Khamis, 1 Oktober 2015

Kenyataan Rakyat M'sia Guna Pakej Internet Perlahan Adalah Fakta - Salleh

Oleh: SHARON LING
 
 
Salleh Said Keruak.


KUCHING: Kenyataan mengenai sebanyak 71 peratus rakyat Malaysia yang memilih menggunakan pakej Internet lebih murah dengan kelajuan lebih rendah adalah berdasarkan fakta, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata, angka tersebut bukan rekaannya tetapi ia sebenarnya adalah data daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Berdasarkan statistik mereka, 71 peratus lebih berminat untuk membeli pakej yang berpatutan walaupun tahap kelajuannya adalah rendah.

"Saya beritahu fakta dan fakta itu daripada SKMM. Saya tidak mereka fakta, saya hanya menyatakannya," katanya kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat dengan Jabatan Penerangan negeri di sini, Khamis.

Salleh sebelum ini dikritik kerana membuat kenyataan di blognya mengenai rakyat Malaysia lebih gemar menggunakan Internet pada tahap kelajuan lebih rendah antara 384 Kbps ke 1 Mbps walaupun terdapat kelajuan lebih tinggi.

Antara yang mengkritik beliau ialah penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mengatakan bahawa isu sebenar ialah Internet berkelajuan tinggi di Malaysia menawarkan kadar caj terlalu tinggi dan tugas menteri berkenaan sepatutnya menjadikan ia berpatutan.

Salleh yang mempertahankan kenyataan di blognya berkata, beliau bersetuju dengan Lim yang mahukan hubungan Internet berkelajuan tinggi pada kadar berpatutan.

Beliau turut mengalu-alukan idea mengenai bagaimana untuk mencapai hasrat berkenaan tetapi katanya, sebarang kritikan yang diberikan perlu membina dan berfakta, bukan hanya berdasarkan sebahagian kecil kenyataannya itu.

"Saya tiada masalah sekiranya anda memberi pandangan dan kritikan yang membina tetapi mengatakan saya salah bila saya memberitahu fakta, saya tidak tahu.

"Mereka mahukan kelajuan tinggi, saya juga mahukan kelajuan tinggi dan mencari jalan bagaimana untuk menjadikannya lebih murah. Tetapi kita tidak melaksanakannya serta-merta di Malaysia kerana keutamaan adalah kelajuan, kemampuan dan liputan," tambahnya.

Apakah 10 topik yang di"Google" rakyat Malaysia pada September?

Madiha Abdullah, Astro Awani


Apakah 10 topik yang di"Google" rakyat Malaysia pada September?
Senarai top 10 pencarian di Google didahului dengan misteri kehilangan Kevin Morais.
 
 
KUALA LUMPUR: Seperti sebelum ini, Google kekal menjadi enjin pencarian terulung bagi maklumat, berita dan hiburan. Untuk bulan September, inilah 10 topik yang mencatatkan carian paling tinggi dalam Google Malaysia.

1) Kevin Morais/Anthony Kevin Morais

Misteri kehilangan DPP Anthony Kevin Morais menjadi tumpuan rakyat Malaysia.

Polis temui mayat Kevin Morais dalam tong konkrit di Subang Jaya

Kevin Morais: Six charged with murder, two with abetment


2) API Malaysia/IPU

Jerebu teruk yang melanda menjadikan bacaan IPU sebagai carian penting.

5 fakta penting bagaimana bacaan IPU dikira

Better API reading system for Malaysia by 2017


3) Bukan Isteri Sempurna

Drama lakonan Dazrin Kamarudin dan Atikah Suhaimie menerima sambutan baik penonton.


4) Google Logo History

Ramai tertarik untuk mengetahui sejarah penciptaan logo Google.

Evolusi logo Google

The evolution of Google’s logo


5) Perhimpunan Baju Merah

Perhimpunan ini menjadi fokus masyarakat terutama pada 16 September lalu

Kekecohan di Petaling Street cemar Himpunan Baju Merah

'Red Shirt' rally: What went down in Kuala Lumpur on Sept 16


6) EG Tukar

Guru-guru mula mencari kekosongan tempat untuk menukar lokasi sekolah mereka mengajar.


7) Polis EVO

Filem aksi komedi ini mencatatkan kutipan sebanyak RM8 juta dalam tempoh 11 hari ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia dan Brunei.

Sambutan luar jangka untuk Polis Evo

Polis Evo dominates Malaysian box office


8) Niat Puasa Arafah

Rakyat Malaysia tidak ketinggalan mengambil peluang untuk menambah pahala dengan berpuasa pada hari Arafah.

9) BR1M 2015

BRIM tetap jadi tumpuan rakyat Malaysia.

Kerajaan masih mampu salurkan BR1M

Govt still able to pay BR1M this year


10) iOS 9

Sistem operasi terbaharu Apple yang sentiasa mendapat perhatian.

Netizen akhirnya dapat memuat turun iOS 9, kongsi ulasan ciri terbaik

A new feature in Apple's iOS 9 could be causing a surprising spike in data use 

Ekonomi terkesan jika jerebu berterusan - Pakar ekonomi

Luqman Hariz, Astro Awani

Ekonomi terkesan jika jerebu berterusan - Pakar ekonomi
Jerebu menyebabkan kesan ekonomi amat besar bagi negara-negara yang terjejas, sama ada kesan diukur dan tidak diukur. - Gambar fail
 
 
KUALA LUMPUR: Masalah jerebu yang masih berterusan setelah sekian lama akan menjejaskan ekonomi.

Menurut Ketua Ekonomi AMP Capital, Shane Oliver, fenomena jerebu memberi impak ekonomi melalui ketidakhadiran kerja dan juga kepada kesihatan awam secara keseluruhannya.

"Ini terutamanya dengan peningkatan ketidakhadiran kerja, terutamanya bagi mereka yang bekerja di luar dalam industri perkhidmatan, pembinaan dan sebagainya, dan dari segi impak kepada kesihatan awam," katanya.

Justeru, Oliver berkata pencarian penyelesaian yang kekal bagi membendung jerebu dari berulang perlu menjadi keutamaan serantau.

Beliau menambah, ia menyebabkan kesan ekonomi amat besar bagi negara-negara yang terjejas, sama ada kesan diukur dan tidak diukur.

Menurutnya, kesan ekonomi tidak diukur lebih memakan kos seperti kemerosotan kualiti hidup yang disebabkan jerebu.

Tambahnya, sektor pelancongan antara yang paling terkesan ekoran hilangnya daya tarikan rantau ini sebagai destinasi melancong dan bekerja.

Sementara itu menurut Pakar Meteorologi Kanan AccuWeather Jason Nicholls, kualiti udara yang buruk mungkin menyebabkan sektor pelancongan turut merudum.

"Penurunan pelancongan sudah pastinya memberi kesan negatif kepada ekonomi beberapa negara," katanya.
"Saya tidak ada angka rasmi untuk menyokongnya, tetapi kualiti udara yang buruk mungkin menyebabkan pelancong memendekkan kunjungan mereka atau mengelak langsung datang ke rantau ini.

Sebagai contoh pada 2013, Thailand mengalami kerugian ekonomi berjuta dolar apabila kualiti udara kekal dalam zon bahaya di selatan negara tersebut bagi tempoh yang lama. 
 
 

Pelaku rasuah tidak boleh bersembunyi selamanya - Ketua Pesuruhjaya SPRM

Abdul Hakim Rahman, Astro Awani

Pelaku rasuah tidak boleh bersembunyi selamanya - Ketua Pesuruhjaya SPRM
Abu Kassim: Pihak yang melakukan kesalahan, sama ada ahli politik, tokoh korporat atau orang biasa, akan dinilai bukan saja oleh mahkamah tetapi akan diadili masyarakat umum. - Gambar Fail
 
 
KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed memberi amaran kepada pelaku rasuah bahawa mereka tidak boleh bersembunyi selama-lamanya.

Menurutnya, pesalah sama ada ahli politik, tokoh korporat atau orang biasa akan dinilai bukan saja oleh mahkamah tetapi akan diadili masyarakat umum.

"Mereka boleh mengelak daripada dikesan untuk satu tempoh tertentu - satu bulan, dua  bulan, satu tahun, dua tahun, tetapi tidak selama-lamanya. Ingat, siasatan tidak akan berhenti hanya kerana ada pihak yang cuba menyembunyikan bukti atau melarikan saksi.

"Jika terbukti bersalah, mahkamah adalah tempat pengadilan kelak. Rakyat akan menilai dan menghukum anda. Tidak kira anda seorang rakyat biasa, ahli perniagaan, tokoh korporat dan pemimpin politik," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Kevin Morais Moot Court di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di Kuala Lumpur.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Seri Mohd Syukri Abdull.

Pada majlis itu, Moot Court Akademi MACA dinamakan semula sebagai penghormatan kepada Anthony Kevin Morais yang pernah berkhidmat selama 10 tahun bersama SPRM sebelum bertukar Jabatan Peguam Negara.

Tiga adik-beradiknya - Charles Suresh, David Ramesh dan Datuk Richard Dilaan - turut hadir pada majlis tersebut.

Menurut Abu Kassim, mereka hanya boleh melengahkan sesuatu siasatan tetapi tidak menghentikan kes yang didengari di mahkamah.

Beliau juga mengingatkan mereka yang menerima upah atau wang imbuhan untuk bersubahat, pasti tidak akan berasa tenang dan akan terganggu sepanjang hayat.

"Ingatlah apa juga upah atau imbuhan yang diperoleh, tidak akan menjamin ketenangan dan ketenteraman dalam kehidupan. Perbuatan keji yang dilakukan akan mengganggu kehidupan kita sehingga akhir hayat,

"Jika perbuatan tersebut terbongkar, kamu akan dihina dan dikeji oleh masyarakat. Pada masa itu baru kita sedar, apa yang kita dapat, langsung tidak ada nilai berbanding dengan maruah diri yang hilang.

Ketika Mohd Shukri membacakan ucapan menyentuh mengenai bekas Timbalan Pendakwa Raya, Kevin Anthony Morais yang mati dibunuh, beliau sebak dan mengalirkan air mata mengenangkan komitmen dan dedikasi tinggi diperlihatkan mendiang.
"Tuan Kevin, kehilangan tuan menjadi peniup semangat untuk kami mempertahankan kedaulatan undang-undang negara ini.

"Kami yang masih hidup ini berjanji, pengorbanan tuan menjadi kekuatan untuk memerangi rasuah tanpa kira besar atau kecil. Tiada siapa yang kebal daripada tindakan undang-undang walau setinggi mana kedudukan mereka."

Ahli keluarga Morais termasuk Charles Suresh, David Ramesh dan Datuk Richard Dilaan - turut hadir pada majlis tersebut. 
 
 

Kadir Jasin: Ada persamaan kes Khir Toyo dan wang derma Najib

Antara persamaan itu adalah alasan politik yang diberikan oleh kedua-dua pihak dan juga dakwaan bahawa rakyat jelata tidak akan rugi apa-apa terhadap apa yang berlaku.


kadir-jasin,najib-razak,khir-toyo


PETALING JAYA: Wartawan veteran, Datuk A. Kadir Jasin melihat terdapat beberapa persamaan mengenai kes rasuah bekas Menteri Besar Selangor Dr. Khir Toyo dan juga isu wang derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, antara persamaan itu adalah alasan politik yang diberikan oleh kedua-dua pihak dan juga dakwaan bahawa rakyat jelata tidak akan rugi apa-apa terhadap apa yang berlaku.

“Dr. Khir menafikan penglibatannya tetapi Najib terus berdiam diri malah tidak menafikan pula kewujudan akaun peribadi RM2.6 bilion itu.

“Selain, para penyokong beliau (Najib) mendakwa wang itu adalah ‘derma’ daripada seorang dermawan misteri dari negara Arab,” tulisnya di blog.

Kadir berkata, sehingga kini barisan peguam Najib masih berdolak-dalik mengenai ancaman saman terhadap Wall Street Journal kerana mendedahkan isu wang derma tersebut walaupun ancaman saman itu dikeluarkan hampir tiga bulan lalu.

Beliau berkata, kes Dr. Khir juga akan menambah kebimbangan pihak yang terbabit atau dikaitkan dengan kontroversi syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya, hukuman penjara selama 12 bulan terhadap Dr Khir juga memberi kesan psikologi yang positif kepada rakyat jelata.

“Rakyat dapat melihat bahawa tidak ada sesiapa pun berada di atas daripada undang-undang (above the law). Selain, pemimpin politik juga masih boleh disiasat, didakwa dan didapati bersalah mengikut undang-undang negara,” katanya.

Apa niat panggil Tun M, soal Ku Nan

 
Beliau akan mendapatkan penjelasan UMNO Cawangan Pandan menjemput Tun M dalam majlis minum petang pada Sabtu ini.


tengku-adnan,mahathir


PETALING JAYA: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mempersoalkan tindakan UMNO Cawangan Taman Cempaka menjemput Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam majlis minum petang pada Sabtu ini.

Katanya, UMNO akan mendapatkan penjelasan daripada cawangan berkenaan mengenai perkara itu.

“Dia nak panggil itu apa niat dia? Kita akan tanya kalau niat baik tak jejas parti, ikut etika dia boleh buat.

Tapi kalau tak kita takut dan tak mahu orang laga-lagakan pemimpin dengan pemimpin,” katanya selepas merasmikan Program Keluarga Angkat Yayasan Kesejahteraan Bandar pada Khamis.

Dalam perkembangan lain, beliau menegaskan UMNO tidak pernah menyokong Himpunan Baju Merah yang dirancang diadakan di Kajang.

Katanya, kehadiran pemimpin UMNO di atas kapasiti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan mewakili parti.

PAS di Selangor: Biarlah PAS bincang, kata Azmin Ali

Oleh Azizul Osman

 
Post Pic


SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Azmin Ali menyerahkan kepada PAS untuk menentukan pendirian sama ada mahu keluar atau kekal dalam pakatan kerajaan di Selangor.

Katanya, terpulang kepada PAS untuk mengadakan sesi perbincangan mengenai kenyataan Ketua Dewan Ulamanya, Datuk Dr Mahfodz Mohamed yang parti itu bersedia untuk mempertimbangkan keputusan untuk keluar dari pakatan kerajaan di Selangor.

Mahfodz semalam berkata perbincangan mengenai perkara itu akan dibawa ke dalam mesyuarat jawatankuasa politik PAS tidak lama lagi.

Azmin berkata, ia terserah kepada kepimpinan PAS Pusat untuk mengambil pendekatan itu.

Namun apapun PKR akan tetap membuat perbincangan dengan PAS seperti yang dilakukan Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

"Biarlah dia nak bincang. (Dewan Ulama PAS gesa PAS keluar dari Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor)."

"Kita akan teruskan perbincangan (dengan PAS), Presiden PKR (Datuk Seri Dr. Wan Azizah) dah sebut banyak kali dah (akan adakan perbincangan)," katanya selepas mengiringi Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah melawat kilang sarung tangan milik Top Glove di Shah Alam.

Mahfodz mengeluarkan kenyataan itu ekoran penubuhan pakatan pembangkang baru – Pakatan Harapan – terdiri daripada PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) yang tidak melibatkan PAS baru-baru ini.

Gabungan pembangkang lama, Pakatan Rakyat, sudah terkubur berikutan pertelingkahan yang berlaku di antara DAP dan PAS.

"PAS tidak akan ada perhubungan lagi dengan DAP. Kita akan bawa berbincang mengenai perkara ini (keluar dari Selangor) dalam jawatankuasa politik PAS dalam masa terdekat.

"Pakatan pembangkang yang baru masih baru dan secara realitinya, PAS masih berada dalam pakatan kerajaan di Selangor sehinggalah pilihan raya umum akan datang," kata Mahfodz.

Beliau sebelum itu mengulas kenyataan Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang menggesa PKR supaya berhenti daripada terus mengharapkan PAS akan menyertai pakatan pembangkang baru.


Pandangan Mahfodz kemudiannya dinafikan Setiausaha PAS Selangor, Khairuddin Othman.


"Dunia ini tak seperti Terengganu": Khalid Samad tegur sikap PAS

 Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

 
Post Pic


SHAH ALAM: PAS perlu mengambil kira realiti politik semasa, terutamanya dalam pakatan kerajaan di Selangor dalam menentukan kerjasamanya dengan PKR, termasuk DAP.

Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad berpendapat sikap PAS yang tidak berpijak di bumi yang nyata menjadikan ia sebagai masalah yang sekian lama dihadapi parti berkenaan.

"PAS patut mengambil kira suasana di Selangor. Mengikut kata-kata pujangga, orang-orang di Makkah lebih tahu jalan-jalan di Kota Makkah. Maka, PAS juga patut dengar cakap PAS Selangor. Itu pandangan peribadi saya.

"Tetapi jika PAS mahu buat keputusan mengikut suasana di Terengganu, mereka boleh teruskan. Dan itulah yang menjadi masalah apabila PAS dikuasai oleh pemikiran PAS Terengganu yang menganggap dunia ini seperti Terengganu," ujarnya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.

Khalid berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Dewan Ulama PAS yang mahu parti itu mempertimbangkang keputusan untuk keluar daripada pakatan kerajaan Selangor.

Keputusan itu wajar sebagaimana menurut Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed setelah DAP membentuk pakatan pembangkang yang baru tanpa PAS, baru-baru ini.

DAP, PKR dan parti baru Parti Amanah Negara (Amanah) menubuhkan gabungan pembangkang baru, Pakatan Harapan, pada 22 September lalu.

Ia susulan terkuburnya Pakatan Rakyat selepas tercetusnya pertelingkahan di antara DAP dan PAS.

Cadangan PAS keluar daripada pakatan kerajaan Selangor bagaimanapun tidak dipersetujui oleh kepimpinan PAS Selangor yang mahu meneruskan kerjasama dnegan kerajaan negeri sebagaimana yang pernah diputuskan dalam Muktamar Tahunan PAS yang diadakan awal Jun lalu.

Khalid dalam pada itu menegur kepimpinan PAS supaya dapat membuat pendirian yang kukuh dalam isu itu.

"Apabila dah buat keputusan, janganlah ia bertukar-tukar. Sekejap mahu bersama, sekejap tidak mahu.
Pada saya ini masalah yang dihadapi PAS selama ini, tetapi saya tidak mahu campur. Terserah kepada kepimpinan PAS untuk memutuskan mahu bersama atau sebaliknya," ujar Ahli Parlimen Shah Alam itu.

'Usah syok sendiri R&D tak komersial'

Shakira Buang





Para penyelidik di negara ini diingatkan tidak "syok sendiri" dalam melaksanakan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendakwa ini kerana setiap hasil penyelidikan mereka tidak mempunyai nilai komersial.

"Penyelidik jangan syok sendiri. Banyak R&D syok sendiri sampai hari ini hasil R&D ini tak ada nilai komersialnya.

"Menteri selalu ingatkan MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri), MARDI (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia) bahawa kita masih tak puas hati dengan keputusan tersebut," kata Tajuddin.

Beliau berucap demikian ketika merasmikan Pameran Perdagangan dan Persidangan Herbal Asia 2015 di Pusat Pameran dan Perdagangan Matrade, Kuala Lumpur hari ini.

Menurut anggota Parlimen Pasir Salak itu lagi penyelidik sepatutnya berfikir di luar kotak serta menjalin kerjasama dengan pengusaha bagi setiap produk yang ingin dihasilkan.

"Dia mesti fikir dari segi komersial. Iaitu hasil dari R&D itu dapat mencapai matlamat perniagaan.

"Industri pasaran herba ini besar sebab itu saya menyeru kepada mereka yang terlibat supaya keluar mencari pasaran dunia," kata Tajuddin lagi.

Kerajaan sebelum ini menyediakan Skim Geran Penyelidikan NKEA Herba (NRGS) yang merangkumi empat kluster penyelidikan iaitu penemuan, agronomi dan pengeluaran tanaman, pempiawaian dan pembangunan produk sebagai insentif kepada penyelidik untuk melaksanakan R&D.

Terdahulu sempena Herbal Asia 2015 satu persidangan yang bertajuk "Ke arah industri herba dan bahan semula yang lestari di abad ke 21" kini berlangsung selama tiga hari bermula hari ini sehingga 3 Oktober.

Persidangan kali ini juga difahamkan bagi membincangkan dan mengupas cabaran industri herba masa kini serta mengkaji trend pertumbuhan industri herba secara mendalam.


Lagi tekanan supaya Saifuddin keluar Umno

Shakira Buang


 


Bekas timbalan menteri Datuk Seri Saifuddin Abdullah terus menerima tekanan untuk keluar parti selepas hadir ke mesyuarat pembentukan gabungan baru pembangkang Pakatan Harapan.

"Saifuddin itu lebih baiklah masuk pembangkang, tak payah jadi ahli Umno. Dia dah lebih mirip kepada pembangkang.

"Jadi, supaya jelas tak perlulah lagi dia nak sebelah sini atau sana.

"Sangat jelas ia bertentangan dengan polisi kerajaan,” kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor turut mencadangkan Saifuddin menyertai pembangkang jika gemar menghadiri program musuh politik BN itu.

Umno telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepadanya untuk dijawab dalam tempoh 14 haru, yang tamat pada 6 Oktober ini.

Saifuddin, ketua pegawai eksekutif Pergerakan Moderat Global (GMM) berkata,kehadirannya ke pelancaran Pakatan Harapan atas kapasiti sebagai pengerusi Akademi Belia.

Tiga parti pembangkang - PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) secara rasmi membentuk Pakatan Harapan sebagai wadah baru selepas Pakatan Rakyat berkubur.

PAS tidak menyertai gabungan itu.