Isnin, 1 Ogos 2011

MIC bantah keahlian penuh parti serpihan dalam BN

BERNAMA


Parti politik berasaskan kaum India di negara ini boleh menyertai BN sebagai ahli gabungan atau bersekutu sahaja dan tidak sebagai parti komponen, kata Presiden MIC Datuk G Palanivel.

Katanya parti serpihan kaum India yang mesra BN boleh menjadi ahli gabungan atau bersekutu dan MIC tidak akan membantah.

"Tetapi sebagai parti utama mewakili masyarakat India, kami tidak benarkan keahlian penuh dalam BN dan sekiranya berlaku, kami akan keluar," katanya pada sidang media selepas menutup perhimpunan agung MIC ke-65 di Putraja hari ini.

Katanya MIC selama ini menjadi parti politik terbesar mewakili masyarakat India dalam BN dan ia tidak akan membenarkan sebarang parti serpihan kaum India diberikan peranan atau hak yang sama.

Bagaimanapun, katanya partinya menjemput parti serpihan tersebut menyertai MIC dan menjelaskan ada sebilangan daripada mereka memberi reaksi positif.

Beliau enggan mendedahkan parti-parti yang telah memberi respons positif terhadap pendekatan parti itu mempelawa parti berkenaan menyertai MIC.

Antara parti politik berasaskan kaum India ialah Barisan Kemajuan India Malaysia (IPF), Malaysia Makkal Sakti (MMS) dan Parti Bersatu India Malaysia (MIUP).

Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) menjadi ahli bersekutu Umno sejak 27 Ogos 2010.

Terdahulu itu, dalam ucapannya, Palanivel berkata adalah penting bagi ahli parti itu berdaftar sebagai pemilih dan telah menyasarkan kesemua 600,000 ahli parti itu menjadi ppengundi berdaftar.

"Ketika ini, hanya 390,000 ahli mendaftar sebagai pemilih dan saya yakin menjelang Disember ini, kami mampu mendapatkan mereka yang belum berdaftar supaya mendaftar sebagai pemilih," katanya.

Katanya beliau mahu menjadikan MIC sebagai blok undi yang mantap.


Najib jalani pembedaha lutut di HKL esok

BERNAMA


Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini mendaftar masuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menjalani pembedahan kecil pada lutut kirinya esok.

Perdana Menteri yang diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor dan dua anak mereka, Nooryana Najwa serta Norashman Razak, tiba di Wad Diraja HKL pada jam 10 malam.

Khamis lepas semasa mengadakan lawatan kerja ke Kedah, Najib memaklumkan kepada pemberita bahawa beliau akan menjalani pembedahan itu ekoran kecederaan dialaminya semasa melakukan sepakan penalti ketika bermain futsal sempena sambutan Hari Belia pada Mei lepas.

Perdana Menteri berkata pembedahan itu tidak mengambil masa lama untuk pulih, dan beliau dijangka boleh bekerja semula selepas tiga hari menjalani pembedahan.

Sebelum ini, lutut tersebut pernah tercedera semasa Najib bermain bola sepak ketika menjawat jawatan Menteri Belia dan Sukan dalam perlawanan terakhir bersama bekas legenda bola sepak negara Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari.

Najib menjadi Menteri Belia dan Sukan dari Ogos 1986 hingga Oktober 1990.

Pulau Ketam yang pertama guna dakwat kekal

Lee Weng Keat


Pulau Ketam di Selangor mencatatkan dua sejarah di Malaysia dalam pilihan raya ketua kampung hari ini - sebagai negeri pertama menghidupkan semula amalan itu selepas 46 tahun, dan yang pertama menggunakan dakwat kekal untuk proses mengundi bagi mengelakkan penipuan.

NONEExco kerajaan negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah, yang
menjadi perintis dalam usaha memulihkan pilihan raya ketua kampung di tiga buah kampung, menjelaskan bahawa pilihan raya tempatan telah dibekukan pada tahun 1965.

Perkampungan Cina di Klang itu adalah yang pertama dalam inisiatif kerajaan negeri untuk menghidupkan semula amalan tersebut, walaupun PKR Perakpernah menimbang idea itu sewaktu mentadbir sekejab negeri itu sebelumnya.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Ean Yong berkata pilihan raya itu menggunakan dakwat kekal untuk mengelak pengundian berganda.

Menurutnya, dalam proses pengundian hari ini, ibujari setiap penduduk yang menerima kertas undi, ditandakan dengan dakwat kekal.

Menjawab soalan, Ean Yong berkata semuanya berjalan lancar dan beliau tidak menerima sebarang aduan berhubung dasar baru itu.

pulau ketam village head election 310711 indelible inkPenggunaan dakwat kekal merupakan salah satu tuntutan utama BERSIH 2.0 yang menganjurkan perhimpunan pada 9 Julai bagi menuntut pembaharuan dalam pilihan raya negara. Ia dikatakan murah dan berkesan dan mudah dilaksanakan, berbanding dengan sistem berteknologi tinggi biometrik yang dicadangkan oleh kerajaan.

Prof Shamsul: Ia bukan sekadar daftar pemilih bersih

Joseph Sipalan


Seorang ahli akademik kanan hari ini mengingatkan bahawa perubahan positif seperti proses pilihan raya yang bersih tidak akan bermakna jika ianya tidak disertai dengan satu sistem sokongan urustadbir.

Prof Shamsul Amri Baharuddin, pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), membayangkan bahawa isunya bukanlah sangat mengenai menangani masalah yang ada sekarang, tetapi juga memikirkan masalah masa depan yang boleh dan tidak dapat dielak akan timbul ekoran penyelesaian yang dilaksanakan.

NONESetakat yang beliau tahu, tegasnya, negara masih mengamalkan demokrasi berperwakilan (representative democracy).

"Kita mempunyai wakil rakyat dan kita mengundi memilih mereka. Kita boleh mempunyai pilihan raya yang bersih, tetapi bolehkah kita jamin bahawa wakil rakyat akan mewakili kita, atau partinya?" soalnya kepada kira-kira 500 pelajar yang menghadiri sidang kemuncak pemimpin pelajar Malaysia di Kuala Lumpur.

Shamsul, yang merupakan salah seorang daripada empat ahli panel mengenai pilihan raya umum ke-13, menegaskan bahawa Malaysia juga terjebak dengan masalah lama dalam memisahkan kerajaan daripada politik.

Beliau mengakui bahawa ia adalah sukar untuk mengubah pemikiran - yang menurutnya menjadi sebab mengapa BN mahu rakyat supaya berterima kasih kepada mereka kerana "membawa pembangunan" dengan wang pembayar cukai tetapi menekankan bahawa perubahan adalah perlu.

azlanDengan mengambil contoh mentaliti "Perang Dingin" dalam cara
pihak berkuasa melaksanakan undang-undang, Shamsul berkata ia merupakan satu isu yang mempunyai implikasi yang jauh terhadap masyarakat Malaysia hari ini.

Katanya, ini merupakan isu yang amat serius disebabkan Perang Dingin, banyak undang-undang yang ada hari ini telah digubal pada zaman darurat.

Beliau berkata, kita telah melewati Perang Dingin dan apa yang perlu kita lakukan ialah mentakrif semula siapakah musuh kita, atau apakah sasaran kita.

Bagaimanapun, tegasnya, itu tidak pernah dilakukan.

Mengenai pilihan raya umum umum ke-13, Shamsul berkata pengundi semakin kecewa dengan kaedah lama urustadir atas-bawah yang digunakan, yang menurutnya, telah dikuatkuasakan sejak zaman darurat dalam tahun 1960-an.

Beliau berkata ini akan menjadi perkara utama di kalangan pengundi, ekoran semakin meningkatnya keperluan untuk menyatakan pandangan mereka.

Dengan itu, tambahnya, apa yang wujud ialah jurang antara apa yang mereka "fikir kita mahu dan apa yang kita mahu".

NONEKatanya, ini merupakan situasi umumnya di seluruh negara, di mana apa yang kerajaan, parti pemerintah atau pihak berkuasa "fikir kita mahu, sebenarnya bukanlah apa yang kita mahu".

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin pula mengakui risiko jika
mengenepikan pendapat umum - khususnya kesedaran yang semakin meningkat mengenai kebebasan awam.

Katanya, manakala dua pertiga daripada 222 kerusi Parlimen terletak di kawasan luar bandar, lebih 50 peratus pengundi berdaftar di negara ini tinggal di bandar dan ianya dijangka meningkat kepada 75 peratus menjelang tahun 2020.

Oleh itu, tegasnya, ia adalah satu kesilapan jika partinya tidak memperdulikan isu-isu ini dan menumpukan kepada isu-isu pembangunan dan kempen populis.

NONENaib presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bagaimanapun menegaskan bahawa pemimpin politik perlu menyedari hakikat bahawa isu-isu asas masih kekal prominen, walaupun optimis dengan peningkatan penyertaan orang awam seperti yang dilihat pada perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai.

Isu-isu global, katanya, seperti keadaan ekonomi yang semakin buruk akan memberi kesan kepada Malaysia, yang turut akan memberi kesan kepada keadaan kehidupan dan keadaan itu akan membawa kepada isu-isu lain.

Akhirnya, tegas beliau, pengundi akan melihat sama ada ia akan memberi kesan kepada mereka.

Bridget Welsh, seorang profesor bersekutu dalam bidang sains politik di Universiti Pengurusan Singapura pula percaya bahawa keputusan pemilihan yang akan datang, akan ditentukan oleh golongan atas pagar, yang beliau ganggarkan kira-kira 40 peratus daripada pengundi berdaftar.

Beliau berkata ia juga akan bergantung kepada trend mengundi di kalangan pengundi Melayu dan India dan juga trend di Sabah dan Sarawak - yang dianggap sebagai 'deposit tetap' BN.

NONEWelsh juga menegaskan perlunya reformasi sistem pilihan raya,
yang menurutnya, tidak memberi peluang yang sama rata untuk pengundi berdaftar menjalankan hak-hak mereka.

"Terdapat masalah yang jelas dalam proses pilihan raya. Ianya bebas di mana anda boleh mengundi siapa yang anda mahu, tetapi ia tidak adil... ramai di dalam bilik ini tidak boleh mengundi kerana anda berada di luar negara, dan ini adalah salah," katanya kepada peserta sidang kemuncak.

Timbalan IGP: Suhardi dipanggil beri keterangan

BERNAMA


Suhardi Mat Isa yang dilaporkan berlakon sebagai Allahyarham Baharudin Ahmad yang meninggal dunia dalam perhimpunan haram 9 Julai lepas, bersetuju untuk memberi keterangan kepada pihak polis mengenai kejadian itu.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata Suhardi telah menghubungi pihak polis untuk memberi kerjasama dalam kes tersebut.

Untuk itu pihaknya akan memanggil Suhardi untuk memberi keterangan dalam masa terdekat di Ibu Pejabat Kontijen Polis Kuala Lumpur, katanya kepada pemberita selepas mengadakan dialog mengenai isu keselamatan dengan penduduk Bandar Sri Damansara di Kuala Lumpur petang tadi.

Khalid berkata Suhardi sepatutnya datang berjumpa dengan pihaknya untuk memberi penjelasan apabila video mengenai lakonannya itu tersebar luas.

"Dia sepatutnya datang bila videonya ditunjukkan, maka dia patut datang dan jelaskan keadaan," katanya.

Polis telah menjalankan siasatan mengenai perkara tersebut setelah menerima dua laporan mengenainya di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dan Cheras, di bawah seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan iaitu kesalahan yang melibatkan kenyataan-kenyataan yang mendatangkan khianat awam dan juga Seksyen 233 Akta Multimedia iaitu kesalahan yang melibatkan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain.

Gambar Suhardi, seorang peserta dalam perhimpunan itu dikatakan telah dimanipulasi oleh sesetengah pihak dengan mendakwa dia adalah Allahyarham Baharudin yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung.

Bagaimanapun, Polis Diraja Malaysia dalam satu sesi tayangan video mengenai perhimpunan itu menjelaskan bahawa gambar Suhardi bukanlah individu sebenar Baharudin.


Hati-hati kurma Israel, Malaysia negara munafik

chegubard.blogspot.com


Kurma menjadi produk tumpuan ketika Ramadhan. Jangan terpedaya, ada dalam pasaran negara Kurma jenama Jordan River. Jika anda membeli Kurma ini ia umpama berbuka puasa dengan darah dan air mata anak Palestin.

Kurma ini didapati berasal dari Israel. Dibawa masuk ke beberapa buah negara seperti Afrika Selatan dan Singapura dan kemudian dibungkus semula sebelum dibawa masuk ke beberapa negara Islam seperti Malaysia.

Sempena Ramadhan ini juga che'GuBard dan SAMM sekali lagi memperbaharui desakan untuk Malaysia menghentikan segala bentuk hubungan dengan negara haram Israel.

Dalam satu sisi regim ini memunculkan imej anti Israel dan pro Palestin. Malah Regim ini pula mewajahkan lawan politik dalam negara sebagai agen Amerika dan perbagai imej seolah anti Islam. Namun sedarkah kita dalam wajah yang lain Malaysia ialah antara negara Umat Islam yang dipimpin oleh pemimpin munafik yang menjadi rakan dagang penyumbang kepada ekonomi Israel.

Dahulu sememangnya Malaysia ada satu undang - undang yang dipanggil Akta Larangan Perdagangan yang menghalang sebarang hubungan dagang lansung dan tidak lansung dengan dua buah negara iaitu Israel dan Afrika Selatan kerana dasar Apartheid.

Namun sebaik sahaja dasar Apartheid di Afrika Selatan 'runtuh' maka pada tahun 1994 dibawah kabinet Dr. Mahathir dasar kerajaan telah diubah dengan meluluskan pindaan Akta Larangan Import (pindaan bil.7) yang bukan sahaja menarik balik sekatan larangan dagang dengan Afrika Selatan tetapi kesempatan diambil untuk jalin hubungan dagang dengan Israel.

Sejak itu Malaysia menjadi antara rakan dagang utama dan penyumbang kekuatan ekonomi kepada negara haram Israel ketika kebanyakan negara memboikot Israel.

Di Perpustakaan MITI dengan jelas banyak terdapat bahan untuk promosi produk Israel sepertimajalah Israel-Asia Trade, Israel Review, bukuAdvantage Israel, Trade Policies Review (Israel), Advance Technology From Israel, Opportunity Israel, The Economics of Israel, Douanes (Buku kod tarif perdagangan Israel) dan beberapa lagi.

Oleh itu kita tidak hairan, jika Dr. Mahathir membayar berjuta-juta ringgit kepada sebuah syarikat Yahudi, Satchi & Satchi untuk membantunya merangka strategi pilihanraya umum 1986, Najib hari ini mengunakan Apco Worldwide untuk persediaan Pilihanraya ke-13.

Sebelum ini dalam sidang media dan banyak siri ceramah che'GuBard telah banyak kali mendedahkan beberapa bukti seperti borang kastam membuktikan bahawa Malaysia merupakan rakan dagang yang memastikan ekonomi Israel terus 'segar' dan terus berupaya membeli senjata untuk membunuh umat Islam Palestin.

Micha Harish, Israel Minister of Industry & Trade dalam Israel-Asia Chamber of Commerce menulis pernah menulis kata-kata aluan yang dipetik dalam satu makalah promosi perdagangan Israel seperti berikut,

The public declaration of the Malaysian Prime Minister and Minister of International Trade and Industrial that their country intends to pursue economic relations with Israel is another milestone in the development of trade with this continent.

Micha Harish menggambarkan bahawa Perdana Menteri Malaysia telah menyatakan hasrat dengan kementeriannya, Kementerian Dagangan Antarabangsa dan Industri bahawa Malaysia ingin mewujudkan hubungan ekonomi dengan negara Israel.

Benarkah kenyataan ini? Sekiranya tidak benar, Perdana Menteri harus menafikan kenyataan Micha Harish ini.

Memerangi Israel wajib ke ke atas semua kerana kezaliman mereka. Lebih lagi kita umat Islam ia ialah perang pembebasan kiblat pertama Umat Islam. Kita tidak mampu untuk memikul senjata memerangi tentera Israel tetapi percaya dan yakinlah sama 'maqamnya' dengan memerangi Israel apabila kita bangkit menjatuhkan Umno Bn kerana dengan jatuhnya Umno Bn kita akan menghentikan hubungan dagang dengan Israel dan seterusnya melumpuhkan sumber ekonomi mereka.

Kepada Mukhriz anak kepada Dr. Mahathir, harus tampil menyatakan pendirian sebenar dalam isu ini bukan diam berkubu di MITI yang menjadi pusat pengkhianatan yang menjadikan Malaysia negara munafik.

Kontrak: Lim anggap MCA berfahaman sempit

Fakhri Ali


BUTTERWORTH: Tindakan Ketua Wanita MCA Pulau Pinang, Tan Cheng Liang mempertikai kerajaan negeri pimpinan Lim Guan Eng, kerana didakwa memberi kontrak Jabatan Pengaliran dan Saliran Pulau Pinang kepada kontraktor Bumiputera dan India Muslim dianggap sebagai tidak matang dan berfahaman sempit.

Katanya, sikap yang ditunjukkan oleh MCA tidak jauh bezanya dengan Umno yang menjadi rakan karib dalam BN.

"Jika kerajaan negeri membantu masyarakat Melayu, MCA akan mendakwa kita meminggirkan masyarakat bukan Melayu. Sekiranya kita membantu masyarakat bukan Melayu, Umno pula akan mendakwa kita meminggirkan masyarakat Melayu.

"Sekiranya pemikiran dan sikap begini masih lagi menjadi ikutan dan amalan, maka pembentukan sebuah masyarakat majmuk yang hidup harmoni, tanpa prejudis tidak akan tercapai.

"Oleh kerana itulah, apabila Umno seolah-olah gila talak kerana hilang kuasa, maka MCA juga kempunan untuk mengikut rakannya dengan menyalak tanpa hala tuju yang positif," ujarnya pada perasmian Jalan P Patto di Mak Mandin pagi tadi.

Sehubungan itu katanya, seandainya kuasa diberikan kepada BN, tidak mustahil banyak perpecahan dalam hubungan antara kaum akan terus berlaku, apabila perjuangan bangsa seperti yang diamalkan oleh komponen BN menjadi amalan.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Bagan, turut menyeru MCA supaya menyedari hakikat bahawa mereka bersama-sama dengan MIC dan Gerakan, sudah tidak mampu lagi untuk mengembalikan keyakinan rakyat, terhadap perjuangan mereka bagi membela nasib rakyat di Pulau Pinang.

Hadir bersama dalam majlis tersebut ialah Lim Kit Siang, Karpal Singh dan barisan exco serta kepimpinan kerajaan negeri.

Saya sebenarnya mahu beri Bersih 2.0 Stadium Shah Alam, kata Najib


KUALA LUMPUR — Datuk Seri Najib Razak berkata beliau sebenarnya berhasrat mahu menawarkan Stadium Shah Alam kepada Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) untuk berhimpun, namun gabungan 62 badan bukan kerajaan itu memilih Stadium Merdeka sebagai lokasi.

Najib sebelum ini tidak pernah mencadangkan mana-mana lokasi stadium kepada Bersih 2.0, sebaliknya hanya berkata bersedia menawarkan stadium.

Bagaimanapun Bersih 2.0 yang dipengerusikan Datuk Ambiga Sreenevesan mahu menggunakan Stadium Merdeka bagi menjayakan Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.

Namun polis tidak mengeluarkan permit kepada Bersih 2.0.

“Kita mahu ia (perhimpunan) dilakukan ikut saluran yang betul, sebab itu kita tawarkan stadium. Mengapa kita tawarkan stadium? Supaya mereka boleh berucap dan tidak turun ke jalanan kerana tiada sesiapa yang boleh jamin perhimpunan di jalan tidak akan timbulkan apa-apa masalah.

“Kita cadangkan stadium tapi tidak diterima, mereka masih mahu turun ke jalan . . . dalam pemikiran saya, saya mahu berikan Stadium Shah Alam tapi mereka tolak,” kata Najib pada majlis perasmian penutup Persidangan Tahunan Pemimpin Mahasiswa Malaysia Summit (MSLS) Kelima di sini.

Jelas beliau, perhimpunan yang dibuat di stadium lebih selamat daripada diadakan di jalan.

“Kalau kita buat (perhimpunan) di jalan siapa yang boleh jamin tiada orang (awam) berada di sana? Siapa dapat jamin tiada masalah yang akan timbul?

“Setiap rakyat Malaysia dilindungi, sebab itu kita mahu ia (Himpunan Bersih 2.0) dibuat di stadium,” katanya di hadapan kira-kira 1,000 perwakilan kalangan mahasiswa.

Himpunan Bersih 2.0 menyaksikan hampir 1,700 peserta telah ditahan termasuk pemimpin Bersih 2.0 dan Pakatan Rakyat.

Harian Malaysia terbitan bekas wartawan Utusan dilancar esok


KUALA LUMPUR — Akhbar online Harian Malaysia diterajui bekas wartawan kanan Kumpulan Utusan, Mohd Hata Wahari, yang dipecat kerana mengkritik syarikat milik Umno itu, akan muncul secara rasmi esok.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Hata (gambar) berkata, akhbar elektronik dengan slogan “Beretika dan Bertanggungjawab” akan memberi fokus kepada permasalahan rakyat selain membongkarkan setiap isu yang dialami.

Beliau juga berkata akhbar Bahasa Malaysia demi memudahkan informasi disampaikan kepada rakyat.

“Buat masa sekarang, kita memang sudah ada portal Harian Malaysia tapi ia hanya kerangka yang mana ia sudah mula sejak 1 Julai lalu.

“Dan, sekarang kita sedang mengatur akhbar elektronik, yang akan dilancarkan secara rasmi pada 1 Ogos (esok) bersama dengan portal rasmi kita,” katanya.

“Buat masa ini, kita akan buat akhbar elektronik sebab belum dapat permit untuk cetak akhbar.

“Kita punya berita yang disiarkan nanti adalah secara percuma,” katanya.

Ditanya lebih lanjut mengenai liputan akhbar itu, Hata berkata “seratus peratus adalah tentang masalah rakyat.”

“Kita fokus kepada masalah rakyat, kalau ada politik itu tidak banyak . . . kita nak fokus kepada masalah rakyat di bawah dan kita akan bongkarkannya.

“Kita tahu apa banyak masalah rakyat di luar sana, saya sudah berbelas tahun bekerja dengan Utusan Malaysia dan saya tahu apa yang berlaku,” katanya.

“Media arus perdana tidak telus dan cuba menyembunyikan apa yang berlaku, sebab itu kita mahu membongkar apa yang berlaku di bawah,” katanya yang memegang jawatan sebagai ketua editor.

Beliau juga berkata pihaknya akan membuat liputan di seluruh negara yang mana setiap negeri akan ada seorang wartawan.

Sebarang maklumat atau informasi yang ingin disalurkan boleh terus melawat www.harianmalaysia.my.

Menurut portal rasmi Harian Malaysia, akhbar elektronik itu adalah berbayar dan pembaca dikenakan bayaran RM10 untuk langganan sebulan, RM60 untuk enam bulan dan RM120 untuk setahun.

Bagaimanapun, kata Hata, pembaca boleh akses secara percuma buat sementara waktu.

Turut membanganunkan Harian Malaysia ialah Mohd Laile Wahari selaku Pengarang (Pengurusan) dan Mohd Shawal Wahari yang bertindak selaku Pengarang (Editorial).

Selain itu, penasihat editorial Harian Malaysia membariskan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, pemimpin veteran Umno yang juga Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dan Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) Datuk Ambiga Sreenevasan.

“Kita juga akan meminta mereka untuk menulis dalam Harian Malaysia,” kata Hata.

Harian Malaysia mempunyai beberapa kolum seperti mana yang akhbar-akhbar tempatan lain termasuk politik, berita semasa, pendapat dan kolum, komuniti, wawancara, isu, hiburan dan sukan.

Selain itu, ia juga turut mempunyai satu ruang khas dinamakan “Awang Sulung” yang akan mengulas isu-isu semasa.

Putrajaya, SPR bincang isu benar pelajar Malaysia luar negara undi

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR— Kerajaan akan berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sama ada perlu untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan pelajar Malaysia di luar negara mengundi pada pilihan raya umum, kata Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Perdana Menteri berkata sekiranya ada keperluan seumpama itu, maka kerajaan akan mengkaji dan membincangkan dengan SPR.

Najib mengatakan demikian ketika menjawab soalan pada sesi dialog sempena Sidang Kemuncak Pemimpin Pelajar Malaysia Kelima di sini.

“Bagi membolehkan ia menjadi kenyataan, kita perlu mendapatkan majoriti dua pertiga sebelum pindaan dapat dilakukan. Kita akan melihatnya dan mungkin dapat sokongan pembangkang bagi mencapai majoriti dua pertiga dan meminda Perlembagaan,” katanya dipetik Bernama Online.

Di bawah undang-undang sekarang hanya pelajar sepenuh masa yang belajar di institut pengajian tinggi di luar negara dan pasangan boleh mengundi menerusi kaedah undi pos.

Beliau juga berkata kerajaan juga komited untuk pembaharuan proses pilihan raya dan juga menangani isu pengundi hantu dan salah satu langkah diambil ialah dengan memperkenalkan sistem biometrik.

Pada majlis yang sama, Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional enggan memberi sebarang respons terhadap kenyataan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai pendekatan “Melayu dulu, barulah rakyat Malaysia.”

Konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan Najib mendapat kecaman hebat daripada Pakatan Rakyat selepas Muhyiddin mengatakan beliau “Melayu dulu, kemudian rakyat Malaysia” tahun lalu.

Ketika ditanya oleh seorang mahasiswa mengenai pendiriannya, Najib berkata beliau tidak mahu mengulas sebaliknya mahu terus berpegang kepada konsep 1 Malaysia.

“Saya tidak mahu respons tentang itu dengan cara yang boleh memecahkan saya dengan timbalan saya, 1 Malaysia adalah panduan utama.

“Tidak kisah apa yang anda mahu katakan, tapi perlu berpandukan konsep itu (1 Malaysia),” katanya.

Perkara sama pernah dibangkitkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz namun menegaskan beliau adalah “rakyat Malaysia terlebih dahulu dan kemudian baru orang Melayu.”

Dalam ucapan itu, Najib juga berkata konsep 1 Malaysia berteraskan kepada Perlembagaan Persekutuan yang mana kerajaan akan memberi keadilan kepada semua rakyat tanpa mengira latar belakang.

“(Gagasan) 1 Malaysia berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan kita perlu hormat Perlembagaan Persekutuan, yang mana kita perlu adil kepada semua.

“Polisi ini berpegang kepada keadilan jadi semua orang akan dapat (hak),” katanya.

Tambah beliau, perpaduan antara semua rakyat Malaysia merupakan kekuatan kepada konsep 1 Malaysia.