Jumaat, 1 Julai 2011

PM: Umno pun mampu kerah 3 juta ahlinya...

MALAYSIA KINI


Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Umno, jika ia mahu, mampu mengerahkan tiga juta anggotanya untuk menentang habis-habisan hasrat golongan yang mahu mewujudkan kekacauan melalui demonstrasi jalanan.

Bagaimanapun, kata perdana menteri, parti itu tidak akan berbuat demikian kerana ia bukannya cara yang bertanggungjawab dalam mencari penyelesaian.

"Kita (Umno) ada tiga juta ahli, tidak termasuk parti komponen (Barisan Nasional)...kita boleh kumpulkan tiga juta orang yang tunggu isyarat. Kalau semboyan dibunyi, mereka juga akan berjuang habis-habisan... tetapi apakah itu satu cara yang bertanggungjawab," katanya.

Perdana menteri menegaskan demikian semasa berucap kepada hadirin yang menyambut kunjungan beliau di pekan pesisir pantai ini, kira-kira 150km ke selatan Kota Kinabalu hari ini.

Najib berkata kerajaan Barisan Nasional adalah kerajaan yang bertanggungjawab dan tidak mahukan kekerasan kerana menurutnya, "itu bukan cara kita selesaikan masalah di bumi Malaysia ini".

Menurutnya pilihan raya sentiasa diadakan di Malaysia apabila tiba waktunya dan semua pihak boleh ambil bahagian semasa kempen.

"Kita ada pilihan raya... nak kempen, kempen lah, nak berucap sampai tak larat lagi nak cakap, buatlah, nak bertempek pun, tempeklah," kata Najib yang sebelum itu berkunjung ke daerah pedalaman Tenom, di barat daya Sabah.

"Mereka kata bersih... belum tahu dia bersih. Dia (pembangkang) pun ada banyak masalah," kata Najib.

Perdana menteri menegaskan Malaysia bukannya seperti negara tertentu di mana pemerintahnya menang 95 peratus undi semasa pilihan raya yang pastinya banyak pihak yang mencurigai keputusan pilihan raya.

"Di Malaysia tidak pernah berlaku seperti itu. Kita menang sebab rakyat support (sokong). Saya tak rela jadi perdana menteri atas penipuan. Saya nak jadi perdana menteri kerana rakyat sukakan kita (BN) dan rakyat percaya dan senang dengan BN," katanya.

Atas kepercayaan rakyat terhadap BN, kata beliau, kerajaan akan bekerja keras dan bersungguh-sungguh untuk perjuangkan nasib rakyat.

Najib berkata Malaysia kini berada di ambang transformasi ke arah menjadi negara yang lebih maju dan sejahtera dengan pelan pembangunan yang jelas dan hanya menunggu masa untuk melaksanakannya.

"Tetapi apakah ini harus dikorbankan semata-mata kerana hawa nafsu sesetengah pihak yang nak kejar jawatan perdana menteri, hendak menguasai Putrajaya?" katanya.

Najib mengingatkan bahawa demonstrasi jalanan seperti dirancang pada 9 Julai boleh membawa kecelakaan dengan sekelip mata, lebih-lebih lagi apabila pihak tertentu membakar emosi dan perasaan orang ramai.

Katanya jika ada pihak yang menjadi "tukang kipas, tukang bakar" emosi semasa perhimpunan haram itu, golongan yang bakal menjadi mangsa adalah juga "rakan kita, keluarga kita".

Beliau berkata apabila berlaku "psikologi samseng", orang yang baik akan tiba-tiba bertukar menjadi ganas dan tidak boleh dikawal sehingga tidak kira harta benda atau nyawa orang lain terancam.

Perdana menteri seterusnya menegaskan pentingnya gagasan 1Malaysia dihayati oleh seluruh rakyat Malaysia agar ia bukan sekadar menjadi slogan yang menjadi sebutan atau paparan semata-mata, sebaliknya diterjemahkan sehingga menjadi nilai pegangan, sikap dan cara pemikiran rakyat Malaysia.

Katanya, beliau mendapati keharmonian yang wujud di Sabah merupakan contoh terbaik konsep 1Malaysia bagi membolehkan rakyat pelbagai kaum hidup aman damai tanpa sebarang tembok pemisah.

Di majlis itu, perdana menteri mengumumkan peruntukan RM30 juta untuk membina semula Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sipitang dan peruntukan RM2.7 juta untuk memperbaiki bumbung Esplanade Sipitang yang sebelum in sering mengalami kerosakan akibat ditiup angin kencang.

Hadir sama ialah ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan beberapa wakil rakyat tempatan parti komponen BN.


Timbalan speaker: Tiada salah MP berpakaian kuning

Hazlan Zakaria


Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Wan Jaafar, hari ini memutuskan tidak ada salah bagi ahli parlimen pembangkang untuk berpakian kuning ke parlimen.

parliament house leak leakage 050508 wan junaidi"Apa-apa keputusan yang dibuat oleh menteri, Kementerian Dalam Negeri atau polis tidak mengikat Dewan Rakyat. Jika kita benarkan, kita akan juga akan terikat dengan mana-mana sekatan oleh keputusan yang lain,” katanya.

Atas hujah itu, Wan Junaidi berkata tidak ada sekatan berpakaian akan dikenakan kepada ahli parlimen asalkan mereka tidak melanggar kod pakaian mengikut peraturan tetap dewan.

Beliau mengulas perkara itu yang dibawa oleh Datuk Tajuddin Abdul Rahman (bawah) (BN-Pasir Salak) yang dibangkitkan pada perbahasan rang undang-undang gaji minumum dan meminta penjelasan.

"Saya lihat semua MP pembangkang berpakaian kuning hari ini. Adakah mereka menyokong perhimpunan haram?” soalnya.

NONEBeberapa ahli parlimen Pakatan kemudiannya dengan segera bangkit dan mempertahankan pilihan cara berpakaian mereka.

Bertindak bagi mengelakkan keadaan yang tidak terkawal, timbalan speaker menolak perkara itu dan berkata dewan adalah bebas daripada peraturan luar.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan pihak polis bukan sahaja mengisytiharkan perhimpunan 9 Julai itu adalah haram tetapi juga melarang penggunaan baju kuning dan apa-apa yang mempunyai logo BERSIH.

SPR kata tak boleh paksa media buat liputan

Andrew Ong


Suruhanjaya Pilihan Raya hanya boleh menasihati pihak media supaya memberi akses yang adil kepada parti politik yang bertanding tetapi tidak boleh memaksa mereka supaya berbuat demikian.

Timbalan pengerusi suruhanjaya itu, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, suruhanjaya itu juga telah menghubungi Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan bagi perkara yang melibatkan RTM.

Namun kementerian itu berpandangan bahawa RTM hanya perlu menjadi saluran untuk menguar-uarkan dasar kerajaan, katanya.

"Siapa saja yang menjadi kerajaan, saya pasti, mereka akan buat perkara sama juga," kata Wan Ahmad kepada wartawan selepas menyertai satu program dialog berhubung tuntutan oleh BERSIH 2.0 di Kuala Lumpur hari ini.

Ketika ditanya, Wan Ahmad berkata Malaysia juga tidak boleh dibandingkan dengan negara lain dalam isu berhubung liputan media yang adil ke atas pilihan raya, termasuk media yang dimiliki kerajaan.

Pemberita: Ianya tidak sama di negara lain, Datuk.

Wan Ahmad: Jangan bandingkan dengan negara lain.

Pemberita: Kenapa tidak?

Wan Ahmad: Jika anda bandingkan dengan negara lain, susahlah.

Pemberita: Singapura juga benarkan pembangkang...

Wan Ahmad: Tetapi...

Pemberita: ... Thailand, Indonesia, dan Filipina...

Wan Ahmad: Tidak... Biar saya kata...

Pemberita: Mereka dianggap sebagai negara yang lebih ke belakang, tapi mereka lebih terbuka dalam perkara ini.

Wan Ahmad: Kita sedang berbincang dengan kerajaan. Inilah yang SPR boleh buat. Kita berbincang dengan kerajaan tentang kebimbangan NGO dan masyarakat sivil berhubung perkara ini.

NY Times dakwa kilang Lynas bahaya alam sekitar

MALAYSIA KINI


Laporan New York Times baru-baru ini yang memetik memo dalaman oleh jurutera sekarang mahupun yang telah meninggalkan syarikat itu bahawa pembinaan kilang Lynas Advanced Material Plant (Lamp) di Gebeng, Pahang adalah 'bahaya' dan mempunyai masalah rekabentuk.

NONEArtikel itu mendakwa memo berkenaan memaparkan beberapa kecacatan dengan jurutera menghuraikan rekahan struktur, poket udara dan kebocoran di kebanyakan 70 tangki konkritnya.

Tangki itu dijadualkan untuk menyimpan bahan radioaktif selepas nadir bumi berkenaan yang dibawa dari Australia Barat dicampur dengan asid untuk merawatnya.

Ia juga mendakwa sistem paip keluli yang dibina untuk kilang tersebut adalah menggunakan keluli standard dan tidak sesuai bagi memindahkan bahan berkenaan. Tangki simpanan pula dibina daripada konkrit konvensional yang sepatutnya didirikan dengan gentian polimer yang kurang kemungkinannya akan retak

DPPWP kutuk serangan ke atas pejabat Umno

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengutuk serangan pihak tidak bertanggungjawab yang menyimbah cat dan membaling ayam yang disembelih ke bangunan pejabat Umno Cheras dan Bandar Tun Razak pagi ini.

“Tindakan ini jelas bertentangan dengan Islam,” kata ketuanya, Kamaruzaman Mohamad kepada Harakahdaily.

DPPWP juga, katanya kesal dengan tindakan samseng pemuda Umno yang berkumpul dan membuat bising di hadapan pejabat PKR baru-baru ini.

Beliau berkata, begitu juga dengan beberapa siri himpunan Perkasa sebelumnya yang membakar gambar Ambiga sambil melaungkan slogan perkauman.

Katanya, DPPWP menolak sebarang aktiviti provokatif, mengugut, ekstrem dan samseng dalam menyampaikan pandangan kepada mana-mana pihak.

“DPPWP yakin rakyat juga tidak lupa insiden membaling kepala babi, membakar gereja dan rumah ibadat lain sebelum ini yang sengaja dilakukan bagi memberikan ketakutan kepada rakyat.

“DPPWP tidak menolak, tindakan ke atas bangunan Umno kali ini juga mempunyai niat yang sama,” ujarnya.

Mengimbas suasana sebelum himpunan Bersih yang pertama, beliau berkata semuanya berjalan dengan aman.

Pada ketika itu, ujar beliau tiadanya pertubuhan ekstrem seperti Perkasa hari ini yang setiap hari mencanangkan ugutan dan membakar kemarahan rakyat.

Tambahnya, DPPWP memberi jaminan, Himpunan Bersih 2.0 tetap berjalan dengan aman walaupun Perkasa, Pemuda Umno dan penyokong mereka tidak mahu berhenti dari melakukan tindakan provokasi mereka.

“Kepada peserta himpunan Bersih 2.0, datanglah beramai-ramai ke Kuala Lumpur dengan aman dan pedulikan provokasi Perkasa dan Pemuda Umno.

“Negara ini milik anda juga dan sesiapa pun bebas berada di mana-mana tempat di negara ini,” katanya.

Baju kuning salah, merah Patriot tak apa

Mohd Syuwari


Terpanggil saya sebagai mahasiswa yang melihat perkembangan politik tanah air sekarang apabila melihat sendiri polis yang laungkan "kami berintigeriti" "kami adil telus dan amanah" sudah lari dari motifnya. maaf saya katakan sedemikian, sebagai anak muda yang melihat sendiri malah berfikir dengan perkembangan suasana Malaysia sekarang amatlah jauh berbeza dengan negara demokrasi yang lain.Malah boleh dikatakan polis Malaysia sama saja dengan pihak polis semasa pemerintahan Husni Mubarak di mesir sebelum terjadinya rusuhan.

Dalam kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan pihak polis bukan sahaja mengisytiharkan perhimpunan 9 Julai itu adalah haram tetapi juga melarang penggunaan kemeja kuning dan apa-apa yang mempunyai logo BERSIH.

Dukacitanya, ramai dari pengikut Pakatan Rakyat yang memakai baju Kuning telah ditahan oleh pihak polis namun dalam akhbar hari ini yang dipetik dari Malaysikini atas tajuk "LOKMAN MAHU SAMAN SAIFUDDIN RM 500,000.99" terpampang gambar pemuda UMNO ini memasuki balai polis dengan pakaian rasmi perhimpunan 9 Julai akan datang yang tidak di kenakan sebarang tindakan atas pemaikaian mereka itu. adakah ini ADIL?

Sepekara lagi,mari kita rujuk kenyataan Menteri Dalam Negeri dalam akhbar Malaysiakini bertarikh 29 Jun atas tajuk "HISYAM: HARAM PAKAI BAJU BERSIH, BOLEH DITANGKAP." Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata adalah satu kesalahan bagi mana-mana individu yang memakai baju yang berkaitan dengan aktiviti haram.

Jadi amatlah tidak berakhlak boleh saya katakan kepada pihak yang hanya menyerang sebelah pihak tanpa melihat pihak yang lai,n dalam masa yang sama menghukum mereka dan membebaskan yang lain.Contohnya pengikut Pakatan hanya memasuki pasar dengan pakaian Kuning telah ditangkap, tapi satu lagi pihak masuk kedalam balai polis dengan pakaian Merah PATRIOT. Sedangkan kenyataan polis mana-mana perhimpunan 9 Julai adalah HARAM.

Baju kuning: 4 termasuk MP Gopeng ditangkap

Harakahdaily


IPOH: Seramai 4 orang telah ditangkap kira-kira jam 9.00 pagi tadi di pasar Gunung Rapat, dekat sini kerana memakai baju kuning.

Mereka termasuk Ahli Parlimen Gopeng, Dr. Lee Boon Chye dan Adun Simpang Pulai, Chan Ming Kai.

Mereka telah dihantar ke IPD Ipoh.

Semalam, seramai 14 orang yang ditahan polis kira-kira 9.00 pagi di Pasar Sungai Siput termasuk Adun Teja, Chang Lih Kang, Adun Jalong, Leong Mei Meng dan Timbalan Setiausaha PKR Negeri Perak, Tan Kar Hing.

Polis membuat penangkapan mereka dengan memberi alasan mengedar bendera Malaysia dengan memakai baju Bersih.


9 Julai 'Hari Gotong Royong Negara'

Ismail Hashim

SHAH ALAM: Ketua Dewan Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi mengisytiharkan Himpunan Bersih pada 9 Julai depan sebagai Hari Gotong Royong Perdana Peringkat Negara.

Sebelum itu, beliau menggambarkan suasana hanyir dan meloyakan dengan segala macam sampah sosial berselerakan di seluruh pelosok negara menerusi sebuah sajak khas untuk Bersih.

Antara bait sajaknya berbunyi: 'Rasuah berselerak di laman politik negara' yang menggambarkan keadaan politik yang penuh dengan kucar kacir ditambah suasana pilihan raya yang tidak adil dan bersih.

Beliau menyeru semua golongan masyarakat agar hadir dalam himpunan 9 Julai depan untuk sama-sama bergotong royong membersihkan negara dari segala kekotoran memualkan selama ini.

Ustaz Nasrudin berbuat demikian mengakhiri pidatonya di Majlis Solat Hajat dan Pidato Perdana yang diadakan di Stadium Malawati, dekat sini malam tadi.

Turut berucap adalah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu; Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad; Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago; wakil Suaram, K Arumugam, Ketua Muslimat Selangor, Ustaz Wan Hasrina Hassan.

Berucap sama adalah Pengarah Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Pusat, Dewan Pemuda PAS Malaysia, Peguam Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi dan Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Hasbullah Mohd Ridwan.

Dalam ucapannya juga, Nasrudin menyatakan memang tunjuk perasaan atau demontrasi mesti dilakukan secara beramai-ramai dan tidak boleh dilakukan seorang diri.

“Pergilah buat demontrasi seorang diri di mana-mana tepi jalan atau pun taman bunga dan menjeritlah kuat-kuat, bukan FRU yang datang tapi ambulans kerana dikatakan orang itu sudah tidak betul,” selorohnya.

Ustaz Nasrudin juga sempat membetulkan kefahaman rakyat tentang erti sebuah hadis.

Menurutnya, selama ini orang ramai menterjemahkan hadis berkenaan dengan erti yang salah menyebabkan tiada apa-apa berlaku meskipun sudah lama membaca hadis tersebut.

Katanya, perkataan 'mengubah' dalam Hadis bila kamu melihat kemungkaran hendaklah diubah dengan tangan, lidah dan hati itu perlu dibetulkan kepada perkataan 'menukar'.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan rakyat agar jangan bimbang kerana Pemuda PAS Malaysia menyediakan semua keperluan seperti 300 peguam dan paramedik terdiri daripada pengamal perubatan yang akan memberikan rawatan awal jika berlaku apa-apa melibatkan kecederaan.

Sementara itu, Zamri juga memberi jaminan 300 peguam akan berkhidmat pada hari itu.

"Mereka bukan sahaja datang untuk memberikan khidmat nasihat perundangan kepada peserta Himpunan Bersih malah mereka juga akan berarak sama pada 9 Julai depan," tegasnya.

Provokasi: AMK kawal ketat ibu pejabat PKR

Aziz Muda


KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengawal ketat ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini, hari ini, agar terselamat dari menjadi mangsa provokasi pihak tertentu khususnya pemuda Umno.

Mereka yang berjumlah sekitar 30 orang mula berkumpul di ibu pejabat parti mereka sejak sekitar jam 11.00 pagi tadi sebagai langkah berjaga-jaga bagi menghadapi kejadian tidak diingini.

Langkah tersebut diambil ekoran dakwaan ibu pejabat PKR akan dirosakkan atau dibakar oleh pemuda Umno hari ini kerana kemarahan mereka terhadap parti itu yang semakin melemahkan Umno.

Mereka juga didakwa begitu marah dengan pemimpin-pemimpin PKR yang dikatakan sering mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh melemahkan Umno.

Tindakan ahli-ahli AMK mengawal ibu pejabat parti mereka itu diambil ekoran kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution smail Iberhubung dakwaan itu baru-baru ini.

Bagaimanapun, Exco Pemuda Umno Malaysia, Lokman Adam dalam kenyataannya baru-baru ini menafikan dakwaan itu.

Lanjutan kejadian itu, sekitar 40 orang Pemuda Umno hari ini telah membuat laaporan polis di Balai Polis Tropicana berdekatan ibu pejabat PKR dengan diketuai Ketua Penerangan Pemuda Umno Malaysia, Datuk Seri Nizal Marican.

Turut serta, Lokman Adam dan Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Rizal Man.

Mereka yang dijangka membuat laporan polis jam 11.00 pagi tadi, tetapi hadir jam 12.00 tengah hari.

Protes: Ahli parlimen Pakatan berpakaian 'kuning'

Nazri Abdullah


KUALA LUMPUR: Sebagai membantah tindakan pihak polis yang memerangi sebarang unsur sokongan kepada himpunan aman Bersih 2.0, ahli parlimen Pakatan Rakyat hadir ke Dewan Rakyat hari ini dengan berpakaian kuning.

Ada antara mereka berbaju kuning, dan ada juga bertali leher kuning bercetak Bersih 2.0 sekaligus dilihat seperti mencabar pihak berkuasa yang sedang giat melakukan tangkapan terhadap mereka yang memakai baju kuning bercetak Bersih 2.0.

Ahli parlimen wanita pula memakai pakaian kuning.

Dua dari mereka, Ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa dan Bukit Gantang Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin memakai baju-T Bersih 2.0.

Pada sidang media mereka di lobi parlimen hari ini, mereka turut mengecam tindakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussin berhubung kenyataannya bahawa menyokong himpunan Bersih adalah haram.

"Kami di sini untuk menyokong himpunan Bersih bagi menuntut pilihan raya bersih dan adil," kata Penasihat DAP Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur)

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata baju-T Bersih haram dipakai dan mereka yang berbuat demikian boleh ditangkap.

"Tindakan kami memakai kuning hari ini sebagai protes kami kepada tingkah laku pihak berkuasa yang kami rasa sudah melampaui batas," kata Dr. Hatta Mohd Ramli (PAS-Kuala Krai).