Selasa, 31 Julai 2012

Kontroversi Hudud: DAP bersetuju dalam Negara Berkebajikan

 Lim Guan Eng


MCA dan Gerakan meneruskan serangan yang tidak bertanggungjawab dan tidak jujur kononnya DAP menyokong PAS dalam perlaksanaan undang-undang hudud dan penubuhan negara Islam serta serangan peribadi yang menampakkan keadaan terdesak mereka untuk meraih kembali sokongan yang sudah hilang.  Kedua-dua MCA dan Gerakan seakan-akan "pesalah yang melemparkan tuduhan dahulu" dengan cubaan mereka untuk menutup kegagalan untuk menuntut tindakan terhadap pemimpin-pemimpin UMNO yang menyokong perlaksanaan hudud malah ke atas bukan Islam.

Saya ingin mengulangi sekali lagi pendirian DAP yang tidak menyokong perlaksanaan negara Islam di Malaysia dan perlaksanaan undang-undang hudud oleh PAS.

Pendirian DAP ini konsisten dan tidak pernah goyah.  Namun begitu, DAP dan PAS sama-sama berkongsi pendirian untuk memerangi rasuah dan penyalah gunaan kuasa serta perlaksanaan integriti dalam kepimpinan yang berteraskan prinsip cekap, akauntabel dan telus.  Kita bersetuju dalam negara berkebajikan yang melindungi rakyat yang miskin, fakir, sakit dan sesiapa yang memerlukan bantuan.

DAP dan PAS boleh dan harus bekerjasama untuk masa depan rakyat Malaysia berdasarkan prinsip bersama yang menyatukan kita daripada membiarkan perbezaan ini untuk memecah belahkan kita.  Untuk sebab ini, DAP dan PAS telah menandatangani "dasar bersama" yang menyatakan kerangka kerjasama kita dan dasar membina negara-bangsa kerajaan persekutuan PR masa depan.  Jelas, "dasar bersama" tersebut tidak menyebut tentang perlaksaan negara Islam atau undang-undang hudud dalam kerajaan persekutuan PR masa depan.

Ini berbeza dengan UMNO Pulau Pinang yang telah memanggil untuk perlaksaan hudud di Pulau Pinang dan di serata negara.  Malah ADUN Kemelah, Johor daripada UMNO Ayub Rahmat telah menyeru agar Johor menjadi negeri pertama untuk melaksanakan "undang-undang hudud sebenar", yang berbeza dengan versi PAS kerana "undang-undang hudud sebenar" UMNO akan merangkumi rakyat bukan Islam juga.  Bukan sahaja Ketua Pembangkang Pulau Pinang Azhar Ibrahim tetapi Ketua Wanita UMNO Kepala Batas juga telah meluluskan ketetapan untuk menyokong undang-undang hudud untuk semua.

Dalam erti kata lain, UMNO yang ingin melaksanakan undang-undang hudud ke atas bukan Islam adalah lebih ekstrem berbanding PAS yang hanya ingin melaksanakannya ke atas orang Islam.  Saya tidak kedengaran pemimpin-pemimpin tertinggi Gerakan mengutuk UMNO ataupun Presiden MCA Chua Soi Lek menggunakan kata-kata "sida politik" terhadap UMNO.  Kenapa MCA atau Gerakan tidak meninggalkan BN atas sokongan pemimpin-pemimpin UMNO terhadap hudud untuk semua?  DAP tidak akan menggunakan taktik jijik dan kotor yang digunakan oleh MCA dan Gerakan terhadap pemimpin-pemimpin DAP.

DAP tidak pernah menyalah gunakan imuniti parlimen untuk menonjolkan video seks Chua Soi Lek.  Kami juga tidak menyerang Chua sebagai orang tidak bermoral yang mempimpin parti tidak bermoral.  Kami juga tidak menjalankan kempen memburuk-burukkan sepertimana Gerakan buat terhadap saya dan keluarga saya.  Malangnya, keberanian sedemikian tidak pernah ditunjuk oleh pemimpin-pemimpin Gerakan terhadap UMNO yang disokong penuh walaupun UMNO bagai tidak endah apabila gambar potret Presiden Gerakan Koh Tsu Koon telah dikoyakkan.

Jangan kita lupa bahawa UMNO-lah yang telah mengharamkan penggunaan kalimah "Allah" dalam kitab injil bahasa Melayu yang digunakan secara luas di Sabah dan Sarawak.  Ini berbeza dengan PAS yang mengambil jalan sederhana yang membenarkan orang Kristian untuk menggunakan kalimah "Allah" seperti yang menjadi kelaziman selama beratus-ratus tahun di Timur Tengah dan Indonesia.

Jelas terdapat perbezaan antara kerjasama DAP dengan PAS dan kerjasama MCA atau Gerakan dengan UMNO, apabila PAS dan UMNO dua-dua menyokong hudud dan negara Islam.  PAS menyokong hudud secara terbuka dan tidak ingin melaksanakannya ke atas bukan Islam sementara UMNO hanya menyokong hudud untuk semua dalam media bahasa Melayu tetapi tidak dalam media bahasa Cina atau Inggeris.  DAP bekerjasama dengan PAS atas prinsip bersama iaitu keadilan, kebebasan dan demokrasi dengan mata terbuka sedangkan MCA, MIC dan Gerakan menyerah diri kepada UMNO dengan mata tertutup.

*Lim Guan Eng ialah Setiausaha Agong DAP dan ahli parlimen Bagan.

Durian FM kini dimiliki orang rapat Najib



Pengasas Durian FM, Jamaluddin Ibrahim mengesahkan bahawa orang rapat Perdana Menteri Najib Razak, iaitu Siew Ka Wei telah mengambil-alih 50% saham Durian FM.  Pada masa yang sama, Jamaluddin Ibrahim menegaskan bahawa kedua-dua pihaknya mencapai persetujuan agar pihak Siew Ka Wei tidak campur tangan dalam kandungan rancangan radio internet tersebut.

Daripada maklumat yang dipetik dari Reuters, Bursa, dan Alacrastore.com, Redberry Sdn Bhd di bawah syarikat Ancom telah membeli 50% saham Durian FM dengan harga RM1 pada awal Julai 2012.  Pengakuan Jamaluddin Ibrahim hari ini telah mengesahkan laporan MerdekaReview pada 29 Februari 2012, walaupun Jamaluddin pada ketika itu menafikan khabar tersebut.

Ketika ditanya wartawan MerdekaReview sejak bila rundingan antara dirinya dengan Siew Ka Wei bermula, beliau menjawab, "Bila rundingan berlaku?... emm...ini... Usahlah dimaklumkan hal ini."

Wartawan menyusul lagi dengan soalan sama ada kandungan rancangan akan berubah pada masa depan, berikutan 50% saham Durian FM kini dipegang orang pro-Barisan Nasional, Jamaluddin Ibrahim berkata, "harap-harap tiada pengaruh (ke atas kandungan rancangan)."

Sementara mendakwa pihak Siew Ka Wei tidak memiliki bidang kuasa untuk campur tangan dalam kandungan media, Jamaluddin Ibrahim juga "berharap" agar pihak Siew tidak campur tangan dalam kandungan mediannya.  Di samping itu, Jamaluddin Ibrahim berkata kedua-dua pihaknya telah memeterai perjanjian, dan termaktub dalam perjanjian bahawa kandungan radio akan ditentukan Jamaluddin.

Bagaimanapun, Jamaluddin tetap menegaskan bahawa beliau adalah orang yang bertanggungjawab kepada kandungan rancangan radionya, pihak Siew tidak berkuasa untuk campur tangan dalam kandungan media sungguhpun memiliki 50% saham.

Ketika ditanya sama ada beliau bimbang imejnya terjejas, memandangkan dirinya pernah dilihat sebagai penganalisa politik yang lantang bersuara, kini pula membuka pintunya kepada syarikat pro-BN.

"Saya tak boleh halang pandangan orang terhadap diri saya," sebelum beliau menambah, "Usahlah label secara keterlaluan dia (Siew Ka Wei) orang siapa, mengapa nak buat benda ni... Benda komersial ini berlaku tiap-tiap hari, cuma dia ada keperluannya, dan saya pula ada benda yang ingin saya lakukan."

Jamaluddin berkata, halatuju Durian FM tidak akan berubah pada masa depan, dan berharap radio ini akan menjadi lebih baik.

Siew Ka Wei ialah salah seorang pemilik Kumpulan Redberry, dilihat sebagai orang yang rapat dengan Najib.  Syarikat itu memiliki Malay Mail, Malaysian Reserve, dan juga pengendali Bernama TV. Selain itu, Siew Ka Wei ialah pemegang saham besar Ancom, 4758, AncomLB,0048,dan Nylex,4944.

Durian FM ditubuhkan pada 8 Mac 2011, selepas Jamaluddin Ibrahim digugurkan dari rancangan call-in "Say Hi to Malaysia" di FM98.9 milikan MCA pada tahun 2010.  Rancangan tersebut didakwa "mengutarakan hujah yang tidak sesuai dan bias", sehingga disiasat Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi (MCMC).  Susulan daripada kejadian tersebut, Star Rfm Sdn. Bhd milikan MCA mengambil langkah untuk menggantung jawatan (suspend) Ketua Pegawai Eksekutif (CEO 98.8) Wong Lai Ngo, dan Pengarah Program (Director of Programming 98.8) Tan Chia Yong, sebelum memecat mereka kemudiannya.


*Lim Kar Yin ialah wartawan MerdekaReview, edisi bahasa Cina.  Disedut, disunting dan diterjemah dari teks asal.

PAS Kedah sedia terima Mohd Sabu

 
Exco kerajaan negeri Datuk Hamdan Mohamed Khalib berkata, jawatan Timbalan Presiden PAS mewajarkan tokoh popular itu bertanding.



PETALING JAYA: Beberapa pemimpin PAS Kedah mahu Mohd Sabu diberi peluang bertanding dalam pilihan raya umum ke 13.

Exco kerajaan negeri Datuk Hamdan Mohamed Khalib berkata, jawatan Timbalan Presiden PAS mewajarkan yokoh popular itu  bertanding.

“Perjuangan Mohd Sabu dalam parti sangat konsisten termasuk menarik sokongan pengundi bukan Melayu,” katanya.

ADUN Tanjong Dawai itu berkata, bagaimanapun, kata putus terletak di tangan pimpinan tertinggi dan ahli perlu mematuhi keputusan tersebut.

Sementara itu, Ketua Muslimah PAS negeri, Siti Aishah Ghazali berkata, PAS Kedah tidak   menyekat Mohd Sabu bertanding di negeri itu dalam pilihan raya umum akan datang.

“Kita terima sesiapa sahaja bertanding di Kedah.”

“Kita ikut pemimpin. Kalau PAS pusat setuku mencalonkan Mohd Sabu bertanding di Kedah, kita terima,” katanya yang juga seorang Exco kerajaan negeri.

Bagaimanapun, Siti Aishah enggan mengulas lanjut dengan alasan  beliau tidak terbabit dengan pemilihan calon lelaki.

Mohd atau lebih dikenali dengan panggilan abang Mad menjadi spekulasi sama ada bertanding di Kedah dalam PRU 13.

Bagaiamanapun, tokoh popular PAS itu bukan asing bertanding di Kedah kerana belau merupakan ahli Parlimen Kuala Kedah pada tahun 1999.

Situasi di Sabah tanda kejayaan agenda reformasi

FREE MALAYSIA TODAY

Azmin Ali menyatakan bahawa dua pengumuman penting di Tuaran dan di Beaufort pastinya mengubah landskap politik Sabah. 



PETALING JAYA:  Parti Keadilan Rakyat melihat perkembangan politik Negeri Sabah sebagai kejayaan agenda reformasi yang disemai lebih 10 tahun yang lalu dan kini menyaksikan hasilnya dengan kebangkitan rakyat Sabah yang berani meruntuhkan tembok ketakutan dan kezaliman, lalu menuntut reformasi yang tulen.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang juga Ahli Parlimen Gombak menyatakan bahawa dua pengumuman penting di Tuaran dan di Beaufort pastinya mengubah landskap politik Sabah dan menzahirkan iltizam politik rakyat Sabah untuk mencetus serta melaksanakan agenda perubahan.

“PKR mengalu-alukan pengumuman Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin dan Datuk Seri Panglima Wilfred Mojilip Bumburing yang meletakkan semua jawatan dari parti masing-masing serta kesediaan mereka untuk bersama Pakatan Rakyat dalam usaha melakukan perubahan dalam sistem kenegaraan”.

“Kita juga menyambut baik iltizam mereka untuk menjana kekuatan rakyat bagi melakukan perubahan di Negeri Sabah. Makanya kerana komitmen yang jelas di kalangan pimpinan negeri Sabah yang berani mengambil risiko. PKR tidak teragak-agak untuk bersama-sama mereka demi rakyat Sabah”,jelas beliau.

“Kerjasama yang disepakati bersama Pakatan Rakyat merupakan titik permulaan kepada perubahan politik Malaysia dalam Pilihan Raya Umum ke 13. Slogan ‘Ini kali-lah’ menandakan angin perubahan telah sampai ke bumi Sabah. Sudah tiba masanya untuk rakyat Sabah sendiri menentukan masa depan negeri Sabah serta menikmati hasil kekayaan negeri yang selama ini diagihkan secara tidak adil oleh pentadbiran UMNO dan (BN). Rakyat Sabah juga perlu menolak UMNO – BN yang mengkhianati semangat pembentukan Malaysia”.

“Dua pengumuman penting yang bersejarah itu menjadi bukti betapa rakyat Sabah sudah hilang keyakinan kepada kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dan BN. Tambah pula, pentadbiran Dato’ Seri Najib hanya sekadar menabur janji dan sepanjang beliau menjadi Perdana Menteri, ianya ditandai kegagalan untuk menepati janji”.

“Tekad rakyat Sabah untuk bersama Pakatan Rakyat pada hari ini adalah berpaksikan kepada keyakinan mereka terhadap agenda Pakatan Rakyat untuk melaksanakan perubahan. Mereka yakin dengan dasar – dasar Pakatan Rakyat yang terkandung dalam Buku Jingga dan perlaksanaannya akan menepati dan memenuhi hasrat dan cita – cita murni rakyat Malaysia yang mahukan urus tadbir yang baik serta pengagihan ekonomi yang adil kepada semua rakyat”,ujar beliau lagi.

“PKR turut mengalu – alukan penubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPS) dan Angkatan Perubahan Sabah (APS) serta kesediaannya bersatu di bawah payung Pakatan Rakyat untuk menjana arus perubahan dalam Pilihan Raya Umum ke 13”.

“Ini menandakan keyakinan rakyat Sabah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai peneraju utama dalam Pakatan Rakyat yang Insyaallah akan dinobatkan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke 7.

Semoga kebangkitan rakyat Sabah pada hari ini akan menghasilkan kejayaan dengan tertubuhnya kerajaan rakyat negeri Sabah dalam Pilihan Raya Umum ke 13”.

Populariti PM macam pasaran saham

MALAYSIA CHRONICLE


Tinjauan populariti Perdana Menteri Najib Razak oleh Merdeka Center bulan Jun lalu naik sikit dibandingkan bulan Mei. Pada keseluruhannya popularitinya jauh mengatasi Anwar Ibrahim.

Populariti di kalangan Melayu dan India turun sikit tapi masih di atas 50 peratus. Yang mungkin menyenangkannya sokongan orang Cina naik sikit tapi masih sekitar 40 peratus saja.

Apapun tinjauan pendapat adalah seperti pasaran saham, ada turun naiknya. Hari ini naik, esok ia boleh turun. Dua bulan dulu ia merudum, bulan ini melunjak. Jika ada agensi lain membuat tinjauan, lain pula penemuannya.

Tinjauan pendapat di mana-mana pun, boleh diambil sebagai satu panduan bagi mengukur sesuatu keadaan tetapi ia tidak boleh dijadikan ukuran muktamat. Kadang-kadang kita boleh ditipu oleh penemuan itu.

Contoh terbaik tinjauan pendapat yang popular di Britian tahun 1970 mendapati kerajaan Perdana Menteri Edward Heath dari Parti Konservatif punya harapan cerah memenangi semula pilihan raya sekitar Mei dan Jun. Bukan satu tinjauan kata begitu. Ia penemuan kebanyakan agensi tinjauan.

Masyarakat barat memangnya prihatin dengan tinjauan seperti itu. Ia pun memanggil pilihanraya umum mengejut walaupun tempoh penggalnya masih ada hampir setahun lagi. Kerajaan Edward Heath kalah pilihanraya itu.

Ada tinjauan pendapat yang tepat tetapi ambillah sebagai penyedap hati seperti kata peri bahasa Melayu, harap ada percaya tidak. Boleh terima tetapi jangan percaya sangat.

Apapun tinjauan Merdeka Center itu adalah atas Najib sebagai Perdana Menteri. Kata Dr Ong Kian Ming dari Fakulti Ekonomi dan Sains Polisi UCSI, tinjauan tidak pula dibuat terhadap BN. Jika tinjauan tentang populariti BN dan Pakatan Rakyat mungkin lain pula.

Dan seperti komen Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak, tinjauan itu adalah atas peluang Najib menang pilihan raya, tinjauan tidak dibuat atas isu-isu yang berbangkit tentang persiapan pilihanraya oleh SPR.

Kalau tinjauan dibuat tentang Bersih 3.0 mungkin popularity BN dan PR berbeza.

Apa yang memungkin angka Najib naik dalam beberapa bulan ini ialah dia memberi tayar percuma kepada semua pemandu teksi, dia beri BRIM, dia beri cermin mata percuma kepada warga emas. Dan mungkin juga dia tidak banyak diikuti oleh isterinya ke mana-mana.

Kata penyokongnya di Pekan, kalau PM balik ke Pekan sendiri masih ramai orang menyambutnya, tapi kalau isterinya ikut, hampir separuh kurang penyambutnya.

Elok juga dibuat tinjauan tentang penerimaan orang Pekan kepadanya sekarang. Berapa peratus yang menyokongnya jika isterinya duduk diam di rumah seperti bondanya di zaman ayahndanya jadi PM? Betapa pula sambuntannya apabila isterinya sama menonjol sepertinya.

Kita jangan buat ukuran ketika Perdana Menteri berjumpa orang India. Tentulah dalam majlis dengan orang India, 100 yang hadir orang India. Dan bila dia berjumpa orang Cina pula, tentulah yang menyambutnya semua orang Cina. Jika kita buat tinjauan pada masa itu maka penemuannya bukan 37 atau 40 peratus Cina dan India menyokongnya, tetapi 100 peratus.

Penemuan yang diumumkan sekarang adalah terhadap batang tubuh Datuk Najib. Tidak diragu dia akan menang di mana-mana kawasan Melayu yang ditandinginya kecuali di Permatang Pauh.

Tetapi calon BN yang lain belum ada jaminan. Popularitinya tidak menjamin kemenangan calon BN.

Itulah sebabnya dia BN bersetuju dengannya untuk meletakkan calon boleh menang. Ong Kee Tiat sudah tidak ada apa-apa dalam MCA. Dia mungkin dikekalkan sebagai calon kerana dia mungkin menang. Dr Soi Lek adalah Presiden MCA, tetapi dia belum dijamin menang.

Populariti Najib tidak menjamin BN menang di Kepala Batas dan Gua Musang kalau calonnya selain dari Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tengku Razaleigh Hamzah.

Apapun penemuan Merdeka Center itu boleh menyedapkan hati penyokong Umno, Najib masih belum sedap. Dan bagi Pakatan pula ia mendorongnya bekerja lebih kuat. Merdeka Center mesti selepas ini mengeluarkan pula tinjauan bulan Julai, Ogos dan seterusnya hingga minggu kempen terakhir PRU 13 dengan isu yang berbagai seperti rasuah, pengundi asing dan lain-lain.-The Malaysian Insider

Tidak mungkin saya berbohong - peserta Bersih

Hazayani Zakaria,
KUALA LUMPUR: Seorang peserta Perhimpunan Bersih 3.0 menegaskan bahawa beliau memberikan keterangan yang benar mengenai peristiwa yang dialaminya dan peserta lain di perhimpunan tersebut pada 28 April lalu.

Goh Ban Huat, 48, (gambar) berkata, beliau faham dan tidak mungkin melanggar akuan bersumpah yang dibaca sebelum memberi keterangan di hadapan panel Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan pemerhati pada sidang pendengaran awam mengenai dakwaan pelanggaran semasa dan selepas perhimpunan Bersih 3.0 di Ibu Pejabat Suhakam hari ini.

"Tidak mungkin saya berbohong dalam keterangan saya. Saya tidak fikir kamu semua bodoh untuk mendengar cerita bohong saya," katanya yang merupakan saksi ke-18.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan pemerhati dari pihak polis yang mengandaikan kemungkinan saksi menokok tambah dan mereka-reka cerita.

"Adakah Encik Goh rasa saksi berpeluang untuk mengada-ngadakan atau mereka-reka cerita?" soal wakil polis yang kemudiannya mendapat teguran daripada panel.

"Sebelum memberi keterangan saksi membacakan akuan bersumpah. Adakah Encik Goh faham akuan bersumpah itu?" soal salah seorang panel dan disusuli dengan jawapan, "Ya, saya faham" oleh Goh.

Sebelum itu, Goh memberitahu, sepuluh orang polis menendang pintu sebuah hotel dan masuk ke lobi untuk menangkap peserta yang berada di dalam selepas lari menyelamatkan diri akibat tembakan gas pemedih mata oleh polis.

"Polis mengarahkan semua orang keluar. Walaupun ada orang cakap 'ini tempat private', tapi polis tak endah.

"Saya memberikan kerjasama yang baik kepada polis sebab tidak mahu dipukul tapi bila keluar saya ditumbuk dan ditendang di pinggang," katanya sambil menambah, pinggangnya bengkak dan ada kesan lebam berwarna biru.

Tambah beliau lagi, semua peserta yang ditangkap dibawa ke Dataran Merdeka dan dibawa ke Pulapol kira-kira jam 7 malam.

Sepanjang dikumpulkan di Dataran Merdeka, mereka tidak diberikan makanan mahupun minuman.

"Saya nampak sudah ramai yang berada di Dataran Merdeka sewaktu saya sampai dan ada beberapa orang yang mukanya bengkak dan berdarah," katanya yang merupakan seorang guru.

"Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan di hadapan panel siasatan yang dipengerusikan Naib Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Datuk Lake Tee dan dibantu Pesuruhjaya Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.

Bekas pegawai kanan Kementerian Pertanian masuk PAS

Faiz Abdullah,
SEREMBAN: PAS Negeri Sembilan menerima suntikan semangat baru apabila bekas pegawai kanan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Mustapah Mohd Omar menyertai PAS secara rasmi kelmarin.

(Mustapah menyerahkan borang permohonan menjadi ahli PAS kepada Mohamad Sabu)

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Jabatan Kawal Selia Air Selangor; Penolong Pegawai Daerah Port Dickson dan Penolong Pegawai Daerah Seremban.

Mustapah bersara pada tahun lepas.

Mustapah menyerahkan borang ahli PAS kepada Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu di majlis berbuka puasa anjuran PAS Seremban di PASTI Wildan, Ampangan, Seremban.

Turut menerima penyertaan Mustapah ke dalam PAS ialah Yang DiPertua PAS Seremban, MK Ibrahim Abdul Rahman dan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Sembilan, Mohamad Hassan Tamby.

Peristiwa lebih besar menunggu politik Sabah

Muhammad Yusri Amin,
KOTA BHARU: PAS meramalkan akan berlaku lagi peristiwa lebih besar dalam politik Sabah selepas tindakan dua pemimpinnya baru-baru ini.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah (gambar) meramalkan perkara itu ekoran tindakan Datuk Seri Panglima Lajim Ukin dan Datuk Wilfred Bumburing yang meninggalkan BN.

Nik Amar mengulas tindakan terbaru tokoh politik Sabah Timbalan Menteri, Datuk Seri Lajim Ukin meletak semua jawatan dalam Umno, dan seterusnya menyatakan sokongan kepada Pakatan Rakyat (PR).

Turut meninggalkan BN Timbalan Presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazan Dusun Murut Bersatu (UPKO) parti komponen BN, Datuk Seri Wilfred Mojilip Bumburing.

Jadi apa yang dilakukan Lajim dan Bumburing itu, dakwa Nik Amar, adalah sebahagian daripada manifestasi dan mungkin selepas daripada ini akan berlaku lagi berkara-perkara lebih besar pada masa-masa akan datang.

“Ini kerana kita dengar banyak cerita tentang ketidakpuasan  terhadap kepimpinan kerajaan di Sabah,” dakwa Timbalan Pesurujaya PAS Kelantan itu.

Bagi beliau, perkembangan terbaru politik Sabah membabitkan tokoh dari komponen Barisan Nasional keluar parti itu dan seterusnya menyokong Pakatan  Rakyuat (PR) merupakan manifestasi ketidakpuasan hati rakyat dan  kalangan pemimpin politik Sabah terhadap Umno-BN.

Beliau mendakwa peristiwa itu adalah rentetan beberapa perkara yang berlaku di Sabah sebelum ini.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa anjuran Royal Thai Consulate-General dekat sini petang semalam.

(Nik Amar berucap di majlis berbuka anjuran Konsulat Thai)

Turut  hadir Consul-General Jackrid Kanjasoon, para pegawai Kerajaan Negeri dan Persekutuan serta pemimpin masyarakat.

“Dan apa yang dilakukan oleh Datuk Lajim Ukin itu merupakan manifestasi daipada ketidapuasan hati rakyat dan juga kalangan pemimpin politik di Sabah terhadap Umno-BN," katanya.

Nik Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri turut mengulas kenyataan Perdana Menteri merangkap Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak yang mendakwa perjuangan BN berada di landasan yang betul walau pun parti itu tidak melabelkan “Islam”.

Bahkan, dakwa Najib yang dipetik media ketika berucap pada majlis berbuka puasa di Perak baru-baru ini bahawa segala program transformasi Kerajaan BN berlandaskan ‘maqasid syariah’.

Najib mendakwa segala program transformasi yang dilaksanakan kerajaan BN untuk rakyat adalah berlandaskan 'maqasid syariah'.

Menurut Nik Amar, ‘maqasid syariah’ terlaksana adalah apabila (sesebuah) kerajaan itu tegak di atas dasar Islam dan mana-mana kerajaan yang tidak berlandaskan syariat, tidak boleh bercakap tentang ‘maqasid syariah’.

“Itu adalah asas, dan kita mestilah faham dahulu.

“Jadi apabila kita nak bercakap tentang maqasid syariah maka (sesebuah) kerajaan itu sendiri mestilah kerajaan yang berasaskan syariah, yang tegak di atas dasar Islam.

“Kalau (sesebuah)  kerajaan itu tidak menerima Islam sebagai dasar, macam mana boleh bercakap tentang maqasid syariah.

“Itu asasnya dahulu. Kenalah faham.  Bukanlah boleh senang-senang (sewenang-wenang) kita kata ini (adalah) maqasid syariah atau seumpamanya," jelas beliau yang merupakan bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa sebelum menyertai politik.

Nik Amar mendakwa walau pun ada beberapa perkara dilaksanakan mungkin bertepatan dengan kehendak agama, namun ia tidak menjadi asas.

Beliau mengajak masyarakat supaya memahami dahulu soal dasar kedudukan perkara itu.

“Jadi di sini saya fikir kita kenalah faham dahulu bahawa Kerajaan Malaysia ini bukanlah Kerajaan Islam, itu asasnya.

“Bahkan bukan kerajaan yang berlandaskan kepada ajaran agama Islam,” dakwanya.

PKR: Penyertaan 2 MP bakal realisasikan penubuhan kerajaan PR di Sabah

 
 
KUALA LUMPUR — PKR berharap melalui penyertaan dua ahli Parlimen dari Sabah ke dalam Pakatan Rakyat (PR) minggu lalu bakal menyaksikan matlamat pakatan pembangkang itu untuk menubuhkan “Kerajaan Rakyat Negeri Sabah” bakal terlaksana dalam Pilihan Raya Umum ke-13.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali (gambar) dalam kenyataannya berkata, penyertaan dua ahli Parlimen itu jelas menandakan rakyat Sabah sudah menerima PR dengan diterajui oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ini menandakan keyakinan rakyat Sabah kepada Anwar sebagai peneraju utama dalam PR, yang InsyaAllah akan dinobatkan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-7.

“Semoga kebangkitan rakyat Sabah pada hari ini akan menghasilkan kejayaan dengan tertubuhnya Kerajaan Rakyat Negeri Sabah dalam Pilihan Raya Umum ke 13,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dua ahli Parlimen yang menyertai PR adalah ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Bumburing dan ahli Parlimen Beaufort, Datuk Seri Lajim Ukin, yang mana turut melancarkan pergerakan politik yang mesra PR, iaitu Pakatan Perubahan Sabah dan Angkatan Perubahan Sabah (APS) yang akan bernaung di bawah payung PR.

Ahli Parlimen Gombak itu dalam kenyataannya juga berkata slogan ''Ini kali-lah'' juga menandakan angin perubahan telah sampai ke Negeri Di Bawah Bayu itu, dan menegaskan “sudah tiba masanya untuk rakyat Sabah sendiri menentukan masa depan Sabah serta menikmati hasil kekayaan negeri yang selama ini diagihkan secara tidak adil oleh pentadbiran Umno-Barisan Nasional (BN).”

“Dua pengumuman penting yang bersejarah itu menjadi bukti betapa rakyat Sabah sudah hilang keyakinan kepada kepimpinan (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Razak dan BN,” katanya merujuk kepada penyertaan Lajim dan Bumburing.

Beliau turut menjangkakan penyertaan kedua-dua pemimpin itu pastinya akan mengubah landskap politik Sabah dan menzahirkan iltizam politik rakyat Sabah untuk mencetus serta melaksanakan agenda perubahan.

“Tekad rakyat Sabah bersama PR hari ini adalah berpaksikan kepada keyakinan mereka terhadap agenda untuk melaksanakan perubahan.

“Mereka yakin dengan dasar-dasar yang terkandung dalam Buku Jingga dan perlaksanaannya akan menepati dan memenuhi hasrat dan cita-cita murni rakyat Malaysia yang mahukan urus tadbir yang baik serta pengagihan ekonomi yang adil kepada semua rakyat,” tambahnya lagi.

Kemarahan menyebabkan penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang ditangguhkan selepas PRU, kata sumber


 
KUALA LUMPUR — Reaksi buruk terhadap langkah Putrajaya untuk menjual Pelabuhan Pulau Pinang kepada jutawan logistik Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary telah menyebabkan penangguhan penswastaan pelabuhan itu selepas pilihan raya umum (PRU) yang perlu diadakan selewat-lewatnya pada pertengahan 2013, kata sumber. 
 
The Malaysian Insider difahamkan, selepas pilihan raya yang dijangka akan dimenangi oleh Barisan Nasional (BN), kerajaan akan menyerahkan pelabuhan tersebut kepada Seaport Terminal Sdn Bhd yang dimiliki oleh Syed Mokhtar dengan sedikit perubahan dalam terma konsesi. Tawaran yang dicadangkan oleh Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang (PCCC) dan sekutu tidak dijangka akan menukar keputusan Putrajaya, kata sumber itu lagi.

“Kerajaan sedang dihalang oleh pembangkang untuk meneruskan perjanjian, menyebabkan perjanjian tersebut hanya akan dijalankan selepas PRU,” sumber memberitahu The Malaysian Insider.

“Walaubagaimanapun, perjanjian itu akan diubah, untuk mengambil kira beberapa kerisauan tentang penswastaan,” katanya, tanpa mengulas lanjut.

Seaport Terminal, yang memenangi tawaran untuk projek penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang, telah menangkis dakwaan bahawa ia merancang untuk menenggelamkan peranan hab kargo itu.

Pengambilalihan telah mencetuskan kebimbangan bahawa hab perkapalan utara akan itu akan dikurangkan peranannya kepada oleh kerana tumpuan lebih kepada pelabuhan syarikat tersebut di selatan iaitu Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dan pelabuhan Pasir Gudang.

Sumber lain mengesahkan bahawa kerajaan melambatkan penyerahan pelabuhan itu sehingga selepas PRU, yang dispekulasikan akan diadakan pada tahun ini.

The Malaysian Insider melaporkan semalam, Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Najib Razak berkemungkinan akan menangguhkan PRU yang sepatutnya diadakan September ini kepada akhir tahun selepas dua Ahli Parlimen BN dari Sabah meletakkan jawatan dan berikrar akan bersama Pakatan Rakyat (PR), yang diketuai oleh bekas Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pelabuhan akan dijual selepas pilihan raya supaya ia tidak menjadi satu isu besar di Pulau Pinang yang mana BN berharap untuk menangi semula,” kata sumber itu. BN hilang Pulau Pinang dan tiga negeri lain dalam PRU 2008.

PCCC menegaskan, penyerahan Pelabuhan Pulau Pinang oleh Putrajaya kepada Seaport Terminal adalah bertentangan dengan Akta Pertandingan 2010 dan berpotensi melanggar perjanjian.

Presiden PCCC, Tan Sri Tan Kok Ping, berkata persatuan itu merancang untuk memimpin sebuah konsortium yang termasuk dewan perniagaan orang Melayu dan India serta Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM), dalam percubaan untuk mengambil alih Pelabuhan Pulau Pinang. FMM telah menafikan perancangan untuk menyertai konsortium itu.

Tapi Seaport Terminal berkata ia adalah antara syarikat pelabuhan tempatan dan antarabangsa yang dipelawa membida untuk penswastaan pelabuhan pada tahun 2011. “Dalam respon terhadap pelawaan itu, Seaport Terminal menyerahkan bidaan tersebut dan kita faham yang tiga syarikat yang lain turut terlibat,” katanya lagi. “Seaport Terminal dipilih berdasarkan kekuatan dan kecemerlangan rekodnya dalam kertas cadangan.

“Seaport Terminal telah menyerahkan satu kertas cadangan yang komprehensif berdasarkan kajian terhadap operai terkini pelabuhan, potensi untuk berkembang dan kemampanannya. Dalam pelan perniagaan kita termasuk strategi komprehensif untuk mengembangkan pelabuhan itu kepada pelabuhan bertaraf serantau ulung yang mampu bersaing.”

Selain dari dua pelabuhan Seaport Terminal, Syed Mokhtar juga menguasai Pos Malaysia Berhad dan lapangan terbang Senai. Beliau juga dilaporkan sedang dalam proses untuk mengambilalih KTM.

Kerajaan PR Pulau Pinang telah meminta kerajaan pusat untuk melaksanakan projek pengorekan berjumlah RM353 juta yang dijanjikan untuk pembesaran pelabuhan tersebut. Putrajaya pada bulan Jun lalu telah mengesahkan Seaport memenangi bidaan untuk mengambilalih Pelabuhan Pulau Pinang dengan mengatakan yang syarikat ersebut mesti membayar bil bagi kerja pengorekan meskipun ia tidak diwajibkan di bawah konsesi.

Kumpulan perniagaan Pulau Pinang dan pekerja pelabuhan telah menandatangani memorandum untuk menolak cadangan Putrajaya untuk menswastakan Pelabuhan Pulau Pinang.

Apa yang mengejutkan BN Pulau Pinang turut menentang cadangan Putrakaya itu apabila Pengerusinya Teng Chang Yeow turut menggesa kerajaan pusat untuk menilai semula keputusan untuk menswastakan pelabuhan tersebut dengan menyatakan banyak penentangan daripada kumpulan industri dan ini selari dengan sentimen masyarakat negeri tersebut.

George Town di Pulau Pinang merupakan tempat pertama di Malaysia yang dibangunkan oleh penjajah British, pernah menjadi pelabuhan terulung di rantau ini sebelum peranan tersebut diambil oleh Singapura. Ianya turut menjadi kebanggaan sebagai pusat pembelajaran dan kebudayaan.

Pelabuhan tersebut yang mempunyai perkhidmatan feri nostalgia era penjajahan, telah menerima tamparan hebat pada zaman 1970-an apabaila status pelabuhan bebas ditarik. BN Pulau Pinang mencadangkan agar status pelabuhan bebas dikembalikan sekiranya mereka memenangi pilihan raya umum yang akan datang.