Sabtu, 1 Jun 2013

Tarik balik halangan ke atas Nurul Izzah, kata Bung Mokhtar

Oleh Md Izwan

KUALA LUMPUR — Sekatan ke atas Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar daripada memasuki Sabah perlu ditarik balik kerana beliau bukan ancaman kepada negeri, kata pemimpin Barisan Nasional (BN) yang lantang, Datuk Bung Moktar Radin.

Beliau menggesa kerajaan negeri Sabah memberikan alasan kukuh terhadap langkah yang dianggapnya sebagai “kesilapan” besar dan satu “bencana”.

“Kenapa saya Tweet menyokong Nurul Izzah? Kerana saya lihat tidak ada keperluan untuk halang dia ke Sabah, kerana dia bukan satu ancaman,” kata ahli Parlimen Kinabatangan itu .

“Oleh itu saya meminta kerajaan negeri memberi satu penjelasan yang kukuh.

“Kalau sengaja menahan ia adalah suatu tindakan yang tidak relevan, saya berpendapat pihak-pihak tertentu yang membuat larangan tersebut perlu menarik balik,” tambah ahli Majlis Tertinggi Umno tersebut selepas menghadiri mesyuarat di Bangunan Umno, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Semalam, Bung Mokhtar mengutarakan pandangan sama menggesa penjelasan terhadap langkah tersebut.

“Saya percaya ini adalah kesilapan besar dan perlu diperbetulkan,” kata Bung melalui akaun Twitternya @MyKinabatangan turut menyebut akaun Twitter Nurul Izzah dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman semalam.

Semalam, Nurul Izzah telah dihalang daripada masuk ke Sabah sebaik tiba di Kota Kinabalu bagi menghadiri majlis Pesta Kaamatan, atas kapasiti peribadinya.

Hari ini, Musa enggan mengulas tentang penghantaran balik Nurul Izzah daripada negeri Borneo tersebut semalam.

Musa terus ke keretanya secara tergesa-gesa apabila cuba ditemui oleh The Malaysian Insider di PWTC.

Walaupun kerajaan Sabah mempunyai hak undang-undang melarang sesiapapun daripada memasuki negeri tersebut, tiga badan-badan profesional peguam di negara ini yang terdiri daripada Persatuan Undang-Undang Sabah, Persatuan Peguam Bela Sarawak dan Majlis Peguam Malaysia — mengingatkan kerajaan negeri untuk “berhenti” daripada menyenarai hitam rakyat Malaysia yang diragui tanpa sebab.

“Dengan melaksanakan langkah drastik ini, kerajaan negeri Sabah melanggar jaminan kebebasan untuk bergerak yang termaktub dalam Perkara 9 Perlembagaan Persekutuan, yang memperuntukkan bahawa “setiap warganegara mempunyai hak untuk bergerak bebas di seluruh Persekutuan”, kata mereka dalam satu kenyataan bersama awal hari ini.

Malah, Nurul Izzah hari ini juga berkata akan mengambil tindakan perundangan terhadap kerajaan negeri BN Sabah atas tindakan mereka di mahkamah.

Seorang lagi Naib Presiden PKR, Chua Tian Chang, turut dihalang masuk ke Sabah pada April lepas.

Jika SPR bubar, siapa calon barunya?


Oleh ALI BUKHARI AMIR

Perkara yang berkaitan SPR ini boleh dilihat dalam Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan di mana ia berperanan sebagai sebuah suruhanjaya yang menyelia pilihan raya. Daripada suatu segi, sepertinya ia diperakui sah kedudukannya oleh perlembagaan

Tetapi, isu hari ini bukan lagi melibatkan persoalan sama ada SPR itu masih relevan atau tidak. Ia adalah persoalan keyakinan rakyat terhadapnya. Biarpun ia terpahat dan tertulis di dalam perlembagaan, tapi ia mestilah diyakini untuk menjalankan peranannya sebagaimana yang dikehendaki rakyat.

Insiden kepenggunaan dakwat kekal yang mengakibatkan keyakinan rakyat tercalar termasuk kejadian terputusnya bekalan elektrik di beberapa buah tempat pengundian, termasuk pendedahan berhubung kehadiran rakyat Bangladesh telah membuktikan bahawa SPR hari ini berdepan dengan masalah besar.

Masalah besar ini sudah berada di tahap terhakisnya kepercayaan rakyat ke atasnya. Dan, jika SPR gagal melaksanakan tuntutan rakyat anjuran Bersih sebelum ini, maka pesuruhjaya SPR perlulah ditukar ganti dengan pesuruhjaya yang lain pula.

Tugas SPR antara lainnya adalah mendaftarkan pemilih. Hal ini pun tidak dilaksanakan SPR. Ada tuntutan yang tidak diendahkan iaitu gesaan agar didaftarkan terus para pemilih itu setelah cukup usia mengundi.

Pendek kata, banyak kelemahan yang jelas ketara wujud jika hendak diselak kelemahan ini satu persatu. Jadi, kepada siapakah yang perlu rakyat adukan permasalahan SPR ini.

SPR mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Hari ini, setelah melalui beberapa perubahan, SPR memiliki pengerusi, timbalan pengerusi serta lima ahli, yang mana kesemua ahlinya dilantik oleh Yang Dipertuan Agong selepas dipersetujui melalui suatu perundingan bersama Majlis Raja-Raja Melayu.

Berdasarkan catitan di dalam perlembagaan, disebutkan bahawa - ketika melantik Ahli-ahli Suruhanjaya, Yang Dipertuan Agong hendaklah memandang kepada mustahaknya diadakan suatu Suruhanjaya Pilihan Raya yang mendapat kepercayaan awam.

Hal inilah yang paling penting untuk dinyatakan di sini iaitu ahli-ahli suruhanjaya SPR itu mesti mendapat kepercayaan awam bagi pihak rakyat seluruhnya. Ini bererti rakyat boleh menghantar rasa tidak percaya mereka terhadap Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu.

Bagaimanapun cabaran itu masih ada apabila wujud dasar campurtangan Perdana Menteri secara halus. Misalnya, walau Perlembagaan tidak nyatakan peranan PM, tapi dalam Perkara 40 disebut bahawa, Raja mestilah mematuhi nasihat PM, dan membuat perjumpaan antara Suruhanjaya berasaskan nasihat PM.

Bagaimanapun, oleh kerana hal ini bersifat halus dan tidak dinyatakan secara jelas, maka sentiasa wujud ruang bagi rakyat untuk mendebatkannya semula. Contohnya rakyat juga yang lebih berkuasa dibanding PM kerana rakyat itulah yang mengundi sehingga terbentuknya kerajaan yang ada sekarang.

Akan sentiasa wujud rasa tidak percaya terhadap Najib Razak dan SPR. Maka, di sinilah setidak-tidaknya wujud ruang untuk rakyat berselisih pendapat dengan PM Najib Razak terhadap perjalanan SPR itu.

Rakyat boleh keluar di jalan raya ke Istana Negara untuk mengirim isyarat ke atas Agong berhubung rasa tidak yakin ke atas Najib Razak, SPR pada hari ini. Ringkasnya kita boleh meminta Agong melantik semula ahli-ahli suruhan jaya tanpa melalui Najib Razak yang sudah tidak dipercayai oleh kebanyakan rakyat.

Hal ini kerana terisytiharnya Najib Razak sebagai PM pun adalah hasil undian rakyat jua. Rakyat bolehlah mengadakan pungutan suara daripada semasa ke semasa berhubung ketidakyakinan mereka ke atas SPR itu. Harus diingat bahawa kekuasaan rakyat mengatasi kuasa PM Najib Razak.

Jadi, meskipun tercatat bahawa anggota suruhanjaya mesti meletakkan jawatan secara sukarela setelah mencapai umur 65 tahun, namun jika rakyat sudah tidak lagi mempercayai mereka, maka untuk apa lagi ditunggu sehingga usia mereka mencapai 65 tahun?

Apa-apa pun, rakyat perlu bersedia lebih awal. Iaitu, mereka perlu segera memutuskan, siapakah calon-calon SPR pilihan rakyat yang lebih diyakini bagi menyelia pilihan raya hari ini.

Mesyuarat-mesyuarat rakyat perlu dijalankan sekarang untuk menamakan calon-calon itu kepada Majlis Raja-Raja Melayu dan Yang Dipertuan Agong. Jika Najib Razak tak bersetuju, maka Najib adalah seorang penderhaka raja dan pengkhianat kepada mandat yang diberikan oleh rakyat.

Ya inilah persoalan paling penting dan pertanyaan yang getir tapi mustahak dijawab hari ini, “Siapa calon pesuruhjaya SPR yang baru bagi menggantikan pesuruhjaya korup yang lama itu?”

Kita perlu ingat, ketika membuat tuntutan ini, kita tuntut hak seperti yang dicatat dalam perlembagaan - ketika melantik Ahli-ahli Suruhanjaya, Yang Dipertuan Agong hendaklah memandang kepada mustahaknya diadakan suatu Suruhanjaya Pilihan Raya yang mendapat ‘kepercayaan awam’.

Milik siapakah kerajaan hari ini?!


Oleh ABD RAZAK MUTHALIB

PERSOALAN ini mungkin mudah untuk dijawab sekarang. Apatah lagi dalam keadaan kita baru sahaja selesai PRU13.

Parti Barisan Nasional telah mengisytiharkan mereka berjaya membentuk kerajaan bagi memerintah Malaysia buat penggal yang seterusnya. Namun, apakah kerajaan ini akan kekal buat selama-lamanya? Sudah pasti tidak. Tiba masanya ia akan tamat atau ditamatkan.

Tiba masanya ia akan berubah atau diubah. Sama ada kerajaan yang ada pada hari ini diubah dan diganti dengan parti lain yang menjadi kerajaan, atau pun ia akan hancur dan musnah bersama hancur dan musnahnya dunia ini.

Kerajaan ALLAH tetap teguh

Jadi, milik siapakah kerajaan pada hari ini? Persoalan ini perlu dijawab dengan jiwa yang penuh keinsafan. Mengiktiraf kekerdilan diri sebagai seorang hamba di hadapan Tuhan.

Menyedari tanggungjawab sebagai khalifah di atas muka bumi milik ALLAH. Mempercayai bahawa di sana adanya sebuah kerajaan yang jauh lebih hebat dan perkasa. Kerajaan tersebut tidak akan musnah kerana ia milik Yang Maha Gagah. Kerajaan tersebut akan terus kekal, kerana ia milik Yang Maha Kekal. Ia tetap berdiri teguh, di saat dunia telah hancur luluh.

Milik siapakah kerajaan pada hari ini? Pada hari itu, tidak ada satu pun kerajaan yang kekal. Walaupun di dunia dahulu, mereka dianggap sebagai kerajaan yang kuat, stabil dan sukar digugat. Namun, apabila dunia sudah berakhir hayat, tidak akan ada yang terus berkuasa sampai ke akhirat. Ketika itu, akan ditanya “Milik siapakah kerajaan pada hari ini?”. Sudah pasti, ia adalah milik ALLAH, Tuhan Yang Maha Perkasa.

Di dalam surah al-Mukmin atau dinamakan juga surah Ghafir, ayat 13-16, ALLAH SWT menjelaskan:

“Dialah yang memperlihatkan kepadamu tanda-tanda (kekuasaanNya) dan menurunkan untukmu rezeki dari langit. Dan tiadalah mendapat pengajaran kecuali orang-orang yang kembali (kepada ALLAH).

Maka sembahlah ALLAH dengan memurnikan ibadat kepadaNya, sekali pun orang-orang kafir tidak menyukainya.

Dialah Yang Maha Tinggi darjatNya, Yang mempunyai ‘arash, Yang mengutus Jibrail dengan (membawa) perintahNya kepada siapa yang dikehendakiNya, supaya dia memperingatkan (manusia) tentang hari pertemuan (hari kiamat).

Iaitu hari ketika mereka keluar (dari kubur), tiada suatu pun dari keadaan mereka yang tersembunyi bagi ALLAH. (Lalu ALLAH berfirman): MILIK SIAPAKAH KERAJAAN PADA HARI INI?!. Ia milik ALLAH Yang Maha Esa lagi Maha Mengalahkan”.

Tidak ada manusia mampu mendabik dada

Pada hari itu, tidak ada seorang pun yang mampu berdalih lagi. Tidak ada yang mampu untuk menipu. Tidak ada yang masih mendabik dada bahawa dialah manusia yang hebat, walaupun di dunia dahulu dia seorang yang berpangkat dan disanjung rakyat. Tidak kira siapa pun kita di atas dunia, pemimpin atau rakyat marhaen, orang biasa atau sultan yang bertakhta, si miskin atau pun si kaya, semua kita akan dibalas terhadap apa yang telah kita lakukan di dunia.

Oleh sebab itu, selepas ALLAH menegaskan bahawa kerajaan pada hari akhirat, ialah milik ALLAH, Tuhan Yang Maha Esa, terus disambung dengan ayat berikut:

“Pada hari ini tiap-tiap jiwa diberi balasan dengan apa yang diusahakannya. Tidak ada kezaliman pada hari ini. Sesungguhnya ALLAH amat cepat hisabnya”. (Surah Mukmin: 17).

Mahu atau tidak mahu, semua kita pasti bertemu detik itu. Bersedia atau pun tidak, hakikat ini tidak mampu untuk ditolak. Inilah hari pembalasan bagi setiap perbuatan.

Setiap keikhlasan, kejujuran, keadilan dan amal kebaikan, balasannya jua kebaikan. Kezaliman, penindasan, penipuan, penyelewengan dan amal keburukan, balasannya jua keburukan. Melainkan jika si pelakunya mati dalam keadaan bertaubat, mudah-mudahan rahmat dan pengampunan Tuhan menjadi pengubat.

ALLAH, Tuhan yang kita sembah, sama sekali tidak akan tersilap dalam menjatuhkan hukuman di hari akhirat kelak. ALLAH, Tuhan Yang Maha Adil, tidak akan sama sekali menzalimi hamba-hambaNya. Sekiranya ALLAH mengazab manusia disebabkan dosa kejahatan yang dilakukan, sememangnya ALLAH berhak melakukannya, kerana Dia adalah Tuhan kita, Pencipta kita dan kita adalah hambaNya.

HukumanNya itu sama sekali tidak akan tersilap. Sekiranya ALLAH mengampunkan dosa keburukan yang manusia lakukan, sememangnya ia berhak, kerana Dia adalah Tuhan Yang Pengampun.
Renungi ungkapan Nabi Isa ibn Maryam yang membuktikan penyerahannya kepada ALLAH SWT memberikan balasan terhadap perbuatan kaumnya:

“Sekira ENGKAU menyeksa mereka, maka sesungguhnya mereka adalah hamba-hambaMu, dan jika Engkau mengampuni mereka, maka sesungguhnya Engkau adalah Tuhan Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”. (Surah al-Maidah: 118)

ALLAH, Tuhan yang menguasai kerajaan langit dan bumi, tidak akan memungkiri janjiNya. Setiap janji yang termaktub di dalam al-Quran dan hadis, pasti akan ditepati. Mereka yang benar dan mempertahankan kebenaran akan mendapat nikmat yang membahagiakan. Oleh sebab itu, di dalam ayat 119-120, surah al-Maidah dinyatakan: “ALLAH berkata: “Ini adalah suatu hari yang bermanfaat bagi orang-orang yang benar kebenaran mereka.

Bagi mereka balasan syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. ALLAH reda terhadap mereka dan mereka pun reda terhadapNya. Itulah keuntungan yang paling besar.

Kepunyaan ALLAH kerajaan langit dan bumi serta apa yang ada di dalamnya, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu”.

Kerajaan ALLAH dan kebesaranNya mengatasi segala kerajaan dan kebesaran manusia yang ada di atas muka bumi ini.

Jika harta yang kita miliki akan musnah, jika pangkat yang kita sayangi akan punah, jika kekuasaan yang kita banggakan akan tersungkur rebah, maka apa yang akan kekal di saat kita menghadap ALLAH?

Percayalah, yang kekal hanyalah jiwa yang tenang, menghadap Pencipta dengan penuh harapan, menantikan nikmat ganjaran di atas amal kebaikan yang dilakukan. “Hari itu tidak lagi berguna harta dan anak pinak.

Kecuali orang-orang yang menghadap ALLAH dengan jiwa yang bersih”. (Surah al-Syu’ara’: 88-89).
Jika segala kuasa, pangkat, kekuasaan dan kebesaran yang kita miliki hari ini tidak akan kekal, maka adakah layak untuk kita sombong dan bongkak sesama manusia? Adakah patut untuk kita menindas hak manusia lain?

Pada hari itu, yang dizalimi akan mendapat keadilan, yang teraniaya akan terbela. Jika kita kecewa dengan penindasan di dunia, usah berputus asa. Teruskan usaha menegakkan hak dan keadilan, berpandukan syariat yang ditetapkan.

Bakinya, serahkan kepada ALLAH, Tuhan Yang Maha Bijaksana. Tidak akan ada satu pun yang akan terlepas. Tidak ada satu pun yang dapat disembunyikan. Semuanya akan dihisab dan dibicarakan, di bawah kerajaan ALLAH, Yang Maha Adil. “Milik siapakah kerajaan pada hari ini?. Milik ALLAH Yang Maha Esa, dan Maha Mengalahkan”.

Penulis adalah Perunding Latihan dan Motivasi, RK Training & Management merangkap Pensyarah di International Islamic College (IIC).

Najib pengerusi BN ‘paling lemah’?

  
DETIK DAILY

KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Umum Ke-13 mencatatkan sejarah kepada BN ap
abila memiliki seorang Pengerusi BN yang paling lemah dalam mencapai kemenangan besar buat gabungan itu.

Dato' Seri Najib Tun Razak yang telah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ketujuh disifatkan sebagai Pengerusi BN paling lemah dalam sejarah BN menerajui negara.

Info Kelemahan Pemerintahan Najib


• Skandal NFC RM250 juta
• Hutang negara lebih RM500 bilion
• Skandal Kapal selam Scorpene
• Kerusi BN merosot : 140 (PRU12) kepada 133 (PRU13)
• Kontrak sambungan Projek LRT Ampang lebih RM1 bilion
BN di bawah Najib hanya mencatatkan kemenangan bagi 133 kerusi Parlimen berbanding pencapaian buruk Tun Abdullah Ahmad Badawi pada tahun 2008 dengan 140 kerusi.

Menurut Timbalan pe-ngarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (UMCEDEL), Amer Saifude Ghazali, Najib adalah Pengerusi BN pertama yang paling lemah ketika tempoh penggal pertama menjadi Perdana Menteri.

Tambahnya, ia kesan akibat kegagalan sistem untuk membuat persempadanan semula dengan kehendak majoriti 2/3 kerusi Parlimen.

Katanya lagi, kegagalan sistem berkenaan dapat dilihat bagaimana BN yang tidak pernah mencatatkan 60 peratus undi popular masih menang dengan junmlah besar yang ditandingi mereka.

Sementara itu, Amer juga menjangkakan BN akan menggunakan apa sahaja kuasa dalam merancang untuk terus kekal memerintah negara ini khasnya melalui pilihan raya.

BN akan terus kekal memerintah selagi sistem pengundian “first past the post” terus digunakan di Malaysia.

Malah kata beliau, persempadanan semula kawasan pilihan raya yang akan dilakukan pada akhir tahun ini akan memberi kelebihan kepada BN yang dipimpin, Najib.

"Selagi mana kita mengguna pakai sistem first past the post, ia akan menjadi kelebihan untuk BN,” kata Amer dalam satu forum anjuran Merdeka Centre di Pe-taling Jaya pada 22 Mei lalu.

Hadir sama Pengarah Eksekutif Merdeka Center Ibrahim Suffian dan Pensyarah Sains Politik, Universiti Teknologi Mara (Sabah) Dr Mohd Faisal Syam Abdol Hazis.

Mengulas lanjut, Amer berkata sejarah menunjukkan prestasi BN akan meningkat di setiap kali persem-padan semula dilakukan.

Amer turut menjelaskan bagaimana beberapa kerusi di seluruh negara diper-sempadankan semula tanpa sebab yang kukuh.

Katanya lagi, sesetengah kerusi yang melalui persempadanan semula itu tidak masuk akal dan tidak adil.
Tambah beliau, persempadanan semua biasanya dilakukan untuk kepenti-ngan sesuatu pihak.

Beliau bagaimanapun turut berkata sebarang keputusan dan cadangan bagi merombak kedudukan sempadan perlu mendapat keputusan dua pertiga anggota Dewan Rakyat di Parlimen.

Jumaat, 31 Mei 2013

Media baru gugat negara atau gugat BN?

Harakahdaily,


KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan mahu mengkaji undang-undang terhadap 'penyalahgunaan' media sosial yang boleh menggugat keharmonian negara menimbulkan persoalan.

Ahli parlimen Bukit Gantang Idris Ahmad berpendapat, kerajaan sememangnya boleh sahaja bertindak menggunakan undang-undang yang sedia ada seperti beberapa pendakwaan yang telah dibuat terhadap beberapa individu sebelum ini.

"Benarkah keharmonian negara tergugat? Atau kedudukan BN yang tidak selamat.

"Apakah salah media baru yang menjadi kuasa pengimbang kepada media perdana yang sarat dengan fitnah dan penipuan," soal Idris.

Menurutnya, laporan kajian oleh beberapa pihak mendapati bahawa BN tewas dalam kempennya di media sosial dan internet biarpun menguasai media arus perdana secara total.

Faktor ini juga telah menyebabkan berlaku perubahan politik yang sangat ketara di bandar dan pinggir bandar khususnya melibatkan pengundi muda.

Ianya turut diakui sendiri oleh Ahli Parlimen Umno dari Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed di satu forum pasca-PRU anjuran Kelab Wartawan Asing Malaysia (FCCM) di ibu negara.

"BN hanya boleh dapat sokongan dengan generasi yang tinggal gusi, manakala Generasi 3G, telah menolak BN. Generasi 3G  inilah yang paling ditakuti oleh BN.

"Persolannya sampai bila BN hanya boleh bersandar dengan golongan yang fakir maklumat. Maklumat bergerak dengan pantas, BN masih mengguna tektik zaman batu, politik ugut, politik samsing, fitnah, tipu, putar belit masih dijadikan menu utama BN untuk mempengaruhi pengundi," soal Idris lagi.

Katanya, janganlah apabila tidak bermaya untuk melawan hujah, maka ada cadangan pula untuk menyekat maklumat kepada rakyat.

Hakikat yang berlaku ujarnya, undang-undang ini jika digubal hanya dikuat-kuasa kepada pembangkang.

"Perkara ini sudah terbukti bloger pro BN dan media BN yang menyimbah petrol permusuhan tidak diapa-apakan walaupun menpunyai unsur hasutan.

"Mereka hanya menerkam seperti singa lapar jika yang diungkap itu daripada pemimpin Pakatan Rakyat," katanya.

Bekas Pengerusi Gerak Mohon Maaf Kepada MB Selangor


nazree yunus 1

SHAH ALAM: Bekas Pengerusi Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak), Mohd Nazree Mohd Yunus hari ini membuat permohonan maaf kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim atas dua tuduhan beliau terhadap Menteri Besar Selangor itu pada 2009.

Permohonan maaf pertama merujuk kepada kenyataan Mohd Nazree sebelum ini yang mendakwa Abdul Khalid menyalahguna kuasa dan menggunakan wang awam untuk membiayai penyelenggaraan dan belian aksesori serta alat ganti kereta milik peribadi beliau.

Manakala permohonan maaf kedua adalah merujuk kepada dakwaan Mohd Nazree kononnya Abdul Khalid menggunakan wang Kerajaan Selangor bagi membiayai pembelian 46 ekor lembu korban bernilai RM 110,400 bagi majlis Hari Raya Aidiladha di kawasan Bandar Tun Razak.

“Sesungguhnya dengan suci hati dan tulus ikhlas, saya memohon maaf kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim atas dua kenyataan yang saya keluarkan selaku Pengerusi Gerak bertajuk “Kenyataan Media Gerak Malaysia : Tentang Amalan Rasuah dan Salahguna Kuasa Menteri Besar Selangor” bertarikh 21 Januari 2009 dan “Kenyataan Media Gerak Malaysia : Laporan Salahguna Kuasa Menteri Besar Selangor” pada 3 Februari 2009.

“Saya mengaku bahawa kedua-dua kenyataan media ini telah mencemarkan, menjejaskan serta menjatuhkan nama baik, reputasi, imej dan intergriti beliau sebagai Menteri Besar Selangor.

“Saya mengaku amat menyesal kerana membuat kenyataan akhbar yang tidak benar terhadap beliau. Saya berjanji untuk tidak mengulangi perbuatan mengeluarkan perkataan berunsur fitnah di masa akan datang,” katanya.

Mohd Nazree membaca permohonan maaf itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Dr Badariah Sahamid.

Beliau yang merupakan defendan dalam kes tersebut turut bersetuju untuk menyiarkan permohonan maaf itu di muka hadapan akhbar Sinar Harian dalam tempoh 14 hari.

Sementara itu, Abdul Khalid ketika ditemui berkata, beliau menerima permohonan maaf Mohd Nazree secara terbuka dan tidak akan menuntut sebarang ganti rugi.

“Saya menerima permohonan maaf beliau dan berharap beliau dapat meneruskan usaha sebagai seorang yang minat dalam bidang politik.

“Dengan cara itu, kita telah menunjukkan bahawa keadilan itu adalah satu usaha berterusan dan saya anggap pengajaran ini akan menguatkan lagi kualiti hidup beliau sebagai seorang yang percaya pada keupayaan diri sendiri,” katanya ketika ditemui di luar bilik mahkamah.

Pada 24 Mac lalu, Abdul Khalid memfailkan dua saman di Mahkamah Tinggi di sini terhadap Mohd Nazree melalui peguam beliau, Sankara Nair.

Tindakan itu berikutan keengganan Mohd Nazree menarik balik, meminta maaf dan membayar ganti rugi terhadap dua kenyataan itu.

Nurul Izzah Akan Saman Kerajaan Sabah, Ketua Menteri


nurul izzah KLSCAH 01

SHAH ALAM  : MP Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar akan mengheret Kerajaan Sabah ke mahkamah bagi mencabar tindakannya yang menghalang beliau daripada memasuki negeri bawah bayu itu semalam.

MP Penampang, Darrell Leiking, akan mengetuai sebuah jawatankuasa guaman di Sabah untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Ketua Menteri yang akan difailkan di Kota Kinabalu kelak.

PKR juga akan menghantar surat rasmi ke Pejabat Ketua Menteri Sabah untuk mengemukakan aduan rasmi serta mendapatkan penjelasan sepenuhnya mengenai tindakan itu.

Parti itu juga akan meminta senarai nama-nama mereka yang dihalang memasuki Sabah, serta sebab-sebab mereka dihalang, kata Nurul Izzah di sebuah sidang media di sini.

“Isu keselamatan negara dan persempadanan tidak boleh sama sekali dipolitikkan.

“Tindakan menghalang saya daripada masuk ke Negeri di Bawah Bayu ini berlaku di kala Sabah berhadapan dengan kebolosan sempadan.

“Termasuklah pengeluaran kad pengenalan secara haram seperti yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Siasatan DiRaja Sabah.

“Seharusnya tumpuan kerajaan negeri adalah mengawal selia masalah kebolosan yang mendesak ini,
“Bukan menyalahgunakan kuasa dengan menafikan hak demokrasi dan aktiviti politik pimpinan Pakatan Rakyat demi mempertahan kedudukan UMNO mahupun BN,” kata Nurul Izzah.

Nurul Izzah ditahan di pintu masuk imegresen di Lapangan Terbang Kota Kinabalu semalam apabila beliau tiba di Sabah. Kad pengenalannya dirampas dan beliau diarah pulang.

Nurul Izzah mendakwa tindakan tersebut adalah arahan daripada Pejabat Ketua Menteri Sabah.

Beliau pergi ke Sabah bagi meraikan pesta menuai Kaamatan bersama warga tempatan yang akan berlangsung Sabtu ini.

Nurul Izzah berkata Kerajaan Sabah telah melanggar undang-undang negara kerana menghalang seorang warganegara memasuki negeri mengikut Seksyen 67 Akta Imigresen 1959/1963.

Zulkifli Nordin digesa jangan campur urusan Pas

SAPINAH AB GHANI

Hu Pang Chaw
Hu Pang Chaw
 
KOTA BHARU - Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) menyifatkan kenyataan bekas Ahli Parlimen Kulim- Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin bahawa 'Pas diperbodoh Anwar' bersifat peribadi dan tidak relevan.

Ketuanya, Hu Pang Chaw berkata, Zulkifli tidak sepatutnya mencampuri urusan Pas kerana dia bukan ahli parti itu atau Pakatan Rakyat (PR).

“Siapa Zulkifli Nordin? Beliau bukan ahli Pas atau PR, jadi itu bukan urusan beliau, malah sekiranya berlaku perkara itu tidak ada kaitan dengannya, ia urusan parti, dan pandangan dilontarkan tidak relevan.

“Biarkan ahli parti menentukan perkara itu,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Pang Chaw berkata, beliau berpendapat isu berkenaan hanyalah rekaan dan sengaja dibangkitkan pemimpin itu.

Sambil menasihatkan Zulkifli agar menggunakan masa yang ada untuk melakukan kebajikan kepada rakyat Malaysia, Pang Chaw berkata, tindakan mencampuri urusan Pas dan PR akan menampakkan kejahilan calon Barisan Nasional Parlimen Shah Alam itu.

“Hentikan semua ini, usahakan agar beliau dapat berada dalam barisan kepimpinan Umno seterusnya dapat melontarkan pandangan untuk perjalanan parti itu,” katanya.

Sementara itu, Zulkifli yang juga bekas peguam bela Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembangkang khususnya Pas perlu berhenti daripada bersekongkol Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat itu kerana kempen Anwar Spring yang digerakkan sejak pilihan raya umum lalu bermotif peribadi.

Menurutnya, Pas akan dihukum dengan lebih teruk oleh majoriti rakyat jika berterusan membiarkan diri menjadi alat tunggangan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu kerana masyarakat mahukan keamanan bukan demonstrasi Anwar Spring.

CCTV: DAP buat laporan polis terhadap Musa, Zahid

 


 
Ahli Parlimen DAP Segambut, Lim Lip Eng membuat laporan polis terhadap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang didakwa membuat kenyataan bercanggah mengenai kamera TV litar tertutup (CCTV) di lokap polis.

Pada 28 Mei, Ahmad Zahid dilaporkan berkata kementeriannya mencadangkan kamera dipasang di lokap polis supaya rakamannya boleh dijadikan bukti jika berlaku sesuatu.

Bagaimanapun, semalam akhbar The Sun melaporkan Musa sebagai berkata kamera telah dipasang di kebanyakan lokap polis tetapi kekurangan bajet penyelenggaraan menyebabkan banyak yang rosak.

NONEOleh itu, Lim (kiri) membuat laporan polis di balai polis Utara Jinjiang
pagi ini berhubung dengan dua kenyataan tersebut.

Dalam laporannya, Lim meminta pihak polis menyiasat siapa yang sengaja berbohong untuk mengelirukan orang awam dan membahayakan keselamatan tahanan dalam lokap polis.

Bercakap dalam sidang akhbar selepas itu, Lim menunjukkan jawapan bertulis di Parlimen yang disediakan oleh bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein kepada bekas MP PKR Kelana Jaya, Gwo-Burne Loh, bertarikh 22 Mac 2011.

Dalam jawapan itu, Hishammuddin berkata, kerajaan sedang dalam proses memasang kamera CCTV di lokap polis dan bilik soal siasat.

Terdapat 827 balai polis di seluruh negara, dengan kamera CCTV dipasang di 227 lokap dan 36 bilik soal siasat, kata Hishammuddin.

Dalam lain perkataan, tegas Lim, terdapat tiga jawapan yang berbeza yang disediakan oleh kerajaan dan pihak polis mengenai isu tersebut.

Bagaimanapun, Lim tidak menyerahkan salinan jawapan bertulis parlimen itu kepada pihak polis.

Lim berkata, beliau sengaja tidak menyerahkan jawapan bertulis Parlimen itu "kerana saya mahu polis melakukan tugas mereka, untuk menyiasat... Saya mendapatnya dari carian Google".

Katanya, Parlimen akan kembali bersidang pada akhir bulan Jun dan oleh itu, pihak polis mempunyai masa hampir satu bulan untuk menyiasat dan memaklumkan hasil siasatan itu kepadanya.

Sekiranya pihak polis gagal memberi sebarang maklum balas kepadanya sebelum sidang Parlimen, Lim berkata, beliau akan membangkitkan perkara itu di sana.

NONESementara itu, dalam laporannya, Lim juga meminta pihak polis
memberikan satu salinan rakaman CCTV mendiang N Dharmendran di lokap ibupejabat polis Kuala Lumpur, kepada keluarga si mati.

Beliau berkata pihak berkuasa perlu berterus-terang dengan keluarga si mati jika mereka tidak mempunyai rakaman tersebut.
"Jika ibupejabat polis Kuala Lumpur tidak mempunyai CCTV, maka tidak perlulah bercakap mengenai balai polis di kawasan luar bandar," katanya.

Khir Toyo dakwa dirinya 'dikambinghitam'

MALAYSIA KINI


 
Bekas menteri besar Selangor, Dr Khir Mohd Toyo mendakwa beliau dijadikan contoh untuk menunjukkan kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telus dan mahu membanteras rasuah.

Dalam tulisan di blognya hari ini, Khir - yang dikekalkan hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Rayuan semalam - berkata beliau sudah "putus harapan" dan pesimis sekalipun merancang untuk merayu kesnya di Mahkamah Persekutuan.

NONE"Saya sudah tidak peduli lagi jika keputusan telah dibuat untuk memenjarakan saya sebagai ikon untuk menunjukkan kerajaan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ini telus dan mahu membanteras rasuah. Biarlah luncai terjun dengan labu-labunya," tulis Khir dalam blognya.

Semalam Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan bersalah terhadap Dr Mohd Khir bagi tuduhan rasuah yang berkaitan dengan pembelian dua lot tanah berharga dan sebuah rumah di Shah Alam, semasa menjadi penjawat awam.

"Semalam, peguam saya, Datuk Seri Shafee Abdullah bangun mengemukakan pertanyaan kepada tiga orang panel hakim hari ini, 'Apakah benchmark atau tanda aras untuk menyatakan pembelian ini merupakan satu pembalasan yang tidak mencukupi.'

"Pertanyaaan ini bukan sahaja tidak dijawab oleh Hakim Mahkamah Tinggi tetapi juga oleh tiga panel hakim Mahkamah Rayuan. Ini bermakna saya tidak mungkin mendapat sebarang perbicaraan yang munasabah pada akal logik," katanya.