberi peluang (untuk menjadi Pengerusi Mesyuarat PR). Bila dibawa dalam mesyuarat parti, proDAP mahu Nizar jadi pengerusi bagi pihak PAS. (Saya) Masih boleh bersabar,” dedahnya dalam Facebook.

Dedahnya lagi, apabila Nizar dipilih mewakili PAS Perak, Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri itu tidak mewakili kepentingan parti Islam, sebaliknya berpihak bagi kepentingan DAP.



“Bila (Nizar) diberitahu PAS telah membuat keputusan tidak boleh sambut perayaan agama lain, (tetapi) Nizar (masih) teruskan.

“Bila disuara(kan supaya Nizar) jangan pakai baju hitam semasa pembukaan sidang DUN (Perak), Nizar tak indah. Perkara ini sehingga menimbulkan kemurkaan Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak Raja Nazrin,”katanya.

Razman menambah satu kesalahan besar yang dilakukan Nizar adalah melanggar arahan PAS Pusat yang melampaui sempadan tahaluf siyasi.



“Bila diberitahu PAS (Perak) mesti ikut keputusan pusat. Tiba-tiba Nizar buat kenyataan media tolak enakmen jenayah syariah Kelantan bersama parti DAP (dan) PKR (bahawa) tidak akan laksana hudud di Perak,”katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Nizar menyamannya berdasarkan satu kenyataannya di dalam akhbar Sinar Harian bertarikh 2 Jun 2015 di bawah tajuk “Pendekatan Nizar Mirip DAP”



“Keputusan kes saman ditangguh pada 10 Nov 2017 (Jumaat)

“Allah menyayangi hambanya melebihi ibu sayangkan anak. Apapun itulah yg terbaik untuk hambanya,”kata Razman.






Akhirnya DAP Khianati Nizar Jamaluddin



Pemandu bas penyokong Kedah mati di luar stadium

MALAYSIAKINI



Seorang pemandu bas yang membawa penyokong Kedah untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia di Shah Alam malam tadi ditemui mati di dalam basnya dipercayai akibat sakit jantung.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat, berkata M Batumalai, 51, ditemui tidak sedarkan diri oleh rakannya yang juga pemandu kedua kira-kira pukul 7 malam di bahagian tempat duduk pemandu.

Bas itu diparkir berhampiran Stadium Shah Alam.

Beliau berkata rakan mangsa kemudian memaklumkan kejadian berkenaan kepada anggota polis yang bertugas di luar stadium.

"Pasukan perubatan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang yang melakukan pemeriksaan ke atas Batumalai mengesahkan dia meninggal dunia.

"Hasil bedah siasat yang selesai dilakukan lewat malam tadi mendapati punca kematian mangsa adalah akibat sakit jantung," katanya ketika dihubungi.

Shafien berkata pihak polis turut menghubungi keluarga pemandu itu di Pulau Pinang yang kemudian mengesahkan Batumalai memang menghidap sakit jantung.

"Bas berkenaan kemudian diambil alih oleh pemandu kedua untuk membawa penyokong pulang semula ke Kedah selepas perlawanan. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Mengenai perlawanan malam tadi, beliau berkata kawalan keselamatan yang ketat dan kerjasama baik penyokong kedua-dua pasukan menjadikan perlawanan itu tidak dicemari dengan kejadian di luar kawalan.

"Polis mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama penyokong kedua-dua pasukan yang mengikut arahan yang diberikan," katanya.- Bernama

JDT julang Piala Malaysia kali pertama

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Johor Darul Ta'zim (JDT) membuktikan mereka raja bola sepak tanah air ketika ini apabila merangkul kejuaraan Piala Malaysia buat kali pertama selepas menewaskan juara bertahan Kedah 2-0 pada aksi final di Stadium Shah Alam, malam tadi.
 
Dua gol pada setiap babak menerusi jaringan Aidil Zafuan Radzak dan Gonzalo Cabrera memastikan trofi itu kembali menuju ke selatan tanah air selepas Johor muncul juara pada 1985 dan 1991.
 
Gelaran itu melengkapkan kabinet trofi JDT sejak ditubuhkan pada 2013 apabila mereka merangkul kejuaraan Liga Super 2014, 2015, 2016 dan 2017, Piala FA 2016, Piala Sumbangsih 2015 dan 2016 serta Piala AFC 2015.
 
Memetik laporan BH Online, perlawanan akhir ini disaksikan 80,000 penyokong ibarat pertemuan buku dengan ruas apabila JDT mahu memburu gelaran kedua musim ini selepas meraih kejuaraan Liga Super kali keempat berturut-turut.