Jumaat, 1 Julai 2011

Peneroka saman Felcra RM100 juta

M Faqih


RANTAU PANJANG: Pada 1970 sekumpulan lebih 70 penduduk dari Gual Ipoh, Tanah Merah dan beberapa tempat lain meneroka tanah di Bukit Tandak di sini untuk dijadikan kebun.

Bagaimanapun selepas kerajaan PAS tewas pada 1978 kawasan yang diteroka itu disertai lebih ramai lagi peneroka lain sehingga menyebabkan berlaku perebutan.

Namun Timbalan Menteri Besar ketika itu, Tan Sri Hussien Ahmad meminta peneroka terbabit menyerah tanah yang diteroka kepada Felcra untuk diurus bagi menyelesai pertelingkahan.

Malangnya kumpulan kedua yang datang kemudian difahamkan berjaya mendapat geran kebun seluas tiga ekar, sedangkan peneroka awal diketepikan.

Dan lebih malang lagi sejak tanah tersebut diserah kepada Felcra peneroka tidak mendapat sebarang dividen daripada agensi kerajaan pusat terbabit seperti dijanjikan.

“Pakcik amat sedih kerana kita mengharap tanah yang diusaha menjadi sumber rezeki namun tidak menjadi kenyataan kerana Felcra enggan membayar sebarang dividen.

“Keadaan itu menyebabkan penduduk terpaksa mencari kerja lain termasuk menoreh pawah di kebun getah milik orang lain.

“Kita sudah habis ikhtiar mendapatkan semula hak ke atas kebun yang diserah kepada Felcra namun tidak berjaya. Cuma sekarang kerajaan negeri berusaha menyelesaikannya,” kata Abdullah Mustapha, 69.

Beliau antara generasi pertama meneroka tanah di kawasan itu bersama Muhamad Muhd Kassim, 63 yang dilantik sebagai ketua bagi kumpulan peneroka terbabit.

Sebahagian besar daripada 180 peneroka di Kampung Rahmat Felcra Bukit Tandak menghadiri perjumpaan bersama anggota Exco, Datuk Husam Musa dan wakil rakyat malam tadi.

Hadir sama Adun Gual Periuk, Ustaz Mohamad Awang, Adun Bukit Tuku, Abdul Fatah Harun, Adun Kadok, Azami Mohd Nor, peguam, Helmi Abdullah dan seorang ahli perniagaan dari Kuala Lumpur, Datuk Maarof.

Sebelum majlis penerangan bermula mereka menunaikan solat hajat di rumah Mohamad. Peneroka yang hadir serius mendengar penjelasan diberi anggota Exco dan peguam.

Mohamad juga masih menyimpan segala dokumen berkaitan bagi mengesahkan mereka merupakan peneroka awal tanah tersebut sebelum dimajukan Felcra.

Tanah diurus Felcra di Bukit Tandak dianggap kerajaan diteroka secara haram kerana tidak mempunyai sebarang geran hak milik.

Ekoran itu kerajaan negeri mengambil balik semula tanah tersebut daripada Felcra pada 2008 bagi membolehkan peneroka asal diberi semula hak mereka.

Muhamad berkata, pada peringkat awal Felcra menjanjikan mahu membayar dividen kepada peneroka namun sehingga 2008 tiada bayaran dibuat.

“Saya sebagai mewakili peneroka menuntut Felcra membayar RM100 juta memadangkan sepanjang tempoh 30 tahun tiada satu sen pun dibayar kepada peneroka,” katanya.

Pada majlis itu juga Mohamad menyerahkan segala dokumen berkaitan kepada peguam untuk membolehkan kes tuntutan terhadap Felcra dibawa ke mahkamah sekiranya notis bayaran tidak diendahkan.

Husam berkata, kerajaan negeri berusaha menyelesaikan masalah yang begitu lama berlarutan di Felcra Bukit Tandak bagi membolehkan peneroka awal mendapat hak mereka.

(Ikuti berita lanjut dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang).

Peniaga serbu PMBK dapat kunci Bazar Tok Guru

Salmah Mat Husain


KOTA BHARU: Biar pun masih ada usaha cuba menghalang peniaga Pasar Lama MPKB berpindah ke Bazar Tok Guru, namun berlainan pula bagi peniaga, mereka seperti tidak sabar lagi mahu berniaga di premis baru.

Ramai peniaga ketika ditemui semasa mengambil kunci di pejabat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) hari ini meluah rasa gembira.

Mereka seperti tidak sabar lagi mahu memulakan perniagaan di Bazar Tok Guru.

Seorang peniaga Siti Mastura Ismail, 33, meluah rasa gembira ketika datang mengambil kunci lot kedainya di Bazar Tok Guru.

Beliau berniaga di Pasar Lama MPKB sejak 10 tahun lalu berharap perniagaannya di tempat baru lebih maju kerana kedudukannya begitu strategik.

“Tidak ada apa yang kami harapkan semoga perniagaan kami bertambah maju di tempat baru ini, InsyaAllah,” ujarnya.

Sebuah akhbar hari ini melaporkan seorang peguam Nor Azli Ahamed menasihatkan peniaga menangguhkan menandatangani perjanjian jual beli lot Bazar Tok Guru kerana mendakwa terdapat sedikit kekeliruan.

Manakala Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Lama MPKB, Salim Ahmad pula dilapor mahu kerajaan negeri sekali lagi menangguh perpindahan peniaga.

Difahamkan sebelum ini Umno menyediakan peguam bagi membantu peniaga dalam isu Bazar Tok Guru.

Bagaimanapun apa yang berlaku pagi tadi peniaga tidak menghiraukan nasihat peguam dan Salim. Ramai peniaga menyerbu pejabat PMBK sebaik sahaja dibuka jam 8.00 pagi.

Peniaga menandatangani dokumen tertentu sebelum diberi kunci lot kedai masing-masing. Peniaga juga diminta membayar kos maintenance termasuk elektrik dan air bagi tempoh setahun sebanyak RM838.

Seorang lagi peniaga, Zaharah Mohd Salleh dan anaknya Rafeah Yusoff juga tidak sabar untuk memulakan perniagaan di tempat baru.

Katanya, mereka akan berpindah segera ke Bazar Tok Guru untuk meneruskan perniagaan di tempat baru.

Peniaga diberi peluang berniaga percuma dalam tempoh setahun di tingkat bawah dan dua tahun di tingkat satu sebagai usaha kerajaan negeri meringankan bebenan mereka.

Umno perangkap kakitangan awam hadir majlis Najib

Aziz Muda


KUALA LUMPUR: PAS Kawasan Pasir Puteh, Kelantan telah mendapat aduan dan rungutan daripada kakitangan awam berkenaan jemputan pada majlis pemimpin bersama rakyat yang diadakan di kawasan itu pada 2 Julai nanti.

Perkara yang membebankan mereka ialah setiap kakitangan awam termasuk guru mesti melaporkan diri mereka pada meja pendaftaran bagi memastikan kehadiran mereka.

Timbalan Ketua Penerangan PAS Pasir Puteh, Abdul Halim Mohamad menjelaskan, lebih membimbangkan mereka, jika mereka tidak hadir, tindakan akan dikenakan.

Menurut beliau, begitulah antara rungutan awam terhadap majlis yang bakal berlangsung pada Sabtu nanti yang turut melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, PAS Kawasan Pasir Puteh cukup kesal dengan cara perangkap yang digunakan oleh Umno untuk memastikan kehadiran yang ramai pada majlis berkenaan.

"Kita tidak bimbang dengan himpunan berkenaan kerana kita terbukti dan mampu membuat himpunan yang lebih besar tampa perlu kerahan dan lapor diri peserta dalam setiap program yang diadakan," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini.

Namun, beliau mencabar Umno agar memberi peluang kepada kakitangan awam untuk mereka tidak hadir pada program berkenaan dan jangan dibuat kaunter lapor diri yang merupakan suatu amalan politik lama yang digunakan.

"Sebaliknya, Umno perlu meninggal politik tipu dan beralih kepada budaya politik ilmu bagi menjadikan rakyat bebas menentukan keputusan mereka tanpa lagi terkongkong dengan budaya politik tipu," katanya.

Mengulas lanjut berkaitan kehadiran Presiden Umno yang juga Perdana Menteri pada majlis itu nanti, beliau berkata, kedatangan Perdana Menteri ke majlis itu jelas menunjukkan bahawa Umno Pasir Puteh sedang mencari semangat di sebalik masalah dalaman yang berlaku dan gagal menjawab isu sekitar yang menyebabkan ahlinya hilang tumpuan.

Katanya, majlis pemimpin bersama rakyat yang kononnya bakal dihadiri ribuan ahli Umno itu jelas menunjukkan himpunan gelombang merah yang diadakan baru-baru ini gagal dan tidak diterima rakyat, sehingga mereka terpaksa membawa presiden parti ke dalam kawasan Pasir Puteh.

PAS Pasir Puteh juga, katanya, ingin menasihatkan Perdana Menteri agar menunaikan segala janji yang ditaburkan terlebih dahulu sebelum hadir ke Pasir Puteh atas dakwaan sebagai tanda beliau menghormati rakyat Kelantan seperti yang didakwa oleh Umno.

"Antara janji yang belum ditunaikan itu termasuk menyiapkan projek Kerajaan Pusat yang banyak terbengkalai dan termasuk juga memberikan royalti Petroleum kepada rakyat Kelantan," ujar beliau.

Himpunan aman mahu ‘bersihkan’ pilihan raya ‘kotor’

Muhammad Yusri Amin


RANTAU PANJANG: Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa mengharapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berfikir secara tenang dalam menghadapi isu Perhimpunan Aman Bersih 2.0 pada 9 Julai ini.

Lebih jauh dari itu Husam mendakwa sekiranya Datuk Najib bijaksana, beliau mestilah mengizinkan perhimpunan itu berjalan dengan baik.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri bagaimana pun mendakwa, sekiranya Perhimpunan Aman Bersih 2.0 diganggu maka imej Malaysia di mata dunia menjadi lebih buruk lantaran pelabur menjauhi negara ini.

“Jadi saya harap Perdana Menteri fikir betul-betul.

“Jangan jadikan ‘kebangkitan Bersih’ seperti ‘Timur Tengah’ di mana polis Mesir menindas penunjuk perasaan menyebabkan kemarahan semakin memuncak kepada Kerajaan Mesir,” dakwanya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada majlis perjumpaan dengan lebih 100 peneroka Felcra Bukit Tandak, di Kampung Rahmat, Gual Periok dekat sini malam tadi.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Gual Periok Mohamd Awang yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri, Adun Bukit Tuku Abdul Fatah Harun dan Adun Kadok Azami Mohd Nor.

Husam menambah, Datuk Hishammuddin adalah seorang yang ‘menggelabah’ berhubung himpunan Bersih 2.0.

“Dia macam Ibrahim Ali juga. Jadi saya harap Perdana Menteri tukarkan Menteri Dalam Negeri, melantik seorang yang lebih matang lagi supaya Menteri Dalam Negeri tidak mengikut perasaan dalam mengendalikan isu-isu seperti Bersih ini,” ujarnya.

Mengulas lanjut Perhimpunan Aman Bersih 2.0 pada 9 Julai ini, beliau berkata apa yang berlaku sekarang menunjukkan Umno Barisan Nasional kini ‘macam hilang pedoman’.

Ini, katanya kerana mereka menggeledah salah satu pejabat Bersih 2.0 di Petaling Jaya tanpa waran, dan ahli-ahli politik juga disoal siasat oleh polis.

Beliau berkata, sepatutnya Perdana Menteri mengarahkan kepincangan dalam sistem demokrasi dan pilihan raya dibersihkan.

“Jadi kalau kepincangan itu ‘dibersihkan’, kita tak payah berhimpun, tetapi kalau proses demokrasi telah ‘dikotorkan’, maka kita bertanggungjawab membersihkannya,” katanya.

SPR: Sistem boleh kesan ‘pengundi hantu’ diguna mulai esok



Azmin mendakwa seramai 11 pengundi didaftar mengguna alamat rumah ibunya. — file pic


KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menggunakan satu sistem pengesanan — yang dilihat boleh membantu mengatasi masalah kewujudan “pemilih hantu” yang didakwa wujud oleh sesetengah pihak.

Sistem yang akan diguna pakai mulai esok akan membolehkan seseorang pemilih yang sah memperoleh maklumat akan kewujudan lebih daripada seorang pemilih di alamat yang sama, khususnya mereka yang tiada kaitan atau hubungan dengan pemilik alamat mereka.

“Kita sudah ada satu satu sistem, akan digunakan mulai 1 Julai ini (esok),” kata Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar pada sesi dialog forum makan tengah hari bertajuk “Tuntutan Bersih — Apa Penjelasan SPR?” anjuran Institut Perkembangan Minda (Inmind) di sini hari ini.

Beliau menyatakan demikian ketika menyentuh dakwaan kewujudan pengundi-pengundi hantu yang dimaksudkan oleh Timbalan Presiden PKR Azmin Ali 19 Jun lalu.

Menurut Azmin, terdapat lima pengundi kaum Cina yang didaftarkan pada alamat rumah milik ibunya di Kampung Kelang Gate dekat sini, dalam bahagian pilihan raya Gombak.

Termasuk lima pengundi Cina itu, yang menurut Azmin, ada 11 pengundi yang menggunakan alamat rumah ibunya.

Wan Ahmad berkata, jika seseorang mengesan kewujudan pengundi yang tiada kaitan dengan alamat rumah mereka, pihak berkenaan boleh menghubungi SPR.

Azmin merupakan Ahli Parlimen Gombak.

Bagaimanapun beliau tidak memberi gambaran mengenai bilangan mereka yang terlibat dalam kes-kes seumpama itu.

“Ada ruang bagi mereka membuat aduan kepada SPR, dan kami akan mengambil tindakan,” katanya.

Wan Ahmad berkata berdasarkan aduan itu pihaknya akan menghubungi pengundi-pengundi yang tidak berkaitan itu dan jika benar dakwaan, mereka akan diminta berpindah ke alamat mengikut kad pengenalan masing-masing.

Ia akan dilakukan mengikut peraturan pendaftaran pemilih.

Bagaimanapun Wan Ahmad mengakui SPR tiada kuasa untuk memindahkan mereka mengikut budi bicara suruhanjaya.

“SPR tiada kuasa memindahkan mereka. Perlembagaan tidak membenarkan,” katanya sambil menambah, jika pengundi terbabit enggan berpindah, pihaknya tidak boleh berbuat apa-apa.

Tanpa mahu menuding jari ke atas mana-mana pihak, kata Wan Ahmad, pendaftaran pemilih atau menukar pemilih ke satu-satu alamat berlaku sebelum peraturan pendaftaran pemilih mengikut alamat kad pengenalan diperkenalkan pada 2002.

“Ini kes-kes yang berlaku pada tahun 1994, 1996,” katanya.

Ambiga kepada IGP: Tentukan laluan, kami jamin himpun dengan aman

TERKINI

KUALA LUMPUR — Bersih telah meminta pihak polis sendiri mencadangkan satu laluan yang pihak berkuasa rasa sesuai untuk mereka mengadakan perarakan tanpa gangguan kepada sesiapa pun — perkembangan terbaru selepas pasukan keselamatan menahan lebih 100 orang setakat ini.

Pengerusi Bersih Datuk Ambiga Sreenevasan (gambar) berkata pasukan pemantau pilihan raya ini telah mengemukakan cadangan kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dengan harapan PDRM akan bersikap terbuka dan bekerjasama dengan gabungan tersebut.

“Kami telah memberitahu mereka, pihak polis, sekarang anda pilih satu lokasi di Kuala Lumpur ke Taman Jaya, atau ke mana-mana,” kata beliau di pekarangan ibu pejabat polis di Bukit Aman petang ini.

“Anda pilih laluan, kami akan ikut. Dan, kami akan jalankan dengan aman,” katanya lagi.

Kata Ambiga, berdasarkan peruntukan undang-undang polis dikehendaki memberi perlindungan kepada mana-mana pihak yang mahu mengadakan perhimpunan dan pada masa yang sama boleh menahan mereka yang enggan berhimpunan secara aman.

Ambiga berkata Ismail tidak memberikan sebarang respons ke atas permintaannya itu ketika pertemuan yang “sangat mesra” tetapi menekankan, beliau masih yakin Bersih akan mendapat jawapan positif daripada beliau minggu depan.

“Ini akan diadakan dengan bantuan polis. Ini yang dikatakan sebagai positif... dan, saya mahu kekal positif sebab itulah yang terbaik bagi semua,” katanya lagi.

Bagaimanapun bekas pengerusi Majlis Peguam ini enggan mengatakan tindakan susulan jika polis tetap enggan membenarkan perarakan diadakan.

Katanya beliau akan memberikan komen apabila tiba masa yang sepatutnya.

Himpunan Bersih 2.0 dijadual untuk diadakan pada 9 Julai ini.

Bersih 2.0: PKR kecam polis tahan dua wakil rakyat

THE MALAYSIAN INSIDER


KUALA LUMPUR — Polis menahan empat orang termasuk dua wakil rakyat pembangkang di sini hari ini kerana berkumpul dan mengagihkan baju-T serta risalah mengenai Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Azisman Alias berkata dua wakil rakyat yang ditahan itu ialah Ahli Parlimen Gopeng Dr Lee Boon Chye dan Ahli Dewan Undangan Negeri Simpang Pulai, Chan Ming Kai.

Kedua-duanya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Mereka adalah antara empat orang yang ditahan kerana berkumpul dan membuat persiapan untuk mengagih baju-T serta risalah kepada orang ramai di Pasar Gunung Rapat di sini,” katanya dipetik Bernama Online.

Kesemua mereka telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 27 (5) dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata kesemua mereka akan dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangan.

Semalam, polis menahan 14 orang termasuk dua wakil rakyat pembangkang di Sungai Siput kerana berkumpul dan mengagihkan baju-T serta risalah mengenai perhimpunan haram sama.

Dua wakil rakyat yang ditahan itu ialah Adun Jalong daripada DAP, Leong Mee Meng dan Adun Teja daripada PKR Chang Lih Kang.

Kesemua mereka kemudian dibebaskan selepas diambil keterangan.

Tindakan polis itu dikecam oleh Ahli Parlimen Selayang dari PKR William Leong.

“Tiada undang-undang yang menyatakan bahawa memakai kemeja-T kuning atau apa sahaja warna adalah satu kesalahan. Polis menahan YB Dr Lee, YB Chan dan yang lain secara tidak sah,” katanya lagi.

Justeru kata Leong beliau mahu kerajaan Barisan Nasional menghentikan tindakan keras ke atas aktivis Bersih 2.0 dan biarkan rakyat berhimpun dengan bebas dan aman.

Rang undang-undang gaji minimum lulus

TERKINI
THE MALAYSIAN INSIDER



KUALA LUMPUR — Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Majlis Perundingan Gaji Kebangsaan hari ini meskipun timbul kritikan daripada kalangan pembangkang bahawa ia tidak akan menjamin yang gaji minimum akan dilaksanakan.

Majlis itu akan berfungsi untuk mengkaji dan menetapkan gaji minimum berteraskan prinsip tripartisme antara kerajaan, pekerja dan majikan.

Ia juga akan dibantu oleh kumpulan profesional dalam Jawatankuasa Teknikal terdiri daripada pakar-pakar ekonomi, statistik dan sosial, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam (gambar) di Dewan Rakyat petang ini.

Dipetik Bernama Online, beliau berkata gaji minimum akan membantu golongan berpendapatan rendah meningkatkan kuasa beli bagi menghadapi peningkatan kos sara hidup dan seterusnya menangani isu kemiskinan di kalangan pekerja.

“Gaji minimum juga bagi mengelakkan eksploitasi majikan ke atas pekerja dalam keadaan majikan mudah mendapat bekalan pekerja asing yang sanggup menerima gaji rendah.

“Ia juga bertujuan mengoptimumkan penggunaan tenaga kerja tempatan dan bagi menggalakkan majikan meningkatkan rantaian nilai melalui pelaburan dalam teknologi tinggi dan peningkatan produktiviti pekerja,” katanya.

Beliau berkata pada masa ini, penetapan gaji bagi para pekerja sektor swasta di Malaysia ditentukan melalui tiga kaedah iaitu kuasa pasaran berdasarkan penawaran dan permintaan dalam pasaran buruh serta Perjanjian Kolektif (CA) hasil rundingan antara kesatuan sekerja dengan pihak majikan.

Ketiga ialah melalui Majlis Penetapan Gaji (MPG) di bawah Akta Majlis Penetapan Gaji 1947.

Daripada ketiga-tiga kaedah tersebut, hanya gaji yang ditetapkan MPG merupakan gaji minimum.

Subramaniam berkata gaji yang ditentukan kuasa pasaran didapati tidak berkesan kerana berdasarkan kajian oleh Bank Dunia, kadar gaji di Malaysia hanya meningkat secara purata sebanyak 2.6 peratus setahun, sejak 10 tahun lepas.

Beliau berkata Kajian Guna Tenaga Kebangsaan pada 2009 yang melibatkan sampel sebanyak 24,000 majikan dan 1.3 juta pekerja pula mendapati 33.8 peratus pekerja bergaji di bawah RM700 sebulan.

“Gaji minimum lebih banyak memberi kesan positif ke atas pembangunan sosio ekonomi negara-negara yang melaksanakannya seperti Amerika Syarikat, China, Perancis, Taiwan dan United Kingdom.

Beliau berkata menurut rang undang-undang itu, majikan yang tidak membayar gaji pokok sebagaimana dinyatakan dalam perintah gaji minimum kepada pekerjanya boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap pekerja, jika sabit kesalahan.

Dr Subramaniam berkata majikan juga boleh dikehendaki membayar apa-apa perbezaan gaji pokok kepada pekerja yang didapati dibayar di bawah paras gaji minimum serta bayaran-bayaran berkaitan.

Bagi kesalahan berterusan, penalti dicadangkan adalah denda tidak melebihi RM1,000 sehari bagi setiap kesalahan, sementara bagi kesalahan berulang penalti yang dicadangkan adalah denda RM20,000 maksimum atau penjara tidak melebihi lima tahun bagi setiap kesalahan.

‘Ini bukan tuntutan Ambiga tapi tuntutan Bersih’, kata peserta forum

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR – Pihak yang mengecam Himpunan Bersih 2.0 termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diminta agar tidak melakukan ‘serangan peribadi’ ke atas Datuk Ambiga Sreenevasan sebaliknya melihat isu semasa sebagai satu “tuntutan Bersih” secara umum semata-mata demikian kata seorang peserta forum “Tuntutan Bersih – Apa Penjelasan SPR?” hari ini.

Mengetengahkan pandangan itu pagi tadi, Timbalan Presiden Angkatan Warga Aman Malaysia Gobi Krishnan berkata, SPR khususnya selaku badan berkecuali wajar melihat perkembangan semasa sebagai “tuntuan Bersih, bukannya tuntutan Ambiga.”

“Ini bukan tuntutan Ambiga, tetapi ini tuntutan yang dibawa oleh Bersih sebagai satu pertubuhan bukan kerajaan... jadi mengapa kita hendak serang Datuk Ambiga secara peribadi,” kata beliau selepas forum tersebut, yang dianjurkan oleh Institut Perkembangan Minda (Inmind) di sini.

Terdahulu ketika mengambil bahagian dalam sesi dialog forum itu, Gopi mencadangkan kepada Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar agar tidak merujuk nama Ambiga dalam setiap hujah yang diketengahkan.

“Bersih bukan diwakili oleh Ambiga seorang sahaja ... dalam Bersih ada wakil-wakil pelbagai kaum,” katanya merujuk kepada barisan jawataankuasa pemandu.

Himpunan Bersih 2.0 dijadual untuk didakan di ibu negara pada 9 Julai ini.

Selain Ambiga, jawatankuasa pemandu Bersih 2.0 terdiri Andrew Khoo, K Arumugam , Dr Farouk Musa, Haris Ibrahim, Liau Kok Fah, Maria Chin Abdullah, Richard Y W Yeoh, Dr Toh Kin Woon, Dr Wong Chin Huat, Datuk Yeo Yang Poh, Zaid Kamaruddin, Subramaniam Pillay dan Arul Prakkash.

“Jadi, saya berharap kita jangan anggap ini tuntutan peribdi Ambiga tetapi sebagai ini tuntutan Bersih,” katanya yang turut mengharapkan agar ia tidak dijadikan isu perkauman.

Sejak awal bulan ini Himpunan Bersih 2.0 dilihat sebagai isu perkauman dengan media pro-Umno dan BN menganggap perhimpunan ini diketuai oleh satu individu bernama “Ambiga.”

Malah media terbabit juga menggambarkan Ambiga digunakan oleh parti-parti politik Pakatan Rakyat untuk kepentingan mereka.

Dalam komennya petang tadi, Ambiga berkata SPR seharusnya berhenti daripada menuduh Bersih hanya memperjuangkan agenda pembangkang jika mahu agensi itu dilihat sebagai bertindak berkecuali.

Pengerusi Bersih itu berkata, SPR perlu berhati-hati dengan apa yang diperkatakan kerana suruhanjaya tersebut dikehendaki kekal sebagai sebuah badan yang bebas di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Itu sebabnya kami mengatakan bahawa adakah ia menunjukkan mereka (SPR) itu bebas? Dan, saya minta rakyat membuat penilaian,” kata beliau.

Awal hari ini, Wan Ahmad berkata pihaknya tidak pernah menutup pintu kepada Bersih untuk mengadakan perbincangan.

“Saya ingin merayu, pintu perundingan kepada Bersih masih terbuka, belum ditutup,” kata beliau.

Sambil berulang kali meminta Bersih memisahkan daripada parti-parti politik, Wan Ahmad berkata, Bersih pernah memulis surat kepada SPR untuk mengadakan pertemuan susulan pada awal tahun ini.

Kekal berkecuali, Ambiga beritahu SPR




KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seharusnya berhenti daripada menuduh Bersih hanya memperjuangkan agenda pembangkang jika mahu agensi itu dilihat sebagai bertindak berkecuali, kata Datuk Ambiga Sreenevasan (gambar).

Pengerusi Bersih itu berkata, SPR perlu berhati-hati dengan apa yang diperkatakan kerana suruhanjaya tersebut dikehendaki kekal sebagai sebuah badan yang bebas di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Itu sebabnya kami mengatakan bahawa adakah ia menunjukkan mereka (SPR) itu bebas? Dan, saya minta rakyat membuat penilaian,” kata beliau kepada pemberita di luar ibu pejabat polis di Bukit Aman selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

SPR berkata pintu perbincangan dengan Bersih masih terbuka sambil merayu agar pertubuhan bukan kerajaan itu membatalkan Himpunan Bersih 2.0 dan “memisahkan diri” daripada agenda parti politik.

Awal hari ini, Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata pihaknya tidak pernah menutup pintu kepada Bersih untuk mengadakan perbincangan.

“Saya ingin merayu, pintu perundingan kepada Bersih masih terbuka, belum ditutup,” kata beliau dalam pembentangan pada forum makan tengah hari di bawah tajuk “Tuntutan Bersih — Apa Penjelasan SPR?”

Sambil berulang kali meminta Bersih memisahkan daripada parti-parti politik, Wan Ahmad berkata, Bersih pernah memulis surat kepada SPR untuk mengadakan pertemuan susulan pada awal tahun ini.

Bagaimanapun kata beliau, SPR telah meminta agar ditangguhkan perminatan pertemuan itu kerana membuat persiapan menghadapi pilihan raya negeri Sarawak.

“Bersih bukan Bersih yang saya kenali dulu. Ia sudah berubah, ia menjadi semakin kusut. Ia tidak baik... saya merayu kepada Ambiga, pisahkan daripada agenda politik,” kata Wan Ahmad.