MOHD AZLIM ZAINURY
Nik Aziz ketika menyempurnakan penyerahan Salahuddin kepada pimpinan Pas Johor, kelmarin.
MARANG – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengesahkan Naib
Presiden Pas, Salahuddin Ayub yang dikatakan akan bertanding kerusi
Dewan Undangan Negeri (Dun) di Johor pada Pilihan Raya Umum ke-13
(PRU13), bukan calon Menteri Besar.
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, Pas belum lagi
mencalonkan mana-mana pemimpin daripada parti itu untuk jawatan
tersebut, sebaliknya lebih menumpukan gerak kerja untuk merampas negeri
itu daripada Barisan Nasional (BN).
“Kita belum calon sesiapa untuk menjadi Menteri Besar. Kita hendak
menang dahulu,” katanya menjawab spekulasi Salahuddin sebagai bakal
calon Menteri Besar jika Pakatan Rakyat (PR) menguasai negeri itu pada
PRU13.
Salahuddin yang lahir di Kampung Serkat, Tanjung Piai, Pontian, berjaya
mempertahankan kerusi Parlimen Kubang Kerian pada PRU12 dan mengekalkan
kerusi Naib Presiden Pas pada pemilihan parti itu pada Jun tahun lalu.
Selain namanya disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar Johor, beliau
sebelum ini juga dikatakan dirisik agar bertanding Parlimen Pasir Mas di
Kelantan, Titiwangsa (Wilayah Persekutuan) selain Dun di Johor bagi
menghadapi PRU13.
“Saya boleh kata (sokongan) meningkat, kita dah dapat dua kerusi di
Johor, kerusi kita dah meningkat, nak tawan pun tidak mustahil tetapi
tidak mudah. Umno (pasti) akan pertahankannya habis-habisan tetapi tidak
mustahil kita boleh menang,” katanya pada Himpunan Hijau Ke Putrajaya
di Kampung Batu 10, Bukit Payong yang turut dihadiri Setiausaha Agung
Pas, Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Mohd Abdul Wahid
Endut di sini, semalam.
Dalam pada itu, Salahuddin diserahkan secara rasmi kepada pimpinan Pas
Johor pada Himpunan Hijau ke Putrajaya di Dataran Dahlia, Johor Bharu,
Johor, malam kelmarin.
Penyerahan Ahli Parlimen Kubang Kerian itu kepada Pesuruhjaya Pas
Johor, Datuk Mahfodz Mohamed disempurnakan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk
Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan.
Turut hadir, Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa.
Husam dalam ucapannya menyeru kepada rakyat supaya memberi peluang
kepada PR untuk menawan Putrajaya bagi membolehkan pakatan pembangkang
membuktikan kebolehan dalam mentadbir kerajaan.
“Rakyat perlu beri peluang kepada PR untuk ke Putrajaya bagi
membolehkan kami membuktikan kemampuan kami, Jika tidak OK, tuan puan
boleh menyerah balik mandat kepada Umno pada Pilihan Raya Umum ke-14
(PRU14) nanti. Itu pun jika Umno ada lagi.
“Perjuangan kita untuk Islam dan kita mahu bela rakyat. Negara kita
kaya, tapi hanya beberapa kerat sahaja yang kaya. Ketidakseimbangan ini
ditentang Islam. Sebab itu dalam manifesto PR nanti, kita akan tekankan
kepada agenda bela rakyat seperti menghapuskan pinjaman Perbadanan
Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang membebankan rakyat,”
katanya.
Selain itu, Husam yang juga Naib Presiden Pas berharap rakyat di Johor
dapat memberi peluang kepada rakan seperjuangannya, Salahuddin untuk
berbakti kepada negeri kelahiran sendiri.
Nik Aziz dalam ucapan ceramahnya pula berkata, Pas satu ketika dahulu
ditubuhkan berikutan ulama Umno yang melihat sendiri perjuangan Umno
semakin lari dari ajaran Islam.
“Umno ni kata agama lain dan politik lain. Padahal kita selalu diajar
bahawa Islam ini adalah menyeluruh meliputi pelbagai cabang. Masa solat
Jumaat pun kita disarankan supaya berasa gerun dan takut kepada ALLAH
walau siapa pun kita, sekali gus wajib mempraktikkan ajaran al-Quran dan
Sunnah.
“Sebab itu, Pas berjuang untuk daulatkan Islam. Pas ini bukan
siapa-siapa yang buat. Ia ditubuhkan oleh Umno juga. Oleh ulama Umno
sendiri yang lihat
perjuangan Umno semakin lari dari ajaran Islam.
“Kita mahu ikut dan mencontohi Nabi Muhammad SAW dalam membina negara Islam,” katanya.