Sabtu, 1 Jun 2013

UMNO Terkuat? Najib, PM 47% Itu Tertipu & Menipu Dengan Ilusinya!


Najib: Umno muncul parti terkuat dalam PRU13

KELAB GREENBOC
 
Umno kekal sebagai parti pilihan rakyat berdasarkan pencapaian parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei lepas, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana menteri berkata ini terbukti dengan kejayaan Umno menambah bilangan kerusi Parlimen daripada 79 pada PRU12 2008 kepada 88 pada pilihan raya kali ini.

"Jika dibandingkan dengan pembangkang, mereka mempunyai 89 buah kerusi, bererti Umno sebagai parti tunggal boleh menyamai gabungan parti pembangkang yang terdiri daripada tiga parti tersebut (DAP, PKR dan PAS)," kata Presiden Umno itu kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno hari ini.

Najib berkata prestasi Umno juga diukur berdasarkan kejayaannya merampas kembali Kedah dan Perak berserta bilangan undi yang diperolehi yang semakin bertambah.

"Mengikut kajian kita, lebih kurang 30 peratus peningkatan undi yang diberikan kepada Umno berbanding tahun 2008, katanya.

Justeru, Najib berkata Umno akan terus berjuang dengan memantapkan gerak kerjanya melalui beberapa penambahbaikan pentadbiran di peringkat ibu pejabat seperti dicadangkan oleh timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan.

Beliau berkata antara penambahbaikan tersebut ialah mewujudkan beberapa bidang pengkhususan sepenuh masa seperti penyelidikan dan latihan, media sosial dan bidang penerangan.

Beliau berkata penyusunan semula tersebut perlu bagi memastikan usaha, mesej dan segala keputusan daripada Majlis Tertinggi itu dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Menurutnya khidmat tenaga profesional sepenuh masa dan berdedikasi akan digunakan untuk melaksanakan tugas dan arahan majlis itu.

Sementara itu, Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata pengumuman Najib mewujudkan pelbagai pengkhususan dalam memantapkan lagi parti itu akan menjadikan Umno lebih fokus untuk mendekati golongan muda.

"Ini merupakan tumpuan baharu parti kerana pada 2017 atau 2018 nanti (jika pilihan raya umum diadakan), dijangka hampir 2.5 juta pengundi muda, dan ini harus diberikan tumpuan bagi mendekati kumpulan berkenaan," katanya.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin pula berpendapat pewujudan pelbagai pengkhususan itu adalah cadangan yang tepat bagi memulakan usaha parti itu menghadapi pilihan raya umum ke-14.

"Kita pisahkan media sosial daripada penerangan, jadi kita akan memberi input untuk kaedah menjalankan kempen melalui media alternatif dengan lebih berkesan. Pemuda Umno akan menyumbang idea untuk memperkukuhkan bidang itu," katanya. - Bernama

Ulasan GB

Najib membnicarakan soal kerusi, lansung tak sentuh tentang undi.

Dengan penuh bangga beliau menyatakan "kejayaan Umno menambah bilangan kerusi Parlimen daripada 79 pada PRU12 2008 kepada 88".

Oleh kerana Najib berbicara tentang "kerusi" kita jawab dengan kerusi juga.

UMNO meningkatkan kerusinya daripada 79 kepada 88 katanya, TETAPI jangan terlepas pandang bahawa kerusi Barisan Nasional merosot 7 kerusi dari 140 (2008) kepada 133 (2013). Pakatan Rakyat yang dapat menambahkan 7 kerusi daripada 82 (2008) kepada 89 (2013)

Jadi peningkatan kerusi UMNO datang dari mana kalau bukan dari kalangan anggota BN sendiri iaitu MCA? MCA kalah teruk dengan kehilangan 8 kerusi iaitu daripada 15 (2208) kepada cuma 7 (2013).

Rumusannya? UMNO bertambah kuat dengan menambah kerusinya dengan mengkorbankan MCA!

Sokongan kaum India yang digembar-gemburkan telah kembali kepada BN juga palsu kerana MIC cuma menambah 1 kerusi sahaja iaitu dari 3 (2208) kepada 4 (2013).

Ditinjau dari sudut undi popular keadaannya bertambah buruk dan Najib lansung tak sentuh lansung mengenainya.

UMNO menerima sejumlah 3,241,286 (29.32%) undi popular, jauh lebih rendah daripada Pakatan Rakyat yang memperolehi 5,623,984 (50.87%).

UMNO parti terkuat?

Dengan jumlah undi popular yang diterima oleh UMNO sebanyak 3.2 juta itu, ia menyamai keahlian UMNO yang juga dikhabarkan seramai 3.2 juta. Ini bererti UMNO hanya menerima undi daripada ahlinya sendiri, menjelaskan kepada kita bahawa UMNO tidak layak untuk mewakili rakyat "Melayu" Malaysia kerana jumlah pengundi Melayu ialah 7.8 juta. Sejumlah 4.6 juta lagi pengundi Melayu tidak memilih UMNO sebaliknya memilih Pakatan Rakyat! Itu GB tak ulas pengundi bukan-Melayu yang masing-masing dah tahu, malah Najib sendiri akui, majoritinya sudah tidak mengundi BN!

Najib benar-benar sedang berilusi, tertipu dan hendak menipu rakyat Malaysia,,

PAS Sedia Biaya Kos Guaman Safwan dan Adam

 Editor buletin

http://buletinonline.net/images/stories/aberita21/safwan.JPGDewan Pemuda PAS Malaysia menawarkan diri untuk menanggung kos guaman untuk aktivis mahasiswa, Safwan Anang dan Adam Adli Abd Halim sepanjang kes kedua-duanya berlangsung di mahkamah.

Naib Ketuanya, Dr Raja Ahmad Al Hiss berkata, pihaknya juga bersedia membantu dengan membekalkan peguam dari Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) bagi membela anak muda yang ditangkap, didakwa dan dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyanjung tinggi keberanian anak-anak muda  dalam mempertahankan kebenaran meskipun mereka berdepan dengan risiko ditangkap dan dipenjarakan.

Keengganan Safwan Anang untuk diikat jamin sebanyak RM 5,000 membuka mata semua pihak bahawa beliau adalah simbol rakyat yang dizalimi. Beliau juga menunjukkan suatu sikap seriusnya anak muda dalam memperjuangkan demokrasi yang kian nazak di negara ini.

“Pemuda Pas melihat kebangkitan anak-anak muda seperti Safwan dan Adam Adli merupakan suatu fenomena luar biasa di negara ini.

“Di negara lain, sekiranya mahasiswa dan anak muda sudah mula berani turun berhimpun, ia menandakan zaman gelap kepada pemerintah dan permulaan cerah untuk pembebasan bagi rakyat yang cintakan keamanan, kedamaian dan demokrasi sebenar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam pada Rabu 29 Mei, Safwan yang ditahan atas dakwaan mengeluarkan kata-kata berunsur hasutan tidak mahu diikat jamin sebagai tanda protes.

Sinar Harian Online difahamkan, peguam yang mewakili Safwan, Ariff Azami Hussein telah cuba memujuknya namun beliau berkeras untuk tidak diikat jamin.

Sementara itu, minggu lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membebaskan tahanan reman ke atas Adam Adli dengan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan.

Adam Adli dituduh mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) dan boleh dihukum di bawah seksyen 4(1) Akta yang sama dan kes akan disebut semula pada 2 Julai depan.

Dalam pada itu, dakwa Raja Ahmad, penangkapan Adam Adli dan Safwan adalah titik tolak kebangkitan anak-anak muda.

Dakwanya, kerajaan tidak boleh menganggap penangkapan mahupun mahasiswa ini boleh mendiamkan mulut ratusan ribu anak-anak muda.

“Dua orang anak muda ditangkap, ribuan lagi Safwan dan Adam Adli akan muncul dari celahan kebangkitan anak-anak muda,” dakwanya lagi.

Tiada sebab ahli DAP tidak terima notis hadir kongres

Roketkini.com


SHAH ALAM: Tidak ada alasan bagi semua perwakilan DAP yang mendakwa tidak menerima notis untuk menghadiri kongres kebangsaan parti itu di Pulau Pinang, 15 Disember lalu.

Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok berkata, perkara itu timbul kerana beberapa masalah tekninal termasuk notis yang dihantar tidak sampai ke rumah ahli DAP kerana pertukaran alamat.

Tambahan pula, katanya, perwakilan DAP sepatutnya sudah tahu kerana kongres DAP sudah dihebohkan lebih awal iaitu sebelum tarikh yang sepatutnya diadakan atau mereka boleh merujuk perkara itu kepada Ibu Pejabat DAP, bukannya mengadu kepada pihak lain.

Sehubungan itu, Teresa yang juga Ahli Parlimen Sepeuteh berkata, Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS) dminta lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan sebarang kenyataan apabila mendakwa ramai perwakilan DAP tidak menerima notis untuk menghadiri kongras itu.

“Perkara itu timbul kerana ada usaha daripada beberapa perwakilan DAP yang bermasalah mengadu perkara itu kepada ROS bagi menjejaskan imej parti,” katanya.

Semalam, Ketua Pengarah ROS, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, keputusan itu diperoleh selepas siasatan ke atas aduan diterima daripada perwakilan DAP yang tidak menerima notis itu.

Menurut Abdul Rahman, ahli DAP itu mendakwa mereka telah dinafikan hak untuk mengundi dan seterusnya membuat pemilihan pada kongres berkenaan. – Roketkini.com

Punca bot karam: Tiada jalan darat antara Sibu-Kapit-Belaga

Roketkini.com



KUALA LUMPUR,: DAP menganggap punca sebenar berlakunya tragedi bot ekspres karam di Sungai Rajang dekat Belaga, Selasa lalu, yang meyaksikan 11 mangsa hilang, termasuk satu mayat ditemui kerana tiada jalan raya antara Sibu-Kapit-Belaga walaupun sudah lebih 50 tahun merdeka dan enam tahun menuju Wawasan 2020.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata persoalan yang sepatutnya bermain di kotak fikiran rakyat Malaysia ketika kaum Dayak mengambut Hari Gawai ialah sama ada musibah bot karam dengan 179 penumpang terselamat dan 11 hilang, menjadi satu daripada agenda Kabinet Persekutuan yang bermesyuarat, semalam.

Beliau berkata, atau adakah Kabinet sudah memutus untuk memperbetulkan kegagalan 50 tahun pembangunan saksama di Sarawak dengan memastikan wujudnya akses jalan raya ke Kapit dan Belaga.

“Jika tidak, apakah perbezaan yang dilakukan kepada teras sosio-ekonomi nasional dan pembangunan infrastruktur juga keadilan sosio ekonomi yang terlewat kepada penduduk pedalaman Sarawak melalui melantik tujuh menteri penuh dan empat timbalan menteri dari Sarawak menyertai Kabinet Persekutuan.

“Malah, sekiranya musibah bot karam itu berlaku pada hari mengundi Pilihan Raya Umum ke-13, 5 Mei lalu, Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri tentu sudah melawat tempat kemalangan dan menemui mangsa dalam tempoh 24 jam untuk menyampaikan ucapan takziah Kerajaan Persekutuan secara peribadi berbanding sikap berbeza Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sekarang, yang tidak mengucapkan sepatah kata pun mengenai musibah bot Belaga sejak dua hari lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini..

Beliau berkata, setiap orang sebenarnya takut untuk menggunakan bot ekspres kerana arus sungai tidak boleh dijangka tetapi mereka tiada pilihan lain kerana tidak boleh menggunakan pengangkutan darat.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, dijangka terdapat kira-kira 100,000 orang tinggal di kawasan Kapit dan kerajaan Persekutuan serta kerajaan negeri Sarawak tidak boleh berterusan meninggalkan tanggungjawab mereka untuk memastikan wujudnya akses jalan raya ke Kapit dan Belaga.

“Saya menerima emel daripada orang Dayak dan rakyat Sarawak mengenai musibah bot Belaga, aduan dan rayuan mereka mesti didengari dan diambil tindakan oleh kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak.

“Penduduk yang hantar emel itu mengaku sudah biasa melihat tragedi sedemikian tetapi masalahnya orang tempatan iaitu Dayak dan Iban menganggap kemalangan dan tragedi sebegitu perkara biasa dan boleh diterima sebab itu mereka tidak panik apabila kejadian sebegitu berlaku.

“Bagaimanapun mereka berharap pihak berkuasa tidak mengambil mudah perkara itu. Tiada seorang pun didakwa kerana pemilik feri atau bot mempunyai jaringan kuat. Penduduk tempatan pula terlalu miskin sehingga mereka tidak melakukan apa-apa melainkan menanti mayat dikebumikan,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Menurut Kit Siang, mereka hanya kenal BN. Mereka terus mengundi BN sekalipun dihimpit kesengsaraan dan kesusahan, tidak diberikan pendidikan yang baik dan keadaan kehidupan yang buruk sehingga sekarang.

Kaum Dayak juga memuji Kit Siang kerana menyuara dan membela mereka kerana orang Dayak termasuk pemimpin mereka takut untuk bersuara dan mengakui punca sebenar kejadian itu adalah tiada jalan raya Sibu-Kapit-Belaga dan konspirasi besar yang menghalang pembinaan jalan raya Sibu-Kapit-Belaga sejak 50 tahun lalu.

“Wakil rakyat Ulu Rejang yang mengatakan kerajaan tidak mempunyai cukup duit untuk membina jalan raya Sibu-Kapit-Belaga dianggap satu pembohongan kerana kosnya amat kecil berbanding membina Putrajaya, KLIA, Empangan Bakun, Empangan Murum.

“Kos pembinaannya tidak seberapa berbanding jumlah keseluruhan wang yang diperoleh daripada pembalakan dan perniagaan bot ekspres di Ulu Rejang. Tambahan pula, sekiranya JKR tidak boleh melakukan kerana kontraktor mahukan harga yang tinggi, biar bahagian kejuruteraan tentera yang melakukannya (Strategi Laut Biru),” tambahnya.

Menurut beliau, orang pedalaman di Sarawak, terutamanya di Kapit dan Belaga mahu musibah bot Belaga yang berlaku pada Gawai Dayak tahun ini akan didengari dan diambil tindakan oleh Kabinet Persekutuan baru memandangkan kini ada tujuh menteri penuh dan empat timbalan menteri dari Sarawak selepas PRU-13.-Roketkini.com

FAM disaran contohi program Pakatan Rakyat

Oleh Mohd Arif Juhani

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) disaran mencontohi kaedah Pakatan Rakyat menganjurkan program melibatkan puluhan ribu penonton yang berlangsung secara aman.

Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Lee Khai Loon berkata, kebanjiran penonton dan insiden baling batu tidak sepatutnya berlaku jika pihak berkuasa lebih aktif mengawal keadaan.

su_01.1

“Sepatutnya situasi ini boleh diramal penganjur dan anggota berkuasa berdasarkan sambutan hangat peminat bola sepak kedua-dua pasukankatanya kepada Keadilandaily.

“Saya difahamkan berlaku kebanjiran penonton sehingga mencecah 42,000 orang. Sedangkan Stadium Darul Makmur berkapasiti 35,000 penonton. Bagaimana boleh wujud keadaan ini?, soalnya.

Pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Darul Makmur 28 Mei lalu, berlaku kekecohan antara penyokong pasukan Pahang dan Johor Darul Takzim (JDT).

Ekoran kekecohan itu, kedua pasukan dihukum FAM apabila Pahang didenda sebanyak RM100,000 manakala JDT pula RM20,000.

Justeru, Adun Machang Bubuk menasihatkan semua pihak bermuafakat atas semangat kesukanan
“Semangat berpasukan itu mesti ditonjolkan dengan lebih hebat bagi membuktikan rakyat Malaysia adalah matang dan profesional.

PAHANG-VS-JDT

“Kesedaran sivik itu yang lebih utama untuk ditunjukkan dalam semangat kita menyokong arena bola sepak tanah air,” ujarnya.

Perlawanan ulangan separuh akhir kedua Piala FA yang dibatalkan Selasa lalu akan dilangsungkan semula di Stadium Nasional, Bukit Jalil, esok.

Media Umno-BN lebih banyak rosak keharmonian

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan KEADILAN, Dr Muhammad Nur Manuty berkata, media kawalan Umno-BN lebih banyak merosakkan keharmonian negara.

Nur-Manuty

Beliau mengulas kenyataan Menteri Komunikasi & Multimedia, Datuk Ahmad Shabery Cheek berhubung cadangan undang-undang penyalahgunaan media sosial.

“Shabery harus sedar bahawa media Umno-BN lebih banyak merosakkan keharmonian negara dengan menimbulkan isu perkauman terutama selepas PRU lalu,” katanya kepada Keadilandaily.

“Mengapa tindakan segera tidak diambil terhadap mereka? Jelas undang-undang yang dikaji itu berat sebelah dan cuba menafikan demokrasi maklumat yang menjadi hak setiap rakyat Malaysia,” ujarnya.

Shabery mengulas cadangan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) yang menggesa kerajaan Malaysia mencontohi Singapura yang mewajibkan lesen kepada semua laman web berita di negara ini.

Muhammad Nur menempelak percubaan Shabery untuk menjadikan Singapura sebagai contoh kerana negara republik itu sebenarnya gagal mengamalkan demokrasi dengan baik.

Media_PR

“Lihat balik laporan Indeks Kebebasan Akhbar. Singapura menduduki tangga ke-135. Aneh kalau Malaysia mahu meniru negara yang berada jauh dibelakangnya,” kata Dr Manuty.

Pengerusi KEADILAN Perak itu menambah, lebih memburukkan keadaan apabila Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas akhbar rasmi Pakatan Rakyat seperti Suara Keadilan, Harakah dan The Rocket.

“Tindakan itu menunjukkan Umno-BN tidak sukakan kebebasan maklumat, sebaliknya parti itu masih kuat dengan nafsu politik dendamnya.

“Ini menunjukkan Malaysia berada dalam kegelapan maklumat. Fasa diktator Mahathirisme sedang berlaku bagi menghalang kebangkitan rakyat,” katanya.

Fail Petisyen: BN sendiri tak percaya SPR – Saifuddin

Oleh: Mohd Arif Juhaini

KUALA LUMPUR : Tindakan Barisan Nasional (BN) untuk memfailkan lebih 50 petisyen di kerusi parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bukti parti itu sendiri tidak percaya kredibiliti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kata Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin

Secara tidak langsung, ujarnya, tindakan Umno BN itu ibarat ‘meludah ke langit’ kerana mereka sebelum ini bersungguh-sungguh mempertahankan ketelusan SPR.

“Tetapi sekarang, Umno BN pun tidak percayakan kepada SPR. SPR harus ingat inilah padahnya apabila cuba mengkhianati amanah yang rakyat berikan untuk menikmati proses demokrasi pilihan raya yang bersih dan adil,” ujarnya ketika dihubungi.

Beliau berkata, tindakan itu juga mengesahkan dakwaan Pakatan Rakyat bahawa memang wujud kelemahan dan kecurangan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lepas.

“Ini beban baru SPR yang perlu mereka jawab selepas Pakatan berjaya membuktikan segala kecurangan yang wujud dalam pelbagai segi, seperti senarai daftar pemilih, isu dakwat kekal, blackout semasa pengiraan undi dan sebagainya,” ujar Saifuddin.

Tegasnya, mana-mana parti politik hanya akan memfailkan petisyen selepas meragui keputusan pilihan raya yang dikendalikan badan seperti SPR.

“Jadi tindakan Umno BN ini akan memalukan SPR sebagai badan bertanggungjawab yang  sebelum ini kerap kali mendakwa melaksanakan amanah dengan telus dan adil baik sebelum, semasa dan selepas pilihan raya,”.

“Kalau sebelum ini, SPR sekadar mencuci tangan sahaja dengan memberikan pelbagai alasan dangkal apabila Pakatan kemukakan bukti kecurangan, sekarang mereka tidak boleh ambil ringan lagi bukti yang rakyat berikan,” katanya.

PKR gesa PM jawab isu tahanan mati dalam lokap

Wartawan Sinar Harian

PKR gesa PM jawab isu tahanan mati dalam lokap
N.Surendran menunjukkan gambar kesan lebam badan Dhamendran yang mati dipukul dalam tahanan polis, di Ibu Pejabat PKR, Petaling Jaya. Foto: Sinar Harian Online-Nizam Zain
 
PETALING JAYA - PKR menggesa supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi penjelasan berhubung kematian Dhamendran yang dipercayai mati dibunuh akibat dipukul ketika dalam tahanan polis.

Naib Presiden PKR, N.Surendran mendakwa laporan bedah siasat dari Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur mendedahkan tubuh mangsa mempunyai banyak kesan lebam di seluruh badan dipercayai akibat dipukul dengan objek tumpul.

"Kami mahu Perdana Menteri menjelaskan bagaimana Dhamedran boleh mati dalam tahanan polis walhal mangsa hanyalah suspek.

"Laporan bedah siasat dari hospital kerajaan adalah bukti kukuh dan jangan kata mangsa mati disebabkan masalah kesihatan kerana perkara itu disahkan doktor patologi yang membuat bedah siasat itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, di sini, hari ini.

Najib: Kawal selia, fungsi SPR bakal dipindah ke satu jawatankuasa khas

SINAR HARIAN

Najib Tun Razak
Datuk Seri Najib Tun Razak - Foto Bernama
 
KUALA LUMPUR - Kerajaan memutuskan untuk memindahkan fungsi dan kawal selia Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada satu jawatankuasa khas yang diwakili anggota Parlimen daripada semua parti politik sama ada kerajaan atau pembangkang sebagai langkah memperkukuhkan kewibawaan serta kredibiliti badan itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dengan langkah ini, diharap kebebasan SPR tidak dipersoal lagi dan keyakinan rakyat terhadap SPR akan dapat diperkukuhkan.
 
"Kerajaan akan memberi kerjasama penuh kepada SPR untuk menambah baik wibawa perjalanan pilihan raya di negara ini walaupun pilihan raya umum ke-13 (PRU13) telah berlangsung dengan baik dan lancar.

"Janganlah kerana kepentingan diri dan kelompok tertentu, ada pihak cuba merosakkan kebolehpercayaan institusi itu dengan melempar pelbagai persepsi liar.
 
"SPR bukanlah sebuah agensi atau jabatan kerajaan, sebaliknya sebuah mekanisme yang ditubuh berasaskan peruntukan undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan dan anggotanya mendapat perlindungan jawatan yang sama dengan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan," katanya.

Najib berkata demikian dalam ucapan sembah tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sempena hari keputeraan Seri Paduka dan istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat persekutuan di Istana Negara.

Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah turut berkenan berangkat menghadiri majlis itu.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menteri-menteri Kabinet.

Tambah Najib,selesainya proses pilihan raya bermakna penerusan kembali pelayaran bahtera negara untuk tempoh lima tahun akan datang menuju matlamat wawasan kebangsaaan.

"Dalam tempoh itu kita akan menamatkan Rancangan Malaysia (RMK) ke-10 dan memulakan RMK ke-11, rancangan pembangunan lima tahun terakhir sebelum tercapainya Wawasan 2020 yang akan menyaksikan Malaysia, dengan izin ALLAH SWT, menyertai kelab negara berpendapatan tinggi dunia," katanya.

Najib turut melaporkan kepada Tuanku Abdul Halim bahawa buat kali ke-13 sejak merdeka, Malaysia berjaya menyelesaikan secara aman dan tertib pilihan raya umum bagi memilih wakil rakyat, seterusnya membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan dan 12 negeri mengikut lunas-lunas yang digariskan Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang negara.
 
"Patik ingin menjunjung kasih di atas perkenan kepercayaan Tuanku melantik patik selaku Perdana Menteri Malaysia selaras dengan mandat yang telah diberikan rakyat di bawah sistem raja berpelembagaan dan demokrasi berparlimen.
 
"Amanah ini akan patik dan rakan-rakan jemaah menteri serta anggota pentadbiran lain lunaskan dengan penuh keinsafan bagi membawa rakyat dan negara ke arah kemakmuran dan kesejahteraan dengan bimbingan Tuanku dan izin ALLAH SWT," kata Najib. - Bernama

Anggota Rakan Cop, URB ditambah tangani jenayah

SINAR HARIAN
Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi
 
KAJANG - Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhasrat menambah keanggotaan Rakan Cop dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu menangani masalah jenayah dalam negara.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha itu secara tidak langsung akan membantu mempercepatkan laporan mengenai sesuatu kejadian jenayah.

"Siasatan mengambil masa kerana ia antara lain, tertakhluk kepada kerjasama orang ramai kerana polis perlukan maklumat tambahan bagi melakukan tangkapan...ia memerlukan tindakan cepat masyarakat.

"Oleh sebab itu, saya dan timbalan menteri berhasrat memperbesarkan lagi Rakan Cop, agar mereka dapat membantu bagi maklumat segera," katanya pada sidang media di ibu pejabat Jabatan Penjara Kajang, semalam.

Terdahulu, Ahmad Zahid bersama timbalannya, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar melawat Kompleks Penjara Kajang diiringi Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi dan Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar.

Ahmad Zahid berkata, rondaan bersama, URB dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga akan diadakan dengan lebih kerap berbanding secara berskala sekarang.

Selain itu, beliau berkata lokasi kerap berlaku jenayah berulang juga akan dipantau dan dikaji secara terperinci dan akan dimasukkan ke senarai lokasi 'hotspot' sedia ada, sekiranya perlu.

Latihan khas juga akan diberikan kepada badan-badan di bawah kementerian seperti Pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia bagi memotivasi mereka membantu anggota polis mencegah jenayah. - Bernama