Ahad, 5 November 2017

Masuk Pas bukan kerana tidak dapat projek Umno

DETIK DAILY

 
 
MARANG - Bekas Ahli Jawatankuasa Kerja Puteri Umno Bahagian Klang, Wan Asshima Kamaruddin mendedahkan beliau memutuskan untuk meninggalkan Umno bukan kerana tidak mendapat 'projek'.

Sebaliknya Pengasas badan bukan kerajaan (NGO) Alif Ba Ta Srikandi Masyhur itu mendedahkan beliau sebelum ini berjaya mendapat tawaran projek Tanjung Agas bernilai RM1.5 billion namun tetap meninggalkan Umno.

Beliau turut mendedahkan setelah 17 tahun aktif bersama Puteri Umno, kini mengambil keputusan nekad untuk memilih berjuang bersama Pas demi mempertahankan agama, bangsa dan tanah air.
"Sebenarnya 'projek' tersebut saya dapat 'offer' bernilai dalam RM1.5 billion. Saya (kemudiannya) cuba masuk di setiap, semua rangkaian jabatan-jabatan tetapi diorang ada duit tepilah, duit kopilah, saya jadi bosan.

"Saya jenis manusia yang kalau benda itu membabitkan rasuah, integriti dan sebagainya saya tak nak akan 'involved' dengan satu benda itu. Jadi saya tinggalkan projek tersebut, saya tinggalkan jawatan tersebut.

"Kerana saya lebih baik, afdal saya mengejar Islam. Sebab itu 'partner' saya sampai sekarang dia tidak melepaskan saya sebab dia tahu saya orang memegang pada janji. Dan bagi saya rezeki itu daripada ALLAH.

"Jadi saya tidak risau pasal rezeki, pasal projek. Sebab kalau kita asyik letakkan wang jadilah kepincangan dalam Umno seperti ini. Nak pangkat, nak jadi jawatankuasa (kena) lobi orang sekeliling," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang di kediaman pemimpin Pas itu di Rusila, hari ini.

Oleh itu, beliau melepaskan segalanya termasuk pangkat kerana yakin perjuangan ini adalah kerana ALLAH dan mengulangi jawapannya bahawa dia meninggalkan Umno bukan kerana tidak mendapat 'projek'.

Beliau berkata, dia memilih Pas kerana sudah tertarik dengan parti itu sejak isu RUU355 diketengahkan lebih dua tahun lalu namun ketika itu masih belum mempunyai kekuatan diri untuk menyertai parti Pas. 
 
 

Tiada ulasan: